Bab 65. Isyarat dan nas ke atas Amir al-Mukminin a.s

Isyarat Dan Nas Ke Atas Amir al-Mukminin A.S (al-Isyarat wa al-Nas 'ala Amir al-Mu'minin a.s)

(334)-1. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Isma'il, daripada Mansur bin Yunus, daripada Zaid bin al-Jahm al-Hilali, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Manakala turunnya wilayah Ali bin Abu Talib a.s, maka di antara sabda Rasulullah s.a.w: Berilah salam kepada Ali dengan gelaran Amir al-Mukminin, wahai Zaid, antara perkara-perkara yang disokong oleh Allah ke atas mereka berdua pada hari itu ialah sabda Rasulullah s.a.w kepada mereka berdua: Berdirilah dan berilah salam kepadanya (Ali a.s) dengan gelaran Amir al-Mukminin (qumaa fa-sallimaa 'alai-hi bi-imrat al-Mu'minin), lalu mereka berdua berkata: Adakah ia daripada Allah dan Rasul-Nya, wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w bersabda kepada mereka berdua: Daripada Allah dan Rasul-Nya. Maka Allah a.w telah menurunkan firman-Nya: "Dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah [mu] itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat" 
Apa yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah sabda Rasulullah s.a.w kepada mereka berdua dan kata-kata mereka berdua adakah ia daripada Allah dan daripada Rasul-Nya "Janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali, kamu menjadikan sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu disebabkan adanya (para imam yang lebih cerdik (azkaa) dari para imam kamu) . Beliau (perawi) berkata: Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, para imam (aimmah)? Beliau a.s telah berkata: Ya, demi Allah, para imam, aku telah berkata: Kami membaca arba , lalu beliau a.s telah berkata: Apakah itu arba? 
Beliau a.s telah memberi isyarat dengan tangannya, lalu menolaknya-Sesungguhnya Allah hanya menguji kamu dengannya (Iaitu dengan Ali a.s). Sesungguhnya pada hari Kiamat akan dijelaskanNya apa yang dahulu kamu perselisihkan itu. Dan kalau Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan. Dan janganlah kamu menjadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat menipu di antaramu yang menyebabkan tergelincir kaki(mu) selepas kokoh tegaknya (Iaitu selepas sabda Rasulullah s.a.w kepada Ali a.s) dan kamu rasakan kemelaratan (di dunia) kerana kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah (Iaitu Ali a.s) dan bagimu azab yang besar" 
(335)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain dan Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abu Hamzah al-Thumali, daripada Abu Ja'far a.s, berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Apabila Muhammad s.a.w [hampir] menamatkan kenabiannya dan menyempurnakan hari-harinya, Allah mewahyukan kepadanya: Wahai Muhammad, sesungguhnya kamu telah menamatkan kenabianmu dan menyempurnakan hari-harimu, maka jadilah ilmu yang ada di sisimu, iman, al-Ism al-Akbar (nama yang paling besar), warisan ilmu, bukti-bukti ilmu kenabian pada keluargamu; di sisi Ali bin Abu Talib. Sesungguhnya Aku tidak akan memutuskan ilmu, iman, al-Ism al-Akbar, warisan ilmu dan bukti-bukti ilmu kenabian daripada keturunmu sebagaimana Aku tidak memutuskannya daripada zuriat-zuriat para nabi [terdahulu].

(336)-3. Muhammad bin al-Husain dan lain-lain, daripada Sahl, daripada Muhammad bin Isa dan Muhammad bin Yahya dan Muhammad bin al-Husain bersama, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Isma'il bin Jabir dan 'Abd al-Karim bin 'Umru, daripada 'Abd al-Hamid bin Abi Dailam, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Musa telah mewasiatkan kepada Yusya' bin Nun dan Yusya' bin Nun telah mewasiatkan kepada anak lelaki Harun. 
Beliau a.s tidak mewasiatkan kepada anak lelakinya begitu juga beliau a.s tidak mewasiatkan kepada anak lelaki Musa. Sesungguhnya Allah mempunyai pilihan, Dia memlilh siapa yang Dia kehendaki. Musa dan Yusya' telah memberi khabar gembira kepada al-Masih a.s. Apabilla Allah a.w mengutus al-Masih a.s, maka al-Masih a.s telah berkata kepada mereka: Sesungguhnya akan datang selepasku seorang nabi, namanya Ahmad daripada anak-anak Isma'il a.s, beliau akan datang untuk menyokong kebenaranku, kebenaran kamu dan akan membersihkan tuduhan terhadapku dan terhadap kamu. Kemudian ia telah berlaku selepasnya kepada pengikut-pengikutnya yang setia (al-Hawariyyin al-Mustahfiziin). 
Sesungguhnya mereka dinamakan al-Mustahfiziin kerana mereka menjaga dengan setia al-Ism al-Akbar iaitu kitab yang menceritakan semua ilmu yang berada di sisi para nabi a.s. Allah berfirman: "Sesungguhnya Kami telah mengutus para rasul sebelum kamu dan kami telah menurunkan bersama mereka Kitab dan Mizan" Kitab itu adalah al-Ism al-Akbar untuk membezakannya dengan apa yang didakwa bahawa Kitab itu adalah Taurah, Injil dan Furqaan. Di dalamnya kitab Nuh, kitab Saleh, Syu'aib dan Ibrahim a.s. Maka Allah a.w telah menceritakan: "Sesungguhnya ini benar-benar terdapat di dalam kitab-kitab yang dahulu, iaitu kitab-kitab Ibrahim dan Musa" Di manakah mashaf Ibrahim, sesungguhnya mashaf Ibrahim adalah al-Ism al-Akbar dan mashaf Musa adalah al-Ism al-Akbar. Wasiat sentiasa berada di sisi seorang alim selepas seorang alim sehingga mereka memberikannya kepada Muhammad s.a.w.
Manakala Allah mengutus Muhammad s.a.w, maka keturunan al-Hawariyyun yang setia telah menerimanya, sementara Banu Israil membohonginya, lalu baginda s.a.w telah berdoa kepada Allah dan berjuang pada jalan-Nya. Kemudian Allah menurunkan ke atasnya bahawa Dia telah memberitahu kelebihan wasi anda, maka baginda s.a.w telah bersabda: Wahai Tuhan, Arab adalah bangsa yang liar. Tiada kitab di kalangan mereka, nabi tidak diutus kepada mereka. Justeru, mereka tidak mengetahui kelebihan para nabi a.s dan kemuliaan mereka dan mereka tidak beriman denganku jika aku menceritakan kepada mereka tentang kelebihan keluargaku, maka Allah a.w telah berfirman: "Janganlah kamu berdukacita ke atas mereka" "Dan katalah: Salam". Kelak kamu akan mengetahui" Kemudian baginda s.a.w telah menyebut kelebihan wasinya, maka nifak telah berlaku di dalam hati mereka. 
Rasulullah s.a.w telah mengetahui apa yang mereka ucapkan. Allah berfirman: Wahai Muhammad! "Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan" "Kerana mereka sebenarnya bukan mendustakan kamu, tetapi mereka yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah" Mereka mengingkarinya tanpa hujah, tetapi Rasulullah s.a.w pernah menjinak-jinakkan mereka dan mengambil mereka sebagai penolong ke atas sebahagian mereka. Baginda s.a.w sentiasa memberitahu kepada mereka tentang kelebihan wasinya sehingga turunnya surah ini. Baginda s.a.w telah berhujah ke atas mereka ketika diberitahu tentang kematiannya, lalu Allah berfirman: "Maka apabila kamu telah selesai, kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (lantiklah dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap" 
Beliau a.s telah berkata: Apabila kamu selesai, maka lantiklah tandamu (Ali a.s) dan iklankan wasimu (idha faragh-ta fansib 'alama-ka wa a'lin wasiyya-ka). Justeru, baginda s.a.w telah memberitahu kepada mereka kelebihannya secara terang-terang, maka baginda s.a.w telah bersabda: Siapa yang aku telah menjadi walinya, maka Alilah walinya, wahai Tuhanku, hormatilah mereka yang mewalikannya, dan tentangilah mereka yang memusuhinya-tiga kali- Kemudian baginda s.a.w telah bersabda: Aku akan mengutus seorang lelaki yang mencintai Allah dan Rasul-Nya sementara Allah dan Rasul-Nya pula mencintainya, beliau bukanlah seorang lelaki yang telah melarikan diri (dalam peperangan), mengatakan para sahabatnya pengejut, tetapi para sahabatnya pula mengatakannya pengecut Rasulullah s.a.w bersabda: Ali adalah penghulu mukminin". 
Baginda s.a.w juga telah bersabda: Ali adalah tiang agama". Baginda s.a.w juga bersabda: Ini adalah seorang yang akan memukul manusia dengan pedang kerana kebenaran selepasku". Baginda s.a.w juga berkata: Kebenaran adalah bersama Ali yang mana saja beliau cenderung". Baginda s.a.w juga berkata: Sesungguhnya aku tinggalkan kepadamu dua perkara, jika kamu mengambil kedua-duanya, maka kamu sekali-kali tidak akan sesat: Kitab Allah a.w dan keluargaku, itrahku", wahai manusia, dengarlah, sesungguhnya aku telah menyampaikannya, kamu akan datang kepadaku di Kolam (al-Haudh), maka aku akan bertanya kepada kamu apakah yang kamu telah buat kepada dua perkara yang berharga (al-Thaqalain) itu. 
Dan al-Thaqalaani: Adalah Kitab Allah a.w dan keluargaku. Justeru, janganlah kamu mendahului mereka, nescaya kamu akan binasa dan janganlah kamu mengajar mereka kerana mereka lebih mengetahui daripada kamu" Lantaran itu, hujah telah berlaku dengan sabda Nabi s.a.w dan dengan Kitab yang dibaca oleh manusia. Baginda s.a.w sentiasa mengemukakan kelebihan keluarganya di dalam sabda-sabdanya dan menerangkannya kepada mereka dengan al-Qur'an: "Sesungguhnya Dia mahu menghilangkan kotoran dosa daripada kamu Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya" Dia telah berfirman: "Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh daripada sesuatu, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat" Kemudian Dia telah berfirman: "Dan berikanlah akan keluarga-keluarga yang terdekat akan haknya" 
Inilah kedudukan Ali dan haknya adalah wasiat yang dijadikan untuknya, al-Ism al-Akbar, warisan ilmu, bukti-bukti ilmu kenabian, maka Dia telah berfirman: "Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang di dalam kekeluargaan" Kemudian Dia telah berfirman: "Apabila kasih sayang ditanya (wa idha al-Mawaddatu su'ilat) kerana dosa apakah ia dibunuh" Allah berfirman: Aku akan bertanya kamu tentang kasih sayang (al-Mawaddah) yang Aku telah turunkannya ke atas kamu tentang kelebihannya, kasih sayang kekeluargaan, kerana dosa apakah kamu telah membunuh mereka. Dia telah berfirman: "Maka bertanyalah kepada Ahli al-Zikr, jika kamu tidak mengetahui" 
Abu Abdillah a.s telah berkata: Al-Kitab adalah al-Zikr dan ahlinya adalah keluarga Muhammad s.a.w. Allah a.w telah memerintahkan supaya bertanya kepada mereka dan mereka tidak diperintahkan untuk bertanya kepaqda mereka yang bodoh. Allah telah menamakan al-Qur'an sebagai zikran (peringatan) di dalam firman-Nya: "Dan Kami turunkan kepadamu al-Qur'an agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka berfikir" Dan Allah berfirman: "Sesungguhnya al-Qur'an itu benar-benar adalah suatu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu dan kelak kamu akan diminta pertanggung-jawab" Dan Dia telah berfirman: "Wahai mereka yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul [Nya] dan uli al-Amri daripada kamu" . Dan Dia telah berfirman: "Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan uli al-Amri di antara mereka, tentulah mereka yang ingin mengetahui kebenarannya, mengetahuinya dari mereka" Justeru, Dia telah mengembalikan urusan-urusan manusia kepada uli al-Amri daripada mereka yang diperintahkan supaya mentaati mereka dan merujukkan (urusan) kepada mereka. Apabila Rasulullah s.a.w telah kembali dari haji Wida', Jibrail a.s telah turun ke atasnya dan berkata: "Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan, kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. 
Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang ingkar" Baginda s.a.w telah menyeru orang ramai, lalu mereka berkumpul dan baginda s.a.w telah memerintahkan supaya pokok yang berduri [di hadapannya] dibersihkan. Kemudian baginda s.a.w telah bersabda: Wahai manusia, siapakah wali kamu dan orang yang lebih utama bagi kamu daripada diri kamu? Mereka berkata: Allah dan Rasul-Nya, maka baginda s.a.w telah bersabda: Siapa yang aku telah menjadi walinya, maka Ali adalah walinya, wahai Tuhanku, hormatilah orang yang mewalikannya dan musuhilah orang yang memusuhinya- tiga kali-Lalu duri-duri nifak telah menyusuk hati orang ramai dan mereka berkata: Allah tidak pernah menurunkan ini ke atas Muhammad, baginda s.a.w tidak mahu selain untuk mengangkat ketiak sepupunya. 
Apabila baginda s.a.w telah tiba di Madinah, maka kaum Ansar telah datang kepadanya dan mereka berkata: Sesungguhnya Allah a.w telah membuat baik kepada kami dan Dia telah memuliakan kami dengan anda dan keberadaan anda di sisi kami. Sesungguhnya Allah telah menggembirakan sahabat kami dan mendukacitakan musuh kami, beberapa rombongan datang kepada anda, tetapi anda tidak memberi sesuatu kepada mereka, lalu musuh bergembira dengan memandang rendah kepada anda. 
Justeru, kami suka anda mengambil satu pertiga harta-harta kami sehingga jika rombongan dari Makkah datang kepada anda, maka anda ada sesuatu untuk diberikan kepada mereka. Rasulullah s.a.w tidak memberi apa-apa jawapan kerana baginda s.a.w menunggu wahyu daripada Tuhannya, lalu Jibrail a.s turun dengan firman-Nya: "Katalah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang di dalam kekeluargaan" Baginda s.a.w tidak menerima harta-harta mereka. Kaum munafik pula berkata: Allah tidak menurunkan ini ke atas Muhammad, beliau tidak mahu kecuali untuk mengangkat ketiak sepupunya (Ali a.s) dan membebankan kami dengan keluarganya. Kelmarin baginda s.a.w telah berkata: Siapa yang aku telah menjadi walinya, maka Ali adalah walinya" Dan hari ini pula "Katalah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang di dalam kekeluargaan". 
Kemudian ayat tentang khumus telah turun ke atasnya, maka mereka berkata pula: Beliau mahu supaya harta-harta dan fai-fai kami diberikan kepada mereka. Kemudian Jibrail telah datang kepadanya dan berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya anda telah menamatkan kenabian anda dan anda telah menyempurnakan hari-hari anda, maka jadilah al-Ism al-Akbar, warisan kenabian dan bukti-bukti ilmu para nabi di sisi Ali a.s kerana Aku tidak akan meninggalkan bumi melainkan ia diperintahkan oleh seorang alim yang dikenali dengannya ketaatan-Ku, dikenali dengannya wilayah-Ku dan beliau akan menjadi Hujjah bagi mereka yang dilahirkan di antara kematian Nabi s.a.w sehingga datangnya nabi [imam] yang lain. 
Abu Abdillah a.s telah berkata: Baginda s.a.w telah mewasiatkan kepadanya dengan al-Ism al-Akbar, warisan kenabian, bukti-bukti ilmu kenabian. Baginda s.a.w telah mewasiatkan kepadanya dengan seribu kalimah dan seribu bab yang membuka setiap kalimah dan setiap bab seribu kalimah dan seribu bab yang lain pula"

(337)-4. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya dan Saleh bin al-Sanadi, daripada Ja'far bin Basyir, daripada Yahya bin Muhammad al-'Attar, daripada Basyir al-Dahhan, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda ketika sakitnya yang membawa kepada kematiannya: Panggillah kepadaku sahabat sejatiku (khalilku), maka dua orang wanita ('Aisyah dan Hafsah) telah mengutus kepada kedua bapa mereka. Apabila Rasulullah s.a.w telah melihat kepada mereka berdua, maka baginda s.a.w berpaling daripada mereka berdua. Kemudian bersabda: Panggilah kepadaku sahabat sejatiku, lalu diutus kepada Ali. Apabila baginda s.a.w telah melihatnya, maka Ali menunduk kepadanya dan baginda s.a.w telah bercakap kepadanya. Apabila beliau a.s keluar, mereka berdua telah bertemu dengannya dan berkata kepadanya: Apakah sahabat anda yang sejati telah berkata kepada anda? Maka beliau a.s telah berkata: Baginda s.a.w telah menceritakan kepadaku seribu bab yang membuka setiap bab seribu bab yang lain pula"

(338)-5. Ahmad bin Idris, daripada Muhammad bin 'Abd al-Jabbar, daripada Muhammad bin Isma'il, daripada Mansur bin Yunus, daripada Abu Bakr, daripada Abu Ja'far a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w telah mengajar kepada Ali a.s seribu huruf, setiap huruf membuka seribu huruf yang lain pula".

(339)-6. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Ali bin Abi Hamzah, daripada Abu Basir, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya pada tali kulit pedang Rasulullah s.a.w ada mashaf (sahifah) yang kecil, maka aku telah berkata kepada Abu Abdillah a.s: Apakah yang ada di dalam mashaf itu? Beliau a.s telah berkata: Huruf-huruf yang membuka setiap huruf seribu huruf yang lain pula".
Abu Basir berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Sehingga sekarang ini dua hurufpun tidak keluar daripadanya"

(340)-7. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada anak lelaki Abu Basir, daripada Fudhail bin Sukarah berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdillah a.s: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, adakah air yang digunakan untuk memandikan mayat itu mempunyai hadnya? Beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada Ali a.s: Apabila aku mati, maka ambillah enam qirab (bekas) air dari perigi Gars, kemudian mandilah (ghusl) aku, kafanlah aku dan lakulah tahnit kepadaku. Apabila anda selesai dari memandi dan mengapankan aku, maka ambillah segala kapanku dan letaklah aku di dalam keadaan duduk, kemudian bertanyalah kepadaku apa yang anda mahu. Demi Allah, anda tidak akan bertanya kepadaku sesuatu melainkan aku memberi jawapan kepada anda mengenainya.

(341)-8. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa'id, daripada al-Qasim bin Muhammad, daripada Ali bin Abi Hamzah, daripada anak lelaki Abi Sa'id, daripada Abban bin Taghlib, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Apabila kematian mendatangi Rasulullah s.a.w, Ali a.s telah datang kepadanya dan memasukkan kepalanya, kemudian baginda s.a.w telah bersabda: Wahai Ali, apabila aku mati, maka mandilah aku dan kapanlah aku. Kemudian letaklah aku di dalam keadaan duduk (uq'ud-ni), bertanyalah kepadaku dan tulislah" 

(342)-9. Ali bin Muhammad, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Muhammad bin al-Walid Syabab al-Sairafi, daripada Yunus bin Ribat berkata: Aku dan Kamil al-Tammaar telah bertemu dengan Abu Abdillah a.s, maka Kamil berkata kepadanya: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, mengenai hadis yang telah diriwayatkan oleh polan? Beliau a.s telah berkata: Sebutlah, maka beliau telah berkata: Diriwayatkan kepadaku bahawa Nabi s.a.w telah meriwayatkan kepada Ali a.s dengan seribu bab pada hari Rasulullah s.a.w mati, setiap bab membuka seribu bab yang lain pula, begitulah sehingga beribu ribu bab. Beliau a.s telah berkata: Ia memang begitu, maka aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, adakah ianya terserlah kepada Syiah kamu dan pengikut-pengikut kamu? 
Beliau a.s telah berkata: Satu atau dua bab, maka aku telah berkata kepadanya: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, apa yang diriwayatkan tentang kelebihan kamu daripada beribu-ribu bab itu hanya satu atau dua bab sahaja? Beliau a.s telah berkata: Apakah yang kamu dapat meriwayatkan tentang kelebihan kami? Apa yang dapat kamu meriwayatkan tentang kelebihan kami hanya bagaikan Alif tanpa penghujungnya"