Bab 66. Isyarat dan nas ke atas al-Hasan bin Ali a.s

Isyarat Dan Nas Ke Atas al-Hasan Bin Ali A.S (al-Isyarat wa al-Nas 'ala al-Hasan bin 'Ali a.s)

(343)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Hammad bin Isa, daripada Ibrahim bin Umar al-Yamani dan Umar bin Udhainah, daripada Abban, daripada Sulaim bin Qais berkata: Aku telah menjadi saksi kepada wasiat Amir al-Mukminin a.s ketika beliau a.s mewasiatkannya kepada anak lelakinya al-Hasan a.s. Beliau a.s telah mengambil al-Husain a.s, Muhammad (Ibn al-Hanafiyyah), semua anak-anaknya, ketua-ketua Syiahnya dan Ahlu l-Baitnya menjadi saksi. Kemudian beliau a.s telah memberi kepadanya (al-Hasan a.s) kitab dan senjata dan berkata kepada anak lelakinya al-Hasan a.s: Wahai anak lelakiku, Rasulullah s.a.w telah memerintahkan aku supaya mewasiatkan kepada anda dan memberi kepada anda kitabku dan senjataku sebagaimana Rasulullah s.a.w telah mewasiatkan kepadaku dan memberi kepadaku kitabku dan senjataku. 
Baginda s.a.w telah memerintahkan aku supaya aku memerintahkan anda apabila hampir kematian anda supaya anda memberikannya kepada saudara lelaki anda al-Husain a.s. Kemudian beliau a.s telah berpaling kepada anak lelakinya al-Husain a.s dan berkata: Rasulullah s.a.w telah memerintahkan anda supaya memberikannya kepada anak lelaki anda ini. Kemudian beliau a.s telah mengambil tangan Ali bin al-Husain a.s, kemudian berkata kepada Ali bin al-Husain a.s: Rasulullah s.a.w telah memerintahkan anda supaya memberikannya kepada anak lelaki anda Muhammad bin Ali dan sampaikanlah salam Rasulullah s.a.w dan salam aku kepadanya"
(344)-2. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abi Umair, daripada 'Abd al-Samad bin Basyir, daripada Abi Jarud, daripada Abu Ja'far a.s telah berkata: Sesungguhnya Amir al-Mukminin a.s apabila hampir kematiannya, telah berkata kepada anak lelakinya al-Hasan: Dekatkan diri anda kepadaku sehingga aku merahsiakan kepada anda apa yang telah dirahsiakan oleh Rasulullah s.a.w kepadaku dan mengamanahkan anda di atas apa yang dimanahkan oleh Rasulullah s.a.w kepadaku, maka beliau a.s (al-Hasan a.s) telah melakukannya.

(345)-3. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Saif bin 'Umairah, daripada Abu Bakr al-Hadhrami berkata: Al-Ajlah, Salamah bin Kuhail, Daud bin Abi Yazid dan Zaid al-Yamami telah meriwayatkan kepadaku bahawa mereka berkata: Syahr bin Haisyab telah meriwayatkan kepada kami: Sesungguhnya Ali a.s ketika berjalan menuju Kufah, beliau a.s telah mengamanahkan kitab-kitabnya (surat-suratnya) dan wasiatnya kepada Umm Salmah. Apabila al-Hasan a.s telah pulang, beliau (Umm Salmah) telah memberikannya kepadanya.

Menurut naskhah al-Safwani:

(346)-4. Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Saif, daripada Abu Bakr, daripada Abu Abdillah a.s bahawa Ali a.s ketika berjalan menuju Kufah telah mengamanahkan kitab-kitabnya dan wasiatnya kepada Umm Salamah. Apabila al-Hasan a.s telah pulang, Umm Salmah telah memberikannya kepadanya"

(347)-5. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa'id, daripada Hammad bin Isa, daripada 'Umru bin Syimr, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s telah berkata: Amir al-Mukminin a.s telah mewasiatkan kepada al-Hasan a.s. Beliau a.s telah mengambil al-Husain a.s, Muhammad, semua anak-anaknya, ketua-ketua Syiahnya dan Ahlu l-Baitnya menjadi saksi. Kemudian beliau a.s telah berkata kepada anak lelakinya al-Hasan a.s: Wahai anak lelakiku, sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku supaya mewasiatkan kepada anda dan memberikan anda kitab-kitabku dan senjataku sebagaimana Rasulullah s.a.w telah mewasiatkan kepadaku dan memberikan kitab-kitabnya dan senjatanya kepadaku. Dan Dia telah memerintahkan aku supaya aku memerintahkan anda apabila kematian mendatangi anda supaya anda memberikannya kepada saudara lelaki anda al-Husain. 
Kemudian beliau a.s telah berpaling kepada anak lelakinya al-Husain a.s dan berkata: Rasulullah s.a.w telah memerintahkan anda supaya anda memberikannya kepada anak lelaki anda ini. Kemudian beliau a.s telah mengambil tangan anak lelakinya Ali bin al-Husain, kemudian berkata kepada Ali bin al-Husain: Wahai anak lelakiku, Rasulullah s.a.w telah memerintahkan anda supaya memberikannya kepada anak lelaki anda Muhammad bin Ali dan sampailah salam Rasulullah s.a.w dan salamku kepadanya. Kemudian beliau a.s telah berpaling kepada anak lelakinya al-Hasan sambil berkata: Wahai anak lelakiku, anda mempunyai kuasa di dalam urusan (imamah) dan anda mempunyai kuasa di atas darahku (wali al-Amr dan wali al-Damm). Jika anda memaafinya (pembunuhku), maka ia terserah kepada anda. Dan jika anda membunuhnya, maka pukullah dia di tempat (luka) dia telah memukulku dan anda tidak berdosa"

(348)-6. Al-Husain bin al-Hasan al-Hasani secara marfu' dan Muhammad bin al-Hasan, daripada Ibrahim bin Ishaq al Ahmariy secara marfu' berkata: Apabila Amir al-Mukminin a.s dipukul (diserang), maka pelawat-pelawatnya telah berkumpul di sekelilingnya dan ada orang berkata: Wahai Amir al-Mukminin, berwasiatlah, lalu beliau a.s telah berkata: Bawakan kepadaku bantal , kemudian beliau a.s telah berkata: Segala puji bagi Allah, pujian yang selayaknya di atas takdir-Nya, mentaati perintahNya. Aku memujiNya sebagaimana Dia suka, tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, segala sesuatu bergantung kepada-Nya sebagaimana Dia telah menceritakan tentang diri-Nya. Wahai manusia, setiap orang akan bertemu di dalam pelariannya dengan apa yang dia lari daripadanya, dan ajalnya menarik dirinya kepadanya, lari daripadanya adalah seperti sampai kepadanya. Beberapa lama aku telah mengejar hari-hari mencari rahsia yang tersembunyi di dalamnya, maka Allah enggan kecuali menyembunyikannya. Betapa jauhnya ilmu yang tersembunyi. Adapun wasiatku, maka janganlah kamu melakukan syirik terhadap Allah dan adapun Muhammad s.a.w, maka janganlah kamu mensia-siakan sunnahnya. Tegaplah dua tiang ini (tauhid dan kenabian) dan nyalakanlah dua lampu ini (al-Hasan dan al-Husain). Kamu adalah bebas dari celaan selama kamu tidak mengambil risiko menentang mereka. Setiap orang dipertanggung-jawabkan terhadap usahanya, tetapi ia diringankan bagi mereka yang jahil, Tuhan Yang Maha Pemurah, seorang imam yang alim dan agama yang teguh.
Aku kelmarin adalah sahabat anda, [aku] pada hari ini adalah contoh bagi kamu, esok akan berpisah, Jika kaki dapat ditegapkan di atas [tempat] yang licin, maka itulah yang dikehendakinya, tetapi jika ia ditegapkan di tempat yang bergerak, maka kami telah berada di bawah bayangan dahan-dahan yang besar di tengah angin yang kencang, di bawah bayangan awan yang mana kelompoknya pudar di udara dengan banyak, garisannya dapat dihilangkan dari bumi. Aku adalah jiran anda, tubuhku berada di sisi kamu hanya beberapa hari dan kamu akan mendapatiku selepas itu mayat yang kosong, tidak bergerak selepas ia bergerak, terdiam selepas bercakap untuk memberi pengajaran kepada kamu. Ia adalah lebih bermakna bagi kamu daripada orang yang mahir bercakap. Aku mengucap selamat tinggal kepada kamu bagaikan ucapan yang terakhir daripada seorang yang menunggu pertemuan yang akan datang (hari Akhirat). 
Besok kamu akan melihat hari-hariku, Allah akan mendedahkan segala rahsiaku dan kamu akan mengetahuiku selepas tempatku dikosongkan dan orang lain akan mengisi tempatku. Jika aku masih ada, maka aku adalah wali damm (darah) dan jika aku mati, maka kematianku adalah ajalku. Jika aku memaafkannya (pembunuhku) adalah kerana [aku] mendekatkan diri kepada Allah dan bagi kamu kebaikan. Maafkanlah mereka dan biarlah mereka: "Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu" Alangkah dukacitanya bagi orang yang lalai, umurya menjadi hujah ke atasnya atau hari-harinya membawanya kepada kecelakaan. 
Semoga Allah menjadikan kami dan kamu di kalangan mereka yang tidak mengabaikan ketaatan kepada-Nya secara sukarela atau dendam akan mendatangi mereka selepas kematian. Sesungguhnya kami adalah untuk-Nya dan kerana-Nya. Kemudian beliau a.s telah berpaling kepada al-Hasan a.s dan berkata: Wahai anakku, pukulan di tempat pukulan, anda tidak berdosa".

(349)-7. Muhammad bin Yahya, daripada Ali bin al-Hasan, daripada Ali bin Ibrahim al-'Aqili secara marfu' berkata: Manakala Ibn Muljam memukul atau menikam Amir al-Mukminin a.s, beliau a.s telah berkata kepada al-Hasan: Wahai anakku, apabila aku mati, maka bunuhlah Ibn Muljam dan kebumilah dia di Kunaasah (al-'Aqili telah menceritakan tempatnya di Bab Taq al-Mahaamil, tempat yang mana penjual-penjual daging panggang dan kepala kambing yang dimasakkan boleh didapati). Kemudian campaklah dia padanya kerana ia adalah salah satu wadi daripada wadi-wadi neraka Jahannam.