Bab 79. Bab yang luar biasa tentang keghaibannya

Bab Yang Luar Biasa Tentang Keghaiban (bab nadir fi hali ghaibah)

(455)-1. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Muhammad bin Khalid, daripada orang yang beliau telah menyebutnya, daripada al-Mufadhdhal bin Umar dan Muhammad bin Yahya, daripada Abdullah bin Muhammad bin Isa, daripada bapanya, daripada sebahagian sahabatnya, daripada al-Mufadhdhal bin Umar, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Perkara yang paling hampir bagi seorang hamba kepada Allah a.w adalah menyebutNya dan perkara yang paling diredai olehNya adalah apabila mereka tidak mendapati Hujjah Allah dan beliau tidak dilihat oleh mereka dan mereka tidak mengetahui tempatnya pula. Meskipun sedemikian mereka mengetahui bahawa Hujjah Allah masih ada dan perjanjiannya tidak terbatal. 
Di dalam keadaan sedemikian, kamu menanti kejayaannya (al-Faraj) di waktu pagi dan petang. Kerana kemurkaan Allah terhadap musuh-musuh-Nya adalah apabila mereka tidak dapat mencari Hujjah-Nya dan beliau pula tidak menzahirkan dirinya kepada mereka. Sesungguhnya Dia telah mengetahui bahawa para walinya tidak akan merasa bimbang. Jika Dia mengetahui bahawa mereka merasa bimbang, nescaya Dia tidak akan menyembunyikan Hujjah-Nya daripada mereka sekalipun sekelip mata. Justeru, ia tidak akan terjadi melainkan kepada mereka yang paling jahat.

(456)-2. Al-Husain bin Muhammad al-Asy'ari, daripada Mu'alla bin Muhammad, daripada Ali bin Mirdas, daripada Safwan bin Yahya dan al-Hasan bin Mahbub, daripada Hisyam bin Salim, daripada 'Ammar al-Sabatiy berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdillah a.s: Manakah yang paling baik: Ibadat secara rahsia sedangkan imam di kalangan kamu bersembunyi (ma'a al-Imam min-kum al-Mustatir) di dalam kerajaan yang batil atau ibadat secara menzahirkan kebenaran dan [keburukan] kerajaannya sedangkan imam di kalangan kamu di dalam keadaan zahir (ma'a al-Imam min-kum al-Zahir)? Maka beliau a.s telah berkata: Wahai 'Ammar, sedekah secara rahsia (fi al-Sirr), demi Allah, adalah lebih baik daripada sedekah secara terang-terang (al-'Alaniyah). 
Demikianlah juga, demi Allah, ibadat kamu secara rahsia sedangkan imam kamu bersembunyi di dalam kerajaan yang batil, dan ketakutan kamu terhadap musuh-musuh kamu di dalam kerajaan yang batil dan genjatan senjata adalah lebih baik daripada orang yang menyembah Allah secara menzahirkan kebenaran bersama imam yang benar zahir di dalam kerajaan yang benar. Ibadat dalam keadaan takut di dalam kerajaan yang batil tidaklah sama seperti ibadat dalam keamanan di dalam kerajaan yang benar. 
Ketahuilah bahawa orang yang telah melakukan sembahyang fardu di kalangan kamu secara berjemaah [dengan orang lain] pada hari ini bersembunyi daripada musuhnya, di dalam waktunya, lalu beliau menyempurnakannya, maka Allah mendaftarkan untuknya [pahala] lima puluh sembahyang fardu secara berjemaah. Sesiapa yang telah melakukan sembahyang fardu berkeseorangan, bersembunyi daripada musuhnya di dalam waktunya, lalu beliau menyempurnakannya, maka Allah mendaftarkan untuknya [pahala] dua puluh lima sembahyang persendirian. Sesiapa yang telah melakukan sembahyang sunat di dalam waktunya, lalu beliau menyempurnakannya, maka Allah mendaftarkan untuknya [pahala] sepuluh sembahyang sunat. 
Sesiapa yang melakukan kebaikan di kalangan kamu, maka Allah mendaftarkan untuknya dua puluh kebaikan dan melipatgandakan kebaikan mukmin di kalangan kamu apabila beliau melakukan amalannya dengan baik, melakukan taqiyyah tentang agamanya, imamnya, dirinya dan menahan lidahnya, sesungguhnya Allah Maha Mulia. Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, sesungguhnya, demi Allah, anda telah mendorong aku untuk melakukan amalan yang baik dan menggalakkan aku kepadanya, tetapi aku ingin tahu bagaimana amalan kita pada hari ini terjadi lebih baik daripada [amalan] para sahabat imam yang zahir di kalangan kamu di dalam kerajaan yang benar sedangkan kami di dalam satu agama? 
Beliau telah berkata: Sesungguhnya kamu telah mendahului mereka memasuki agama Allah, (mendahului mereka di dalam] sembahyang, puasa, haji, segala kebaikan yang dipersetujui olehNya dan segala ibadat kepada Allah secara tersembunyi daripada musuh kamu bersama imam kamu yang tersembunyi di dalam keadaan [kamu] mentaatinya, bersabar bersamanya, menanti kerajaan yang benar (daulat al-Haq), khuatir ke atas [keselamatan] imam kamu dan diri kamu daripada raja-raja yang zalim. Kamu melihat kepada hak imam kamu dan hak kamu di tangan-tangan mereka yang zalim. Sesungguhnya mereka telah menegah kamu daripadanya dan memaksa kamu bekerja keras di dunia dan mencari kehidupan dengan penuh kesabaran di atas agama kamu, ibadat kamu, ketaatan kepada imam kamu dan ketakutan terhadap musuh kamu. Justeru Allah akan melipatgandakan [pahala] amalan kamu, maka tahniah untuk kamu.
Aku telah berkata: Aku telah menjadikan diriku tebusan anda, apakah pendapat anda jika kami menjadi sahabat al-Qaim dan kebenaran terserlah sedangkan kami sekarang di dalam imamah anda dan ketaatan kepada anda itu lebih baik amalan daripada para sahabat kerajaan kebenaran dan keadilan? Beliau a.s telah berkata: Subhanallah, adakah kamu suka bahawa Allah menzahirkan kebenaran dan keadilan di seluruh negara, Allah akan menyatukan kalimah dan Allah menjinakkan di antara hati-hati yang bermacam-macam, mereka tidak menderhakai Allah di bumi-Nya, hudud-Nya dilaksanakan pada makhluk-Nya, Allah akan mengembalikan kebenaran kepada ahlinya, maka ia akan terserlah sehingga tiada seorangpun menyembunyikan kebenaran kerana takutkan makhluk. Demi Allah, wahai 'Ammar, seorang daripada kamu tidak akan mati di dalam keadaan kamu sekarang melainkan beliau adalah lebih baik di sisi Allah daripada kebanyakan para syuhada' Badr dan Uhud, lantaran itu, bergembiralah.

(457)-3. Ali bin Muhammad, daripada Sahl bin Ziyad, daripada Ibn Mahbub, daripada Husyam bin Salim, daripada Abi Hamzah, daripada Abi Ishaq berkata: Orang yang dipercayai di kalangan sahabat Amir al-Mukminin a.s telah memberitahu kepadaku bahawa sesungguhnya mereka telah mendengar Amir al-Mukminin a.s a.s telah berkata di dalam khutbahnya: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku mengetahui bahawa ilmu tidak boleh dibawa kesemuanya dan disembunyikan pada satu tempat. 
Asasnya tidak terputus, sesungguhnya Engkau tidak akan mengosongkan bumi Engkau daripada seorang Hujjah untuk Engkau ke atas makhluk Engkau, zahir tetapi tidak memerintah atau yang ketakutan atau tidak diketahui supaya Hujjah Engkau tidak terbatal dan para wali Engkau tidak tersesat selepas Engkau menunjukkan mereka. Malah di manakah mereka dan berapakah bilangan mereka? Mereka adalah sedikit dari segi bilangan, tetapi dari segi pangkat mereka adalah "besar" di sisi Allah. Mereka mentaati pimpinan agama, para imam yang memberi petunjuk, mereka yang beradab dengan adab-adab mereka, mengikuti cara mereka. Justeru mereka mempunyai ilmu yang dapat mencapai hakikat keimanan. Lantaran itu, roh-roh mereka menyahuti pimpinan ilmu. Mereka mempermudahkan percakapan mereka yang sukar difahami oleh orang lain. Mereka mendapat ketenteraman yang dikhuatiri oleh pembohong-pembohong dan ditolak oleh pemboros-pemboros. 
Mereka adalah pengikut-pengikut para ulama, mereka bersahabat dengan ahli dunia dengan mentaati Allah dan para wali-Nya. Mereka berpegang dengan taqiyyah daripada agama mereka kerana takutkan musuh mereka. Roh-roh mereka tergantung di tempat yang tinggi, para ulama mereka dan pengikut-pengikut mereka menahan lidah mereka dan berdiam diri di dalam kerajaan yang batil, menanti kerajaan yang benar. Allah akan melaksanakan kebenaran dengan kalimah-kalimah-Nya dan menghapuskan kebatilan. Alangkah beruntungnya mereka yang bersabar di atas agama mereka di dalam gencatan senjata mereka (fi hali hudnati-him). Alangkah rindunya untuk melihat mereka ketika terserlahnya kerajaan mereka. Allah akan mengumpulkan kita dan mereka di syurga-syurga Aden [begitu juga] bapa-bapa mereka, isteri-isteri mereka dan zuriat-zuriat mereka.