Bab 67. Isyarat dan nas ke atas al-Husain bin Ali a.s

Isyarat Dan Nas Ke Atas Al-Husain Bin Ali A.S (al-Isyarat wa al-Nas 'ala al-Husain bin 'Ali a.s)

(350)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Bakr bin Salih [al-Kulaini berkata] dan beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ibn Ziyad, daripada Muhammad bin Sulaiman al-Dailami, daripada Harun bin al-Jahmi, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah mendengar Abu Ja'far a.s telah berkata: Apabila masa kematian telah datang kepada al-Hasan bin Ali a.s, beliau a.s telah berkata kepada al-Husain a.s: Wahai saudaraku, sesungguhnya aku mewasiatkan anda dengan satu wasiat, maka hafazlah. Apabila aku mati, maka sempurnakanlah jenazahku, kemudian hadaplah aku ke arah [kubur] Rasulullah s.a.w. 
Justeru, aku dapat memperbaharui janjiku dengannya. Kemudian palinglah aku ke arah [kubur] ibuku a.s dan bawalah aku kembali dan kebumilah aku di al-Baqi'. Ketahuilah bahawa suatu perkara, Allah dan orang ramai mengetahui perbuatan 'Aisyah, sikap cemburunya dan permusuhannya terhadap Allah dan Rasul-Nya serta permusuhannya terhadap kita Ahlu l-Bait, akan menimpaku. Apabila al-Hasan a.s mati, maka beliau a.s diletakkan di atas katil dan orang ramai membawanya kepada musalla Rasulullah s.a.w yang mana baginda s.a.w telah melakukan sembahyang jenazah padanya. Kemudian al-Husain a.s telah melakukan sembahyang [jenazah] ke atasnya. Lalu beliau a.s dibawa dan dimasukkan ke masjid. 
Dan apabila beliau a.s diberhentikan di atas kubur Rasulullah s.a.w, maka seorang pengintip telah datang kepada 'Aisyah dan berkata kepadanya: Sesungguhnya mereka telah membawa al-Hasan untuk dikebumikan bersama Rasulullah s.a.w, lantas beliau keluar menunggang seekor baghal yang berpelana- maka beliau adalah perempuan pertama yang telah menunggang [seekor baghal yang berpelanadi dalam Islam] dan berkata: Jauhkan anak lelaki kamu (al-Hasan) dari rumahku kerana beliau tidak akan dikebumikan di rumahku dan beliau (al-Hasan) akan mencabuli atau membuka hijab Rasulullah s.a.w. Maka al-Husain a.s telah berkata kepadanya: Sejak dahulu lagi anda dan bapa anda telah mencabuli atau membuka hijab Rasulullah s.a.w, anda telah memasukkan ke rumahnya orang yang tidak dicintainya untuk berdekatan dengannya.

(351)-2. Muhammad bin al-Hasan dan Ali bin Muhammad, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Muhammad bin Sulaiman al-Dalimi daripada sebahagian daripada sahabat kami, daripada al-Mufadhdhal bin Umar, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Apabila kematian menghampiri al-Hasan bin Ali a.s, beliau a.s telah berkata: Wahai Qanbar, lihatlah adakah anda melihat di balik pintu itu mukmin selain daripada keluarga Muhammad? Maka beliau telah berkata: Allah, Rasul-Nya dan anak lelaki Rasul-nya lebih mengetahui tentangnya daripadaku. Beliau a.s telah berkata: Panggillah untukku Muhammad bin Ali (Ibn al-Hanafiyyah), lalu aku mendatanginya. Apabila aku bertemu dengannya, beliau telah berkata: Adakah sesuatu yang baik telah berlaku? Aku telah berkata: Sahutilah panggilan Abu Muhammad. Lantas beliau bergegas sambil memakai kasutnya secara tidak sempurna dan keluar bersamaku berlari. 
Apabila beliau berdiri di hadapannya, beliau memberi salam. Maka al-Hasan bin Ali berkata kepadanya: Duduklah, kerana orang yang bukan seperti anda tidak patut datang ke sini untuk mendengar percakapan yang dapat menghidupkan orang yang mati dan mematikan orang yang hidup. Jadilah anda tempat menyimpan ilmu dan lampu-lampu petunjuk. Kerana cahaya di siang hari sebahagiannya lebih bercahaya daripada sebahagian yang lain. Tidakkah anda mengetahui bahawa Allah telah menjadikan anak-anak Ibrahim a.s para imam dan melebihkan sebahagian ke atas sebahagian yang lain. Dan Dia telah membawa Zabur untuk Daud. Anda juga telah mengetahui apa yang ditetapkan oleh Muhammad s.a.w, wahai Muhammad bin Ali, aku khuatir anda akan dengki. Sesungguhnya Allah a.w telah mengaitkan sifat dengki (hasad) kepada orang kafir. Allah telah berfirman : "Kerana dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran" 
Allah tidak akan menjadikan syaitan menguasai anda, wahai Muhammad bin Ali, bolehkah aku memberitahu kepada anda apa yang aku telah mendengar daripada bapa anda tentang anda? Beliau telah berkata: Tentu sekali. Beliau a.s telah berkata: Aku telah mendengar daripada bapa anda berkata pada hari Basrah : Siapa yang mahu membuat baik kepadaku di dunia dan di akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada Muhammad, anak lelakiku, wahai Muhammad bin Ali, jika anda mahu, aku akan memberitahu kepada anda ketika anda masih sperma (nutfah) di dalam salbi bapa anda, nescaya aku akan memberitahunya kepada anda, wahai Muhammad bin Ali, tidakkah anda mengetahui bahawa al-Husain bin Ali a.s selepas kematianku dan perpisahan rohku dari badanku, adalah imam selepasku di sisi Allah, warisan daripada Nabi s.a.w yang mana Allah telah menambahkannya untuknya pada warisan bapanya dan ibunya. 
Allah telah mengetahui bahawa kamu adalah sebaik-baik makhluk-Nya, lalu Dia telah memilih daripada kamu Muhammad s.a.w dan Muhammad telah memilih Ali a.s dan Ali a.s telah memilih aku untuk imamah dan aku telah memilih al-Husain a.s. Maka Muhammad bin Ali berkata kepadanya: Anda adalah seorang imam dan anda adalah jalanku (wasilati) untuk [sampai] kepada Muhammad s.a.w. Demi Allah, aku mahu bahawa nyawaku telah pergi sebelum aku mendengar kata-kata ini daripada anda. Sesungguhnya di kepalaku kata-kata yang tidak dapat dikeringkan oleh baldi, tidak dapat diubah oleh tiaupan angin seperti buku yang telah diukir dengan rapi. Aku mendapati diriku telah didahulukan oleh Kitab yang diturunkan atau apa yang telah dibawa oleh para rasul, sesungguhnya ia adalah kata-kata yang memenatkan lidah untuk bertutur dengannya dan begitu juga dengan tangan penulis [untuk menulisnya] sehingga dia tidak mendapati pensil dan dibawa kepadanya kertas-kertas yang lusuh, justeru dia tidak akan sampai kepada kelebihan anda. 
Demikianlah Allah akan membalas kepada mereka yang membuat baik, tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Al-Husain adalah orang yang paling berilmu di kalangan kami, lebih kuat kesabarannya, paling hampir darah [nya] di kalangan kami daripada Rasulullah s.a.w, beliau adalah seorang faqih sebelum beliau diciptakan. Beliau telah membaca wahyu sebelum beliau bercakap. Jikalau Allah mengetahui seorang yang lebih baik, nescaya Dia tidak memilih Muhammad s.a.w. Manakala Allah telah memilih Muhammad dan Muhammad telah memilih Ali dan Ali telah memilih seorang imam (al-Hasan) dan anda telah memilih al-Husain, kami telah menerima [nya] dan meredainya. Siapa dia selain daripadanya diredai dan siapa dia selain daripadanya kami terima untuk menyelesaikan kesukaran urusan kami.

(352)-3. Dengan sanad-sanad yang sama, daripada Sahl, daripada Muhammad bin Sulaiman, daripada Harun bin al-Jahm, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah mendengar Abu Ja'far a.s telah berkata: Apabila al-Hasan bin Ali a.s hampir mati, beliau a.s telah berkata kepada al-Husain: Wahai saudara lelakiku, sesungguhnya aku mewasiatkan kepada anda dengan satu wasiat, maka hafazlah ia. Apabila aku mati, sempurnalah mayatku dan letaklah aku ke arah [kubur] Rasulullah s.a.w supaya aku memperbaharui janjiku, kemudian palinglah aku ke arah [kubur] ibuku Fatimah a.s. Kemudian bawalah aku pulang dan kebumilah aku di al-Baqi'. Ketahuilah, satu perkara akan menimpaku daripada al-Humairaa' ('Aisyah}, ia diketahui oleh orang ramai tentang cemburunya dan permusuhannya terhadap Allah dan Rasul-Nya s.a.w serta permusuhannya terhadap Ahlu l-Bait. 
Apabila al-Hasan a.s mati, maka beliau a.s diletakkan di atas katil dan orang ramai membawanya kepada musalla Rasulullah s.a.w yang mana baginda s.a.w telah melakukan sembahyang jenazah padanya. Kemudian al-Husain a.s telah melakukan sembahyang [jenazah] ke atasnya. Lalu beliau a.s dibawa dan dimasukkan ke masjid. Dan apabila beliau a.s diberhentikan di atas kubur Rasulullah s.a.w, maka berita telah disampaikan kepada 'Aisyah dan dikatakan kepadanya: Sesungguhnya mereka telah membawa al-Hasan untuk dikebumikan bersama Rasulullah s.a.w, lantas beliau keluar menunggang seekor baghal yang berpelana- Maka beliau adalah perempuan pertama yang telah menunggang [seekor baghal yang berpelana di dalam Islam] dan berkata: Jauhkan anak lelaki kamu (al-Hasan) dari rumahku kerana seorangpun tidak akan dikebumikan di rumahku dan beliau (al-Hasan) akan mencabuli atau membuka hijab Rasulullah s.a.w. 
Maka al-Husain a.s telah berkata kepadanya: Sejak dahulu lagi anda dan bapa anda telah mencabuli atau membuka hijab Rasulullah s.a.w, anda telah membawa masuk ke rumahnya orang yang tidak dicintainya berdekatan dengannya. Sesungguhnya Allah akan bertanya anda tentang perkara ini, wahai 'Aisyah, sesungguhnya saudaraku telah memerintahkan aku supaya membawanya kepada bapanya Rasulullah s.a.w untuk memperbaharui janji dengannya, ketahuilah bahawa saudaraku adalah orang yang paling mengetahui tentang Allah dan Rasul-Nya serta lebih mengetahui tentang takwil Kitab-Nya dari mencabuli atau membuka hijab Rasulullah s.a.w kerana Allah berfirman: "Wahai mereka yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali kamu diizinkan" 
Sesungguhnya anda telah membawa masuk lelaki (al-Rijaal) tanpa izinnya dan Allah berfirman: "Wahai mereka yang beriman, janganlah kamu mengangkat suara kamu lebih tinggi dari suara Nabi" Demi jiwaku, anda telah mengangkat suara anda ke telinga Rasulullah s.a.w di hadapan bapa anda dan Faruqnya (Umar). Untuk itu Allah berfirman: Sesungguhnya mereka yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah, mereka itulah yang telah diuji hati mereka" 
Demi jiwaku, sesungguhnya bapa anda dan Faruqnya telah menyakiti Rasulullah s.a.w kerana berdekatan mereka berdua dengannya. Mereka berdua tidak menjaga haknya sebagaimana mereka berdua telah diperintahkan oleh Allah untuk melakukannya di atas lidah Rasulullah s.a.w, sesungguhnya Allah telah mengharamkan mukminin yang telah mati apa yang Dia telah mengharamkan mereka pada masa hidup. Demi Allah, wahai 'Aisyah, jika inilah yang anda benci; pengebumian al-Hasan di sisi bapanya Rasulullah s.a.w adalah harus (jaaizan) di antara kami dan Allah, nescaya anda mengetahui bahawa beliau akan dikebumikan [di sana] sekalipun anda menghinanya".
Beliau (perawi) berkata: Kemudian Muhammad bin al-Hanafiyyah berkata: Wahai 'Aisyah, satu hari berada di atas baghal dan satu hari berada di atas unta, justeru anda tidak dapat menguasai diri anda dan anda tidak dapat menguasai bumi ini kerana permusuhan dengan Bani Hasyim. Kemudian beliau telah berpaling kepadanya dan berkata: Wahai Ibn al-Hanafiyyah, anak-anak Fatimah sahaja yang bercakap seperti ini, kenapa anda bercakap seperti ini? 
Maka al-Husain a.s telah berkata: Bagaimana anda menjauhkan Muhammad daripada anak-anak Fatimah. Demi Allah, beliau telah dilahirkan oleh tiga [orang] Fatimah: Fatimah binti 'Imran bin 'Aidh bin 'Umru bin Makhzum, Fatimah binti Asad bin Hasyim dan Fatimah binti Za'idah bin al-Asamm bin Rawahah hin Hajr bin 'Abd Mu'is bin 'Amir. 'Aisyah berkata kepada al-Husain a.s: Jauhlah anak lelaki kamu dan bawalah bersamanya kerana kamu adalah kaum yang suka bertengkar. Beliau (perawi) berkata: Justeru, al-Husain telah pergi ke kubur ibunya, kemudian membawanya keluar dan mengembumikannya di al-Baqi'.