BAHAGIAN PERTAMA

Pendahuluan kepada al-Ikhtisas

Segala puji bagi Allah yang tidak boleh dicapai oleh segala penyaksian dan penglihatan, tidak boleh ditutupi oleh segala penutupan. Tinggi dengan segala kemuliaan, terserlah dengan segala kelebihan, tanpa menyerupai makhluk, menjalankan keadilan kepada makhluk-Nya, menghakimi mereka dengan bijaksana, membahagi rezeki kepada mereka dengan ihsan-Nya, tiada tuhan melainkan Dia, Satu dan Perkasa. Tidak berakhir dengan waham walaupun secara terbatas. Tidak boleh dicapai oleh pemikiran secara gambaran dan tidak boleh didapati secara kias berdasarkan akal para pemikir.

Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, Satu tiada sekutu bagi-Nya suatu penyaksian yang aku tujukan kepada-Nya dan menyimpannya di sisi-Nya, selawat dan salam ke atas rasul-Nya Muhammad dan keluarganya yang suci.

Ini adalah buku al-Ikhtisas (kepakaran) yang aku telah memenatkan diriku ketika mengumpul, menyusun dan mengarang tentang ilmu Hadis, Khabar, Athar dan Hikayat di dalam pengertiannya yang luas. Ianya mengandungi pujian kepada mereka tertentu (rijal), kelebihan mereka, kemampuan para ulama, martabat dan kefahaman mereka.

Muhammad bin Muhammad al-Nu'man berkata: Abu Ghalib Ahmad bin Muhammad al-Zarari dan Ja'far bin Muhammad bin Quluwaih telah memberitahuku daripada Muhammad bin Ya'qub daripada al-Husain bin al-Hasan daripada Muhammad bin Zakaria al-Ghalabi daripada Ibn 'Aisyah al-Basri secara marfu' bahawa Amir al Mukminin a.s telah berucap di dalam beberapa khutbahnya: Wahai manusia! Ketahuilah bahawa sesungguhnya seorang itu tidak cerdik apabila merasa cemas dengan kata-kata pembohongan yang dilontar kepadanya dan tidak bijak seorang yang meredai pujian dari si jahil. Manusia boleh menuntut ilmu menurut kemampuan mereka. Justeru bercakaplah tentang ilmu kerana ia akan menyerlahkan kemampuan kamu . 


Sesiapa yang menghafaz empat puluh Hadis

Ja'far bin Muhammad bin Quluwaih telah memberitahu kami (haddathana) daripada al-Husain bin Muhammad bin 'Amir al-Asy'ari daripada al-Mua'lla bin Muhammad al-Basri daripada Muhammad bin Jamhur al-'Ammi daripada Abd al-Rahman bin Abu Najran daripada sebahagian sahabatnya yang diriwayatkan secara marfu'(rafa'a-hu) kepada Abu Abdullah a.s. Beliau a.s. berkata: Sesiapa yang telah menghafaz empat puluh hadis daripada hadis-hadis kami (man hafaza min ahadithi-na arba'ina hadithan), maka Allah akan membangkitkannya pada hari Kiamat sebagai seorang yang alim dalam agama (ba'atha-hu l-Lahu yauma l-qiyamati 'aliman faqihan)".


Tentera Elit

Diriwayatkan secara marfu' kepada Abu Abdullah a.s. Beliau a.s. berkata: Tentera elit (syurtah al-Khamis) Ali a.s mengandungi enam ribu orang pembantunya(kaanuu syurtata l-khamis sitta alafi rajuli Ansari-hi).

Muhammad bin al-Husain daripada Muhammad bin Ja'far daripada Ahmad bin Abdullah berkata: Ali bin al-Hakam berkata: Mereka adalah para sahabat Amir al-Mukminin a.s. Beliau a.s. berkata: Lengkapkan diri kamu di dalam tugas ketenteraan. Aku akan menjamin kamu syurga tetapi aku tidak menjamin emas dan perak kepada kamu(tasyarratu fa-ana usyaritu-kum 'ala l-jannati wa lastu usyaarita-kum 'ala dhahabin wala fidhdhatin). Nabi s.a.w bersabda kepada sebahagian sahabatnya: Lengkapkan diri kamu di dalam tugas ketenteraan. Sesungguhnya aku tidak menjamin kepada kamu kecuali daripada syurga" (tasyarratuu fa-inni lastu usyaritu-kum illa 'ala l-jannah). Mereka adalah Salman al-Farisi, al-Miqdad, Abu Dhar al-Ghifari, 'Ammar bin Yasir, Abu Sasan al-Ansari, Abu 'Umru al-Ansari, Suhail Badri, Uthman bin Hanif al-Ansari dan Jabir bin Abdullah al-Ansari.

Adapun di kalangan para sahabat Ali a.s yang terpilih: 'Umru bin al-Hamiqi al-Khaza'i 'Arabi, Mitham al-Tammar iaitu Mitham bin Yahya Maula, Rusyaid al-Hajari, Habib bin Muzahhar al-Asadi dan Muhammad bin Abu Bakr.

Adapun di kalangan para gabenornya(walinya): Al-Alam al-Azadi (Malik al-Asytar), Suwaid bin Ghaflah al-Ja'fi, al-Harith bin Abdullah al-A'war al-Hamdani, Abu Abdullah al-Jadali dan Abu Yahya Hakim bin Sa'd al-Hanafi.

Adapun di kalangan Syurtah al-Khamis: Abu Radhi Abdullah bin Yahya al-Hadhrami, Sulaim bin Qais al-Hilali dan 'Ubaidah al-Salmani al-Muradi 'Arabiyyun.

Adapun di kalangan mereka yang istimewanya (khuwasi-hi): Tamim bin Hizim al-Naji telah mati syahid bersama Ali a.s, Qanbar hamba Ali bin Abu Talib a.s, Abu Fakhitah Maula Bani Hasyim dan 'Ubaidillah bin Abu Rafi' yang bertugas sebagai setiausaha Ali a.s. 


Ulama Adalah Pewaris Para Nabi A.S

Daripadanya, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada al-Sanadi bin Muhammad daripada Abu al-Buhturi daripada Zaid al-Syahham daripada Abu Ja'far a.s tentang maksud firman Allah s.w.t di dalam Surah 'Abasa (80):24 "Maka hendaklah manusia memperhatikan makanannya" Ziad al-Syahham bertanya: Apakah maksud makanannya (ta'ami-hi?). Beliau a.s berkata: Ilmu yang dipelajari daripada sesiapa yang mengajarkannya .

Daripadanya, daripada Muhammad bin al-Hasan bin Ahmad, daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada al-Sanadi bin Muhammad daripada Abu al-Buhturi daripada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi kerana mereka tidak mewarisi dirham dan dinar tetapi mewarisi hadis-hadis. Sesiapa yang menerima sesuatu daripada nabi, maka ia telah mengambil bahagian yang baik (wafir). Lantaran itu perhatikan ilmu kamu, daripada siapa kamu mengambilnya kerana pada kami Ahlu l-Bait sentiasa adil, menafikan penyelewengan, dakwaan pendusta dan takwilan si jahil "(inna l-ulama' warithatu l-anbiya' wa dhalika anna l-ulama' lam yuwarrithuu dirhaman wa la diinaran wa inna-ma warrithu ahadith min ahadithi-him fa-man akhadha bi-sya'in min-ha fa-qad akhadha hazzan wafiran, fa-unzuru 'ilma-kum hadha 'amman ta'khudhuna-hu fa-inna fiina Ahla l-Bait fi kulli khalafin 'adulan yanfauna 'an-hu tahrifa l-ghaalin wa initihala l- Mubtilin wa ta'wila l-jahilin ) .

Ja'far bin al-Husain al-Mukmin daripada Muhammad bin al-Hasan bin Ahmad daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Ahmad bin Muhammad bin 'Isa daripada al-Husain bin Sa'id daripada Safwan bin Yahya daripada Ishaq ibn 'Ammar daripada Abu Basir daripada salah seorang mereka berdua a.s tentang maksud firman Allah a.w di dalam Surah al-Zumar (39):18 "Mereka mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah yang telah diberikan Allah petunjuk dan mereka itulah mereka yang mempunyai aka l" Salah seorang dari keduanya a.s berkata: Mereka (di dalam ayat di atas) ialah mereka yang telah menyerahkan diri kepada keluarga Muhammad s.a.w. Apabila mendengar sesuatu hadis, maka mereka menyampaikannya sebagaimana mereka mendengarnya tanpa menambah atau mengurangkannya .

'Ubaid bin Nadhlah al-Khaza'i meriwayatkan daripada Ibn al-A'masy sesungguhnya beliau berkata kepada bapanya: Kepada siapakah anda membaca al-Qur'an? Beliau menjawab: Kepada Yahya bin al-Waththab dan Yahya membaca kepada Ubaid bin Nadhlah setiap hari satu ayat. Kemudian beliau telah menamatkan al-Qur'an di dalam masa empat puluh tujuh tahun. Yahya bin Waththab merupakan seorang yang cekal hati (mustaqiman). 


Kerana Mereka Bertujuh Kamu Diberi Rezeki

Abu Uhaihah, namanya 'Umru bin Muhsan yang telah mati syahid di dalam peperangan Siffin dan beliaulah yang telah menyediakan satu ribu dirham kepada Amir al-Mukminin a.s di dalam perjalanannya ke Siffin. Ja'far bin al-Husain al-Mukmin telah memberitahu kami daripada Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Ahmad bin Muhammad bin 'Isa daripada Ibn Fadhdhal daripada Tha'labah bin Maimun daripada Zararah daripada Abu Ja'far a.s berkata: Amir al-Mukminin a.s berkata: Bumi dijadikan untuk tujuh orang, kerana merekalah kamu diberikan rezeki, dibantu dan diturunkan hujan. Mereka adalah Salman al-Farsi, al-Miqdad, Abu Dhar, 'Ammar, Huzaifah, Abu Sasan al-Ansari, dan Abu 'Umrah. Amir al-Mukminin Ali bin Abu Talib a.s berkata: Akulah Imam mereka dan mereka itulah yang telah melakukan solat jenazah ke atas Fatimah a.s . 


Orang Ramai Menjadi Murtad Selepas Nabi Melainkan Tiga

Ahmad bin Muhammad bin Yahya daripada bapanya daripada Muhammad bin al-Husain daripada al-Hasan bin Mahbub daripada al-Harith beliau berkata: Aku telah mendengar Abd al-Malik bin A'yan bertanya kepada Abu Abdullah a.s. Abd al-Malik bertanya kepada Abu Abdullah a.s. sehingga dia berkata: Jika begitu, maka binasalah semua manusia? (halaka al-Nasu idhan?) Maka Abu Abdullah a.s berkata: Ya! Demi Allah, wahai Ibn A'yan! semua manusia binasa (halaka al-Nasu ajma'un). Abd al-Malik berkata: Semua penduduk Timur dan Barat? Beliau a.s menjawab: Ia telah terbuka kepada kesesatan. Demi Allah, mereka telah binasa (halaku) melainkan tiga orang iaitu (illa thalathata nafarin): Salman al-Farisi, Abu Dhar dan al-Miqdad. Setelah itu diikuti oleh 'Ammar, Abu Sasan al-Ansari, Hudhaifah dan Abu Umrah. Maka bilangan mereka bertambah menjadi tujuh orang" 

Beberapa orang daripada sahabat kami daripada Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Ayyub bin Nuh daripada Safwan bin Yahya daripada al-Muthanna bin al-Walid al-Hannat daripada Barid bin Mu'awiyah daripada Abu Ja'far a.s. Beliau a.s. berkata: Manusia telah menjadi murtad selepas Nabi s.a.w melainkan tiga orang iaitu (irtadda al-nasu ba'da al-Nabi s.a.w illa thalathata nafarin): Al-Miqdad bin al-Aswad, Abu Dhar al-Ghifari dan Salman al-Farisi. Setelah itu orang lain dikenali dan dikaitkan dengan Islam selepas mereka (thumma inna al-Nasa urifu wa luhiqu ba'du).

Daripadanya, daripada Muhammad bin al-Hasan, daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Muhammad bin al-Husain daripada Musa bin Sa'dan daripada Abdullah bin al-Qasim al-Hadhrami daripada 'Umru bin Thabit berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya selepas Nabi s.a.w wafat, maka orang ramai telah menjadi murtad melainkan tiga orang: Salman, al-Miqdad dan Abu Dhar. (Inna al-Nabi s.a.w lamma qubidha irtadda al-Nasu 'ala a'qabi-him kuffaran illa thalathan). Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w wafat, maka empat puluh orang lelaki datang kepada Ali bin Abu Talib a.s, Mereka berkata: Tidak, demi Allah! Kami tidak akan memberi ketaatan kepada sesiapapun melainkan anda. (la wallahi, la na'ti ahadan ta'atan ba'da-ka abadan). Beliau a.s berkata: Kenapa? Mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengar Rasulullah s.a.w mengenai hak anda di hari Ghadir Khum. Beliau a.s berkata: Kamu semua akan melakukannya?. Mereka berkata: Ya. Beliau a.s berkata: Datang kepada aku esok dalam keadaan bercukur kepala (fa'tuuni ghadan muhalliqin). 'Umru berkata: Tidak datang kepada Ali a.s. melainkan mereka bertiga. 'Umru berkata: 'Ammar bin Yasir datang kepada Ali a.s. selepas waktu Zuhur. Beliau a.s. memukul tangan ke atas dadanya dan berkata kepada Ammar: Kenapa anda tidak bangkit daripada tidur kelalaian? Kembalilah kamu, kerana aku tidak memerlukan kamu yang tidak mentaati aku di dalam pencukuran kepala. Bagaimana kamu mentaati aku untuk memerangi bukit besi!. Justeru kembalilah kamu, aku tidak memerlukan kamu (Irji'u fa-la hajata li fi-kum antum lam tuti'uni fi-halqi al-Ra'si fa-kaifa tuti'uni fi qitali jibali l-hadid) . 


Mereka Yang Terawal Dan Akrab Dengan Amir Al- Mukminin A.S Di kalangan Sahabat Dan Tabi'in

Ja'far bin al-Husain telah memberitahu kami daripada Muhammad bin Ja'far al-Muaddib bahawa di kalangan para sahabat adalah Salman al-Farisi, al-Miqdad, Abu Dhar dan 'Ammar.

Di kalangan para tabi'in adalah: Uwais bin Anis al-Qurani yang dapat memberi syafaat seperti Rabi'ah dan Mudhar , 'Umru bin al-Himaqi al-Khuza'I, Ja'far bin al-Husain menyebut bahawa kedudukan Uwais dengan Amir al-Mukminin a.s sepertilah kedudukan Salman dengan Rasulullah s.a.w. Rusyaid al-Hajari, Mitham al-Tammar, Kumail bin Ziad al-Nakha'i, Qanbar hamba Amir al-Mukminin a.s, Muhammad bin Abu Bakr, Mazra' hamba Amir al-Mukminin a.s, Abdullah bin Yahya yang Amir al-Mukminin a.s berkata dalam peperangan Jamal: Bergembiralah, wahai Ibn Yahya, kerana kamu dan bapa kamu di kalangan tentera elit(syurtah al-Khamis). Allah telah menamakan kamu dengannya di langit. Jundub bin Zuhair al-'Amiri, Banu 'Amir, Habib bin Muzahhir al-Asadi, al-Harith bin Abdullah al-A'war al-Hamdani, Malik bin al-Harith al-Asytar, Abu Abdullah al-Jadali dan Juwairiyah bin Mashar al-'Abdi . 

Sahabat al-Hasan bin Ali a.s: Sufyan bin Abu Laila al-Hamdani, Huzaifah bin Asyad al-Ghifari, dan Abu Razin al-Asadi. 

Sahabat al-Husain bin Ali a.s: Kesemua mereka yang telah mati syahid bersamanya dan sebahagian daripada sahabat Amir al-Mukminin a.s: Habib Muzahhar, Mitham al-Tammar, Rusyaid al-Hajari, Sulaim bin Qais al-Hilali, Abu Sadiq dan Abu Sa'id 'Aqisa.

Sahabat Ali bin al-Husain a.s: Abu Khalid al-Kabili Kankar, namanya dikenali sebagai Wirdan, Yahya bin Ummi al-Tawil, al-Mut'im, namanya Muhammad bin Jubair bin Mut'im, Sa'id bin al-Musayyab al-Makhzumi dan Hakim bin Jubair.

Sahabat Muhammad bin Ali a.s: Jabir bin Yazid al-Ja'fi, Hamraan bin A'yan, Zararah, 'Amir bin Abdullah bin Juza'ah, Hajr bin Za'idah, Abdullah bin Syarik al-'Amiri, Fudhail bin Yasar al-Basri, Salam bin al-Mustanir, Barid bin Mu'awiyah al-'Ajali, dan al-Hakam bin Abu Nu'aim. 

Sahabat Abu Abdullah a.s: Abdullah bin Abu Ya'fur, Bakir bin Abu A'yan, Muhammad bin Muslim al-Thaqafi al-Ta'i, dan Muhammad bin Nu'man.

Sahabat Abu al-Hasan Musa bin Ja'far a.s: Ali bin Yaqtin, dan Ali bin Suwaid al-Sa'i.

Syi'ah Dalam Pemerintahan al-Qaim A.S Diberi Kekuatan Empat Puluh Lelaki"

Menurut satu riwayat bahawa Abu Abdullah a.s berkata: Semasa pemerintahan al-Qaim a.s, setiap lelaki daripada Syi'ah mereka diberi kekuatan empat puluh lelaki" 


Al-Miqdad Bin Al-Aswad

Gelarannya adalah Abu Ma'bad. Namanya Miqdad bin 'Umru al-Bahrani. Al-aswad bin Abd Yaghuth al-Zuhri telah mengambilnya sebagai anak angkat, lalu ia dinisbahkan kepadanya.

Ja'far bin al-Husain al-Mukmin telah memberitahu kami daripada Muhammad bin al-Hasan bin Ahmad bin al-Walid daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa dikaitkan kepada Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya Salman adalah pengikut setia Amir al-Mukminin a.s sehingga gelincir matahari, maka Allah membalasnya dengan menjadikan kesan bintik-bintik kemerahan di tengkuknya. Dan Abu Dhar adalah daripada pengikut setianya sehingga waktu zuhur, maka Allah membalasnya sehingga Uthman menguasainya dan membawanya di atas kuda tanpa pelana sehingga lecek daging punggungnya kemudian mengusirnya dari sekitar (makam) Rasulullah s.a.w ke Rabzah. Adapun orang yang tidak pernah berubah walaupun sekelip mata selepas kewafatan Rasulullah s.a.w sehingga meninggal dunia ialah al-Miqdad bin al-Aswad yang sentiasa bersedia dengan pedangnya dan dua matanya menumpu dua mata Amir al-Mukminin a.s menunggu perintahnya untuk dilaksanakannya . 

Daripadanya, daripada Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Abd al-Rahman bin Abu Najran daripada Safwan bin Mihran al-Jamal daripada Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku supaya mencintai empat orang. Mereka bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?. Beliau s.a.w bersabda: Ali bin Abu Talib. Kemudian baginda diam lalu bersabda: Sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku supaya mencintai empat orang. Mereka bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Beliau s.a.w menjawab: Ali bin Abu Talib. Kemudian baginda diam dan bersabda: Sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku supaya mencintai empat orang. Mereka bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Baginda s.a.w bersabda: Ali bin Abu Talib, al-Miqdad bin al-Aswad, Abu Dhar al-Ghifari dan Salman al-Farisi.

Daripada Ali bin al-Husain bin Yusuf daripada Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Muhammad bin Ismail daripada Ali bn al-Hakam daripada Saif bin Umairah daripada Abu Bakr al-Hadhrami berkata: Abu Ja'far a.s berkata: Manusia telah menjadi murtad melainkan tiga orang (Irtadda al-Nasu illa thalathata nafarin) iaitu Salman, Abu Dhar dan al-Miqdad. Al-Hadhrami berkata: Aku bertanya: Bagaimana dengan 'Ammar? Beliau a.s. menjawab: Beliau ('Ammar) telah condong tetapi kembali (raja'a). Beliau a.s berkata: Jika anda ingin tahu orang yang tidak pernah syak dan tidak dimasuki sesuatu, maka ia adalah al-Miqdad. Adapun Salman, maka hatinya telah dimasuki suatu rintangan ('aridhun). Sesungguhnya Amir al-Mukminin a.s mempunyai ism al-a'zam. Sekiranya beliau a.s berkata sesuatu dengannya, nescaya bumi akan mengambil mereka. Begitulah yang berlaku kepada Salman sehingga beliau didatangi bintik kemerahan pada tengkuknya.

Kemudian Amir al-Mukminin a.s berjalan di sisi Salman dan berkata: Wahai Abu Abdullah (Salman)! Ini adalah kesan daripada itu. Berilah baiah kepadaku. Maka Salman pun memberi baiah. Adapun Abu Dhar, maka Amir al-Mukminin a.s memerintahkannya supaya diam bagi mengelakkan dosa tetapi beliau enggan dan terus bercakap. Semasa 'Uthman menjadi khalifah, maka beliau telah memaksa Abu Dhar supaya bercakap. Kemudian orang ramai kembali semula (kepada Ali a.s.). Antaranya ialah: Abu Sasan al-Ansari, Abu 'Umrah dan seorang lagi (polan) sehingga tujuh orang. Dengan demikian hanya tujuh orang sahaja yang mengakui hak (imamah) Amir al-Mukminin a.s .

Daripada Ja'far bin Husain daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Muhammad bin Abu Abdullah al-Barqiy daripada bapanya daripada Muhammad bin 'Umru daripada Kiram dan Ismail bin Jabir daripada Mufadhdhal bin 'Umar berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Apabila orang ramai memberi baiah kepada Abu Bakr maka Salman mendatangi Amir al-Mukminin a.s yang dalam keadaan terikat dan dipaksa memberi baiah kepada Abu Bakr. Maka Salman berkata: Adakah anda melakukan ini kerana itu? Demi Allah, jika aku bersumpah atas nama Allah, nescaya aku akan melakukan ini ke atas itu. Beliau a.s. berkata: Abu Dhar berkata: Al-Miqdad, demi Allah, begitulah Allah kehendaki ianya berlaku. Abu Abdullah a.s. berkata: Al-Miqdad adalah orang yang paling kuat imannya pada masa itu (tilka al-Sa'ati ) .

Muhammad bin al-Hasan telah memberitahu aku daripada Sa'd bin Abdullah daripada Muhammad bin Isa daripada al-Nadhar bin Suwaid daripada mereka yang telah memberitahunya daripada para sahabatnya daripada Abu Abdullah a.s berkata: Semua orang telah berubah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w kecuali al-Miqdad kerana hatinya sepertilah besi waja" (Ma baqia ahadun ba'da ma qubidha Rasulullah s.a.w illa wa qad jala jaulatan illa al-Miqdad fa-inna qalba-hu mithlu zubari l-Hadid ) . 


Salman al-Farisi

Ahmad bin Muhammad bin Yahya telah memberitahu kami daripada bapanya daripada Muhammad bin al-Husain bin Abu al-Khattab daripada Wahib bin Hafs daripada Abu Basir berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s. berkata: Sesungguhnya Salman telah diajari al-Ism al-A'zam (nama Allah yang paling mulia) .

Ja'far bin Muhammad bin Quluwaih daripada bapanya dan Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Ibn Fadhdhal daripada Abdullah bin Bakir daripada Zararah berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Salman telah mendapat ilmu pertama dan ilmu akhir. Beliau adalah lautan yang tidak kering dan merupakan daripada kami Ahlu l-Bait. Keilmuan Salman terserlah ketika beliau berjalan dan terserempak dengan seorang lelaki di dalam satu kumpulan. Beliau berkata kepada lelaki itu: Wahai hamba Allah! bertaubatlah anda kepada Allah dari apa yang anda telah lakukan di dalam rumah anda kelmarin dan bertakwalah kepada Allah. Lantas lelaki tadi menjawab: Aku memohon ampun daripada Allah dan bertaubat kepada-Nya. Beliau a.s berkata: Setelah Salman pergi, kumpulan lelaki itu berkata kepadanya: Sesungguhnya Salman telah melontarkan kata kepada anda dengan perkara yang anda tidak dapat mempertahankan diri anda sendiri. Lelaki itu menjawab: Salman telah memberitahu aku perkara yang tidak diketahui oleh seorang pun melainkan Allah, Tuhan sekalian alam dan aku .

Daripadanya, daripada Sa'd bin Abdullah daripada Sa'd bin Abdullah daripada Muhammad bin al-Husain daripada Muhammad bin Aslam al-Jabali daripada Ali ibn Abu Hamzah daripada Abu Basir daripada Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w berkata kepada Salman: Wahai Salman! Sekiranya ilmu anda dibentangkan ke atas al-Miqdad, nescaya beliau mengingkarinya. Wahai Miqdad! Sekiranya kesabaran anda dibentangkan ke atas Salman, nescaya beliau mengingkarinya (Ya Salman!lau 'uridha 'ilmu-ka 'ala al-Miqdad la-kafara,ya Miqdad!lau 'uridha sabru-ka 'ala Salman la-kafara) 

Ahmad bin Muhammad bin Yahya telah memberitahu kami daripada Ahmad bin Idris daripada 'Umran bin Musa daripada Musa ibn Ja'far al-Baghdadi daripada 'Umru bin Sa'id al-Mada'ini daripada Isa bin Hamzah berkata: Aku berkata kepada Abu Abdullah a.s: Hadis tentang empat orang? Beliau berkata: Apakah itu? Aku berkata: Empat orang di mana syurga merindu mereka. Beliau a.s berkata: Ya, mereka adalah Salman, Abu Dhar, al-Miqdad dan Ammar. Aku bertanya: Siapakah di kalangan mereka yang lebih baik? Beliau a.s menjawab: Salman, kemudian beliau berhenti sekejap dan berkata: Salman diajar suatu ilmu jika Abu Dhar mengetahuinya, nescaya beliau mengingkari Salman ('ulima Salman 'ilman lau 'alima-hu Abu Dhar kafara ) . 

Ja'far bin al-Husain telah memberitahu kami daripada Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Ahmad ibn Isa daripada sebahagian daripada sahabat kami daripada Abbas bin Hamzah al-Syahzuri, dikaitkan (rafa'a-hu) kepada Abu Abdullah a.s berkata: Salman telah memasak di dalam satu periuk. Tiba-tiba Abu Dhar datang, lantas periuk tergelincir lalu jatuh di atas tudungnya tanpa menumpahkan isinya. Salman meletakkan semula pada tempatnya tetap ia terjatuh lagi tanpa menumpahkan isinya. Salman meletakkan kembali pada tempatnya. Justeru Abu Dhar berjumpa dengan Amir al-Mukminin a.s dengan segera kerana kurang senang hati melihat apa yang berlaku. Salman mengikutinya sehingga sampai di hadapan Amir al-Mukminin a.s. Beliau a.s melihat Salman dan berkata kepadanya: Wahai Abu Abdullah! berlembutlah dengan saudara anda". 

Daripadanya, daripada Sa'd bin Abdullah daripada Ayyub bin Nuh daripada Ahmad bin Ismail al-Farra' daripada seorang lelaki berkata: Aku bertanya Abu Abdullah a.s tentang Abu Dhar mengenai sabda Rasulullah s.a.w: Alangkah sedikitnya orang di bumi yang lebih benar daripada Abu Dhar?. Beliau a.s menjawab: Ya. Aku berkata: (kalau begitu) Bagaimana kedudukan Rasulullah, Amir al-Mukminin, al-Hasan dan al-Husain a.s?. Abu Abdullah a.s. bertanya kepadaku: Berapa bulan di dalam setahun?. Aku menjawab: Dua belas bulan. Beliau a.s. bertanya lagi: Berapakah bulan Haram? Aku menjawab: Empat bulan. Beliau a.s. bertanya: Bulan Ramadhan termasuk bulan Haram? Aku menjawab: Tidak. Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam. Beribadat pada malam itu adalah lebih baik daripada satu ribu bulan. Sesungguhnya kami Ahlu l-Bait tidak seorang pun boleh dibandingkan dengan kami". 


Abu Dhar al-Ghifari Dan Ammar Bin Yasir

Muhammad bin al-Hasan telah memberitahu kami daripada Sa'd bin Abdullah daripada Muhammad bin Ismail bin Isa daripada Ibn Abu Najran daripada Mufadhdhal bin Salih daripada Muhammad bin Marwan daripada seorang lelaki daripada Abu Ja'far a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepada aku supaya aku mencintai empat orang iaitu: Ali, Abu Dhar, Salman dan al-Miqdad (Inna l-Laha auhaa ilayya an uhibba arba'atan) .

Daripadanya, daripada Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin Abu al-Qasim daripada Muhammad bin Ali daripada Nasr bin Ahmad daripada Abu Mikhnaf Lut bin Yahya daripada Muhammad bin Ishaq daripada Salih bin Ibrahim daripada Abd al-Rahman bin 'Auf beliau berkata: Seorang syeikh yang telah menyaksikan peperangan Siffin bersama mereka berkata: Demi Allah, sesungguhnya orang ramai berada di khemah-khemah mereka, kami hanya mendengar suara Ammar bin Yasir ketika matahari condong atau hampir condong. Ammar berkata: Wahai manusia! Siapakah yang akan pergi ke Syurga seperti orang dahaga pergi kepada airnya? (man ra'ih ila al-jannah ka-zama'aan yurwi al-Ma') 

Syurga hanya di bawah hujung lembing (ma l-Jannatu illa tahta atraafi l-'Awali). Hari ini aku akan bertemu dengan kekasih aku Muhammad dan partinya (al-Yauma alqi al-Ahibbata Muhammadan wa hizba-hu). Wahai kaum muslimin! Percayalah Allah tentang (kebatilan) pihak musuh. Demi Allah sesungguhnya anak-anak golongan Ahzab menerima agama Islam secara terpaksa takutkan pedang. Mereka keluar daripada Islam dengan sukarela apabila mereka mendapat peluang. Pada masa itu Ammar berumur sembilan puluh tahun. Ammar berkata: Demi Allah! Perkara ini mestilah dengan kuda dan kelengkapannya. 'Ammar berkata ketika melihat bendera 'Umru bin al-'As: Sesungguhnya bendera ini telah memerangi kami sebanyak tiga kali. Kali ini adalah yang paling kuat. Kemudian Ammar berkata lagi:

Kami telah memerangi kalian semasa turunnya al- 
Qur'an
Hari ini kami memerangi kalian di atas takwilnya.
Peperangan yang menghilangkan kepenatan dari 
tidurnya 
menjauhkan sahabat daripada sahabatnya
Atau kebenaran kembali ke jalannya
Wahai Tuhanku! Aku percaya dengan firman-Mu

Kemudian 'Ammar meminta air kerana terlalu dahaga. Beliau didatangi seorang perempuan yang mempunyai dua tangan agak panjang. Tidak diketahui sama ada madu atau ubat bersamanya. Namun, dalamnya terdapat sedikit susu. 'Ammar berkata: Syurga adalah di bawah lembing, hari ini aku bertemu dengan kekasih aku Muhammad dan partinya. Demi Allah sekiranya mereka dapat mengalahkan kita sehingga mereka dapat menyampaikan kepada kita pelepah kurma yang jauh. Nescaya kita mengetahui bahawa sesungguhnya kita adalah di atas kebenaran sebaliknya mereka di atas kebatilan. Ammar ditikam dan dibunuh oleh Ibn Juwain al-Saksaki dan Abu al-'Adiyah atau al-Ghadiyah-Fazari. Abu al-'Adiyah telah menikam Ammar manakala Ibn Juwain memotong kepalanya. Laknat Allah ke atas mereka berdua.


'Umru Bin Al-Hamiqu al-Khaza'i

Ja'far bin al-Husain telah memberitahu kami daripada Muhammad bin Ja'far al-Muaddib daripada Ahmad bin Abu Abdullah al-Barqi daripada bapanya secara marfu' berkata: 'Umru bin al-Hamiqu al-Khaza'i berkata kepada Amir al-Mukminin a.s: Demi Allah, aku tidak datang kepada anda kerana harta dunia yang anda akan memberikannya kepada aku dan bukan kerana mencari pangkat yang dapat meningkatkan ingatan aku tetapi kerana anda adalah sepupu Rasulullah s.a.w, orang yang lebih istimewa (aula) daripada orang lain, suami Fatimah, penghulu wanita semesta alam a.s, bapa zuriat yang masih kekal bagi Rasulullah s.a.w dan yang paling besar saham kepada Islam daripada muhajirin dan ansar. 

Demi Allah! Jika anda memerintahkan aku untuk memindahkan bukit yang tinggi dan melintasi laut yang dalam sehingga datang hariku dan pada tanganku pedangku maka aku akan menggoncang musuh anda dengannya. Aku akan menguatkan kewalian anda, Allah akan meningkatkan kemuliaan anda dan akan menguatkan hujah anda. Aku fikir aku belum lagi melaksanakan hak anda ke atas aku dengan sebenarnya. Amir al-Mukminin a.s berkata: Wahai Tuhanku! Sinarlah hatinya dengan cahaya keyakinan dan tunjuklah kepadanya jalan yang benar. Alangkah baiknya jika terdapat seratus orang seumpama anda pada syi'ahku .

Ahmad bin Harun dan Ja'far bin Muhammad bin Quluwaih serta jema'ahnya telah memberitahu kami daripada Ali bin al-Husain daripada Abdullah bin Ja'far al-Humairi daripada Muhammad bin al-Hasan daripada Ahmad bin al-Nadhar daripada Sabah daripada al-Harith Ibn al-Husairah daripada Sakhar bin al-Hakam al-Fazari daripada mereka yang telah memberitahunya bahawa beliau telah mendengar 'Umru bin al-Hamiqu memberitahu bahawa beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda di Masjid Haram atau Masjid Madinah: Wahai 'Umru! Adakah anda mahu aku memperlihatkan kepada anda lambang syurga (ayat al-Jannah) yang memakan makanan (ya'kulu al-Ta'am), meminum minuman (yasyrabu al-Syarab), berjalan-jalan di pasar (yamsyi fi al-Aswaq), dan lambang neraka (ayat al-Nar) yang memakan makanan, meminum minuman dan berjalan-jalan di pasar?.

Maka 'Umru berkata: Ya, dengan nama bapaku, anda dan ibu aku, maka perlihatkanlah kepadaku mereka berdua (arinii-huma). Tiba-tiba Ali a.s. datang berjalan-jalan sehingga beliau memberi salam dan terus duduk. Rasulullah s.a.w bersabda : Wahai 'Umru! Inilah dia dan kaumnya adalah lambang syurga. Kemudian Mu'awiyah datang dan memberi salam, kemudian duduk. Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai 'Umru! Inilah dia dan kaumnya adalah lambang neraka.

Disebut tentang permulaan Islamnya, beliau adalah seorang penternak unta bagi keluarganya yang telah membuat perjanjian kesetiaan dengan Rasulullah s.a.w .

Sebahagian daripada sahabat Rasulullah s.a.w yang diutus kepada keluarga 'Umru berkata: Wahai Rasulullah! Kami tidak mempunyai bekalan makanan dan kami tidak pula mengetahui jalan (bagaimana kami ke sana?). Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kamu akan bertemu dengan seorang lelaki yang berseri mukanya. Dia akan memberi kamu makanan dan minuman serta menunjukkan jalan kepada kamu. Beliau adalah di kalangan ahli syurga".

'Umru berkata: Mereka datang sehingga sampai kepadaku pada petang hari. Aku menyuruh pemuda-pemuda aku supaya menyembelih beberapa unta dan memerah susu (lembu) untuk mereka, kemudian mereka bermalam dengan memakan daging dan meminum susu sehingga pagi.

'Umru berkata: Kamu tidak boleh pulang sehingga kamu makan atau membawa makanan, lantas seorang daripada mereka berkata sambil ketawa kepada sahabatnya. 'Umru bertanya: Kenapa anda ketawa?. Dia menjawab: Bergembiralah dengan berita gembira Allah dan Rasul-Nya. 'Umru berkata: Apakah berita gembira itu?. Maka dia menjawab: Rasulullah s.a.w telah mengutus kami ke tempat yang jauh ini. Baginda s.a.w telah memberitahu kami mengenai jamuan ini. Pada waktu itu kami tidak mempunyai bekalan makanan dan tidak ada petunjuk jalan untuk ke tempat ini. Baginda s.a.w. bersabda: Kamu akan bertemu dengan seorang lelaki yang akan memberi makan dan minum kepada kamu serta akan menunjukkan jalan kepada kamu, maka dia adalah di kalangan ahli syurga". Lantaran itu kami tidak bertemu dengan orang yang telah disifatkan oleh Rasulullah s.a.w selain daripadamu.

'Umru berkata: Aku menaiki (kuda) bersama mereka dan aku menunjukkan jalan kepada mereka, kemudian aku kembali kepada pemuda-pemudaku dan menasihati mereka tentang unta. Setelah itu, aku berjalan menuju Rasulullah s.a.w sehingga aku memberi baiah kepadanya dan memeluk agama Islam. Aku dan kaum aku mendapat keamanan daripada Rasulullah s.a.w. bahawa diri kami, harta kami, darah kami selamat apabila kami mengucap " Tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah". Kami mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan "saham Allah" dan "saham Rasul-Nya". Beliau s.a.w bersabda: Diri kamu, darah kamu dan harta kamu selamat apabila kamu menunaikan semuanya. Maka dengan dhimmah Allah dan Rasul-Nya, harta dan darah kamu tidak akan dicerobohi.

Maka aku tinggal (bermukim) bersama Rasulullah s.a.w dan kami berperang bersamanya di dalam beberapa peperangan sehingga Rasulullah s.a.w meninggal dunia .

Bapa al-Barqi berkata: 'Umru bin al-Hamiqu al-Khaza'i adalah syi'ah Ali a.s. Setelah jawatan khalifah berpindah kepada Mu'awiyah, maka 'Umru berpindah ke Syahr Zaur di Mausul. Mu'awiyah mengutus surat kepadanya:

Amma ba'd, sesungguhnya Allah telah memadamkan api, memadamkan fitnah, memberi kemenangan kepada mereka yang bertakwa. Aku bukanlah sahabat anda yang jauh cita-citanya dan bukanlah yang paling jahat perbuatannya. Semua mereka telah mentaati ku dengan gembira, malah mereka bersegera terlibat di dalam urusanku. Biar pun anda agak terlewat, masuklah sebagaimana orang ramai memasukinya, nescaya dosa-dosa anda terdahulu dimaafkan dan kebaikan anda didedahkan, mudah-mudahan aku tidak akan melayan anda sebagaimana orang yang terdahulu jika anda masih seperti dahulu. Lantaran itu, datanglah kepada aku dengan aman pada dhimmah Allah dan Rasul-Nya, terpelihara daripada perasaan hasad dengki dan mencukupilah Allah sebagai saksi.

Belum sempat 'Umru bin al-Hamiqu al-Khaza'i menjawabnya, Mu'awiyah telah mengutus seorang untuk membunuh 'Umru. Muawiyah menghantar kepala 'Umru kepada isterinya dan meletakkan pada pangkuannya (hujri-ha). Maka isteri 'Umru berkata: Kamu telah menyembunyikan 'Umru daripadaku dalam masa yang lama, kemudian menghadiahkannya kepadaku setelah dia dibunuh. Maka selamat datang (ahlan wa sahlan) daripada hadiah yang tidak diduga. Sampaikanlah, wahai utusan, daripada aku untuk Mu'awiyah apa yang aku akan ucapkan: Allah menuntut darahnya dan akan mempercepatkan bala daripada dendam-Nya. Beliau telah melakukan perkara yang durjana, membunuh seorang yang baik dan bertakwa. Maka sampaikanlah kepada Mu'awiyah apa yang aku telah ucapkan.

Maka utusan tersebut telah menyampaikan apa yang diucapkan oleh isteri 'Umru kepada Mu'awiyah, lalu Muawiyah datang kepadanya dan berkata: Andalah yang berkata sedemikian? Beliau menjawab: Ya, tanpa menyesal dan memohon maaf. Mu'awiyah berkata: Keluarlah dari negeri ku ini, maka isteri 'Umru berkata: Lakukanlah, demi Allah, ia bukan tanah air ku, aku tidak mencintainya, lama sudah aku berjaga malam menitiskan air mata ku, hutang aku semakin banyak, hidup aku tanpa ketenangan. Abdullah bin Sarah, setiausahanya berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Sesungguhnya beliau adalah seorang wanita munafik, maka bunuhlah ia seperti suaminya.

Maka Isteri 'Umru melihat kepada Abdullah bin Sarah lalu berkata: Wahai orang antara dua janggutnya seperti tubuh katak! Kenapa anda tidak bertanya siapakah yang memberikan anda makanan dan siapakah yang memberikan anda pakaian? Sesungguhnya seorang lelaki munafik adalah seorang yang tidak bercakap benar dan mengambil hamba-hamba Allah seperti Tuhan. Lantaran itu, Dia telah menerangkan keingkaran-Nya di dalam al-Qur'an, kemudian Mu'awiyah memberi isyarat kepada penjaga pintu supaya mengeluarkannya. Maka isteri Umru berkata: Aneh anak lelaki Hindun memberi isyarat kepada aku dengan jari tangannya tanpa bercakap, demi Allah! Aku akan berhujah dengannya dengan hujah yang kuat seperti besi atau aku tidak aman seperti wanita buruan.

Abu Abdullah a.s berkata: Seorang wanita yang hilang (ghaib) suaminya hendaklah menunggu (kepulangan) suaminya selama empat tahun, jika suaminya tidak juga pulang, beliau boleh bernikah (tazawwajat). Jika suaminya pulang, isterinya boleh membuat pilihan. Jika beliau memilih suaminya yang pertama, maka beliau perlu menghabiskan idahnya dengan suami yang kedua (fa-in ikhtarat al-awwal I'taddat min al-Thani), kemudian kembali kepada suami yang pertama, dan jika beliau memilih suami yang kedua, maka beliau adalah suaminya (wa in ikhtarat al-Thani fa-huwa zauju-ha) 

Daripada Ali bin al-Suwaid al-Sa'i daripada Abu al-Hasan al-Awwal a.s berkata: Allah tidak menciptakan makhluk yang lebih baik daripada Muhammad s.a.w dan Dia tidak menciptakan makhluk selepas Muhammad yang lebih baik daripada Ali a.s .

Muhammad bin Fudhail berkata: Aku telah mendengar Abu al-Hasan a.s berkata: Wilayah Ali a.s termaktub di dalam semua mashaf para nabi a.s".

Daripada Jabir bin Yazid daripada Abu Ja'far a.s menjelaskan maksud firman Allah s.w.t Surah al-Isra'(18) 79 "Mudah-mudahan Tuhan kamu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji" Beliau a.s. berkata: Dia mendudukkannya di atas 'Arasy bersama-Nya . 


Tangkal Demam

Al-Hasan bin Ali al-Wasya' berkata: Abu al-Hasan al-Ridha a.s berkata kepadaku: Aku melihat anda kekuningan (musfarran)? Aku berkata: Demam menyerang aku. Beliau a.s. berkata: Bawakan kepada aku pensel dan kertas. Beliau a.s. menulis: Bismillahi r-Rahmaani r-Rahim, Abjad Hawwaz daripada polan bin polanah. Kemudian beliau a.s. meminta benang, lalu diberi benang basah. Beliau a.s. berkata: Berikan kepada aku benang yang belum disentuhi air. Benang kering diberi kepadanya, lalu beliau a.s. mengikatkannya di tengah surat dan menyimpulkannya di sebelah kanan dengan empat simpul manakala di sebelah kiri tiga simpul. Kemudian dibaca pada setiap simpul al-Hamdu, al-Mu'awwadhatain dan ayat al-Kursi. Sesudah itu, beliau a.s. memberikannya kepadaku sambil berkata: Ikatlah ia di lengan kanan anda. Jangan mengikatkannya di lengan kiri .

Daripada Abdullah bin Sinan berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Sisa atau lebihan makanan atau minuman seorang mukmin menjadi penyembuh kepada tujuh puluh jenis penyakit (su'ru l-Mu'min syifa'un min sab'in daa' ) .


Hadis al-Ghar ( Gua)

Muhammad bin Isa bin 'Ubaid daripada Ali bin Asbat daripada Hakam bin Marwan daripada Yunus bin Suhaib daripada Abu Ja'far a.s berkata: Rasulullah s.a.w telah melihat kepada Abu Bakr yang berada bersamanya di gua al-Hira. Baginda s.a.w. berkata: Kenapakah anda (kelihatan cemas), tidakkah Allah bersama kita? Anda mahu aku memperlihatkan kepada anda para sahabatku dari kalangan Ansar di dalam majlis mereka sedang berlansung. Aku juga ingin memperlihatkan kepada anda Ja'far bin Abu Talib dan para sahabatnya di dalam bahtera sedang mengharungi ombak? Abu Bakr berkata: Ya, perlihatkan mereka kepada aku (na'am arini-him). Maka Rasulullah s.a.w menyapu muka Abu Bakr dan dua matanya, lantas Abu Bakr melihat apa yang dinyatakan, tetapi dia menyembunyikan tanggapan di dalam hatinya bahawa sesungguhnya baginda s.a.w adalah seorang tukang sihir (fa-masaha rasulullah s.a.w wajha-hu wa 'ainai-hi fa-nazara ilai-him fa-adhmara fi nafsi-hi anna-hu sahirun) .

Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Sahal bin Ziad daripada Abu Yahya al-Wasiti berkata: Ali bin Bilal telah memberitahunya. Beliau berkata: Muhammad bin al-Wasiti telah memberitahu kepadaku dengan katanya: Aku berada di Baghdad bersama Muhammad bin Sama'ah Kadi dan bersamanya juga seorang lelaki. Beliau berkata kepadanya: Sesungguhnya aku telah memasuki Masjid Kufah, kemudian aku telah menyandar di sebahagian tiangnya (asaatini-hi) kerana ingin mengerjakan solat dua rakaat. Tiba-tiba seorang wanita Arab Badwi yang berselimut berada di belakang aku. Dia menyeru dengan kata-katanya: Wahai yang masyhur di dunia dan masyhur di akhirat.

Wahai yang masyhur di langit dan masyhur di bumi!. Mereka yang kuat (al-Jababirah) telah berusaha untuk memadamkan cahaya anda dan melenyapkan sebutan nama anda, tetapi Allah mahu cahaya anda bersinar dan sebutan nama anda menjadi tinggi sekalipun dibenci oleh kaum Musyrikin. Maka aku berkata: Wahai hamba Allah! Siapakah orang yang anda banggakan ini? Wanita itu menjawab: Itulah Amir al-Mukminin Ali bin Abu Talib a.s. Sesungguhnya seorang itu tidak boleh mencapai ketauhidan (yajuzu al-Tauhid) melainkan dengannya dan dengan wilayahnya. Beliau berkata lagi: Aku telah berpaling kepadanya, maka aku tidak melihat seorang pun berada di tempat itu lagi (fa-lam araa ahadan )