BAHAGIAN KELAPAN

Para Imam selepas Nabi s.a.w, diazab enam dengan enam, khutbah Amir al-Mukminin a.s, dosa-dosa dan kesan-kesannya dan lain-lain.


Para Imam Selepas Nabi Kita Dua Belas Orang Cerdik

Daripada Abd al-Azia al-Qaratisi berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Para Imam selepas Nabi kita s.a.w adalah dua belas orang cerdik yang dikurniakan pengetahuan (nujaba' mufhamun). Sesiapa yang mengurang atau menambah seorang daripada mereka, nescaya beliau terkeluar daripada agama Allah (kharaja min dini-l-Lahi) dan beliau bukanlah daripada wilayah kami.

Daripada al-Naufaliy daripada al-Sukuniy daripada Ja'far daripada bapanya daripada bapa-bapanya a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang telah meratakan wuduknya, memperelok solatnya, menunaikan zakat hartanya, menahan marahnya, memenjarakan lidahnya, memohon ampun akan dosanya, menunaikan nasihat Ahlu l-Bait Nabi-nya, maka beliau telah menyempurnakan hakikat keimanan dan pintu-pintu syurga terbuka untuknya.

Rasulullah s.a.w bersabda: Tuntutlah kebaikan di sisi mereka yang mempunyai muka yang baik .

Daripada al-Harith daripada Ali bin Abu Talib a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Bagi seorang muslim ke atas seorang muslim enam perkara: Memberi salam apabila berjumpa, menggembirakannya apabila beliau bersin, menziarahinya apabila beliau sakit, menjawabnya apabila beliau memanggilnya, menyaksikannya apabila beliau mati, mencintainya sebagaimana beliau mencintai dirinya dan menasihatinya tentang perkara yang ghaib.


Diazab Enam Dengan Enam

Daripada Abu Abdullah daripada bapa-bapanya daripada Amir al-Mukminin a.s berkata: Sesungguhnya Allah mengazab enam dengan enam: Arab dengan 'asabiah, pembesar-pembesar dengan keangkuhan, para pemerintah dengan kezaliman, ahli fiqh dengan hasad, peniaga-peniaga dengan khianat dan ahli Rasatiq dengan kejahilan.

Al-Sadiq a.s berkata: Orang yang bakhil disebabkan kebakhilannya dikira jahat sangka dengan Tuhannya dan sesiapa yang yakin dengan masa depannya (aiqana bi l-Khalaf ), akan bermurah hati dengan pemberian (jada bi l- 'Atiyyah).

Abu Hamzah al-Thumali daripada Ali bin al-Husain daripada bapanya al-Husain bin Ali daripada Amir al-Mukminin a.s berkata: Demi Allah, tidak ada manusia yang lebih baik daripada Muhammad, daripada aku dan Ahlu l-Baitku dan sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayapnya bagi penuntut-penuntut ilmu di kalangan syi'ah kami.

Beliau berkata: Ditanya Amir al-Mukminin a.s: Manakah dosa yang menyegerakan balasan kepada pelakunya? Beliau berkata: Sesiapa yang telah menzalimi orang yang tidak ada penolong selain daripada Allah, mengabaikan nikmat yang dikurniakan kepadanya dan melanjutkan kezaliman ke atas orang yang fakir.

Al-Sadiq a.s berkata: Apabila jatuhnya matahari, Allah mewakilkan malaikat yang menyeru: Wahai manusia, datanglah kepada Tuhan kamu, kerana apa yang sedikit dan memadai itu adalah lebih baik daripada yang banyak dan melalaikan. Dan malaikat yang diwakilkan ketika naiknya matahari menyeru: Wahai anak Adam, lahirlah untuk mati, binalah untuk kemusnahan dan berkumpullah untuk kebinasaan .

Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang berpuasa adalah di dalam ibadat walaupun beliau tidur di atas hamparannya selama beliau tidak mengumpat muslim.

Daripada al-Sadiq daripada bapanya daripada bapa-bapanya a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang telah menzalimi seseorang, kemudian tidak sempat memohon maaf daripadanya, maka hendaklah beliau memohon istighfar kepada Allah sebagai kafarah untuknya.

Al-Sadiq a.s berkata: Allah telah menurunkan wahyu kepada Musa bin Imran a.s: Katakan kepada sebahagian daripada Bani Israel: Jauhilah kamu dari membunuh diri yang diharamkan tanpa kebenaran, kerana orang yang telah membunuh seorang di dunia, Aku akan membunuhnya di neraka seribu kali pembunuhan seperti pembunuhan sahabatnya .


Khutbah Amir al-Mukminin A.S

Ali bin Muhammad al-Sya'rani daripada al-Hasan bin Ali bin Syu'aib daripada Isa bin Muhammad al-'Alawi daripada Muhammad bin al-'Abbas bin Bassam daripada Muhammad bin Abual-Sarriy daripada Ahmad bin Abu Abdullah daripada Yunus daripada Sa'd al-Kinani daripada al-Asbagh bin Nabatah berkata:Manakala Amir al-Mukminin a.s menduduki jawatan khalifah dan orang ramai memberi baiah kepadanya, maka beliau keluar kepada Masjid memakai serban, burdah dan kasut Rasulullah s.a.w, menghunus pedang Rasulullah s.a.w kemudian menaiki mimbar dan mendudukinya dengan keadaan bertongkat, kemudian beliau memasukkan anak-anak jari tangannya, lalu diletakkan di bawah perutnya.

Kemudian beliau berkata: Wahai manusia, bertanyalah kepada aku sebelum ketiadaan aku, inilah bakul ilmu (saft al-'ilm), inilah air liur (lu'ab) Rasulullah s.a.w. Ini adalah apa yang telah dikurniakan kepada aku oleh Rasulullah s.a.w. Bertanyalah kepada aku, kerana di sisi aku ilmu mereka yang terdahulu dan ilmu mereka yang terakhir, demi Allah, jika aku diberi kuasa pemerintahan, nescaya aku memberi fatwa ke atas ahli Taurat dengan Taurat mereka sehingga Taurat akan bercakap: Ali memang benar, beliau tidak bohong. Sesungguhnya beliau telah memberi fatwa kepada kamu menurut apa yang diturunkan Allah pada aku.

Dan aku akan memberi fatwa ke atas ahli Injil dengan Injil mereka sehingga Injil akan bercakap: Ali memang benar, beliau tidak bohong. Sesungguhnya beliau telah memberi fatwa kepada kamu menurut apa yang diturunkan Allah pada aku dan aku akan memberi fatwa ke atas ahli al-Qur'an dengan Qur'an mereka sehingga al-Qur'an bercakap: Ali memang benar, beliau tidak bohong. Sesungguhnya beliau telah memberi fatwa kepada kamu menurut apa yang diturunkan Allah pada aku, kamu membaca al-Qur'an siang dan malam adakah pada kamu seorang yang mengetahui apa yang telah diturunkan tentangnya? Jika tidak ada satu ayat di dalam kitab Allah a.w, nescaya aku memberitahu kamu apa yang telah berlaku, apa yang akan berlaku dan apa yang akan terjadi sehingga hari Kiamat iaitu ayat di dalam Surah al-Ra'd (13) : 39 "Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki). Dan di sisi-Nyalah terdapat Ummu al-Kitab".

Kemudian beliau a.s berkata: Kamu bertanyalah kepada aku sebelum ketiadaan aku. Demi Yang telah membelah biji-bijian dan menghidupkan jiwa, jika kamu bertanya kepada aku tentang ayat mana pada waktu siang diturun atau pada waktu malam diturunkan, Makkahnya atau Madinahnya, di pantainya atau di daratannya, nasikhnya atau mansuhnya, mahkamahnya atau mutasyabihnya, takwilnya atau tanzilnya, nescaya aku akan memberitahu kamu tentangnya.

Lantas seorang lelaki berdiri, ia dikenali dengan Dha'lab seorang yang fasih bercakap dan berani hatinya sambil berkata: Sesungguhnya anak lelaki Abu Talib telah mendapat kedudukannya dengan susah, maka aku akan memalukannya hari ini di hadapan kamu tentang masalah aku kepadanya sambil berkata: Wahai Amir al-Mukminin, adakah anda telah melihat Tuhan anda? Beliau berkata: Celaka anda wahai Dha'lab, aku tidak pernah menyembah Tuhan yang aku tidak melihatnya, beliau berkata: Bagaimana anda telah melihatnya, ceritalah kepada kami? Beliau a.s berkata: Celaka anda, mata tidak melihatnya dengan penyaksian penglihatan, tetapi hati melihatnya dengan hakikat keimanan (lam tara-hu al-'Uyuun bi-musyahadati al-Absar wa-lakin ra'at-hu al-Qulub bi-haqaiq al-Iman).

Celaka anda wahai Dha'lab, sesungguhnya Tuhanku tidak boleh disifatkan dengan berjauhan, tidak dengan pergerakan, tidak dengan pendirian dan tidak dengan kedatangan? Dan tidak dengan pemergian, halus dengan sehalus-halusnya, tetapi tidak boleh disifatkan dengan halus, besar ('azim), tetapi tidak boleh disifatkan dengan kebesaran jasad. Ketua keangkuhan, tetapi tidak boleh disifatkan dengan keangkuhan (al-Kibr), ketua kemuliaan, tetapi tidak boleh disifatkan dengan kekasaran, lembut rahmat, tetapi tidak boleh disifatkan dengan lembut (riqqah), mukmin tetapi bukan dengan ibadat, mencapai sesuatu, tetapi bukan dengan rasa (majassah), berfirman, tetapi bukan dengan lafaz. 

Dia di dalam perkara-perkara (al-Asyya'), tetapi bukan dengan percampuran, keluar daripadanya bukan dengan perbezaan, di atas setiap sesuatu, tetapi tidak boleh dikatakan: Sesuatu di atas-Nya, di hadapan setiap sesuatu, tetapi tidak boleh dikatakan: Bagi-Nya hadapan (amam), di dalam semua perkara (sesuatu), tetapi Dia bukanlah memasuki seperti sesuatu di dalam sesuatu, keluar daripada sesuatu bukanlah sesuatu keluar daripada sesuatu, maka Dha'lab telah menunduk kepadanya dan berkata: Dengan nama Allah, aku tidak pernah mendengar jawapan seperti ini, demi Allah, aku tidak akan mengulanginya seperti ini selama-lamanya.

Kemudian beliau berkata: Kamu bertanyalah aku sebelum ketiadaan aku, lalu al-Asy'ath bin Qais berdiri dan berkata: Wahai Amir al-Mukminin, bagaimana diambil jizyah daripada majusi sedangkan kitab tidak diturunkan ke atas mereka dan nabi tidak diutus kepada mereka? Beliau berkata: Ya, wahai Asy'ath, sesungguhnya Allah telah menurunkan kitab ke atas mereka dan telah mengutus seorang nabi kepada mereka. Mereka mempunyai seorang raja yang telah mabuk pada suatu malam, lalu beliau menyeru anak perempuannya kepada hamparannya dan terus melakukan persetubuhan (irtakaba-ha). Pada keesokannya, rakyatnya mendapat tahu berita tersebut, lalu mereka berkumpul di pintu istana dan berkata: Wahai raja, anda telah mencemarkan di atas kami agama kami, maka anda telah memusnahkannya. Justeru keluarlah supaya kami membersihkan anda, kami akan melaksanakan hukuman had ke atas anda.

Maka beliau berkata kepada mereka: Kamu berkumpullah dan dengarlah percakapan aku sekiranya ada jalan keluar daripada apa yang telah aku lakukan, jika tidak, maka ini adalah hal kamu. Lantas mereka berkumpul, lalu beliau berkata kepada mereka: Adakah kamu telah mengetahui bahawa Allah tidak mencipta makhluk yang lebih mulia daripada bapa kita Adam dan ibu kita Hawa'? Mereka berkata: Anda memang benar wahai raja.

Beliau berkata: Tidakkah beliau telah mengahwinkan anak-anak lelakinya akan anak-anak perempuannya dan anak-anak perempuannya daripada anak -anak lelakinya? Mereka berkata: Anda memang benar, maka ini adalah agama, kemudian mereka telah mengadakan perjanjian di atas perkara tersebut. Lalu Allah menyapu ilmu di dada mereka dan diangkat kitab daripada mereka, maka mereka adalah kafir, akan memasuki neraka tanpa hisab, tetapi munafikin adalah lebih parah keadaan mereka daripada majusi, maka al-Asy'ath berkata: Demi Allah, aku tidak mendengar jawapan seperti ini dan aku tidak akan mengulanginya seperti ini selama-lamanya.

Kemudian beliau berkata: Kamu bertanyalah aku sebelum ketiadaan aku, lalu seorang lelaki datang kepadanya dari penjuru Masjid berjalan menggunakan tongkatnya dicelah-celah orang ramai sehingga beliau menghampirinya dan berkata: Wahai Amir al-Mukminin, tunjuklah kepada aku amalan jika aku melakukannya, nescaya Allah akan melepaskan aku dari api neraka, maka beliau berkata kepadanya: Dengarlah dan fahamilah, kemudian yakinilah bahawa dunia telah berdiri di atas tiga perkara: Seorang alim yang bercakap dan beramal dengan ilmunya, seorang kaya yang tidak bakhil dengan hartanya terhadap ahli agamanya dan seorang fakir yang bersabar. Apabila seorang yang alim menyembunyikan ilmunya, orang kaya menjadi bakhil dan orang fakir tidak lagi bersabar, maka dunia akan menjadi huru-hara dan di sisinya diketahui mereka yang arif dengan Allah dan dunia telah kembali kepada permulaannya-iaitu kepada kekafiran selepas keimanan.

Wahai orang yang bertanya, janganlah anda terpedaya dengan banyaknya masjid dan perkumpulan yang ramai. Jasad mereka berkumpul sedangkan hati mereka bermacam-macam. Sesungguhnya manusia tiga jenis: Zahid, pencinta dunia (raghib) dan penyabar (sabir). Adapun orang zahid, maka beliau tidak bergembira walaupun sedikit dengan dunia yang datang kepadanya dan tidak berdukacita di atas perkara yang terlepas daripadanya. Adapun penyabar, beliau berangan-angan tentang dunia di dalam hatinya. Jika beliau mendapatinya, beliau dapat mengendalikan dirinya dari akibatnya yang buruk. Adapun pencinta dunia (raghib ), maka beliau tidak peduli apa yang didapatinya sama ada halal atau haram.

Beliau berkata: Wahai Amir al-Mukminin, apakah alamat-alamat mukmin pada zaman itu? Beliau berkata: Mukmin melihat kepada kebenaran yang diwajibkan Allah ke atasnya, lalu beliau mentaatinya, beliau melihat kepada apa yang menyalahinya, lalu beliau membebaskan diri daripadanya sekalipun ia seorang kekasih yang rapat, beliau berkata: Anda memang benar wahai Amir al-Mukminin. Kemudian lelaki itu telah menghilangkan diri, kami tidak dapat melihatnya lagi. Lalu orang ramai mencarinya,tetapi mereka tidak mendapatinya, kemudian beliau a.s tersenyum di atas mimbar dan berkata: Apakah gerangan kamu, ini adalah saudara aku Khidir a.s.

Kemudian beliau berkata: Kamu bertanyalah kepada aku sebelum ketiadaan aku, maka tiada seorang pun berdiri kepadanya,lalu beliau mengucap kesyukuran kepada Allah dan memuji-Nya serta berselawat ke atas Nabinya s.a.w, kemudian beliau berkata kepada al-Hasan a.s: Wahai Hasan, berdirilah, naiklah mimbar dan bercakaplah dengan percakapan di mana Quraisy tidak akan melupai anda selepasku, mereka berkata: Al-Hasan tidak dapat memberi ucapan yang baik, beliau berkata: Wahai abah, bagaimana aku menaiki mimbar dan aku bercakap sedangkan anda mendengar dan melihat aku di kalangan orang ramai? Beliau berkata: Dengan nama bapa aku, anda dan ibu aku, aku akan menyembunyikan diri aku daripada anda, aku akan mendengar dan melihat, tetapi anda tidak melihat aku.

Al-Hasan a.s menaiki mimbar, lantas memuji Allah dengan pujian-pujian yang mendalam dan berselawat kepada Nabi s.a.w dengan selawat yang ringkas, kemudian beliau berkata: Wahai manusia, aku telah mendengar datuk aku Rasulullah s.a.w bersabda: Aku adalah bandar ilmu dan Ali adalah pintunya (ana madinatu l-Ilmi wa 'Ali babu-ha). Seorang tidak dapat memasuki bandar melainkan dari pintunya, kemudian beliau turun, lantas Ali a.s melompat ke atasnya dan menolaknya ke dadanya, kemudian beliau berkata kepada al-Husain a.s: 
Wahai anak lelakiku, berdirilah dan naiklah mimbar, bercakaplah dengan percakapan di mana Quraisy tidak akan melupai anda selepas aku, mereka berkata: Al-Husain tidak mempunyai pandangan yang jauh, percakapan anda hendaklah sejajar dengan percakapan saudara lelaki anda.

Al-Husain menaiki mimbar, memuji Allah dan berselawat ke atas Nabinya s.a.w dengan ringkas, kemudian beliau berkata: Wahai manusia, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Ali adalah bandar petunjuk (madinatu huda), sesiapa yang memasukinya berjaya dan sesiapa yang tidak memasukinya binasa, lantas Ali melompat ke arahnya dan mendakapnya ke dadanya, lalu mengucupnya, kemudian beliau berkata: Mereka berdua adalah anak-anak Rasulullah s.a.w dan simpanannya yang beliau telah meminta aku menyimpannya. Lantaran itu, aku meminta kamu supaya menyimpannya, wahai manusia, Rasulullah s.a.w meminta kamu supaya melaksanakannya .


Dosa-Dosa Dan Kesannya

Daripada Abdullah bin Sinan daripada Abu Abdullah a.s berkata: Dosa yang mengubah nikmat adalah perlanggaran hak. Adapun dosa yang mewarisi penyesalan adalah pembunuhan, dosa yang menurunkan dendam adalah kezaliman. Dosa yang mencemarkan kehormatan adalah minum arak. Dosa yang menahan rezeki adalah zina. Dosa yang menyegerakan kebinasaan adalah memutuskan pertalian keluarga. Dan dosa yang menghalang doa adalah menderhaka ibu bapa ('uquq al-Walidain) .

Al-Sadiq a.s berkata: Sesiapa yang telah menakut-nakutkan seorang mukmin dengan kuasa bagi mendapatkan daripadanya perkara yang dibenci agama (makruhan), tetapi tidak mendapatinya, maka beliau akan ke neraka. Sesiapa menakut-nakutkan seorang mukmin dengan kuasa bagi mendapatkan perkara yang dibenci agama, kemudian beliau mendapatinya, maka beliau adalah bersama-sama Fir'aun dan keluarga Fir'aun di neraka .

Amir al-Mukminin a.s berkata: Sesiapa yang keterlaluan di dalam perbalahan, maka beliau telah melakukan kezaliman. Sesiapa yang telah mengabaikannya, maka beliau telah melakukan kezaliman dan tidak mampu menentang orang yang menyalahi Allah . 


Lima Orang Yang Tidak Boleh Bersahabat

Daripada Muhammad bin muslim daripada al-Sadiq daripada bapanya a.s berkata: Bapa aku Ali bin al-Husain a.s berkata: Wahai anakku, lihatlah kepada lima orang dan janganlah anda bersahabat dan membuat cakap dengan mereka,jangan anda mengiringi mereka di jalan, beliau berkata: Wahai abah, siapakah mereka? Perkenalkan mereka kepada aku, beliau berkata: Jauhilah anda bersahabat dengan pembohong, kerana ia sepertilah kedudukan kilauan(al-sarab), beliau akan mendekatkan anda yang jauh dan akan menjauhkan bagi anda yang dekat. Jauhilah anda bersahabat dengan orang yang fasiq, kerana ia akan menjual anda dengan satu kali makan atau lebih sedikit daripada itu.

Jauhilah anda bersahabat dengan orang bakhil, kerana beliau akan menghina anda pada hartanya apabila anda lebih berhajat kepadanya. Jauhilah anda bersahabat dengan ahmaq (si bodoh), kerana beliau mahu memberi manfaat kepada anda, tetapi ia memudaratkan anda. Jauhilah bersahabat dengan orang yang memutuskan pertalian keluarganya, kerana aku telah mendapatinya dilaknat di dalam kitab Allah a.w pada tiga tempat. Allah berfirman di dalam Surah Muhammad (47) : 22-23 "Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah mereka yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka" 

Dan firman-Nya di dalam Surah al-Ra'd (13):25 "Mereka yang merosak janji Allah setelah diikrarkan dengan teguh dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mengadakan kerosakan di bumi, mereka itulah dilaknati Allah, dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk "

Dan firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah (2) :27 "Mereka yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi, mereka itulah mereka yang rugi" 

Ammar bin Musa berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Cinta mereka yang baik (al-Abrar) kepada mereka yang baik, adalah pahala kepada mereka yang baik. Cinta mereka yang jahat (al-Fujjar) kepada mereka yang baik adalah kelebihan bagi mereka yang baik, kemarahan mereka jahat kepada mereka baik adalah perhiasan bagi mereka yang baik dan kemarahan mereka yang baik kepada mereka yang jahat adalah penghinaan (khizyun) kepada mereka yang jahat.
Al-Sadiq a.s berkata: Saudara-saudara aku yang paling aku cintai adalah mereka yang menunjukkan keaiban aku kepada aku.


Pengertian Jihad Akbar Dan Asghar

Beliau a.s berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengutus satu pasukan kecil, apabila mereka kembali, maka beliau bersabda: Selamat datang dengan kaum yang telah melaksanakan jihad yang kecil (jihad asghar) dan masih tinggal bersama mereka jihad yang lebih besar (jihad akbar). Ada orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Apakah jihad yang lebih besar itu ? Beliau bersabda: Jihad di dalam diri sendiri (jihad al-Nafs).