Bab 34. Sesungguhnya para imam a.s di sisi mereka semua kitab yang diturunkan di sisi Allah a.w dan sesungguhnya mereka mengetahui [nya] sekalipun berbeza bahas

Sesungguhnya Para Imam A.S Di Sisi Mereka Semua Kitab Yang Diturunkan Oleh Allah A.W Dan Sesungguhnya Mereka Mengetahuinya Sekalipun Berbeza bahasanya (inna al-Aimmata a.s 'inda-hum jami'a al-Kutub al-Lati nazalat min 'indi llahi a.w wa inna-hum ya'rifuuna-ha 'ala ikhtilafi alsinati-ha)

(175)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada al-Hasan bin Ibrahim, daripada Yunus, daripada Hisyam bin al-Hakam di dalam riwayatnya tentang Buraih apabila dia datang bersamanya kepada Abu Abdillah a.s, tiba-tiba dia berjumpa dengan Abu al-Hasan Musa bin Ja'far a.s, Lalu Hisyam menceritakan kepadanya satu hikayat. Manakala dia selesai, maka Abu al-Hasan a.s telah berkata kepada Buraih: Wahai Buraih, bagaimana keilmuan anda tentang kitab anda? Dia berkata: Aku benar-benar mengetahui tentangnya. Kemudian dia berkata: Bagaimana kepercayaan anda tentang takwilnya? 
Dia berkata: Aku yakin dengan ilmuku mengenainya. Hisyam berkata: Abu al-Hasan a.s mulai membaca Injil. Kemudian Buraih berkata: Aku telah mencari anda selama lima puluh tahun atau orang seperti anda. Lalu Buraih telah beriman dan imannya adalah baik dan seorang wanita bersamanya juga telah beriman. Kemudian Hisyam, Buraih dan wanita tadi datang berjumpa dengan Abu Abdillah a.s. Lalu Hisyam menceritakan kepada Abu Abdillah a.s tentang percakapan yang telah berlaku di antara Abu al-Hasan dan Buraih, maka Abu Abdillah a.s membaca firman Allah a.w "Iaitu satu keturunan yang sebahagiannya dari yang lain. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" Buraih berkata: Dari manakah Taurah, Injil dan kitab-kitab para nabi datang kepada anda? 
Beliau a.s telah berkata: Kitab-kitab tersebut ada di sisi kami sebagai warisan daripada mereka, kami membacanya sebagaimana mereka membacanya dan kami menerimanya sebagaimana mereka telah menerimanya, sesungguhnya Allah tidak menjadikan seorang Hujjah di bumi-Nya apabila ditanya tentang sesuatu, maka dia akan berkata: Aku tidak mengetahuinya.

(176)-2. Ali bin Muhammad dan Muhammad bin al-Hasan, daripada Sahal bin Ziyad, daripada Bakr bin Salih, daripada Muhammad bin Sinan, daripada Mufadhdhal bin Umar berkata: Kami telah datang di pintu [rumah] Abu Abdillah a.s dan kami mahu meminta izin daripadanya, tiba-tiba kami telah mendengarnya bercakap dengan bahasa bukan Arab, maka kami menyangka bahawa ia adalah bahasa Syriac. Kemudian beliau a.s telah menangis, lalu kamipun menangis kerana tangisannya. Kemudian seorang budak keluar kepada kami, lalu dia membenarkan kami masuk, maka kamipun masuk berjumpa dengannya. 
Aku telah berkata: Aslaha-ka llahu, kami telah mendatangi anda, kami ingin meminta izin anda, kemudian kami telah mendengar percakapan yang bukan berbahasa Arab, maka kami telah menyangka bahawa ia adalah bahasa Syriac. Kemudian anda telah menangis, lalu kami telah menangis sama kerana tangisan anda, maka beliau a.s telah berkata: Ya, aku telah mengingati nabi Ilyas, beliau adalah seorang nabi Bani Israel yang amat kuat ibadatnya, maka aku telah berkata sebagaimana beliau telah berkata di dalam sujudnya. Kemudian belia a.s telah membacanya di dalam bahasa Syriac yang baik. Demi Allah, kami belum pernah melihat seorang paderi atau Jaathiliq yang lebih fasih daripadanya. Kemudian beliau a.s telah menerangkannya di dalam bahasa Arab. Beliau a.s telah berkata di dalam sujudnya: 

Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku 
dahaga kerana beribadat kepadaMu
Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku
Melumurkan mukaku dengan tanah untuk beribadat 
kepadaMu
Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku
Menjauhi segala maksiat,
Adakah Engkau terfikir untuk mengazabku sedangkan aku
Berjaga malam untukMu

Beliau telah berkata: Allah telah mewahyukan kepadanya: "Supaya mengangkat kepala engkau [dari sujud], sesungguhnya Aku tidak akan mengazab engkau. Beliau telah berkata: Jika Engkau berkata: Aku tidak mengazab engkau, kemudian Engkau mengazab aku bagaimana? Tidakkah aku ini hambaMu dan Engkau adalah Tuhanku? Maka Allah telah memberi wahyu kepadanya: Angkatlah kepala engkau [dari sujud], sesungguhnya Aku tidak akan mengazabmu, sesungguhnya Aku apabila Aku membuat janji, maka Aku melaksanakannya.