LAMPIRAN (D) AKIDAH SYI'AH TENTANG AL-QUR'AN

Sesungguhnya Syi'ah mempercayai bahawa al-Qur'an yang ada sekarang adalah benar dan mereka beramal dengannya. Tetapi ianya tidak dinafikan bahawa terdapat kitab-kitab karangan ulama Syi'ah seperti al-Kulaini dan lain-lain yang telah mencatat tentang kurang atau lebihnya ayat-ayat al-Qur'an yang ada sekarang, tetapi ketahuilah anda bahawa bukanlah semua riwayat itu sahih malah ianya ada yang sahih dan ada yang dha'if. Contohnya al-Kulaini telah meriwayatkan di dalam al-Kafi bahawa Rasulullah (S.a.w telah dilahirkan pada 12 Rabi'ul Awwal tetapi ianya ditolak oleh majoriti ulama Syi'ah kerana mereka berpendapat bahawa Nabi SAW telah dilahirkan pada 17 Rabi'ul Awwal. 
Begitu juga mereka menolak kitab al-Hassan bin al-'Abbas bin al-Harisy yang dicatat oleh al-Kulaini di dalam al-Kafi, malah mereka mencela kitab tersebut. Begitu juga mereka menolak riwayat al-Kulaini bahawa orang yang disembelihkan itu adalah Nabi Ishaq bukan Nabi Isma'il AS (al-Kafi, IV, hlm. 205). Justeru itu riwayat al-Kulaini umpamanya tentang kekurangan dan penambahan ayat-ayat al-Qur'an adalah riwayat yang lemah (Majallah Turuthuna, Bil. XI, hlm. 104). Kerana ulama Syi'ah sendiri telah menjelaskan kelemahan-kelemahan yang terdapat di dalam al-Kafi, malah mereka menolak sebahagian besar riwayat al-Kulaini. Begitu juga dengan kitab al-Istibsar fi al-Din, Tahdhib al-Ahkam karangan al-Tusi dan Man La Yahdhuruhu al-Faqih karangan Ibn Babuwaih, sekalipun 4 buku tersebut dikira muktabar di dalam mazhab Syi'ah, umpamanya al-Kafi yang mempunyai 16,199 hadis telah dibahagikan kepada 5 bahagian (di antaranya): 
i. Sahih, mengandungi 5,072 hadis. 
ii. Hasan, 144 hadis. 
iii. al-Muwaththaq, 1128 hadis (iaitu hadis-hadis yang diriwayatkan oleh orang yang bukan Syi'h tetapi mereka dipercayai oleh Syi'ah). 
iv. al-Qawiyy, 302 hadis. 
v. Dhaif, 9,480 hadis. (Lihat Sayyid Ali al-Milani, "al-Riwayat Li Ahadis al-Tahrif 'di dalam Turuthuna, Bil. 2, Ramadhan 1407 Hijrah, hlm. 257). Oleh itu riwayat-riwayat tentang penambahan dan kekurangan al-Qur'an telah ditolak oleh ulama Syi'ah Imamiyah mazhab Ja'fari dahulu dan sekarang. Syaikh al-Saduq (w. 381H) menyatakan "i'tiqad kami bahawa al-Qur'an yang telah diturunkan oleh Allah ke atas Nabi Muhammad SAW dan keluarganya ialah di antara dua kulit (buku) iaitu al-Qur'an yang ada pada orang ramai dan tidak lebih dari itu. Setiap orang yang mengatakan al-Qur'an lebih dari itu adalah suatu pembohongan." (I'tiqad Syaikh al-Saduq, hlm. 93). Syaikh al-Mufid (w. 413H) menegaskan bahawa al-Qur'an tidak kurang sekalipun satu kalimah, satu ayat ataupun satu surah (Awa'il al-Maqalat, hlm. 55). Syarif al-Murtadha (w. 436H) menyatakan al-Qur'an telah dijaga dengan rapi kerana ia adalah mu'jizat dan sumber ilmu-ilmu Syarak, bagaimana ia boleh diubah dan dikurangkan? Selanjutnya beliau meyatakan orang yang mengatakan al-Qur'an itu kurang atau lebih tidak boleh dipegang pendapat mereka (al-Tabrasi, Majma' al-Bayan, I, hlm. 15). Syaikh al-Tusi (w. 460H) menegaskan bahawa pendapat mengenai kurang atau lebihnya al-Qur'an adalah tidak layak dengan mazhab kita (al-Tibyan fi Tafsir al-Qur'an, I, hlm.3). Begitu juga pendapat al-Allamah Tabataba'i dalam Tafsir al-Mizan, Jilid 7, hlm. 90 dan al-Khu'i dalam Tafsir al-Qur'an al-'Azim, I, hlm. 100, mereka menegaskan bahawa al-Qur'an yang ada sekarang itulah yang betul dan tidak ada penyelewengan.
Demikianlah sebahagian daripada pendapat-pendapat ulama Syi'ah dahulu dan sekarang yang mengaku kesahihan al-Qur'an yang ada pada hari ini. Imam Ja'far al-Sadiq AS berkata, "Apabila datang kepada kamu dua hadis yang bertentangan maka hendaklah kamu membentangkan kedua-duanya kepada Kitab Allah dan jika ianya tidak bertentangan dengan Kitab Allah, maka ambillah dan jika ianya bertentangan Kitab Allah, maka tinggalkanlah ia" (Syaikh, al-Ansari, al-Rasa'il, hlm. 446).
Kata-kata Imam Ja'far al-Sadiq itu menunjukkan al-Qur'an yang wujud sekarang ini adalah al-Qur'an yang diturunkan oleh Allah ke atas Nabi Saw.) tanpa tambah dan kurang jika tidak, ianya tidak menjadi rujukan kepada Muslimin untuk membentangkan hadis-hadis Nabi (S.a.w) yang sampai kepada mereka. Oleh itu mazhab Syi'ah Ja'fari samalah dengan mazhab Ahlu s-Sunnah dari segi menjaga al-Qur'an dari penyelewengan, tetapi apa yang anehnya ialah terdapat banyak riwayat di dalam buku-buku Sahih Ahlu s-Sunnah sendiri yang mencatatkan bahawa al-Qur'an telah ditambah, dikurang dan ditukarkan, di antaranya seperti berikut:
1. Al-Bukhari di dalam Sahihnya, VI, hlm. 210 menyatakan (Surah al-Lail (92):3 telah ditambah perkataan "Ma Khalaqa" oleh itu ayat yang asal ialah "Wa al-Dhakari wa al-Untha" tanpa "Ma Khalaqa". Hadis ini diriwayatkan oleh Abu al-Darda', kemudian ianya dicatat pula oleh Muslim, Sahih, I, hlm. 565; al-Turmudhi, Sahih, V, hlm. 191. 
2. Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, I, hlm. 394; al-Turmudhi, Sahih, V, hlm. 191 menyatakan (Surah al-Dhariyat (51):58 telah diubah dari teks asalnya "Inni Ana r-Razzaq" kepada "Innallah Huwa r-Razzaq" iaitu teks sekarang.
3. Muslim, Sahih, I, hlm. 726; al-Hakim, al-Mustadrak, II, hlm. 224 meriwayatkan dari Abu Musa al-Asy'ari, "Kami membaca satu surah seperti Surah al-Bara'ah dari segi panjangnya, tetapi aku telah lupa, hanya aku mengingati sepotong dari ayatnya, "Sekiranya anak Adam (manusia) mempunyai dua wadi dari harta, nescaya dia akan mencari wadi yang ketiga dan perutnya tidak akan dipenuhi melainkan dengan tanah." 
4. Al-Suyuti, al-Itqan, II, hlm. 82, meriwayatkan bahawa 'Aisyah menyatakan Surah al-Ahzab (33):56 pada masa Nabi (Saw) adalah lebih panjang iaitu dibaca "Wa'ala al-Ladhina Yusaluna al-Sufuf al-Uwal" selepas "Innalla ha wa Mala'ikatahu Yusalluna 'Ala al-Nabi..." Aisyah berkata, "Iaitu sebelum Uthman mengubah mashaf-mashaf."
5. al-Muslim, Sahih, II, hlm. 726, meriwayatkan bahawa Abu Musa al-Asy'ari membaca selepas Surah al-Saf (61):2, "Fatuktabu syahadatan fi A'naqikum..."tetapi ianya tidak dimasukkan ke dalam al-Qur'an sekarang.
6. Al-Suyuti, al-Itqan, I, hlm. 226 menyatakan bahawa dua surah yang bernama "al-Khal' " dan "al-Hafd" telah ditulis dalam mashaf Ubayy bin Ka'b dan mashaf Ibn 'Abbas, sesungguhnya 'Ali AS mengajar kedua-dua surah tersebut kepada Abdullah al-Ghafiqi, 'Umar dan Abu Musa al-Asy'ari juga membacanya 
7. Malik, al-Muwatta', I, hlm. 138 meriwayatkan dari 'Umru bin Nafi' bahawa Hafsah telah meng'imla' "Wa Salati al-Asr" selepas Surah al-Baqarah (2): 238 dan ianya tidak ada dalam al-Qur'an sekarang. Penambahan itu telah diriwayatkan juga oleh Muslim, Ibn, Hanbal, al-Bukhari, dan lain-lain. 
8. Al-Bukhari, Sahih, VIII, hlm. 208 mencatatkan bahawa ayat al-Raghbah adalah sebahagian daripada al-Qur'an iaitu "La Targhabu 'an Aba'ikum" tetapi ianya tidak wujud di dalam al-Qur'an yang ada sekarang.
9. Al-Suyuti, al-Itqan, III, hlm. 82; al-Durr al-Manthur, V, hlm. 180 meriwayatkan daripada 'Aisyah bahawa dia berkata,"Surah al-Ahzab dibaca pada zaman Rasulullah SAW sebanyak 200 ayat, tetapi pada masa 'Uthman menulis mashaf ianya tinggal 173 ayat sahaja."
10. Al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, V, hlm. 192 mencatatkan bahawa di sana terdapat ayat yang tertinggal selepas Surah al-Ahzab (33):25 iaitu "Bi 'Ali bin Abi Talib". Jadi ayat yang dibaca, "Kafa Llahul Mu'minin al-Qital bi 'Ali bin Abi Talib."
11. Ibn Majah, al-Sunan, I, hlm. 625 mencatat riwayat daripada 'Aisyah RD dia berkata: Ayat al-Radha'ah sebanyak 10 kali telah diturunkan oleh Allah dan ianya ditulis dalam mashaf di bawah katilku, tetapi manakala wafat Rasulullah Saw.) dan kami sibuk dengan kewafatannya, maka ianya hilang.
12. Al-Suyuti, al-Itqan, III, hlm. 41 mencatatkan riwayat daripada 'Abdullah bin 'Umar, daripada bapanya 'Umar bin al-Khattab, dia berkata, "Janganlah seorang itu berkata aku telah mengambil keseluruhan al-Qur'an, apakah dia tahu keseluruhan al-Qur'an itu? Sesungguhnya sebahagian al-Qur'an telah hilang dan katakan sahaja aku telah mengambil al-Qur'an mana yang ada." Ini bererti sebahagian al-Qur'an telah hilang. Demikianlah di antara catatan para ulama Ahlu s-Sunnah mengenai al-Qur'an sama ada lebih atau kurang di dalam buku-buku Sahih dan muktabar mereka. Bagi orang yang mempercayai bahawa semua yang tercatat di dalam sahih-sahih tersebut adalah betul dan wajib dipercayai, akan menghadapi dilema, kerana kepercayaan sedemikian akan membawa mereka kepada mempercayai bahawa al-Qur'an yang ada sekarang tidak sempurna, sama ada berkurangan atau berlebihan. Jika mereka mempercayai al-Qur'an yang ada sekarang adalah sempurna - memang ianya sempurna - ini bererti sahih-sahih mereka tidak sempurna dan tidak sahih lagi. Bagi Syi'ah mereka tidak menghadapi dilema ini kerana mereka berpendapat bahawa bukan semua riwayat di dalam buku-buku mereka seperti al-Kafi, al-Istibsar fi al-Din dan lain-lain adalah sahih, malah terdapat juga riwayat-riwayat yang lemah. Oleh itu untuk mempercayai bahawa al-Qur'an yang ada sekarang ini sempurna sebagaimana yang dipercayai oleh Syi'ah mazhab Ja'fari, maka Ahlu s-Sunnah terpaksa menolak riwayat-riwayat yang terdapat di dalam sahih-sahih mereka demi mempertahankan kesempurnaan al-Qur'an. Dan mereka juga harus menolak riwayat-riwayat yang bertentangan dengan al-Qur'an dan akal seperti hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, "Sesungguhnya Neraka Jahanam tidak akan penuh sehingga Allah meletakkan kaki Nya, maka Neraka Jahanam berkata: Cukup, cukup. "(Al-Bukhari, Sahih, III, hlm. 127; Muslim, Sahih, II, hlm. 482).
Hadis yang bertentangan
Hadis ini adalah bertentangan dengan ayat al-Qur'an Surah al-Sajdah (32):13 yang bermaksud,...."Sesungguhnya Aku akan penuhi Neraka Jahanam dengan jin dan manusia." Juga bertentangan dengan Surah al-Syura (42):11 yang menafikan tajsim "Tidak ada suatu perkarapun yang menyerupaiNya." Lantaran aitu tidak hairanlah jika al-Suyuti di dalam Tadrib al-Rawi, hlm. 36 menyatakan bahawa al-Bukhari telah mengambil lebih 480 periwayat yang tidak disebut atau diambil oleh Muslim dan ia mengandungi para periwayat yang lemah, sama ada disebabkan oleh pembohongan dan sebagainya, sementara Muslim pula mengambil 620 periwayat yang tidak disebut atau diambil oleh al-Bukhari dan terdapat di dalamnya 160 periwayat yang lemah. Murtadha al- Askari pula menulis buku berjudul 150 sahabat khayalan, Beirut, 1968., berkata: Hanya nama-nama mereka sahaja disebutkan oleh al-Bukhari dan Muslim tetapi mereka sebenarnya tidak pernah wujud.
Kesimpulan
Oleh itu 'sahih" adalah nama buku yang diberikan oleh orang tertentu, misalnya al-Bukhari menamakannya 'Sahih" iaitu sahih mengikut pandangannya, begitu juga Muslim menamakan bukunya 'Sahih" iaitu sahih mengikut pandangannya. Justeru itu buku-buku 'sahih' tersebut hendaklah dinilai dengan al-Qur'an, kerana Sahih yang sebenar adalah sahih di sisi Allah SWT. Dan kita naik saksi bahawa al-Qur'an yang ada di hadapan kita ini adalah sahih dan tidak boleh dipertikaikan lagi.Dengan itu anda tidak lagi menganggap Syi'ah mempunyai al-Qur'an 'lebih atau kurang' isi kandungannnya kerana mereka sendiri menolaknya. Dan ianya telah dicatat di dalam buku-buku Sahih dan muktabar Ahlu s-Sunnah tetapi mereka juga menolaknya. Dengan demikian Syi'ah dan Sunnah adalah bersaudara di dalam Islam dan mereka wajib mempertahankan al-Qur'an dan beramal dengan hukumnya tanpa menjadikan 'ijtihad' sebagai alasan untuk menolak (hukum)nya pula.