Bab 28. Sesungguhnya mutawassimin yang disebut oleh Allah di dalam kitab-Nya, mereka adalah para imam a.s

Sesungguhnya Mutawassimiin Yang Disebut Oleh Allah Di Dalam Kitab-Nya Adalah Para Imam A.S (anna al-Mutawassimiin al-Ladhina zakara-humu llahu fi kitabi-hi hum al-Aimmatu a.s)

(144)-1. Ahmad bin Mihran, daripada 'Abd al-'Azim bin Abdullah al-Hasani, daripada Ibn Abi 'Umair berkata: Asbat Bayya' al-Zutti telah memberitahu kepadaku, berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdillah a.s, lalu seorang lelaki bertanya kepadanya tentang firman Allah a.w "Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda (al-Mutawassimiin). Sesungguhnya ia adalah jalan yang lurus" Beliau a.s telah berkata: Kamilah yang mengetahui tanda-tanda (al-Mutawassimun) dan jalan (al-Sabil) pada kami adalah lurus.

(145)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Salmah bin al-Khattab, daripada Yahya bin Ibrahim berkata: Asbat bin Salim telah memberitahu kepadaku, berkata: Aku telah berada di sisi Abu Abdillah a.s, tiba-tiba seorang lelaki dari Hit (di Iraq) telah datang dan berkata: Mudah-mudahan Allah membuatkan semua perkara baik untuk anda, apakah pendapat anda tentang firman Allah a.w "Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda (al-Mutawassimiin) Beliau a.s telah berkata: Kamilah al-Mutawassimun dan jalan (al-Sabil) pada kami adalah lurus"

(146)-3. Muhammad bin Ismail, daripada al-Fadhl bin Syadhan, daripada Hammad bin Isa, daripada Ruba'i bin Abdullah, daripada Muhammad bin Muslim, daripada Abu Ja'far a.s tentang firman Allah a.w "Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda (al-Mutawassimiin" Beliau a.s telah berkata: Mereka itu adalah para imam a.s. Rasulullah s.a.w telah bersabda: Jagalah diri kamu dari firasat mukmin, kerana beliau melihat dengan cahaya Allah a.w sebagaimana firman Allah a.w "Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda" 

(147)-4. Muhammad bin Yahya, daripada al-Hasan bin Ali al-Kufi, daripada 'Abis bin Hisyam, daripada Abdullah bin Sulaiman, daripada Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w "Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda (al-Mutawassimiin). Beliau a.s telah berkata: Mereka itu adalah para imam a.s. dan "Sesungguhnya ia adalah jalan yang lurus" Beliau a.s telah berkata: Ia tidak akan terkeluar daripada kami selama-lamanya.

(148)-5. Muhammad bin Yahya, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Muhammad bin Aslam, daripada Ibrahim bin Ayyub, daripada 'Umru bin Syamir, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s telah berkata: Amir al-Mukmin a.s telah berkata tentang firman-Nya "Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memerhatikan tanda-tanda" Beliau a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w adalah al-Mutawassim dan aku selepasnya dan para imam daripada zuriatku adalah al-Mutawassimuun.
Dan di dalam manuskrip yang lain daripada Ahmad bin Mihran, daripada Muhammad bin Ali, daripada Muhammad bin Aslam daripada Ibrahim bin Ayyub dengan sanad-sanad seumpamanya.