Bab 36. Apa yang diberikan kepada para imam a.s tentang "nama Allah yang maha besar"

Apa Yang Diberikan Kepada Para Imam A.S Tentang "Nama Allah Yang Maha Besar" (ma u'tiya al-Aimmatu a.s min ismi llahi al-A'zam)

(183)-1. Muhammad bin Yahya dan selain daripadanya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Ali bin al-Hakam, daripada Muhammad bin al-Fudhail berkata: Syurais al-Wabisi telah memberitahuku, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s telah berkata: Sesungguhnya nama Allah Yang Maha Besar adalah tujuh puluh tiga huruf. Sesungguhnya Asif mempunyai satu huruf sahaja apabila beliau bercakap dengannya, maka bumi telah mengecut di antaranya dan singgahsana Balqis sehingga beliau telah mengmbil singgahsana Balqis dengan tangannya. Kemudian bumi telah kembali kepada keadaan seperti sebelumnya lebih cepat daripada sekelip mata. Kami memiliki tujuh puluh dua huruf daripada nama Allah yang Maha Besar. Dan satu huruf di sisi Allah yang mana Dia menggunakannya untuk mengetahui ilmu ghaib di sisi-Nya. Tiada helah dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar"

(184)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa'id dan Muhammad bin Khalid, daripada Zakaria bin 'Iraan al-Qummi, daripada Harun al-Jahmi, daripada seorang lelaki daripada sahabat Abu Abdillah a.s yang mana aku tidak mengingati namanya berkata: Aku telah mendengar Abu Abdillah a.s berkata: Sesungguhnya Isa bin Maryam a.s diberikan dua huruf yang mana beliau telah menggunakannya. Musa diberikan empat huruf, Ibrahim diberikan lapan huruf, Nuh diberikan lima belas huruf, Adam diberikan dua puluh lima huruf. Sesungguhnya Allah telah mengumpulkan semuanya kepada Muhammad s.a.w. Sesungguhnya "nama Allah Yang Maha Besar" adalah tujuh puluh tiga huruf, diberikan kepada Muhammad s.a.w adalah tujuh puluh dua huruf dan disembunyikan daripadanya satu huruf.

(185)-3. Al-Husain bin Muhammad bin Muhammad al-Asy'ari, daripada Mu'alla bin Muhammad, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abdullah, daripada Ali bin Muhammad al-Naufali, daripada Abu al-Hasan Sahib al-'Askar a.s berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Nama Allah Yang Maha Besar (ismu llahi al-A'zam) adalah tujuh puluh tiga huruf, Asif telah memiliki satu huruf apabila beliau bercakap dengannya, maka bumi telah berlipat untuknya lebih cepat daripada sekelip mata di antaranya dan Saba', lantas beliau telah mengambil singgahsana Balqis dan membawanya kepada Sulaiman. Kemudian bumi telah terhampar lebih cepat daripada sekelip mata. Kami mempunyai tujuh puluh dua huruf dan satu huruf di sisi Allah yang mana Dia menggunakannya bagi mengetahui perkara ghaib.