Bab 55. Tentang sebutan roh-roh pada para imam a.s

Tentang Sebutan Roh-Roh Pada Para Imam A.S (fi-hi dhikr al-Arwaah al-Lati fi al-Aimmati a.s)

(284)-1. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa'id, daripada Hammad bin Isa, dariapda Ibrahim bin Umar al-Yamani, daripada Jabir al-Ja'fi berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Wahai Jabir, sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk tiga jenis, iaitu sebagaimana firman-Nya a.w "Dan kamu menjadi tiga golongan, iaitu golongan kanan. Alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan mereka yang paling dahulu beriman. Balasan kepada mereka yang paling dahulu beriman. Mereka itulah orang yang didekatkan (kepada Allah)" 
Al-Sabiquun (mereka yang paling dahulu beriman) ialah para rasul a.s dan mereka yang mempunyai perhubungan yang istimewa dengan Allah daripada makhluk-Nya. Dia telah menjadikan pada mereka lima roh (arwaah). Dia telah menyokong mereka dengan ruh al-Quds, maka dengannyalah mereka telah mengetahui berbagai perkara. Dia telah menyokong mereka dengan roh iman, maka dengannyalah mereka telah takut kepada Allah a.w. Dia telah menyokong mereka dengan roh kekuatan, maka dengannyalah mereka telah mampu melakukan ketaatan kepada Allah. 
Dia telah menyokong mereka dengan roh syahwat, maka dengannyalah mereka rindukan ketaatan kepada Allah a.w dan membenci kemaksiatan kepada-Nya. Dia telah menjadikan pada mereka roh al-Madraj (roh pergerakan) yang dengannyalah manusia pergi dan datang. Dia telah menjadikan pada mukminin dan golongan kanan roh iman, maka dengannyalah mereka telah takut kepada Allah. Dia telah menjadikan pada mereka roh kekuatan, maka dengannyalah mereka telah mampu untuk mentaati Allah. Dia telah menjadikan pada mereka roh syahwat, maka dengannyalah mereka rindukan ketaatan kepada Allah. Dan Dia telah menjadikan pada mereka roh al-Madraj, maka dengannyalah manusia pergi dan datang.

(285)-2. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada Musa bin 'Umru, daripada Muhammad bin Sinan, daripada 'Ammar bin Marwan, daripada al-Mankhal, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s telah berkata: Aku telah bertanya kepadanya tentang ilmu seorang alim, maka beliau a.s telah berkata kepadaku: Sesungguhnya para nabi dan para wasi mempunyai lima roh (arwaah). Roh kudus, roh iman, roh kehidupan, roh kekuatan dan roh syahwat. Maka dengan roh kudus, wahai Jabir, mereka telah mengetahui apa yang ada di bawah Arasy sehingga apa yang ada di bawah bumi. Kemudian beliau a.s telah berkata: Wahai Jabir, sesungguhnya empat roh ini akan berlaku perubahan di luar dugaan padanya, tetapi roh kudus tidak akan berlaku perubahan padanya.

(286)-3. Al-Husain bin Muhammad, daripada al-Mu'alla bin Muhammad, daripada Abdullah bin Idris, daripada Muhammad bin Sinan, daripada al-Mufadhdhal bin 'Umar, daripada Abu Abdillah a.s, berkata: Aku telah bertanya kepadanya ilmu seorang imam [mengetahui] di seluruh pelusuk bumi sedangkan beliau a.s berada di rumahnya yang ditutupi langsirnya? Beliau a.s telah berkata: Wahai Mufadhdhal, sesungguhnya Allah telah menjadikan pada nabi lima roh: Roh kehidupan, maka dengannyalah beliau berjalan dan pergi, roh kekuatan, maka dengannyalah beliau bangkit dan berjuang. Roh syahwat, maka dengannyalah beliau makan, minum dan "datang" kepada perempuan secara halal. Roh iman, maka dengannyalah beliau beriman dan melakukan keadilan. Dan roh kudus, maka dengannyalah beliau menanggung kenabian. Apabila nabi s.a.w mati, maka roh kudus berpindah kepada imam a.s. Roh kudus tidak tidur, tidak lupa, tidak bermain dan tidak berlaku perubahan padanya. Adapun empat roh yang lain, tidur, lalai, bermain dan boleh berubah. Beliau (nabi/imam) melihat sesuatu melalui roh kudus.