Bab 32. Sesungguhnya para imam adalah pewaris ilmu, seorang (imam) mewarisi ilmu daripada seorang (imam) yang lain

Sesungguhnya Para Imam A.S Adalah Pewaris Ilmu, Seorang [Imam] Mewarisi Ilmu Daripada Seorang [Imam] Yang lain (anna al-Aimmata a.s warathatu al-'ilm, yarithu ba'dhu-hum ba'dhan al 'ilma)

(160)-1. Daripada beberapa orang sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa'id, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada Buraid bin Mu'awiyah, daripada Muhammad bin Muslim, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Sesungguhnya Ali adalah seorang yang alim dan ilmu boleh diwarisi, tidak mati seorang alim melainkan tempatnya diganti oleh orang yang mengetahui ilmunya atau apa yang dikehendaki Allah.

(161)-2. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Hammad bin Isa, daripada Huraiz, daripada Zurarah dan al-Fudhail, daripada Abu Ja'far a.s telah berkata: Sesungguhnya ilmu yang telah turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan dan ilmu diwarisi. Ali a.s adalah orang alim umat ini. Sesungguhnya seorang alim daripada kami tidak mati melainkan seorang daripada keluarganya yang mempunyai ilmu sepertinya menggantikannya atau apa yang dikehendaki Allah.

(162)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Baraqi, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada 'Abd al-Hamid al-Ta'i, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Abu Ja'far a.s telah berkata: Sesungguhnya ilmu diwarisi (yatawarathu) dan seorang alim tidak akan mati melainkan beliau meninggalkan seorang alim seumpamanya atau apa yang dikehendaki Allah.

(163)-4. Abu Ali al-Asy'ari, daripada Muhammad bin 'Abd al-Jabbar, daripada Safwan, daripada Musa bin Bakr, daripada al-Fudhail bin Yasar berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s berkata: Sesungguhnya pada Ali a.s sunnah seribu nabi. Sesungguhnya ilmu yang telah turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan dan tidak mati seorang alim (imam) sehingga hilang ilmunya dan ilmu diwarisi.

(164)-5. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa'id, daripada Fadhalah bin Ayyub, daripada Umar bin Abban berkata: Aku telah mendengar Abu Ja'far a.s berkata: Sesungguhnya ilmu yang telah turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan. Seorang alim tidak akan mati sehingga ilmunya dihilangkan" 

(165)-6. Muhammad, daripada Ahmad, daripada Ali bin al-Nu'man secara marfu', daripada Abu Ja'far a.s telah berkata: Mereka menghisap lembapan sementara itu mereka meninggalkan sungai yang besar (al-Nahr al-'Azim). Ada orang berkata kepadanya: Apakah sungai yang besar itu? Beliau a.s telah berkata: Rasulullah s.a.w dan ilmu yang diberi oleh Allah kepadanya. Sesungguhnya Allah a.w telah mengumpulkan untuk Muhammad s.a.w sunnah-sunnah para nabi daripada Adam sehinggalah kepada Muhammad s.a.w. Ada orang bertanya kepadanya: Apakah sunnah-sunnah itu? Beliau a.s telah berkata: Ilmu para nabi kesemuanya ('ilm al-Nabiyyin bi-asri-hi). 
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memberikan semuanya kepada Amir al-Mukminin a.s, seorang lelaki telah bertanya: Wahai anak lelaki Rasulullah, adakah Amir al-Mukminin lebih mengetahui (a'lam) atau sebahagian nabi? Abu Ja'far a.s telah berkata: Dengarlah apa yang beliau kata? Sesungguhnya Allah membuka telinga sesiapa yang Dia kehendaki, sesungguhnya aku telah memberitahu kepadanya bahawa sesungguhnya Allah telah mengumpulkan untuk Muhammad s.a.w ilmu para nabi dan sesungguhnya Dia telah mengumpulkan semuanya di sisi Amir al-Mukminin a.s, beliau telah bertanya kepadaku, adakah beliau (Ali a.s) lebih mengetahui atau sebahagian para nabi [lebih mengetahui]"

(166)-7. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Baraqi, daripada al-Nadhar bin Suwaid, daripada Yahya al-Halabi, daripada 'Abd al-Hamid al-Ta'i, daripada Muhammad bin Muslim berkata: Abu Ja'far a.s telah berkata: Sesungguhnya ilmu diwarisi, maka seorang alim tidak akan mati sehingga beliau meninggalkan seorang yang mengetahui seumpama ilmunya atau apa yang dikehendaki Allah"

(167)-8. Ali bin Ibrahim, daripada Muhammad bin Isa, daripada Yunus, daripada al-Harith bin al-Mughirah berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah berkata: Sesungguhnya ilmu yang turun bersama Adam a.s tidak dihilangkan dan seorang alim tidak akan mati melainkan beliau telah mewariskan ilmunya. Sesungguhnya bumi tidak akan tinggal tanpa seorang yang alim.