Bab 16. Sesungguhnya para imam a.s adalah mereka yang mempunyai kuasa dan merekalah yang didengkikan

Sesungguhnya Para Imam A.S Adalah Mereka Yang Mempunyai Kuasa Dan Merekalah Yang Didengkikan (inna al-Aimmata a.s wullat al-Amri wa hum al-Naas al-Mahsudun)

(95)-1. Al-Husain bin Muhammad bin 'Amir al-Asy'ari, daripada Mu'alla bin Muhammad berkata: Al-Hasan ibn Ali al-Wasya' telah memberitahuku, daripada Ahmad bin 'A'idh, daripada ibn Udhinah, daripada Buraid al-'Ajali berkata: Aku telah bertanya Abu Ja'far a.s tentang firman Allah a.w "Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan uli al-Amri di antara kamu" Maka beliau a.s telah membaca firman Allah "Apakah kamu tidak memperhatikan mereka yang diberi bahagian dari al-Kitab? Mereka percaya apa yang disembah selain Allah dan taghut dan mengatakan kepada mereka yang kafir bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari mereka yang beriman" 
Mereka telah berkata kepada para imam yang sesat dan penyeru-penyeru kepada neraka: Mereka itu adalah lebih benar jalannya daripada keluarga Muhammad "Mereka itulah orang yang dilaknati Allah. Sesiapa yang dilaknati Allah, nescaya kamu sekali-kali tidak akan memperolehi penolong baginya. Atau adakah bagi mereka bahagian dari kerajaan-Iaitu imamah dan khilafah-Jika ada sekalipun, mereka tidak akan memberi sedikitpun (kebajikan) kepada mansia" Kamilah manusia (al-Naas) yang dimaksudkan oleh Allah. Dan naqir adalah noktah di biji kurma. "Atau adakah mereka dengki kepada manusia lantaran kurnia yang Allah berikan kepada manusia itu?" Kamilah manusia yang didengkikan di atas kurniaan imamah bukan makhluk Allah yang lain (nahnu al-Naas al-Mahsudun 'ala ma ataa-na llahu min al-Imamati duna khalqi llahi ajma'iin) "Sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim" 
Beliau a.s telah berkata: Dia telah menjadikan daripada mereka para rasul, para nabi dan para imam a.s, maka bagaimana mereka mengakuinya pada keluarga Ibrahim a.s sedangkan mereka mengingkarinya pada keluarga Muhammad s.a.w "Maka di antara mereka (yang dengki itu) ada yang beriman kepadanya dan di antara mereka ada yang menghalangi (manusia) dari beriman kepadanya. Dan cukuplah (bagi mereka) Jahanam yang menyala-nyala apinya. Sesungguhnya mereka yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" 

(96)-2. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa'id, daripada Muhammad bin al-Fudhail, daripada Abu al-Hasan a.s tentang firman Allah "Atau adakah mereka dengki kepada manusia lantaran kurnia yang Allah berikan kepada manusia itu?" Beliau a.s telah berkata: Kamilah yang mereka dengkikan (nahnu al-Mahsudun).

(97)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa'id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada Muhammad bin Ahwal, daripada Humraan bin A'yan berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w "Sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim" Maka beliau a.s telah berkata: Al-Kitab adalah Kenabian (al-Nubuwwah). Aku telah berkata: Al-Hikmah? Beliau a.s telah berkata: Kefahaman dan hukuman (adil). Aku telah berkata: "Sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim" Beliau a.s telah berkata: Ketaatan.

(98)-4. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu'alla bin Muhammad, daripada al-Wasya', daripada Hammad bin Uthman, daripada Abu al-Sabah berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w "Atau adakah mereka dengki kepada manusia lantaran kurnia yang Allah berikan kepada manusia itu?" Beliau a.s telah berkata: Wahai Abu al-Sabah, kamilah, demi Allah, manusia yang di dengkikan (nahnu al-Naas al-Mahsudun).

(99)-5. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Muhammad bin Abu 'Umair, daripada Umar bin Udhinah, daripada Buraid al-'Ajali, daripada Abu Ja'far a.s tentang firman Allah a.w "Sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab dan Hikmah kepada keluarga Ibrahim" Beliau a.s telah berkata: Dia telah menjadikan daripada mereka para rasul, para nabi dan para imam a.s, maka bagaimana mereka mengakuinya pada keluarga Ibrahim a.s sedangkan mereka mengingkarinya pada keluarga Muhammad s.a.w. Aku telah berkata: "Kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar"? Beliau a.s telah berkata: Kerajaan yang besar (al-Mulk al-A'zim) bahawa Dia telah menjadikan di kalangan mereka para imam; sesiapa yang mentaati mereka, maka sesungguhnya beliau mentaati Allah dan sesiapa yang menderhakai mereka, maka beliau telah menderhakai Allah, maka Dia adalah kerajaan yang besar.