PRAKATA

Bismillahi r-Rahmani r-Rahim

Segala puji bagi Allah s.w.t, selawat dan salam kepada Muhammad dan keluarganya yang suci serta para sahabatnya yang terpilih.

Amma ba‘du. Buku Amali Al-Saduq atau sebutan ringkasnya Al- Amali, adalah karya Syeikh al-Jalil al-Aqdam Abu Ja‘far Muhammad bin Ali bin al-Husain Babuaih al-Qummi yang dikenali dengan Syeikh al-Saduq. Di samping Syeikh al-Saduq, muridnya Syeikh al-Mufid telah menulis nama buku yang sama.

Kemudian ia diikuti oleh Syeikh al-Tusi, Ibn Syeikh, al-Murtada dan lain-lain. Buku ini dikenali juga dengan nama Al-Majalis. Ia mengandungi 97 majlis kesemuanya. Dicetak oleh Mua’ssasa al-A‘lami li-al-Mat‘bu‘at di Beirut (cetakan ke 5), 1980 setebal 544 halaman dengan kata-kata aluan oleh Syeikh Husain al-A‘lami. Justeru majlis ke 93 daripada buku ini diterjemahkan daripada halaman 509 hingga 520.

Majlis ini berlaku pada hari Jumaat 12 hb Sya‘ban tahun 368 Hijrah. Beliau diminta oleh para hadirin pada majlis itu supaya mengimlakkan kepada mereka kepercayaan dan amalan mazhab Syiah Imam Dua Belas secara ringkas dan padat. 

Menyahuti permintaan tersebut, Syeikh al-Saduq telah mengimlakkan kepada mereka secara ringakas tentang kepercayaan dan amalan Syiah Imam Dua Belas. Memandangkan kesukarannya, beliau berjanji untuk memberi penjelasannya apabila beliau pulang ke Nisabur(Khurasan).

Beliau dilahirkan di Qum sekitar tahun 306 Hijrah. Bapanya Ali bin al-Husain Babuih al-Qummi adalah seorang ulama yang masyhur pada zamannya. Imam al-Hasan al-Askari a.s telah menulis surat kepada bapa Syeikh al-Saduq melalui seorang safirnya. Di dalam surat itu beliau a.s berdoa kepada Allah s.w.t supaya dikurniakan kepadanya (Ali) seorang anak lelaki yang saleh (Syeikh al-Saduq) dengan rahmatNya.

Syeikh al-Saduq telah berpindah ke Ray (Tehran) pada tahun 338 Hijrah dan menetap di sana sehingga tahun 352 Hijrah. Pada tahun 354 Hijrah beliau berhijrah ke Kufah dan menuntut ilmu di sana. Beliau telah mengerjakan haji pada tahun 355 Hijrah. Pada tahun 367 dan 368 Hijrah beliau menziarahi Masyhad sebanyak dua kali.

Karyanya adalah melebihi dua ratus buah di dalam berbagai ilmu Islam. Antaranya: Man la yahdhuruhu al-Faqih, ‘Ilal al-Syara‘, Ma‘ani al-Akhbar, Masyikhah al-Faqih, Thawab al-A’mal wa ‘Iqab al-A‘mal, ‘Uyun Akhbar al-Ridha, Ikmal al-Din wa Tamam al-Ni‘mat, al-Khisal, Tauhid, al-Amali atau al-Majalis dan lain-lain.

Murid-muridnya pula terdiri daripada para ulama yang terkenal seperti Syeikh al-Mufid Muhammad bin Muhammad bin Nu‘man al-Tala‘kabari, al-Sayyid al-Murtadha ‘Alam al-Huda, bapa kepada al-Najjasyi Ali bin Ahmad bin al-Abbas, Muhammad bin Talhah al-Na‘ali Syeikh al-Khatib Baghdadi, saudaranya Abu Abdullah bin al-Husain bin Musa bin Babuaih al-Qummi dan Abu Ali al-Syaibani al-Qummi, pengarang Tarikh Qum.

Syeikh al-Saduq wafat di Ray (Tehran) pada tahun 381 Hijrah ketika berusia 70 tahun lebih. Beliau disemadikan berdekatan dengan makam Sayyid Abd al-Azim al-Husni di Ray di Bustan Tagharliyah dan dibina di atasnya kubah yang tinggi. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat-Nya yang berkekalan ke atasnya.

Penterjemahan yang sedikit ini adalah khusus untuk mereka yang berpegang kepada mazhab Syiah Imam Dua Belas SAHAJA. Semoga mereka dapat memahami ajaran para Imam Ahlu l-Bait Rasulullah s.a.w dengan mudah dan mengamalkannya untuk diri mereka sendiri.