Bab 13. Sesungguhnya para imam a.s adalah cahaya Allah a.w

Sesungguhnya Para Imam A.S Adalah Cahaya Allah A.W (anna al-A'immah a.s nuru llah a.w)

(84)-1. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu'alla bin Muhammad, daripada Ali bin Mirdas berkata: Safwan bin Yahya dan al-Hasan bin Mahbub telah meriwayatkan kami daripada Abu Ayyub, daripada Abu Khalid al-Kaabili berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w "Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya yang telah kami turunkan" Maka beliau a.s telah berkata: Wahai Abu Khalid, cahaya, demi Allah, adalah cahaya para imam daripada keluarga Muhammad s.a.w sehingga hari Kiamat. Mereka, demi Allah, adalah cahaya Allah yang Dia telah menurunkannya dan mereka, demi Allah, adalah cahaya Allah di langit dan di bumi. 
Demi Allah, wahai Abu Khalid, cahaya Imam pada hati mukminin adalah lebih bercahaya daripada matahari yang bersinar di siang hari (la-nur al-Imam fi qulub al-Mu'minin anwar min al-Syams al-Mudhi'ah bi al-Nahar). Mereka, demi Allah, menyinari hati mukminin. Allah menghalang cahaya mereka daripada sesiapa yang Dia kehendaki, lalu hati mereka menjadi gelap. Demi Allah, wahai Abu Khalid, seorang hamba tidak mencintai kami dan mewalikan kami (wa llahi, ya Aba Khalid, la yuhibbu-na 'abdun wa yatawallaa-na) sehingga Allah membersihkan hatinya (hatta yutahhira llahu qalba-hu) dan Allah tidak membersihkan hati seorang hamba sehingga beliau menyerahkan dirinya kepada kami (wa la yutahirru llahu qalba 'abdin hatta yusallima la-na) serta berdamai dengan kami (wa yakun silman la-na). Apabila beliau berdamai dengan kami, maka Allah melindunginya dari ketakutan Hisab dan menyelamatkannya dari ketakutan yang lebih besar pada hari Kiamat"

(85)-2. Ali bin Ibrahim dengan sanad-sanadnya, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah "Mereka yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang mereka mendapatinya tertulis di dalam Turat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka mereka yang beriman kepada-nya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang diturunkan kepadanya, maka itulah mereka yang beruntung" Beliau a.s telah berkata: Cahaya pada ayat ini adalah [Ali] Amir al-Mukminin a.s dan para imam a.s.

(86)-3. Ahmad bin Idris, daripada Muhammad bin Abd al-Jabbar, daripada Ibn Fadhdhal, daripada Tha'labah bin Maimun, daripada Abu Jarud berkata: Aku telah berkata kepada Abu Ja'far a.s: Allah telah kurniakan kepada Ahlu l-Kitab kebaikan yang banyak. Beliau a.s telah berkata: Apakah itu? Aku telah berkata: Firman Allah "Golongan yang telah Kami datangkan kepada mereka al-Kitab sebelumnya al-Qur'an, mereka beriman dengan al-Qur'an itu. Apabila dibacakan kepada mereka, mereka telah berkata: Kami beriman kepadanya; sesungguhnya al-Qur'an itu suatu kebenaran dari Tuhan kami sesungguhnya kami sebelumnya adalah mereka yang membenarkan(nya). Mereka itu diberi pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka" 
Beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah telah kurniakan kepada kamu sebagaimana Dia telah kurniakan kepada mereka. Kemudian beliau a.s telah membaca firman-Nya: "Wahai mereka yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, nescaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian dan menjadikan untukmu cahaya dan dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dengannya" Iaitu Imam yang kamu ikutinya"

(87)-4. Ahmad bin Mihran, daripada Abd al-'Azim bin Abdullah al-Hasani, daripada Ali bin Asbaat dan al-Hasan bin Mahbub, daripada Ayyub, daripada Abu Khalid al-Kabiliy berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah mengenai firman Allah "Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya yang telah kami turunkan" Maka beliau a.s telah berkata: Wahai Abu Khalid, cahaya, demi Allah, adalah cahaya para imam daripada keluarga Muhammad s.a.w sehingga hari Kiamat. Mereka, demi Allah, adalah cahaya Allah yang mana Dia telah menurunkannya dan mereka, demi Allah, adalah cahaya Allah di langit dan di bumi. Demi Allah, wahai Abu Khalid, cahaya Imam pada hati mukminin adalah lebih bercahaya daripada matahari yang bersinar di siang hari (la-nur al-Imam fi qulub al-Mu'minin anwar min al-Syams al-Mudhi'ah bi al-Nahar). Mereka, demi Allah, menyinari hati mukminin. Allah menghalang cahaya mereka daripada sesiapa yang Dia kehendaki, lalu hati mereka menjadi gelap dan Dia menutup mereka dengannya"

(88)-5. Ali bin Muhammad, dan Muhammad bin al-Hasan, daripada Sahal bin Ziyad, daripada Muhammad bin al-Hasan bin Syammun, daripada Abdullah bin Abd al-Rahman al-Assam, daripada Abdullah bin al-Qasim, daripada Salih bin Sahal al-Hamdani berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata mengenai firman Allah "Allah adalah cahaya langit dan bumi perumpamaan cahaya-Nya adalah sebuah lubang yang tak tembus (Fatimah a.s) yang di dalamnya ada pelita besar (al-Hasan). Dan pelita itu di dalam kaca (al-Husain), kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara (Fatimah a.s adalah bintang yang bercahaya di antara wanita dunia) yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkatnya (Ibrahim a.s), pohon zaiton yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat (bukan yahudi dan bukan pula kristian) minyaknya hampir-hampir menerangi (hampir-hampir ilmunya terpancar) walaupun tidak disentuh api, cahaya di atas cahaya (Imam daripadanya selepas Imam). Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki (Allah membimbing kepada para imam a.s mereka yang Dia kehendaki) Dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan kepada manusia" 
Aku telah bertanya kepadanya mengenai firman Allah "Atau seperti gelap gulita di lautan yang dalam yang diliputi oleh ombak" Beliau a.s telah berkata: Orang yang pertama (al-Awwal) dan sahabatnya (wa sahibu-hu) "gelap gulita yang ditutupi oleh ombak" Orang yang ketiga (al-Thalith) di atasnya awan yang gelap gulita (orang yang kedua) yang bertindih-tindih (Mu'awiyah la'ana-hu llahu dan fitnah Bani Umayyah) apabila dia mengeluarkan tangannya (mukmin di dalam kegelapan fitnah mereka) dia tidak dapat melihatnya dan sesiapa yang Allah tidak menjadikan cahaya untuknya (Imam daripada anak lelaki Fatimah a.s) tidak ada baginya cahaya (Imam pada hari Kiamat). 
Dan beliau a.s telah berkata mengenai firman Allah "Pada hari ketika kamu melihat orang mukmin lelaki dan perempuan sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka" : Pada hari Kiamat para imam mukminin berjalan di hadapan mukminin dan di kanan mereka sehingga mereka ditempatkan bersama penghuni syurga"
Ali bin Muhammad dan Muhammad bin al-Hasan, daripada Sahal bin Ziyad, daripada Musa bin al-Qasim al-Bajaliy dan Muhammad bin Yahya, daripada Umar Kiyy bin Ali, daripada Ali bin Ja'far a.s, daripada saudara lelakinya Musa a.s seumpamanya.

(89)-6. Ahmad bin Idris, daripada al-Husain bin Abdullah, daripada Muhammad bin al-Hasan dan Musa bin Umar, daripada al-Hasan bin Mahbub, daripada Muhammad bin Fudhail, daripada Abu al-Hasan a.s telah berkata: Aku telah bertanya beliau a.s mengenai firman Allah t.w "Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka" Beliau a.s telah berkata: Mereka ingin memadamkan wilayah Amir al-Mukminin a.s dengan mulut-mulut mereka". Aku telah berkata: Firman-Nya "Dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya" Beliau a.s telah berkata: Allah akan menyempurnakan imamah dan imamah adalah cahaya sebagaimana firman-Nya "Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya yang telah kami turunkan" Beliau a.s telah berkata: Cahaya itu adalah Imam (al-Nur huwa al-Imam)"