BAHAGIAN KETIGA

Sejarah Qanbar, Mitham bin Yahya, Rusyaid al-Hajari, Zaid bin Sauhan, al-Asytar al-Nakha'i, Sufyan bin Laila, nama-nama para syuhada' Karbala', Surat bin Kulaib, Ibrahim bin Syu'aib dan lain-lain


Qanbar Hamba Amir al-Mukminin

Ahmad bin Muhammad bin Yahya telah memberitahu kami daripada Abdullah bin Ja'far al-Humairi daripada Harun bin Muslim daripada Mas'dah bin Sadaqah daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya sesungguhnya Ali a.s berkata:

Apabila anda melihat perkara mungkar
Nyalakan api dan panggillah Qanbar 

Di dalam riwayat umum: Qanbar telah ditanya: Siapakah anda? Beliau menjawab: Aku adalah hamba kepada orang yang telah memukul dengan dua pedang, telah menikam dengan dua lembing, telah mengerjakan solat ke arah Dua Kiblat, memberi baiah kepada dua baiah, telah berhijrah dua kali dan tidak pernah kafir dengan Allah walaupun sekelip mata.

Aku adalah hamba kepada mukmin yang paling soleh, pewaris para nabi, sebaik-baik wasi, muslim yang lebih besar (kerohaniannya) Ya'sub (ketua) mukminin, cahaya mujahidin, ketua kepada penangis-penangis, perhiasan kepada para abid, lampu kepada mereka yang terdahulu, cahaya kepada mereka yang melakukan ibadah, sebaik-baik mereka yang merendah diri, lidah Rasul Tuhan alam semesta, wasi yang pertama daripada keluarga Yasin (Muhammad s.a.w), diperkuatkan dengan Jibrail, dibantu dengan Mikail yang kuat, dipuji oleh semua penghuni langit, pemelihara Haram muslimin.

Pejuang menentang musuhnya yang menentang (Nasibiin), pemadam kepada api yang dinyalakan, yang paling "megah" di kalangan Quraisy, yang pertama mengendalikan peperangan secara bijak, Amir al-Mukminin dan wasi Nabinya di alam semesta, yang dipercayai oleh seluruh makhluk, khalifah kepada mereka yang diutus kepadanya, penghulu muslimin dan mereka yang terdahulu, memerangi al-Nakithin, al-Qasitin, pemusnah musyrikin, anak panah kepada munafikin, lisan kalimah Allah dan pembantu-Nya di bumi, tempat simpan ilmu-Nya, gua agama-Nya, Imam kepada mereka yang baik diredai di sisi Yang Maha Tinggi dan Perkasa, pemaaf, pemurah, pemalu, ketawa, berjaga malam, disucikan, sempurna di dalam pengalamannya, memiliki pemerintahan, penyabar, berpuasa, penunjuk, maju ke depan, pemecah al-Ahzab, dan penguasanya, berpegang teguh kepada syariah, tabah hati, peribadi yang kuat, cekal, berani, keras, singa, sempurna akalnya, pandai berkhutbah, pandai berdialog, keturunan yang mulia, cekap di dalam memberi keputusan, mulia di dalam kabilah, keturunan yang bersih, cerdas, pelaksana amanah daripada Bani Hasyim, sepupu Nabi s.a.w, Imam penunjuk, penentang kerosakan, pemurah dan wira kepada semua sayyid .



Mitham bin Yahya al-Tammar

Mitham berkata: Demi Tuhan! Aku bukan menangis kerana kata-kata Amir al-Mukminin dan bukan kerana perbuatannya kepada aku, tetapi sesungguhnya aku telah menangis kerana perasaan syak yang telah memasuki aku pada hari di mana tuanku Ali bin Abu Talib a.s memberitahuku. Seorang bertanya kepada Mitham: Apakah yang beliau a.s. katakan kepada anda? Mitham berkata: Aku datang ke pintu, tiba-tiba seorang berkata kepada aku: Anda sedang tidur? Kemudian dia berkata: Wahai orang yang sedang tidur! Janggut anda akan dimerahi darah dari kepala anda. Beliau a.s. berkata: Anda benar, demi Allah ia akan memotong kedua-dua tangan dan kaki anda serta lidah anda. Anda juga akan disula. Aku berkata: Siapakah yang akan melakukannya wahai Amir al-Mukminin? Beliau a.s. berkata: Seorang anak lelaki kepada hamba perempuan; penzina bernama 'Ubaidillah bin Ziad. Dialah yang akan melakukannya. Perawi berkata: Mitham menjadi marah.

Di dalam riwayat yang lain Mitham berkata kepada 'Ubaidillah bin Ziad: Akulah al-Sadiq dan hamba al-Sadiq sebaliknya dia (Ibn Ziad) adalah pendusta yang paling jahat. Lalu Ibn Ziad berkata: Aku akan membunuh anda dengan satu pembunuhan yang tidak pernah dilakukan kepada seorang pun dalam Islam. Mitham berkata: Aku berkata: Sesungguhnya tuanku telah memberitahuku bahawa aku akan dibunuh oleh seorang anak zina. Ia akan memotong dua tangan aku dan dua kaki aku serta lidah aku. Kemudian ia akan menyula aku.

Ibn Ziad berkata: Apakah al-'Atal al-Zanim aku mendapatinya di dalam al-Qur'an? Mitham berkata: Tuanku telah memberitahuku bahawa ia adalah anak lelaki kepada perempuan penzina. Ibn Ziad berkata: Demi Allah, aku akan membohongi anda dan aku akan membohongi tuan anda. Ibn Ziad berkata kepada pengawalnya: Keluarkan Mitham, potong dua tangannya, dua kakinya dan tinggalkan dua lidahnya sehingga dia mengetahui bahawa dia adalah pembohong kepada tuanya yang juga merupakan pembohong.

Mitham berkata: Maka pengawal Ibn Ziad telah mengeluarkan aku dan melakukan perintahnya. Salih berkata: Aku datang kepada bapa aku yang sedang berlumuran darah. Kemudian dia duduk lalu beliau menyeru kepada orang ramai dengan suaranya yang tinggi: Siapa yang menghendaki hadis yang tersembunyi tentang Ali bin Abu Talib Amir al-Mukminin a.s, maka hendaklah dia mendengar. Orang ramai berkumpul beramai-ramai ramai di hadapannya. Dia (Mitham) mulai memberitahu mereka tentang keajaiban Ali a.s.

Salih berkata: Seorang yang paling celaka telah turut mengikuti situasi perkembangan tersebut. Setelah dia melihat orang ramai menulis di sekeliling Mitham, maka dia terus datang kepada Ibn Ziad dan berkata: Allah memperbaiki Amir. Anda telah meninggalkan perkara yang paling buruk padanya. Ibn Ziad berkata: Apakah itu? Dia menjawab: Lidah Mitham. Sesungguhnya Mitham telah menyebarkan perkara yang ajaib. Ibn Ziad berkata: Bersegeralah kepada Mitham dan potonglah lidahnya.

Salih berkata: Pengawal Ibn Ziad bergegas kepada Mitham dan berkata: Keluarkan lidah anda. Mitham berkata: Tidakkah Ibn Ziad menyangka bahawa dia membohongi aku dan membohongi tuanku akan dibinasakan? Kemudian Mitham mengeluarkan lidahnya, lalu lidahnya itu dipotong.

Salih bin Mitham berkata: Bapa aku dihantar ke pokok kurma, dan disula di atasnya. Ali a.s telah memberitahunya di tempat mana Mitham akan disula. Salih bin Mitham berkata: Bapa aku telah mengambil kayu dan menulis nama di atasnya. Mitham telah meletakannya pada tempat yang telah diberitahu oleh Ali a.s. tanpa pengetahuan tukang kayu. Apabila Mitham dibawa kepada kayu tersebut, maka aku telah melihat paku di bawah tapak kakinya di atasnya tertulis: Allah memberi rahmat ke atas Mitham.



Rusyaid al-Hajari

Ja'far bin al-Husain telah memberitahu kami daripada Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin Abu al-Qasim daripada Muhammad bin Ali al-Sairafi daripada Ali bin Muhammad bin Abdullah al-Khayyat daripada Wahib bin Hafs al-Hariri daripada Abu al-Hasan al-'Ajali bertanyakan Qanwa binti Rusyaid al-Hajari. Al-Anjali berkata: Aku telah bertanya kepada Qanwa: Beritahu aku apakah yang anda telah mendengar daripada bapa anda? Qanwa berkata: Aku telah mendengar bapa aku berkata: Amir al-Mukminin a.s telah memberitahu aku dengan katanya: Wahai Rusyaid! Bagaimana keadaan kesabaran anda apabila seorang anak zina daripada Bani Umayyah diutus kepada anda, lalu dia memotong dua tangan anda, dua kaki anda dan lidah anda? Maka aku berkata: Wahai Amir al-Mukminin akhirnya ke syurga? Beliau a.s. menjawab: Ya, wahai Rusyaid! Anda bersama aku di dunia dan di akhirat. Qanwa berkata: Demi Allah! Hari telah berlalu sehingga diutus kepadanya seorang anak zina bernama 'Ubaidillah bin Ziad. Dia telah menyeru supaya bapaku melepaskan dirinya (al-Bara'ah) daripada Amir al-Mukminin a.s, tetapi bapaku enggan melepaskan diri daripadanya.

Maka anak zina itu berkata kepada bapaku: Apakah jenis kematian yang dia telah memberitahu anda bagaimana anda akan mati? Bapaku berkata: Sahabat aku telah memberitahu aku bahawa anda akan menyeruku supaya melepaskan diriku (al-Bara'ah) daripadanya tetapi aku tidak akan melepaskan diriku daripadanya. Dengan itu, anda mendatangiku, memotong dua tanganku, kakiku dan lidahku. 'Ubaidillah berkata: Demi Allah, aku akan membohongi kata-katanya tentang anda. Mereka memotong dua tangan dan dua kaki bapaku. Mereka telah meninggalkan lidahnya. Setelah itu dihimpunkan dua tangan dan kaki yang telah dipotong. Maka aku berkata kepadanya: Wahai bapaku! Bagaimana anda mendapati kesakitan yang menimpa anda? 

Bapaku menjawab: Tidak, wahai anak perempuanku! Ia sepertilah suatu kesesakan di kalangan orang ramai. Kami membawanya keluar dari istana. Orang ramai berkumpul di sekelilingnya. Bapaku berkata: Bawakan kepadaku kertas dan pensel supaya aku imlakkan kepada kamu apa yang akan berlaku sehingga hari Kiamat kerana sebahagian mereka belum mengambilnya daripada aku. Orang ramai membawa kertas dan pensel. Lalu bapaku mengimlakkannya kepada mereka:

Bismillahi r-Rahmani r-Rahim. Apabila orang yang dilaknati itu pergi, maka bapaku mengimlakkan kepada orang ramai apa yang akan berlaku sehingga hari Kiamat . Kemudian diutus seorang lelaki kepadanya, lalu dia memotong lidah bapaku. Beliau mati pada malam itu juga, Amir al-Mukminin a.s menamakannya Rusyaid al-Balaya, kerana dikurniakan kepadanya ilmu al-Balaya dan al-Manaya . Apabila bapaku bertemu dengan seseorang, dia akan berkata: Wahai polan! Anda akan mati begitu dan begini, anda akan dibunuh wahai polan dengan pembunuhan begitu dan begini. Peristiwa itu akan berlaku sebagaimana dikatakan oleh Rusyaid. Lantaran itu, Amir al-Mukminin a.s berkata kepadanya: Anda adalah Rusyaid al-Balaya dan anda akan dibunuh dengan pembunuhan ini. Maka ia telah berlaku sebagaimana dikatakan oleh Amir al-Mukminin a.s .

Daripadanya daripada Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada 'Uthman bin Isa daripada Abu Jarud berkata: Aku telah mendengar al-Qanwa binti Rusyaid al-Hajari berkata: Bapa aku telah berkata kepadaku: Wahai anak perempuanku! Matikan hadis dengan menyembunyikannya dan jadikan hati sebagai tempat amanah .

Di dalam riwayat yang lain daripada al-Qanwa binti Rusyaid berkata: Aku telah berkata kepada bapa aku: Apakah ijtihad anda yang paling penting? Bapaku berkata: Wahai anak perempuanku! Akan datang kaum selepas kita yang mempunyai kecerdikan di dalam agama adalah lebih baik daripada ijtihad kita .

Ja'far bin al-Hasan daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Muhammad bin al-Husain ibn Abu al-Khattab daripada al-Hasan Mahbub daripada Abd al-Karim secara marfu' kepada Rusyaid al-Hajari berkata: Ziad Abu 'Ubaidillah mencari Rusyaid al-Hajari. Maka Rusyaid telah menyembunyikan diri. Pada suatu hari Rusyaid datang kepada Abu Arakat yang sedang duduk di pintunya bersama beberapa orang sahabatnya. Rusyaid telah masuk ke rumah Abu Arakat menyebabkan Abu Arakat menjadi takut. Dia memasuki rumahnya dan berkata kepada Rusyaid: Celaka anda! Anda telah membunuhku, menjadikan anak aku yatim dan anda telah membinasakan mereka? Rusyaid berkata: Apakah itu? Abu Arakat menjawab: Anda sedang diburu. Anda memasuki rumahku. Mereka di sisiku telah melihat anda. Rusyaid menjawab: Tidak seorangpun daripada mereka telah melihat aku.

Abu Arakat berkata: Anda akan menghadapinya. Lalu dia memasukkannya ke dalam rumah dan menutup pintunya. Kemudian Abu Arakat keluar daripada rumah dan berkata kepada para sahabatnya: Aku terkhayal ada seorang lelaki tua baru sahaja memasuki rumahku. Mereka berkata: Kami tidak melihat sesiapapun. Abu Arakat menyatakan perkara yang sama tetapi sahabatnya tetap berkata: Kami tidak melihat sesiapapun. Dia terdiam kerana takut orang lain telah melihatnya. Abu Arakat telah menghadiri majlis Ziad bagi meninjau maklumat mereka tentang Rusyaid. Jika mereka masih menyebutnya, maka dia akan memberitahu mereka bahawa Rusyaid berada di rumahnya dan akan menyerahkan Rusyaid kepada mereka. Abu Arakat berkata: Dia memberi salam kepada Ziad dan duduk di sisinya. Antara mereka berdua terdapat seorang lelaki bernama Latif.

Abd Karim berkata: Tiba-tiba Rusyaid datang dengan menaiki keldai Abu Arakat menghala ke majlis Ziad. Abd Karim berkata: Ketika Abu Arakat melihat keadaan itu, maka wajahnya berubah dan barang di tangannya terjatuh kerana menyangka akan kebinasaannya. Rusyaid turun dari keldainya menuju kepada Ziad dan memberi salam kepadanya. Ziad berdiri memeluk dan mengucup Rusyaid. Kemudian Ziad mulai bertanya kepada Rusyaid: Bagaimana anda datang? Bagaimana ahli keluarga yang anda tinggalkan? Bagaimana anda di dalam perjalanan? Rusyaid memegang janggutnya, kemudian dia berdiri sekejap dan pergi. Abu Arakat berkata kepada Ziad: Aslaha l-Lahu al-Amir! Siapakah orang tua ini? Ziad berkata: Saudara daripada saudara kami daripada penduduk Syam. Dia datang menziarahi kami. Abu Arakat pulang ke rumahnya. Rusyaid ada di rumah sebagaimana beliau telah meninggalkannya, Abu Arakat berkata kepadanya: Jika anda mempunyai keilmuan semacam ini, maka lakukan apa yang anda fikir wajar dan datanglah kepada kami apabila anda mahu .



Zaid bin Sauhan

Ja'far bin al-Husain al-Mu'min dan sekumpulan syeikh kami telah memberitahu kami daripada Muhammad bin Abdullah bin Ja'far al-Humairi daripada bapanya daripada Musa bin Ja'far al-Baghdadi daripada Ali bin Ma'bad daripada Ubaidillah bin Abdullah al-Dahaqan daripada Wasil bin Sulaiman daripada Abdullah bin Sinan daripada Abu Abdullah a.s berkata: Ketika Zaid bin Sauhan berjuang pada Hari Jamal maka Amir al-Mukminin a.s datang kepadanya dan duduk di sisi kepala Ziad bin Sauhan sambil berkata: Semoga Allah memberi rahmat kepada anda wahai Zaid. Anda makan sedikit tetapi pertolongan anda adalah besar.

Beliau a.s. berkata: Zaid mengangkat kepalanya dan berkata: Dan anda, wahai Amir al-Mukminin. Allah akan memberi ganjaran kepada anda. Aku tidak mengetahui anda bagi Allah melaikan sebagai seorang yang alim dan pada Ummi al-Kitab melaikan sebagai seorang yang tinggi dan bijaksana. Sesungguhnya Allah di dalam dada anda adalah besar. Demi Allah! Aku tidak berperang bersama anda di atas kejahilan, tetapi aku telah mendengar Ummu Salamah; isteri Rasulullah s.a.w berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku tuannya, maka Ali juga tuannya. wahai Tuhanku! Berilah penghormatan kepada mereka yang mewalikan Ali. Musuhilah mereka yang bermusuhan dengannya. Tolonglah mereka yang menolongnya. Hinalah mereka yang menghinanya". Demi Tuhan, sesungguhnya Aku benci menghina anda kerana Allah akan menghina aku .



Malik bin al-Harith al-Asytar al-Nakha'i

Abu Abdullah al-Husain bin Ahmad al-'Alawi al-Muhammadi, dan Ahmad bin Ali bin al-Husain bin Zanjawaih telah memberitahu kami, mereka berdua berkata: Abu al-Qasim Hamzah bin al-Qasim al-'Alawi telah memberitahu kami berkata: Bakr bin Abdullah ibn Habib telah memberitahu kami daripada Samurah bin Ali daripada Abu Mu'awiyah al-Dharir daripada Mujalid daripada Sya'bi berkata: Abdullah bin Ja'far yang mempunyai dua sayap telah memberitahu kami berkata: Apabila berita pembunuhan Muhammad bin Abu Bakr oleh Mu'awiyah bin Khadij al-Sukuni di Mesir sampai kepada Ali bin Abu Talib a.s, maka beliau a.s. begitu sedih dan berkata: Aku tidak akan membiarkan Mesir begitu saja. Aku mahu jika aku dapati seorang yang sesuai untuknya, aku akan menghantarnya ke sana. 

Abdullah berkata: Adakah anda mendapati orang yang sesuai? Beliau a.s berkata: Siapakah orangnya? Aku berkata: Al-Asytar. Beliau a.s. berkata: Panggilkan Malik kepada aku. Maka aku memanggilnya. Maka beliau a.s. menulis perjanjian untuk Malik:

Bismillahi r-Rahmani r-Rahim. Daripada Ali bin Abu Talib kepada sebahagian muslimin yang memarahi kerana Allah ketika maksiat dilakukan di bumi dan kezaliman berleluasa sama ada di darat atau di laut sehingga tidak ada tempat untuk berehat kerana kemungkaran masih tidak berakhir. Salam 'alaikum. Amma ba'd, sesungguhnya aku telah kemukakan kepada kamu seorang hamba daripada hamba-hamba Allah di mana beliau tidak tidur pada hari-hari ketakutan, cekal menghadapi musuh, lebih keras ke atas mereka yang jahat (al-Fujjar)dari api yang membakar. Dia adalah Malik bin al-Harith al-Asytar, saudara lelaki Madhhij. Justeru dengarlah kamu kepadanya dan patuhilah dia kerana dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah. Jika dia memerintahkan kamu supaya menyerang, maka seranglah, jika dia memerintahkan kami tinggal di satu tempat, maka lakukanlah, jika dia memerintahkan kamu supaya berbekam, maka lakukanlah kerana dia tidak melakukannya melainkan dengan perintah aku.

Sesungguhnya aku telah mengutamakannya untuk kamu di atas diri aku sendiri supaya menasihati kamu, apatah lagi ketegasannya terhadap musuh kamu. Tuhan kamu akan memelihara kamu dengan hidayat-Nya, dan menjadikan kamu cekal dengan keyakinan. Beliau a.s berkata: Jangan memandang remeh, kerana aku takut bencana ke atas anda akibat dari tindakan Mu'awiyah dan para sahabatnya. Oleh itu, ikutlah jalan yang lebih tinggi di darat sehingga anda keluar ke Ilah, Kemudian anda lalui pantai sehingga anda sampai kepadanya. Apabila sampai di Ilah, maka keluarlah Nafi'. Dia adalah hamba kepada 'Uthman bin 'Affan. Nafi' melayan dan berlembut dengan Malik sehingga mendatangkan kepercayaan Malik kepadanya. Malik bertanya kepadanya: Daripada siapakah anda?

Nafi' berkata: Aku daripada penduduk Madinah. Daripada suku manakah anda? Nafi' menjawab: Aku bekas hamba 'Umar bin al-Khattab. Malik berkata: Kemanakah anda mahu pergi? Nafi' menjawab: Mesir. Malik bertanya: Apakah hajat anda ke sana? Nafi' menjawab: Aku mahu kenyang dengan roti kerana kami tidak kenyang di Madinah. Malik berkata kepadanya: Ikutlah aku. Aku akan memberi kamu roti yang mengenyangkan kamu. Maka Nafi' mengikutinya sehingga sampai di al-Qalzam, iaitu tempat berhampiran Mesir yang jaraknya satu malam. Seorang perempuan dari suku Juhainah datang kepada Malik dan berkata: Apakah makanan yang paling enak di Iraq supaya aku masakkan untuk anda? Beliau berkata: Dua ekor ikan segar. Dia memasak untuknya. Lalu dia makan. Pada kebiasaannya Malik berpuasa pada hari panas namun dia telah memperbanyakkan minuman air sehingga tidak terasa dahaga dan perutnya menjadi buncit kerana banyak meminum air. Nafi' berkata kepadanya: Sesungguhnya makanan yang anda makan tidak akan dimasukki racunnya selain daripada madu lebah.

Maka Malik meminta supaya madu lebah diambil dari simpanannya tetapi ia tidak ada pada tempatnya. Lantas Nafi' berkata kepadanya: Ia ada di sisiku, bolehkah aku memberinya untuk anda? Malik berkata: Ya, bawalah kepada aku. Kemudian Nafi' memberikan madu yang dicampurkan dengan racun yang sedia ada bersamanya yang memang disediakan untuk Malik. Malik meminumnya kemudian beliau meninggal dunia pada masa itu juga. Nafi' sempat melarikan diri di dalam kegelapan malam. Sebelum mati, Malik memerintahkan supaya Nafi' dicari. Dia telah dicari tetapi tidak ditemui.

Abdullah bin Ja'far berkata: Mu'awiyah mempunyai pengintipnya di Mesir, yang bernama Mas'ud bin Jurjah. Dia menulis surat kepada Mu'awiyah tentang kematian Malik. Justeru Mu'awiyah memberi khutbah kepada para sahabatnya secara berdiri dan berkata: Sesungguhnya Ali mempunyai dua orang kanannya. Salah seorang telah dibunuh di Siffin iaitu Ammar dan seorang lagi di bunuh pada hari ini. Sesungguhnya Malik al-Asytar telah melalui Ilah di dalam perjalanannya ke Mesir. Nafi' hamba 'Uthman telah bersahabat dengannya, berkhidmat kepadanya dan berlembut dengannya sehingga dapat menawan hatinya. Dia (al-Asytar) pula merasa senang dengannya. Apabila dia bermalam di al-Qalzam, maka Nafi' membawa kepadanya minuman daripada madu yang dicampurkan dengan racun. Dia telah meminumnya, lalu meninggal dunia. Sesungguhnya bagi Allah bala tenteranya daripada madu .

Ahmad bin Ali telah memberitahu kami dengan katanya: Abu al-Qasim Hamzah bin al-Qasim al-'Alawi telah memberitahu kami daripada Bakr bin Abdullah bin Habib daripada Samurah bin Ali berkata: Al-Minwal bin Jubair al-Humairi telah memberitahu kami berkata: 'Awanah telah memberitahu kami berkata: Setelah sampai berita kematian Malik al-Asytar kepada Ali bin Abu Talib a.s, maka beliau a.s. terus menaiki mimbar memberi khutbah kepada orang ramai dan berkata: Sesungguhnya Malik bin al-Harith telah meninggal dunia, menunaikan janjinya dan berjumpa dengan Tuhannya. Semoga Allah memberi rahmat kepada Malik. Jika ia sebuah bukit, nescaya ia kuat, jika ia sebuah batu, nescaya ia pejal . Bagi Allah penghargaan kepada Malik. Apakah Malik? Adakah kaum wanita dapat melahirkan seorang seperti Malik? Masih wujudkah orang seperti Malik? 

'Awanah berkata: Setelah beliau a.s selesai memberi khutbah, beliau memasuki kediamannya. Beberapa orang Quraisy menyambutnya dan berkata: Sebanyak mana anda berdukacita ke atas kematian Malik ? Beliau a.s. berkata: Demi Allah! Kematiannya telah memuliakan penduduk Maghrib dan menghina penduduk Masyrik.

'Awanah berkata: Amir al-Mukminin Ali a.s telah menangis dan berdukacita ke atas Malik selama beberapa hari. Beliau a.s berkata: Aku tidak akan dapati orang sepertinya selepas ini buat selama-lamanya (La ara mithla-hu ba'da-hu abadan).

Ahmad bin Harun al-Fami daripada Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Ahmad bin Muhammad ibn Isa daripada Abu Abdullah Muhammad bin Khalid al-Barqi daripada Ahmad bin al-Nadhar al-Khazzaz daripada 'Umru bin Syamr daripada Jabir al-Ja'fi daripada Abu Ja'far a.s berkata: Tiga orang daripada tabi'in yang berperang bersama Ali bin Abu Talib telah mati syahid di Siffin dan dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w tanpa melihat mereka. Mereka itu adalah Uwais al-Qarani, Zaid bin Sauhan al-'Abdi dan Jundub al-Khair al-Azadi, rahmatu l-Lahi 'laihim .. 



Sufyan bin Laila al-Hamdani

Ja'far bin al-Husain al-Mu'min dan sebahagian daripada syeikh kami telah memberitahu kami daripada Muhammad bin al-Hasan bin Ahmad daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Ali bin al-Nu'man daripada Abdullah bin Maskan daripada Abu Hamzah al-Thumali daripada Abu Ja'far a.s berkata: Seorang lelaki daripada sahabat Abu al-Hasan a.s datang kepadanya. Dia dikenali dengan nama Sufyan bin Laila. Dalam perjalanan ke rumahnya, dia berjumpa dengan al-Hasan a.s. Pada ketika itu beliau a.s. sedang berselimut di halaman rumahnya. Sufyan bin Laila berkata kepadanya: As-Salamu 'alai-ka ya mudhilla l-Muslimin (Wahai orang menghina muslimin)!Maka Abu al-Hasan a.s. berkata kepadanya: Turun dahulu, janganlah anda gopoh.

Lantas Sufyan turun dan mengikat binatang tunggangannya di rumah al-Hasan a.s. Kemudian dia berjalan kepadanya. Al-Hasan a.s berkata: Apakah yang anda telah katakan? Sufyan berkata: Aku berkata: Wahai orang yang menghina muslimin. Beliau a.s berkata: Apakah anda tahu mengenainya? Sufyan berkata: Anda telah berpegang kepada urusan umat tetapi anda telah menyelesaikannya dari tengkuk anda dan anda telah menyerahkannya kepada orang yang zalim ini membuat keputusan tanpa menurut hukum Allah. Abu Ja'far a.s. berkata: Al-Hasan a.s berkata: Aku akan memberitahu anda kenapa aku telah berbuat demikian. Aku telah mendengar bapa aku berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak akan berlalu malam dan siang sehingga umat ini diperintah oleh seorang lelaki yang mempunyai saluran makanan yang besar dan luas dadanya. Dia makan tetapi tidak merasa kenyang iaitu Mu'awiyah. Justeru aku telah melakukan sedemikian. Sufyan berkata: Kecintaan kepada anda? Beliau a.s. berkata: Allah. Beliau a.s. berkata: Allah.

Al-Hasan a.s berkata: Demi Allah! Seorang hamba tidak mencintai kami selama-lamanya sekalipun ia menjadi orang tawanan di Dailam melainkan Allah memberi pahala kepadanya kerana mencintai kami. Sesungguhnya cinta kepada kami dapat menjatuhkan dosa-dosa daripada manusia sebagaimana angin dapat menjatuhkan daun dari pokok ( kama yusaqitu r-Rihu al-Waraq min al-Syajari ) 



Nama-Nama Para Syuhada' Bersama al- Husain bin Ali A.S di Karbala',

Al-Abbas bin Ali bin Abu Talib iaitu pembawa air yang telah dibunuh oleh Hakam bin Tufail, ibu kepada al-Abbas dikenali dengan nama Umm al-Banin binti Hizam bin Khalid bin Rabi'ah bin al-Wahid bin 'Amir, Ja'far bin Ali, Abdullah bin Ali bin Abu Talib a.s, ibu mereka berdua adalah Umm al-Banin, Muhammad bin Ali dan ibunya sebagai Umm al-Walad, Abu Bakr bin Ali, ibunya Laila binti Mas'ud, Ali bin al-Husain bin Ali bin Abu Talib, ibunya Laila binti Abu Murrah bin 'Urwah bin Mas'ud, Abdullah bin al-Husain bin Ali bin Abu Talib, ibunya al-Ribab binti Amru al-Qais bin 'Adi, 'Aun bin Abdullah bin Ja'far bin Abu Talib, Muhammad bin Abdullah bin Ja'far bin Abu Talib, Abdullah bin Muslim bin Aqil bin Abu Talib, Muhammad bin Abdullah bin Ja'far bin Abu Talib, Muhammad bin Abu Sa'id bin Aqil bin Abu Talib, Abdullah bin Yaqtur; saudara sesusu al-Husain bin Ali bin Abu Talib, Sulaiman hamba al-Husain, Munjih hamba al-Husain bin Ali bin Abu Talib a.s. 

Kesemua mereka yang telah mati syahid bersama Abu Abdullah al-Husain bin Ali bin Abu Talib a.s di Karbala, adalah daripada anak-anak Ali, Ja'far, Aqil dan anak-anak al-Husain serta hamba-hamba mereka.



Nama-Nama Hamba Ali bin al-Husain dan Abu Ja'far A.S

Muhammad bin Ja'far al-Muaddib telah meriwayatkan bahawa sesungguhnya Abu Ishaq namanya adalah 'Umru bin Abdullah al-Sabi'. Beliau telah mengerjakan solat malam selama empat puluh tahun dengan wuduk 'Atamah. Beliau berkhatam al-Qur'an pada setiap malam, tidak ada seorang pun pada zamannya yang lebih kuat beribadat selain daripadanya. Tidak ada seorang pun yang lebih thiqah di dalam hadis di sisi khas dan am selain daripadanya. Beliau adalah di kalangan mereka yang dipercayai oleh Ali bin al-Husain a.s. Beliau dilahirkan pada malam Amir al-Mukminin a.s dibunuh dan mati ketika berusia sembilan puluh tahun. Beliau berasal dari Hamadan. Namanya 'Umru bin Abdullah bin Ali bin Dhi Humair bin al-Sabi' bin Yablu' al-Hamdani, ia dinisbahkan kepada al-Sabi' kerana tinggal di rumahnya .

Ziad bin al-Mundhir al-A'ma iaitu Abu al-Jarud, Ziad bin AbuRaja' iaitu Abu Ubaidah al-Hiza', Ziyad bin Sauqah, Ziad hamba Abu Ja'far a.s, Ziad bin Abu Ziad al-Munqari, Ziad al-Ahlam daripada sahabat Abu Ja'far a.s. di kalangan para sahabatnya adalah Abu Basir Laith bin al-Bukhturi al-Muradi, Abu Basir Yahya Ibn Abu al-Qasim, Makfuf hamba Bani Asad. Nama Abu al-Qasim adalah Ishaq dan Abu Basir dipanggil Abu Muhammad.



Surat bin Kulaib al-Asadi

Daripada al-Husain bin Sa'id berkata: Ahmad bin Muhammad telah memberitahu aku daripada Muhammad bin Ali daripada Ali bin Muhammad daripada Sundal daripada Surat bin Kulaib berkata: Abu Abdullah a.s telah berkata kepada aku: Wahai Surat! Bagaimana anda mengerjakan haji pada tahun ini?

Aku menjawab: Aku telah meminta hutang bagi haji aku. Demi Allah! Sesungguhnya aku mengetahui bahawa Allah akan melaksanakannya untuk aku, haji ku tidak menjadi lebih besar selepas keampunan selain cinta kepada anda dan kepada hadis anda. Beliau a.s berkata: Adapun haji anda, maka Allah telah melaksanakannya dari sisi ku, kemudian beliau a.s. mengangkat musalanya, lalu beliau a.s. mengeluarkan dua puluh dinar. Beliau a.s berkata: Inilah haji anda sebanyak dua puluh dinar. Beliau a.s. seterusnya berkata: Inilah bantuan untuk anda semasa hidup anda sampai anda mati. Surat berkata: Aku telah menjadikan diri aku sebagai tebusan anda, beritahu kepada aku tentang ajal aku adakah ia telah hampir? Beliau a.s. berkata: Wahai Surat! Tidakkah anda meredai bahawa anda akan berada bersama kami dan saudara-saudara anda polan dan polan? Surat berkata: Ya. Sundal berkata: Sembilan bulan selepas itu beliau mati .



Ibrahim bin Syu'aib

Abu al-Abbas Ahmad bin Muhammad bin al-Qasim al-Kufi al-Muharibi berkata: Ali bin Muhammad bin Ya'qub al-Kufi telah memberitahu aku dengan katanya: Ali bin al-Hasan bin Ali al-Fadhdhal telah memberitahu kepada aku daripada Ali bin Asbat daripada Ibrahim bin Abu al-Bilad-atau Abdullah bin Jundub berkata: Aku telah berada di al-Mauqif. Ketika aku melakukan Ifadhah, aku berjumpa dengan Ibrahim bin Syu'aib, lalu aku memberi salam kepadanya. Salah satu matanya dijangkiti kemerahan seolah-olah seketul darah.

Aku berkata kepadanya: Anda telah ditimpa kesakitan pada salah satu mata anda. Aku bersimpati dengan anda. Anda sepatutnya mengurangkan tangisan anda. Ibrahim berkata: Tidak, wahai Abu Muhammad! Pada hari ini aku tidak berdoa untuk diri aku sendiri. Abdullah bertanya: Kepada siapakah anda telah berdoa? Ibrahim berkata: Aku telah berdoa untuk saudara-saudara aku kerana aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Sesiapa yang berdoa untuk saudaranya yang tidak ada di hadapannya maka Allah akan mewakilkan kepadanya malaikat yang akan berkata: Dan untuk anda seumpamanya. Lantaran itu, aku mahu berdoa untuk saudara-saudaraku sementara malaikat berdoa untuk aku kerana aku di dalam keadaan syak tentang doa aku untuk diri aku dan aku tidak syak tentang doa malaikat untuk aku .



Abdullah bin al-Mughirah al-Khazaz al-Kufi

Muhammad bin al-Hasan telah memberitahu kepada aku daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Ahmad bin Muhammad daripada al-Hasan bin Ali bin Fadhdhal, berkata: Abdullah bin al-Mughirah berkata: Aku adalah seorang yang berpegang kepada fahaman al-Waqifi. Aku telah mengerjakan haji di dalam keadaan tersebut, apabila aku sampai di Makkah, satu perkara telah membuatkan aku gelisah. Maka aku pun bergantung di al-Multazam. Kemudian aku berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengetahui tuntutanku dan kemahuanku. Maka tunjuklah kepada aku sebaik-baik agama (Khair al-Adyan).

Maka terlintas di hatiku untuk menemui al-Ridha a.s. Maka aku pun datang ke Madinah, lantas aku berdiri di pintunya dan aku berkata kepada hamba lelakinya: Katakan kepada tuan anda: Seorang lelaki daripada Iraq di pintu. Maka aku mendengar seruannya: Masuklah Abdullah bin al-Mughirah. Aku pun masuk. Setelah beliau a.s. melihat kepada ku beliau a.s. berkata: Sesungguhnya Allah telah menyahuti doa anda dan telah menunjukkan anda kepada agama anda. Aku berkata: Aku naik saksi bahawa sesungguhnya anda adalah hujah Allah di bumi dan pemegang amanah-Nya di atas makhluk-Nya .

Muhammad bin al-Hasan telah memberitahu kami dengan katanya: Dibawa kepada Muhammad bin Musa bin al-Mutawakkil sekeping kertas daripada Abu al-Hasan al-Asadi berkata: Sahal bin Ziad al-Adami telah memberitahu aku bahawa ketika Abdullah bin al-Mughirah mengarang kitabnya, beliau telah berjanji kepada para sahabatnya bahawa beliau akan membacanya kepada mereka di salah satu sudut Masjid. Abdullah mempunyai seorang saudara yang berlainan pemikiran dengannya (mukhalif). Ketika beliau hadir untuk memperdengarkan kitabnya maka saudaranya juga datang dan terus duduk.

Sahal berkata: Abdullah berkata kepada orang ramai: Pulanglah hari ini. Saudaranya berkata: Kemanakah mereka pergi? Sesungguhnya aku datang kerana mereka datang.

Saudaranya berkata: Kenapa mereka telah datang? Abdullah menjawab: Wahai saudaraku! Aku melihat sebagaimana orang yang tidur melihat malaikat sedang turun dari langit. Sahal bertanya: Kenapakah mereka (Malaikat) turun? Seseorang daripada hadirin menjawab: Mereka turun kerana ingin mendengar kitab yang dibacakan Abdullah bin al-Mughirah. Saudaranya berkata: Aku juga datang kerana kitab ini. Sekarang aku bertaubat kepada Allah. Sahal berkata: Abdullah bin al-Mughirah telah mentafsirkan sedemikian .