Bab 27. Sesungguhnya nikmat yang telah disebut oleh Allah di dalam kitab-Nya adalah para imam a.s

Sesungguhnya Nikmat Yang Telah Disebut Oleh Allah A.W Di Dalam Kitab-Nya Adalah Para Imam A.S (anna al-Ni'mata al-Lati dhakara-ha llahu a.w fi kitabi-hi al-Aimmatu a.s)

(140)-1. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu'alla bin Muhammad, daripada Bustam bin Murrah, daripada Ishaq bin Hassan, daripada al-Haitham bin Waqid, daripada Ali bin al-Husain al-'Abdi, daripada Sa'd al-Asqaaf, daripada al-Asbagh bin Nubatah berkata: Amir al-Mukminin a.s telah berkata: Apakah gerangan kaum yang telah mengubah sunnah Rasulullah s.a.w dan berpaling daripada wasinya? Mereka tidak takut bahawa azab akan turun kepada mereka, kemudian beliau a.s telah membaca ayat "Tidakkah kamu perhatikan mereka yang telah menukar nikmat (ni'mat) Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kehinaan? Iaitu Jahannam, mereka masuk ke dalamnya dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman" Kemudian beliau a.s telah berkata: Kamilah nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya dan dengan kamilah akan berjaya mereka yang berjaya pada hari Kiamat.

(141)-2. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu'alla bin Muhammad secara marfu' tentang firman Allah a.w "Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" Adakah kamu mendustakan seorang nabi atau seorang wasi? Ayat ini diturunkan di dalam Surah al-Rahmaan.

(142)-3. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu'alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Jumhur, daripada Abdullah bin 'Abd al-Rahman, daripada al-Haitham bin Waqid, daripada Abu Yusuf al-Bazzaz berkata: Abu Abdillah a.s telah membaca ayat "Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah supaya kamu mendapat keberuntungan" Beliau a.s telah berkata: Adakah anda mengetahui apakah nikmat-nikmat Allah (alaa' Allah)? Aku telah berkata: Tidak, beliau a.s telah berkata: Nikmat Allah yang paling besar ke atas makhluk-Nya adalah wilayah kami"

(143)-4. Al-Husain bin Muhammad, dariapda Mu'alla bin Muhammad, daripada Muhammad bin Uramah, daripada Ali bin Hassan, daripada 'Abd al-Rahman bin Kathir berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w "Tidakkah kamu perhatikan mereka yang telah menukar nikmat-nikmat) Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kehinaan? Iaitu Jahannam, mereka masuk ke dalamnya dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman" Beliau a.s telah berkata: Ia dimaksudkan dengan Quraisy secara langsung; mereka yang telah memusuhi Rasulullah s.a.w dan melakukan peperangan terhadapnya serta menentang wasiat wasinya.