BAHAGIAN KEEMPAT DIALOG DI ANTARA HASAN B. `ALI A.S DAN MU`AWIYAH B. ABI SUFYAN SERTA RAKAN-RAKANNYA

Pengenalan

Tuntutan Hasan b. `Ali terhadap jawatan khalifah selepas bapanya amatlah ketara meskipun pada akhirnya beliau terpaksa melepaskan jawatan tersebut demi menjaga dirinya, keluarganya serta Syi`ahnya dari ancaman Mu`awiyah b. Abi Sufyan. Di dalam perbincangan mereka mengenai Imamah atau Khilafah, caci mencaci telah berlaku. Sekali pandang ia tidak harus berlaku kerana mereka tergolong di kalangan para sahabat Rasulullah s.`a.w. Apatah lagi cacian mereka terhadap Hasan b. `Ali di mana beliau dan bapanya merupakan Ahl al-Bait Rasulullah s.`a.w.
Mungkin kilauan dunia telah membuat manusia melupai Ahl al-Bait Rasulullah s.`a.w. Semuanya telah berlaku di dalam dunia Islam dan dicatat oleh para ulama dari golongan Ahl al-Sunnah dan Syi`ah. Persoalan yang timbul sekiranya para sahabat boleh mencaci sesama mereka, sementara orang lain yang bukan bertaraf sahabat tidak boleh menyebut dan menulis perbuatan mereka yang menyalahi nas, apakah keistimewaan mereka sehingga mereka diberi laluan yang istimewa sehingga mereka boleh menyalahi Allah dan Rasul-Nya?
Di sini dikemukakan hujah-hujah Hasan b. `Ali khususnya mengenai Imamah atau Khilafah terhadap Mu`awiyah dan rakan-rakannya berdasarkan catatan al-`Allamah al-Tabarsi di dalam bukunya al-Ihtijaj. Untuk menguatkan hujah, penulis membuat rujukan kepada buku-buku para ulama Ahl al-Sunnah.