Bab 95. Penerimaan sepenuhnya dan kelebihan mereka yang menerima sepenuhnya

Penerimaan Sepenuhnya Dan Kelebihan Mereka Yang Menerima Sepenuhnya (al-Taslim wa fadhl al-Musallimin)

(585)-1. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa, daripada Ibn Sinan, daripada Ibn Maskan, daripada Sudair berkata: Aku telah berkata kepada Abu Ja'far a.s: Sesungguhnya aku telah meninggalkan mereka yang mewalikan anda (muwalli-ka) berselisih faham, sebahagian mereka melepaskan diri daripada sebahagian yang lain, maka beliau a.s telah berkata: Apakah kedudukan anda dalam perkara itu? Sesungguhnya manusia ditaklifkan dengan tiga perkara: Mengetahui para imam, penyerahan diri kepada mereka di dalam perkara yang ada kaitan dengan mereka dan merujukkan perkara yang mereka pertikaikan kepada para imam a.s.

(586)-2. Beberapa orang daripada sahabat kami, daripada Ahmad bin Muhammad al-Barqiy, daripada Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr daripada Hammad bin Uthman, daripada Abdillah al-Kahili berkata: Abu Abdillah a.s telah berkata: Jikalaulah mereka telah menyembah Allah Yang Satu, tiada sekutu bagiNya, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji, berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian mereka mengkritik sesuatu yang telah dijadikan oleh Allah atau sesuatu yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w atau mereka telah mendapati perkara itu di dalam hati mereka, nescaya mereka telah menjadi musyrikin. 
Kemudian beliau a.s telah membaca firman Allah: "Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka suatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerimanya dengan sepenuhnya" Kemudian Abu Abdillah a.s telah berkata: Hendaklah kamu menerima dengan sepenuhnya.

(587)-3. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Husain bin Sa'id, daripada Hammad bin Isa, daripada al-Husain bin al-Mukhtar, daripada Zaid al-Syahham, daripada Abu Abdillah a.s, berkata: Aku telah berkata kepadanya: Sesungguhnya di sisi kami seorang lelaki dipanggil Kulaib, maka tidak ada sesuatu yang datang daripada kamu, melainkan beliau telah berkata: Aku menerima sepenuhnya, lalu kami menamakannya Kulaib Taslim. Beliau a.s telah berkata: Kasihanilah beliau, kemudian beliau a.s telah berkata: Adakah kamu mengetahui apa itu al-Taslim (penyerahan diri)? Maka kami telah mendiamkan diri kami. Beliau a.s telah berkata: Demi Allah, ia adalah "penyerahan diri" sebagaimana firman Allah: "Sesungguhnya mereka yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh dan menyerah diri kepada Tuhan" 

(588)-4. Al-Husain bin Muhammad, daripada Mu'alla bin Muhammad, daripada al-Wasyaa', daripada Abban, daripada Muhammad bin Muslim, daripada Abu Ja'far a.s tentang firman Allah a.w: "Dan sesiapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu" Beliau a.s telah berkata: Al-Iqtiraf ialah al-Taslim (penyerahan diri) kepada kami, kebenaran ke atas kami dan janganlah beliau membohongi kami.

(589)-5. Ali bin Muhammad bin Abdillah, daripada Ahmad bin Muhammad al-Barqiy, daripada bapanya, daripada Muhammad bin 'Abd al-Hamid, daripada Mansur bin Yunus, daripada Basyir al-Dahhan, daripada Kamil al-Tammar berkata: Abu Ja'far a.s telah berkata: "Sesungguhnya beruntunglah mereka yang beriman" " adakah anda mengetahui siapakah mereka? Aku telah berkata: Anda lebih mengetahui [tentang mereka], beliau a.s telah berkata: Sesungguhnya beruntunglah mereka yang beriman yang menyerah diri mereka. Sesungguhnya mereka yang menyerah diri itu ialah mereka yang cerdik (al-Najuba'). Justeru, mukmin itu adalah seorang yang ganjil (gharib), maka alangkah beruntungnya mereka yang ganjil.

(590)-6. Ali bin Muhammad, daripada sebahagian sahabat kami, daripada al-Khasysyab, daripada al-'Abbas bin 'Amir, daripada Rabi' al-Musalli, daripada Yahya bin Zakaria al-Ansari, daripada Abu Abdillah a.s telah berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Sesiapa yang ingin menyempurnakan iman semuanya, maka hendaklah beliau berkata: "Kata-kata daripadaku di dalam semua perkara adalah kata-kata keluarga Muhammad sama ada perkara yang telah dirahsiakan oleh mereka ataupun tidak atau perkara yang telah sampai kepadaku tentang mereka ataupun tidak.

(591)-7. Ali bin Ibrahim, daripada bapanya, daripada Ibn Abi 'Umair, daripada Ibn Udhainah, daripada Zurarah atau Buraid, daripada Abu Ja'far a.s telah berkata: Sesungguhnya Allah telah berfirman kepada Amir al-Mukminin a.s di dalam Kitab-Nya. Aku telah berkata: Di mana tempatnya? Beliau a.s telah berkata: Di dalam firman-Nya: "Sesungguhnya jikalau mereka ketika menzalimi diri mereka sendiri, telah datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasulpun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang. Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan" Iaitu apa yang mereka telah persetujui ke atasnya bahawa jika Allah mematikan Muhammad, mereka tidak akan mengembalikan urusan ini (imamah) kepada Bani Hasyim "kemudian mereka tidak mendapati dalam diri mereka keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan (sama ada membunuh mereka atau mengampuni mereka) dan mereka menerima dengan sepenuhnya" 

(592)-8. Ahmad bin Mihran rahima-hu llahu, daripada 'Abd al-'Azim al-Hasani, daripada Ali bin Asbat, daripada Ali bin 'Uqbah, daripada al-Hakam bin Aiman, daripada Abu Basir berkata: Aku telah bertanya Abu Abdillah a.s tentang firman Allah a.w: "Mereka yang mendengar perkataan, lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah yang diberikan Allah petunjuk dan mereka itulah yang mempunyai akal" 
Beliau a.s telah berkata: Mereka itulah yang telah menyerahkan diri mereka kepada keluarga Muhammad, mereka apabila mendengar hadis, tidak menambahkannya dan tidak pula mengurangkannya. Mereka telah meriwayatkannya sebagaimana mereka telah mendengarnya.