Sambungan

Hadis Hisyam bin al-Hakam dan Pembuktian Kelebihan Ali .A.S

Ahmad bin al-Hasan berkata: Abd al-'Azim bin Abdullah telah memberitahu kami berkata: Harun al-Rasyid telah berkata kepada Ja'far bin Yahya al-Barmaki: Sesungguhnya aku ingin mendengar percakapan para mutakallimin tanpa pengetahuan mereka tentang kehadiran aku. Mereka boleh berhujah tentang apa yang mereka mahu. Ja'far telah memerintahkan para mutakallimin. Lalu mereka menghadiri majlis di rumahnya. Harun berada di dalam majlis tersebut, mendengar percakapan mereka di balik tabir. Para mutakallimin dan pengerusi majlis serta ahlinya berkumpul menunggu Hisyam bin al-Hakam yang belum datang. Kemudian Hisyam pun datang memakai baju sampai ke lutut dan seluar panjang ke separuh betis. Beliau memberi salam kepada semua secara umum tanpa sesuatu yang khusus kepada Ja'far.

Seorang lelaki daripada mereka berkata: Kenapa anda mengutamakan Ali ke atas Abu Bakr sedangkan Allah berfirman dalam Surah al-Taubat (9):40 "Sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada di dalam gua di waktu dia berkata kepada temannya:Janganlah kamu berdukacita (la tahzan) kerana Allah berserta kita"? Hisyam berkata: Beritahu aku tentang dukacitanya Abu Bakr (huznu-hu) pada waktu itu, adakah Abu Bakr telah meredai Allah atau pun tidak? Lelaki yang bertanya tadi terdiam.

Hisyam berkata: Jika anda menyangka bahawa Abu Bakr telah meredai Allah di waktu itu, kenapakah Rasulullah s.a.w telah melarangnya. Baginda s.a.w. berkata kepada Abu Bakr: "Janganlah kamu berdukacita (la tahzan)". Dalam hal ini, adakah baginda a.s telah melarang Abu Bakr dari mentaati Allah dan meredai-Nya? Jika anda menyangka bahawa Abu Bakr tidak meredai Allah, kenapa anda bermegah dengan sesuatu yang Allah tidak meredainya? Sesungguhnya anda telah mengetahui apa yang telah difirmankan Allah s.w.t ketika Dia berfirman dalam Surah al-Fath(48) : 26 "Lalu Allah menurunkan ketenangan (sakinata-hu) kepada rasul-Nya dan kepada mereka mukmin". 

Kamu dan kami serta umum telah berkata: Syurga telah merindu kepada empat orang: Ali bin Abu Talib a.s, al-Miqdad bin al-Aswad, Ammar bin Yasir dan Abu Dhar al-Ghifari. Aku berpendapat sahabat kami (Ali a.s) telah termasuk berserta mereka itu di dalam kelebihan (fadhilah) sedangkan sahabat kamu (Abu Bakr) tidak termasuk di dalam hadis tersebut. Justeru kami telah melebihkan sahabat kami ke atas sahabat kamu dalam kelebihan ini.

Kamu dan kami serta umum telah berkata: Mereka yang cekal di dalam Islam adalah empat orang: Ali bin Abu Talib a.s, al-Zubair bin al- 'Awwam, Abu Dujanah al-Ansari dan Salman al-Farisi. Aku berpendapat sahabat kami telah termasuk berserta mereka itu di dalam kelebihan ini sedangkan sahabat anda tidak termasuk. Justeru kami melebihkan sahabat kami ke atas sahabat kamu dengan kelebihan ini.

Kamu dan kami serta umum telah berkata: Para pembaca (al-Qurra') adalah empat orang: Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Mas'ud, Ubai bin Ka'ab dan Zaid bin Thabit. Aku berpendapat sahabat kami telah termasuk berserta mereka itu di dalam kelebihan ini sedangkan sahabat anda tidak termasuk di dalamnya. Justeru kami melebihkan sahabat kami ke atas sahabat kamu di dalam kelebihan ini.

Kamu dan kami serta umum telah berkata: Sesungguhnya mereka yang disucikan daripada langit adalah empat orang: Ali bin Abu Talib a.s, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain a.s. Aku berpendapat sahabat kami telah termasuk di dalam kelebihan ini sedangkan sahabat kamu tidak termasuk di dalamnya. Justeru kami melebihkan sahabat kami ke atas sahabat kamu dengan kelebihan ini.

Kamu dan kami serta umum telah berkata: Sesungguhnya mereka yang baik adalah empat orang: Ali bin Abu Talib a.s, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain a.s. Aku berpendapat sahabat kami telah termasuk berserta mereka di dalam kelebihan ini sedangkan sahabat kamu tidak termasuk di dalamnya. Justeru kami melebihkan sahabat kami ke atas sahabat kamu di dalam kelebihan ini.

Kamu dan kami serta umum telah berkata: Sesungguhnya para syuhada' adalah empat orang: Ali bin Abu Talib, Ja'far, Hamzah bin Abu Talib dan Ubaidah bin al-Harith bin Abd al-Muttalib. Aku berpendapat sahabat kami telah termasuk berserta mereka di dalam kelebihan ini sedangkan sahabat kamu tidak termasuk di dalamnya. Justeru kami melebihkan sahabat kami ke atas sahabat kamu di dalam kelebihan ini.

Abd al-'Azim berkata: Harun telah menggerakkan tabir. Ja'far memerintahkan orang ramai supaya keluar, lantas mereka keluar di dalam keadaan ketakutan. Harun telah keluar daripada majlis seraya berkata: Siapakah lelaki ini, demi Tuhan! Aku telah berniat membunuhnya dan membakarnya dengan api . 

Al-Makmun Meminta Nasihat Ali al-Ridha A.S

Beliau berkata: Al-Makmun telah menulis surat kepada al-Ridha a.s berkata: Berilah nasihat kepada aku, maka beliau a.s telah menulis kepadanya seperti berikut:

Sesungguhnya anda di dunia mempunyai masa
Diterima padanya amalan pelakunya
Tidakkah anda melihat kematian di sekelilingnya
Dirampas daripadanya harapan mereka yang mengharap
Mempercepatkan dosa dengan apa yang anda ingini
Anda mengharap taubat diterima
Kematian mendatangi ahlinya secara mengejut
Apakah amalan seorang yang cekal dan berakal? 


Hadis Perkahwinan Anak Perempuan al-Makmun Dengan Abu Ja'far A.S

Ali bin Ibrahim bin Hasyim secara marfu' berkata: Al-Makmun mahu menikahkan Abu Ja'far Muhammad bin Ali bin Musa a.s akan anak perempuannya Umm al-Fadhl, Ahli keluarganya yang terdekat berkumpul di sekeliling al-Makmun dan berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Kami menyeru anda dengan nama Allah supaya anda mengeluarkan perintah yang kami telah memilikinya dan mencabut daripada kami kemuliaan yang kami telah memakaikannya. Sesungguhnya anda telah mengetahui perkara di antara kami dan keluarga Ali semenjak dulu dan sekarang. Al-Makmun berkata: Diamlah kamu semua. Demi Tuhan! Aku tidak menerima pendapat seseorang daripada kamu dalam urusan ini. Mereka berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Adakah anda akan menikahkan cahaya mata anda kepada seorang budak (sabiyyyan) yang tidak memahami agama Allah, tidak mengetahui fardu daripada sunat, tidak dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Abu Ja'far pada masa itu berumur sepuluh atau sebelas tahun. Jika anda bersabar dengannya sehingga beliau belajar peradaban, membaca al-Qur'an, mengetahui yang mana fardu dan yang mana sunat.

Al-Makmun berkata kepada mereka: Demi Allah! Sesungguhnya beliau adalah lebih mendalami agama daripada kamu, lebih alim tentang Allah dan Rasul-Nya, sunatnya dan fardunya, halalnya dan haramnya berbanding kamu. Beliau adalah lebih mengetahui tentang kitab Allah, lebih mengetahui muhkam dan mutasyabihnya, nasikh dan mansuhnya, zahir dan batinnya, khas dan am, takwil dan tanzilnya berbanding kamu. Bertanyalah kepadanya jika perkara itu sebagaimana anda katakan, nescaya aku telah menerima pandangan kamu tentang urusan ini. Namun jika perkara sebagaimana aku katakan, anda mengetahui bahawa lelaki itu adalah lebih baik daripada kamu. Ahli keluarga al-Makmun pun keluar di sisinya dan mengutus kepada Yahya bin Aktham, kadi besar. Mereka menerangkan hajat mereka kepadanya dan berjanji akan memberi hadiah kepadanya jika Yahya bin Akhtam dapat bertanyakan Abu Ja'far tentang perkara yang beliau a.s tidak tahu untuk menjawabnya di sisi al-Makmun, apabila mereka berkumpul bagi upacara perkahwinannya.

Apabila mereka semua hadir maka Abu Ja'far a.s juga hadir. Mereka berkata: Wahai Amir al-Mukminin! Ini adalah Yahya bin Aktham sekiranya anda mengizinkannya, maka beliau akan bertanyakan Abu Ja'far. al-Makmun berkata: Wahai Yahya! Bertanyalah kepada Abu Ja'far tentang masalah di dalam ilmu fikah supaya kita melihat bagaimanakah kefahamannya.

Yahya berkata: Wahai Abu Ja'far! Aslaha-ka l-lahu, apakah pendapat anda tentang seorang lelaki di dalam ihram telah membunuh binatang buruan?
Abu Ja'far a.s berkata: Adakah lelaki itu membunuhnya di dalam ihram atau di luar ihram? Adakah dia seorang yang alim atau seorang yang jahil? Sengaja atau tidak? Seorang hamba atau seorang merdeka? Kecil atau besar? Pertama kali atau mengulang? Daripada jenis burung atau selain daripadanya? Daripada binatang buruan yang kecil atau yang besar? Berterusan ke atasnya atau menyesal? Di waktu malam di sangkarnya atau di siang hari bebas? Di dalam ihram umrah atau haji?

Yahya bin Aktham terpinga-pinga kehairanan dan orang ramai mulai kagum dengan jawapannya, sementara al-Makmun pula lebih bersemangat.

Abu Ja'far berkata: Wahai Amir al-Mukminin!. Kemudian beliau a.s berkata: Segala puji bagi Allah kerana mengakui akan nikmat-Nya. Tiada tuhan melainkan Allah kerana ikhlas kepada kebesaran-Nya, selawat ke atas Muhammad ketika mengingatinya, adalah kelebihan Allah ke atas manusia yang telah menjadikan mereka kaya dengan perkara yang halal daripada yang haram. Allah berfirman di dalam Surah al-Nur (24) :32 "Dan kahwinkanlah mereka yang sendirian di antara kamu dan mereka yang layak dari hamba-hamba sahyamu lelaki dan perempuan.Jika mereka miskin maka Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui".

Kemudian Muhammad bin Ali meminang Umm al-Fadhl binti Abdullah dan membayar sebanyak lima ratus dirham sebagai mas kahwin (al-Sadaq). Al-Makmun berkata: Aku telah menikahkan anak perempuan aku kepada anda, adakah anda menerimanya? Abu Ja'far a.s berkata: Aku menerima perkahwinan ini dengan mas kahwin sebanyak yang tersebut.

Kemudian al-Makmun merayakan majlis tersebut. Orang ramai di semua peringkat menghadirinya, Tiba-tiba kami telah mendengar percakapan seperti ahli pelayaran di dalam soal jawab mereka, sementara pekerja-pekerja sedang menarik bahtera yang dibuat dari perak dengan talinya dari tenungan sutera yang mahal. Mereka merayakan mereka kenamaan dengannya, kemudian mereka menolaknya ke tempat umum, orang ramai memuji mereka.

Apabila mereka bersurai, al-Makmun berkata: Wahai Abu Ja'far? Bolehkah anda menerangkan kepada kami tentang pembunuhan binatang buruan setiap jenis yang anda telah sebutkannya ?

Abu Ja'far a.s berkata: Ya, wahai Amir al-Mukminin! Sesungguhnya seorang lelaki yang telah membunuh binatang buruan selepas selesai melakukan kerja ihram dan jika binatang itu dari jenis burung yang besar, maka wajib di atasnya menyembelih seekor kambing betina. Jika beliau melakukannya di dalam ihram, maka dendanya berganda. Jika belum menyempurnakan kerja ihram-maka wajib ke atasnya unta. Dan jika beliau membunuh keldai liar (wahsyi) atau burung unta, maka wajib ke atasnya menyembelih unta. Sekiranya beliau tidak mampu, maka beliau perlu memberi makan enam puluh orang miskin, sekiranya beliau tidak mampu, maka beliau berpuasa lapan belas hari, sekiranya beliau membunuh lembu, maka wajib ke atasnya lembu, sekiranya beliau tidak mampu, maka beliau memberi makan tiga puluh orang miskin, sekiranya beliau tidak mampu, maka beliau berpuasa sembilan hari.

Sekiranya beliau membunuh kijang, maka wajib ke atasnya seekor kambing betina, sekiranya beliau tidak mampu, maka beliau memberi makan sepuluh orang miskin, sekiranya beliau tidak mampu, maka beliau berpuasa tiga hari, sekiranya beliau melakukannya didalam ihram, maka dendanya berganda dan beliau wajib melakukan penyembelihan pada musim haji di Mina sebagai mana orang ramai melakukannya. Sekiranya beliau di dalam umrah, maka beliau melakukan penyembelihan di Makkah dan bersedekah menurut harga binatang yang dibunuhnya sehingga berganda.

Begitu juga sekiranya beliau membunuh arnab, maka wajib ke atasnya bersedekah seekor kambing betina, sekiranya beliau membunuh burung merpati, maka beliau bersedekah dengan satu dirham atau beliau membeli makanan untuk merpati di Makkah, untuk seekor anak ayam adalah satu dirham dan telur adalah satu perempat dirham, adapun perkara selain daripada buruan binatang yang dilakukan dengan kejahilan atau tersalah tidak dikenakan sebarang denda ke atasnya. Setiap apa yang dilakukan oleh seorang hamba, maka kafarahnya dibayar oleh pemiliknya, kerana ia seperti dilakukan oleh pemiliknya. Setiap apa yang dilakukan oleh kanak-kanak yang belum baligh maka tidak dikenakan apa-apa fidyah ke atasnya sekalipun dengan sengaja tetapi Allah akan membalasnya di akhirat.

Jika seorang itu telah membantu atau menunjuk kepada binatang buruan sedangkan beliau masih di dalam ihram, maka ia wajib memberi fidyah dan jika beliau masih berdegil melakukannya selepas membayar fidyah maka ia akan menghadapi balasan di akhirat dan penyesalannya tidak dikira. Jika beliau memburu burung di waktu malam di sarangnya secara tidak sengaja, tidak dikenakan apa-apa fidyah ke atasnya melainkan beliau melakukannya dengan sengaja. Jika beliau memburu binatang di waktu malam atau siang hari, maka wajib ke atasnya fidyah di Mina seperti orang ramai melakukan penyembelihan mereka dan jika beliau di dalam ihram umrah, maka ia melakukan penyembelihannya di Makkah.

Al-Makmun telah memerintahkan supaya dituliskan penerangan tersebut. Kemudian beliau menyeru keluarganya, lalu membacanya kepada mereka dan berkata: Adakah ada di kalangan kamu seorang yang dapat memberi jawapan seperti jawapan ini? Mereka menjawab: Tidak. Demi Tuhan, Kadi pun tidak dapat menjawabnya. Mereka berkata lagi: Wahai Amir al-Mukminin! Anda memang benar dan anda lebih mengetahui mengenainya daripada kami. Aduhai kamu, wahai keluarga aku! Buangkan perangai ini.

Tidakkah kamu mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah memberi baiah kepada al-Hasan dan al-Husain sedangkan mereka masih kanak-kanak yang belum baligh, baginda s.a.w. tidak pernah memberi baiah kepada kanak-kanak selain daripada mereka berdua? Atau tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Ali telah beriman kepada Nabi s.a.w ketika umur sepuluh tahun? Allah dan Rasul-Nya telah menerima imannya dan tidak menerima iman kanak-kanak yang lain selain daripadanya. Nabi s.a.w tidak pernah menyeru kepada kanak-kanak kepada iman selain daripadanya? Atau tidakkah kamu mengetahui sesungguhnya ia adalah zuriat yang menuruti zuriat awal mereka?

Beliau berkata: Kemudian al-Makmun memerintahkan supaya dihidangkan tiga talam di hadapan Abu Ja'far, pertama mengandungi kunyit, bauan halus dengan air mawar di bawahnya pula lapisan yang dipenuhi dengan wang kertas. Kedua; satu bekas berisi suapan makanan bagi mereka yang ingin mengambilnya. Ketiga; satu bekas berisi dirham dan dinar. Setelah itu al-Makmun memerintahkan supaya talam yang berisi dengan wang kertas itu dibahagi-bahagikan kepada Bani Hasyim secara khusus dan bekas yang berisi suapan makanan kepada wazir-wazirnya dan bekas yang berisi dengan dirham dan dinar kepada ketua-ketua tenteranya. Al-Makmun sentiasa memuliakan Abu Ja'far semasa hidupnya sehingga melebihi anak-anaknya sendiri .




Pujian Tentang Bandar Qum

Diriwayatkan daripada Ali bin Muhammad al-Askari daripada bapanya daripada datuknya daripada Amir Al-Mukminin a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku diangkat di waktu malam ke langit yang ke empat, aku melihat kepada kubah daripada mutiara yang mempunyai empat tiang dan empat pintu. Semuanya daripada baldu hijau. Aku berkata: Wahai Jibrail! Apakah kubah ini kerana aku tidak melihatnya di langit ke tempat lebih baik daripadanya? Jibrail berkata: Wahai kekasih aku Muhammad! Inilah gambaran bandar yang dinamakan Qum. Hamba-hamba Allah yang beriman akan menunggu Muhammad dan syafaatnya pada hari Kiamat dan hari Hisab. Dukacita dan kesusahan serta perkara-perkara yang tidak diingini akan berlaku ke atas mereka.

Beliau berkata: Aku telah bertanya Ali bin Muhammad al-Askari a.s bilakah mereka menunggu kemenangan (al-faraj)? Beliau a.s. berkata: Apabila keluar air di atas bumi . 



Hadis Muhammad bin Ali bin Musa al-Ridha A.S dan Bapa Saudaranya Abdullah bin Musa

Ali bin Ibrahim bin Hasyim berkata: Bapa aku telah memberitahu aku berkata: Selepas Abu al-Hasan al-Ridha a.s mati, kami mengerjakan haji, kami datang menemui Abu Ja'far a.s. Syi'ah dari setiap negeri sedang menunggu untuk berjumpa dengan Abu Ja'far a.s, maka bapa saudaranya ('Ammu-hu) Abdullah bin Musa datang berjumpa dengannya. Beliau adalah seorang syeikh yang agak tua lagi cerdik, sedang memakai kain yang kasar. Di antara dua matanya terdapat kesan sujud. Kemudian beliaupun duduk.

Kemudian Abu Ja'far keluar dari biliknya memakai pakaian sederhana, berkasut baru warna putih. Abdullah berdiri menyambutnya dan mengucup di antara dua matanya. Semua Syi'ah turut berdiri. Abu Ja'far a.s duduk di atas kerusi, orang ramai melihat di antara satu sama lain, mereka menjadi tercengang kerana usianya yang masih muda. Seorang lelaki di kalangan mereka segera bertanya bapa saudaranya : Aslaha-ka l-Lahu ! Apakah pendapat anda tentang seorang lelaki yang telah melakukan perkara sumbang kepada binatang (ata bahimatan)? Abdullah menjawab: Anda potong kanannya serta dilakukan hukum had ke atasnya. Jawapan itu menyebabkan Abu Ja'far a.s memarahinya dan berkata: Wahai bapa saudaraku ! Bertakwalah kepada Allah, bertakwalah kepada Allah, kerana ia adalah perkara yang besar. Bagaimana anda akan berdiri di hadapan Allah s.w.t, dan Dia akan berkata kepada anda: Bagaimana anda memberi fatwa kepada orang ramai apa yang anda tidak mengetahuinya? Bapa saudaranya berkata: Astaghfiru l-Laha, tidakkah bapa anda telah berkata sedemikian mengenainya?

Abu Ja'far a.s berkata: Sesungguhnya bapa aku ditanya tentang seorang lelaki yang telah menyelongkar kubur seorang perempuan dan mencuri kainnya (nabasya), kemudian dia menyetubuhi mayat itu. Maka bapa aku berkata: Dipotong (jari) kanannya kerana al-Nabasy dan dikenakan had zina, kerana kehormatan mayat sepertilah kehormatan seorang yang hidup. Abdullah berkata: Anda memang benar, wahai sayyidi dan aku mohon taubat kepada Allah, orang ramai terpegun, lalu berkata: Wahai Sayyidana ! Adakah anda membenarkan kami bertanyakan anda? Beliau a.s. berkata: Ya. Lalu mereka bertanya kepadanya beratus soalan di dalam majlis itu. Beliau a.s. memberi jawapannya di dalam majlis tersebut kepada mereka, sedangkan umurnya ketika itu adalah sembilan tahun.


Sebab DiSunatkan Mahar Lima Ratus Dirham

Muhammd bin al-Hasan daripada Ali bin Ibrahim bin Hasyim daripada bapanya daripada Umru bin Uthman al-Khazzaz daripada al-Husain bin Khalid berkata: Aku telah bertanya Abu al-Hasan Musa bin Ja'far a.s tentang mahar. Bagaimana ia disunatkan menjadi lima ratus dirham? Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas diri-Nya bahawa jika seorang mukmin bertakbir seratus kali, bertasbih seratus kali, bertahmid seratus kali, bertahlil seratus kali, dan berselawat ke atas Muhammad dan keluarganya seratus kali, kemudian dia berkata: Wahai Tuhanku! Kahwinlah aku dengan bidadari, maka Allah akan mengahwinkannya dengan bidadari. Lalu Dia menjadikannya (lima ratus) sebagai maharnya. Allah telah mewahyukan kepada Nabi-Nya supaya menjadikan mahar mukminat (sanna mahra al-Mukminat) adalah lima ratus dirham. Rasulullah s.a.w telah melakukannya .



Sebab Pengharaman Arak, Bangkai, Darah dan Daging Khinzir

Muhammad bin Abdullah daripada sebahagian sahabatnya berkata: Aku berkata kepada Abu Abdullah a.s: Kenapakah Allah mengharamkan arak (al-Khamr), bangkai, darah dan daging khinzir? 

Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya Allah tidak mengharamkan demikian itu ke atas hamba-hamba-Nya dan menghalalkan mereka selain daripadanya kerana menyukai apa yang diharamkan ke atas mereka dan tidak kerana menakutkan mereka mengenai apa yang Dia menghalalkan kepada mereka, tetapi Allah telah menjadikan makhluk. Allah mengetahui susunan badan mereka. Justeru apa yang mendatangkan kebaikan kepada mereka, maka Allah menghalalkannya sebagai kurniaan-Nya kepada mereka kerana kepentingan mereka. Allah juga mengetahui apa yang akan memudaratkan mereka, lalu Dia melarang mereka darinya dan mengharamkannya. Namun begitu, Allah mengharuskannya bagi orang yang terpaksa (al Mudhttarri), dan menghalalkannya waktu badan mreka tidak boleh berdiri melainkan dengan benda haram itu. 

Lantaran itu, Allah memerintahkan supaya mereka mengambil sekadar yang memadai dan tidak boleh lebih daripada itu. Kemudian beliau a.s. berkata: Adapun bangkai, tidak seorang pun akan mendekatinya dan tidak seorang pun yang akan memakannya melainkan tubuhnya menjadi lemah dan badannya menjadi kurus serta hilang kekuatannya. Orang yang memakan bangkai akan menyebabkan terputus keturunan dan akan mati secara mengejut. Adapun darah, maka ia akan mewarisi penyakit kuning, mulut menjadi panas, angin menjadi busuk, memburukkan akhlak, mengidap penyakit anjing gila, keras hati, kurang kasihan belas dan rahmat sehingga beliau mungkin membunuh anak lelakinya dan kedua-dua ibu bapanya.

Beliau juga boleh melakukannya terhadap saudara terdekatnya atau sahabatnya. Adapun daging khinzir, kerana Allah telah mengubah satu kaum di dalam bentuk khinzir, kera, dan beruang. Lantaran itu, Dia melarang memakan binatang seumpamanya supaya mereka tidak mengambil faedah daripadanya dan meringan-ringankan pembalasannya. Adapun arak, sesungguhnya Allah mengharamkannya kerana perbuatan dan keburukan peminum. Beliau a.s. berkata: Sesungguhnya penagih arak adalah seperti penyembah berhala. Ia akan membuatkannya gementar, hilang kekuatannya dan rosakan maruah. Ia juga akan menyebabkan perbuatan perkara haram seperti menumpahkan darah, melakukan perzinaan terutaman ketika mabuk, akan melakukan perkara yang haram.