Bab 24. Tentang hamba-hamba yang dipilih oleh Allah dan mewariskan mereka dengan kitab-Nya, mereka adalah para imam a.s

Tentang Hamba-Hamba Yang Telah Dipilih Oleh Allah Dan Mewariskan Mereka Dengan Kitab-Nya, Mereka Adalah para Imam A.S (fi anna man istafa-hu llahu min 'ibadi-hi wa-auratha-hum kitaba-hu hum al-Aimmatu a.s)

(132)-1. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu'alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Hammad bin Isa, daripada 'Abd al-Mu'min, daripada Salim berkata: Aku telah bertanya Abu Ja'far a.s tentang firman Allah a.w "Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada mereka yang Kami pilih di antara hamba-hamba-Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada (pula) yang lebih cepat berbuat kebaikan" Beliau a.s telah berkata: Al-Sabiq bi al-Khairat (yang cepat berbuat kebaikan) itu adalah Imam dan al-Muqtasid (yang pertengahan) adalah orang yang mengenali imam a.s dan al-Zalim li-nafsi-hi (yang menzalimi dirinya sendiri) adalah orang yang tidak mengetahui imam a.s.

(133)-2. Al-Husain, daripada Mu'alla, daripada al-Wasya', daripada 'Abd al-Karim, daripada Sulaiman bin Khalid, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah bertanya kepadanya tentang firman Allah a.w "Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada mereka yang Kami pilih di antara hamba-hamba-Kami" Beliau a.s telah berkata: Apa pendapat kamu mengenainya? Aku telah berkata: Kami telah berpendapat: Sesungguhnya ia adalah untuk keturunan Fatimah a.s? Beliau a.s telah berkata: Ia bukanlah sebagaimana anda katakan, kerana seorang yang telah menunjukkan pedangnya dan menyeru orang ramai kepada penentangan tidak termasuk di dalam ayat ini. Maka aku telah berkata: Apakah pengertian "yang menzalimi dirinya"? Beliau a.s telah berkata: Orang yang duduk di rumahnya tanpa mengetahui hak seorang imam a.s. Dan "yang pertengahan": Orang yang mengetahui hak seorang imam a.s dan "yang cepat berbuat kebaikan": Imam a.s.

(134)-3. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu'alla bin Muhammad, daripada al-Hasan, daripada Ahmad bin 'Umar berkata: Aku telah bertanya Abu al-Hasan al-Ridha a.s tentang firman Allah a.w "Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada mereka yang Kami pilih di antara hamba-hamba-Kami" Beliau a.s telah berkata: Anak-anak lelaki Fatimah a.s, "yang cepat kepada kebaikan": Imam a.s, "yang pertengahan": Yang mengetahui imam a.s dan "yang menzalimi dirinya": Yang tidak mengetahui imam a.s.

(135)-4. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ibn Mahbub, daripada Abu Wallad berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah tentang firman Allah a.w "Mereka yang telah Kami berikan al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya" Beliau a.s telah berkata: Mereka itu adalah para imam a.s.