Sambungan

Riwayat Sahabat Kami dan Orang Lain

Diriwayatkan daripada Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak seorang pun Ahlu l-Bait memasuki syurga melainkan mereka semua memasukinya. Ditanya: Bagaimana boleh terjadi begitu? Baginda s.a.w. bersabda: Beliau akan memberi syafaat kepada mereka, dan mereka pula boleh memberi syafaat kepada orang lain sehingga tinggal seorang khadam. Maka baginda s.a.w. berkata: Wahai Tuhanku! Khadimahku, dia telah melindungi aku daripada kepanasan dan kesejukan, lalu baginda s.a.w. memberi syafaat kepadanya .

Diriwayatkan daripada al-Sadiq a.s berkata: Tidak ada Ahlu l-Bait melainkan terdapat pada mereka seorang yang cerdik (najib) dan yang paling cerdik adalah daripada Ahlu Bait Nabi s.a.w.

Diriwayatkan bahawa bagi mereka munafik mereka mempunyai empat alamat: Keras hati, keras mata, berterusan di atas dosa dan tamak kepada dunia .
Sahal bin Ziad al-Adami telah memberitahu aku berkata: Urwah bin Yahya telah memberitahu aku daripada Abu Sa'id al-Madai'ni berkata: Aku berkata kepada Abu Abdullah a.s: Apakah pengertian firman Allah a.w di dalam Surah al-Qasas (28):46 "Dan tiadalah kamu berada berhampiran gunung Tur, ketika kami menyeru(musa)" ? Beliau a.s berkata: Kitab untuk kami, Allah telah menulisnya wahai Abu Sa'id, pada satu daun (kertas) sebelum Dia mencipta makhluk dua ribu tahun ada bersamanya di Arasy atau di bawah Arasy-Nya tertulis di dalamnya: Wahai syi'ah Ali Muhammad! Aku telah memberi kepada kamu sebelum kamu memohon kepada-Ku (Ya syi'ata Ali Muhammad, a'taitu-kum qabla an tas'aluni). Aku telah mengampuni untuk kamu sebelum kamu memohon ampun daripada-Ku (wa ghafartu la-kum qabla an tastaghfiruni). Siapa yang telah mendatangi-Ku di kalangan kamu dengan wilayah ali Muhammad, maka Aku akan menempatkannya di syurga-Ku dengan rahmat-Ku (man atani min-kum bi-wilayati ali Muhammad askantu-hu jannati bi-rahmati)" 

Muhammad bin Ja'far bin Abu Syakir telah memberitahuku daripada mereka yang telah memberitahunya daripada beberapa lelaki daripada Abu Abdullah a.s berkata: Allah akan membalas kebaikan (al-Ma'ruf) seseorang apabila dia tidak memulakannya dengan masalah, tetapi apabila saudara anda datang kepada anda kerana satu hajat, hampir dia melihat darahnya pada mukanya dalam keadaan bahaya, sedangkan dia masih ragu untuk memenuhi atau enggan. Maka demi Tuhan, demi Tuhan, jika dia keluarkan kesemua yang dia miliki untuk saudaranya itu selepas berlalu keperluannya, nescaya dia tidak dapat membalas (keaiban)nya .


Hadis Mubahalah

Bismillaahi r-Rahmani r-Rahim

Abu Bakr bin Muhammad bin Ibrahim al-'Allaf al-Hamdani di Hamadan telah memberitahu aku berkata: Abdullah bin Ja'far bin Muhammad bin Ja'far bin Musa bin Syazan al-Bazzaz telah memberitahu kami dengan katanya: Abu Abdullah al-Husain bin Muhammad bin Sa'id al-Bazzaz yang dikenali dengan Ibn al-Matbaqi, dan Ja'far al-Daqqaq telah memberitahu kami, mereka berdua berkata: Abu al-Hasan Muhammad bin al-Faidh bin Fayyadh al-Dimasyqi di Dimsyiq telah memberitahu kami dengan katanya: Ibrahim bin Abdullah anak saudara lelaki Abd al-Razzaq telah memberitahu kami, berkata: Abd al-Razzaq bin Hammam al-San'ani telah memberitahu kami, berkata: Mu'ammar bin Rasyid telah memberitahu kami, berkata: Muhammad bin al-Munkadir telah memberitahu kami daripada bapanya daripada datuknya berkata: Al-Sayyid dan al-'Aqib adalah dua orang paderi Najran berserta rombongannya yang terdiri tujuh puluh orang telah datang mengunjungi Nabi s.a.w. Aku telah berada bersama mereka dan di kalangan kami diadakan pengajaran Injil secara ringkas, iaitu pengajaran Injil oleh pengeluar dana mereka. Tiba-tiba seekor baghal betina terjatuh, maka paderi itu berkata: Terjatuhlah orang yang kami mendatanginya dari jauh (Rasulullah s.a.w). Lantas sahabatnya bernama al-'Aqib berkata: Andalah yang terjatuh dan terbalik. Paderi itu berkata: Kenapakah begitu?

Al-'Aqib berkata: Kerana anda telah menjatuhkan Nabi al-Ummiy Ahmad. Paderi berkata: Bagaimana anda mengetahuinya? Al-'Aqib berkata: Tidakkah anda membaca daripada al-Miftah al-Rabi' daripada wahyu kepada al-Masih: Katakanlah kepada Bani Israel: Alangkah jahilnya kamu!. Kamu melahirkan diri kami dengan hiasan dunia di sisi ahlinya dan ahli kamu. Sedangkan di dalam hati kamu di sisi aku seperti bangkai yang busuk. Wahai Bani Israel! Berimanlah dengan Rasul-Ku al-Ummiy, ia akan lahir pada akhir zaman. Mukanya seperti bulan penuh purnama, mempunyai seekor unta betina merah dihiasi dengan cahaya, mempunyai maruah yang baik dan pakaian yang kasar. Dia adalah penghulu kepada mereka terdahulu di sisi-Ku, orang terakhir yang paling mulia, akan menurut sunnah-Ku, akan memasuki syurga-Ku, pejuang dan di tangannya kaum musyrikin kerana-Ku, bergembiralah dengan berita tersebut. Wahai Bani Israel! Perintahlah Bani Israel supaya menolong dan membantunya.

Isa berkata: Quddus, quddus. Siapakah hamba yang soleh ini? Hati aku telah mencintainya sekalipun mata aku tidak pernah melihatnya? Dia berkata: Beliau adalah daripada anda dan anda adalah daripadanya, beliau adalah ipar anda daripada ibu anda, sedikit anak, berkahwin ramai, tinggal di Makkah iaitu tempat asas yang telah diletakkan Ibrahim. Keturunannya daripada zuriat yang diberkati (Mubarakah) iaitu madu ibu anda di syurga. Beliau mempunyai beberapa keadaan; matanya tidur, tetapi hatinya jaga. Beliau memakan hadiah, tetapi tidak memakan sedekah. Beliau mempunyai kolam (haudh) di pinggir Zamzam sehingga ke tempat jatuhnya matahari.

Padanya dua minuman daripada jenis Rahiq dan Tasnim. Padanya piala-piala yang banyak seperti bilangan bintang di langit. Siapa yang meminumnya maka dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Itu adalah kerana Aku telah melebihkannya ke atas semua rasul. Perbuatannya menepati perkataannya secara rahsia atau terang-terangan. Alangkah bagusnya untuk dirinya. Alangkah bagusnya untuk umatnya yang menghidupkan agamanya dan mati di atas sunnahnya dan bersama-sama Ahlu l-Baitnya. Mereka cenderung dalam keadaan beriman, tenang dan diberkati. Pada musim kemarau dan kesusahan beliau menyeru-Ku, maka langit menurunkan hujan dengan lebat sehingga dilihat kesan keberkatannya. Aku akan memberkati apa yang dilakukannya. Beliau berkata: Ilahi, namakannya. Dia berkata: Ya. Namanya Ahmad iaitu Muhammad rasul-Ku kepada semua makhluk, yang paling hampir kedudukannya dengan-Ku, yang paling banyak mendapat syafaat-Ku. Beliau tidak memerintahkan melainkan apa yang Aku suka dan beliau melarang apa yang Aku benci.

Sahabat al-'Aqib berkata kepadanya: Kenapa anda mengemukakan kepada kami orang yang sebegini sifatnya? Al-'Aqib berkata: Kita akan menyaksikan keadaannya, kita melihat akan bukti-buktinya. Jika ia benar sebagaimana yang dikatakan (yakun huwa huwa), kita akan menolongnya dengan perdamaian. Kita meneguhnya dengan harta-harta kita daripada penganut-penganut agama kita di dalam keadaan beliau tidak menyedari rancangan kita. Jika beliau seorang pendusta, maka pendustaannya ke atas Allah sudah cukup bagi kita. Paderi berkata: Kenapa apabila anda melihat tanda-tandanya anda tidak mengikutinya? 

Beliau berkata: Tidakkah anda lihat bagaimana mereka menghormati kita, melayani kita dan membenarkan kita membina gereja-gereja serta meninggikan suara kita di dalamnya dan bagaimana jiwa boleh menerima agama yang menyamakan yang mulia dengan yang hina. Apabila mereka datang ke Madinah, para sahabat Rasulullah s.a.w melihat mereka dan berkata: Kami belum pernah melihat rombongan Arab yang lebih cantik daripada mereka, yang mempunyai perasaan, dan pakaian di atas mereka. Rasulullah s.a.w pada masa itu telah berada jauh dari Masjid, maka aku telah menghadiri solat rombongan itu. Mereka berdiri dan mengerjakan solat di Masjid Rasulullah s.a.w ke arah timur. Beberapa lelaki di kalangan sahabat Rasulullah s.a.w memahamkan mereka dengan menghalang mereka. Rasulullah s.a.w datang sambil bersabda: Tinggalkan mereka dan apabila mereka menyelesaikan solat, mereka duduk di sisi Rasululah s.a.w. dan mengadakan dialog dengannya.

Mereka berkata: Wahai Abu al-Qasim! Berhujahlah dengan kami tentang Isa? Baginda s.a.w bersabda: Isa adalah seorang hamba Allah dan Rasul-Nya serta kalimat-Nya yang telah dicampakkan kepada Maryam dan roh daripada-Nya. Seorang daripada mereka berkata: Isa adalah anak lelaki-Nya dan orang yang kedua daripada dua. Sementara yang lain pula berkata: Isa adalah yang ketiga daripada tiga: Bapa, ibu dan roh al-Qudus. Kami telah mendengarnya di dalam al-Qur'an yang telah diturunkan kepada anda iaitu ayat: Kami telah melakukannya, kami telah menjadikannya dan kami telah menciptakannya.

Jika Ia adalah Satu, nescaya Dia akan berkata: Aku telah mencipta (khalaq-tu), aku telah menjadikannya (ja'al-tu) dan aku telah melakukannya (fa'al-tu). Pada saat itu Nabi s.a.w telahpun menerima wahyu yang diturunkan kepadanya pada permulaan Surah Ali Imran sehingga enam puluh ayat. Di antaranya Surah Ali Imran (3):61"Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu, maka katakanlah (kepadanya) Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak-kamu,wanita kami dan wanita kamu, diri kami dan diri kamu,kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada mereka yang dusta" 

Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada mereka tentang kisah ini dan membaca ke atas mereka al-Qur'an, sebahagian mereka berkata kepada yang lain: Demi Tuhan, ia telah datang kepada kamu dengan lebih jelas daripada cerita sahabat kamu.

Rasulullah s.a.w berkata kepada mereka: Sesungguhnya Allah a.w telah memerintahkan aku supaya bermubahalah dengan kamu. Mereka berkata: Jika begitu, besok kami bermubahalah dengan kamu. Mereka berkata: Sehingga kita menunggu dengan apakah beliau bermubahalah besok. Adakah dengan pengikut-pengikutnya yang biasa atau dengan keluarganya daripada ahli Safwah dan Taharah? Kerana mereka adalah tunjang para nabi dan rujukan mereka. Setelah tiba keesokan harinya, Nabi s.a.w berjalan di waktu pagi di kanannya Ali, di kirinya al-Hasan dan al-Husain, dan di belakang mereka adalah Fatimah a.s. Di atas mereka kain Najran sementara di atas bahu Rasulullah s.a.w kain kasar yang sederhana tebal.

Maka baginda s.a.w. memerintahkan supaya berhenti di antara dua pohon, kemudian baginda s.a.w. membersihkan tempat di antara keduanya. Baginda s.a.w. meletakkan kain (al-Kisa') di atas kedua-dua pohon tersebut dan memasukkan ahli keluarganya di bawah kain tersebut. Kemudian baginda s.a.w. memasukkan bahunya di sebelah kiri bersama-sama mereka di bawah kain berpegang kepada panahnya, mengangkat tangan kanannya ke langit untuk bermubahalah. Orang ramai melihat dengan tekun. Warna al-Sayyid dan al-'Aqib berubah menjadi kuning, fikiran mereka berdua hampir terbantut. Seorang daripada mereka berdua berkata kepada sahabatnya: Adakah kita akan bermubahalah dengannya? 

Beliau berkata: Tidakkah anda mengetahui bahawa tidak ada satu kaum pun yang bermubahalah dengan seorang nabi kecuali yang muda mereka akan membesar dan yang tua mereka akan tinggal. Aku fikir anda tidak akan mampu menghadapi bahayanya. Justeru berilah kepadanya harta dan senjata yang beliau kehendaki, kerana beliau adalah seorang ahli peperangan. Katakan kepadanya: Adakah dengan mereka itu anda bermubahalah dengan kami supaya beliau (Nabi s.a.w) tidak terfikir bahawa kami telah mengetahui kelebihannya dan kelebihan Ahlu l-Baitnya pada awal-awal lagi.

Apabila Nabi s.a.w mengangkat tangannya ke langit untuk bermubahalah, seorang daripada mereka berdua berkata: Rahbaniyyah yang mana satu ini?! Jika lelaki itu membuka mulutnya untuk bermubahalah, nescaya kami tidak akan kembali kepada kelurga dan harta kami. Mereka berdua berkata: Wahai Abu al-Qasim! Adakah dengan mereka itu anda akan bermubahalah dengan kami? Baginda s.a.w. berkata: Ya, mereka itu adalah orang yang paling terkemuka di atas muka bumi ini selepas aku di sisi Allah s.w.t, dan yang paling hampir kepada-Nya. Kedua-dua paderi itu menjadi cemas dan berkata kepadanya: Wahai Abu al-Qasim! Kami akan memberi kepada anda seribu pedang, seribu baju besi dan seribu perisai daripada kulit. Seribu dinar setiap tahun dengan syarat baju besi, pedang dan perisai di sisi anda diberi pinjam sehingga kaum kami datang selepas kami, maka kami akan memberitahu mereka tentang pendapat kami sama ada menerima Islam, jizyah atau memberi barang-barang yang dijanjikan (al-Muqata'ah) setiap tahun.

Nabi s.a.w berkata: Aku telah menerima perkara tersebut daripada kamu berdua. Demi Yang telah mengutus aku dengan kekeramatan, jika kamu bermubahalah dengan aku dan dengan mereka di bawah kain, nescaya Allah akan membakar kamu dengan api dan mereka di sekelilingnya lebih cepat dari kelipan mata. Maka Jibrail turun ke atasnya dan berkata: Wahai Muhammad, Allah memberi salam kepadamu dan berfirman: Demi kekuatan-Ku, Kemuliaan-Ku dan ketinggian tempat-Ku, jika penghuni langit dan penghuni bumi bermubahalah dengan mereka di bawah kain (al-Kisa'), nescaya langit akan runtuh dan bumi akan terputus-putus. Tidak ada sesuatu pun yang dapat berdiri di atasnya lagi. Maka Nabi s.a.w. mengangkat tangannya sehingga dapat dilihat keputihan ketiaknya. Baginda s.a.w. bersabda: Bagi mereka yang telah menzalimi kamu akan hak kamu dan tidak mengambil berat tentang upah yang telah difardukannya oleh Allah pada kamu, maka laknat Allah mengikuti mereka sehingga hari Kiamat. 


Peringatan Ummu Salmah R.A Terhadap 'Aisyah

Muhammad bin Ali bin Syazan telah memberitahu aku dan berkata: Ahmad bin Yahya al-Nahwi Abu al-Abbas Tha'lab memberitahu kami berkata: Ahmad bin Sahal Abu Abd al-Rahman memberitahu kami berkata: Yahya bin Muhammad bin Ishaq bin Musa memberitahu kami berkata: Ahmad bin Qutaibah Abu Bakr telah memberitahu kami daripada Abd al-Hakim al-Qutaibi daripada Abu Kisah dan Yazid bin Ruman mereka berdua berkata: Ketika 'Aisyah berkumpul untuk keluar ke Basrah, maka Ummu Salmah r.a datang kepadanya dari Makkah. 'Aisyah berkata kepadanya: Wahai Anak perempuan Abu Umayyah! Anda adalah Ummahat al-Mukminat yang tertua. Rasulullah s.a.w telah makan dan minum di rumah anda. Baginda s.a.w. telah memberi bahagian kami di rumah anda, wahyu telah turun di rumah anda.

Ummu Salmah r.a berkata: Wahai anak perempuan Abu Bakr! Adakah dengan darah Uthman anda tuntut? Sedangkan anda adalah orang yang paling kuat menentangnya dan telah melepaskan diri anda daripadanya atau pemerintahan Ali bin Abu Talib yang anda tentang sedangkan mereka muhajirin dan ansar telah mengikutinya? Sesungguhnya anda adalah penyandar atau pintu di antara Rasulullah s.a.w dan umatnya, dinding contoh di atas kehormatannya. Al-Qur'an dikumpulkan ekoran anda. Justeru janganlah bermegah dengannya. Bawa bertenang kedudukan anda. Janganlah mensia-siakannya. Allah adalah di belakang umat ini. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengetahui kedudukan anda jika baginda s.a.w. mahu membuat perjanjian dengan anda, nescaya baginda s.a.w. telah melakukannya. 

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarang anda dari merayau-rayau di seluruh negeri. Sesungguhnya tiang Islam tidak boleh dibaiki oleh wanita jika ia pecah. Kepujian seorang wanita adalah apabila dia tidak banyak bercakap dan merendahkan penglihatannya. Aku bukanlah orang yang berkata jika Rasulullah s.a.w membentangkan kepada anda sebahagian padang pasir, anda akan segera menjelajah dari kawasan berpaya ke kawasan yang lain. Sesungguhnya Allah melihat perjalanan dan pergerakan anda.

Dan kepada Rasulullah s.a.w anda akan datang pada hari Kiamat. Sesungguhnya anda telah menghadapi kegelapannya dan anda telah meninggalkan janjinya. Aku bersumpah dengan nama Allah, jika aku berjalan dengan perjalanan anda ini, kemudian ada orang berkata kepada aku: Masuklah syurga Firdaus, nescaya aku menjadi malu berjumpa dengan Muhammad s.a.w dalam keadaan mengoyakkan hijab yang dilakukan Ali. Jadikan rumah anda sebagai benteng, kubur anda dirahsiakan sehingga anda menemuinya, kerana itu adalah baik.

Kemudian Ummu Salmah berkata: Jika aku mengingatkan anda lima perkara tentang kelebihan Ali a.s daripada Rasulullah s.a.w, nescaya anda akan mematuk aku seperti seekor ular yang bisa. Adakah anda masih ingat ketika Rasulullah s.a.w membuat undian di antara isteri-isterinya (yaqra' baina nisa'i-hi) apabila baginda s.a.w. ingin musafir, maka bahagian aku dan bahagian anda telah keluar di kala itu kita bersamanya. Baginda s.a.w. pada masa itu sedang turun dari Qudaid dan bersamanya Ali a.s bercakap-cakap dengannya. Lantas anda telah pergi untuk menyerangnya.

Aku berkata kepada anda: Rasulullah s.a.w bersama sepupunya. Kemungkinan baginda s.a.w. memerlukannya tetapi anda menderhaka aku dan kembali dalam keadaan menangis. Maka aku pun bertanya kepada anda, lalu anda berkata: Anda telah menyerangnya (Ali a.s) dan anda berkata kepadanya: Wahai Ali! Aku berhak bersama Rasulullah s.a.w satu hari daripada sembilan hari. Sesungguhnya anda telah menyibukkannya daripada aku. Anda juga telah memberitahu aku bahawa Rasulullah s.a.w telah berkata kepada anda: Anda memarahinya (Ali). Tiada seorang pun daripada keluarga aku dan umat aku yang memarahi Ali melainkan terkeluar imannya? Aisyah menjawab: Ya.

Pada hari Rasulullah s.a.w mahu musafir, aku telah menyediakan makanan untuknya, maka baginda s.a.w. bersabda kepada aku: Seorang di kalangan isteri-isteri aku akan menjadi pemilik unta betina dan akan disalak oleh anjing-anjing di Hau'ab. Maka aku mengangkat tangan aku dari menyediakan makanannya dan aku berkata: Aku memohon perlindungan Allah supaya ia tidak berlaku kepada aku. Maka baginda s.a.w. bersabda: Demi Tuhan, salah seorang daripada kamu berdua akan melakukannya, bertakwalah kepada Allah wahai Humaira' supaya anda tidak melakukannya. Adakah anda masih mengingatinya wahai 'Aisyah? Aisyah menjawab: Ya.

Pada hari kita bersiar-siar di hadapan Rasulullah s.a.w, anda telah memakai pakaian aku dan aku telah memakai pakaian anda. Maka Rasulullah s.a.w datang, lalu duduk di sisi anda dan bersabda: Adakah anda menyangka wahai Humaira' bahawa aku tidak mengenali anda? Sesungguhnya umat aku akan menghadapi anda pada suatu hari yang pahit atau pada hari yang berdarah. Adakah anda masih mengingatinya wahai 'Aisyah?

Pada hari aku dan anda berserta Rasulullah s.a.w, tiba-tiba datang bapa anda dan sahabatnya meminta izin. Maka aku pun memasuki bilik aku. Kemudian mereka berdua berkata: Wahai Rasulullah! Kami tidak mengetahui kadar kedudukan anda tentang kami, adalah lebih baik,jika anda jadikan untuk kami seorang yang boleh kami mendatanginya selepas anda (fa-lau ja'al-ta lana insanan na'ti-hi ba'da-ka). Baginda s.a.w. bersabda: Sesungguhnya aku mengenali kedudukannya dan aku mengetahui tempatnya, jika aku memberitahu kamu mengenainya, nescaya kamu akan berpecah sebagaimana berpecahnya Bani Israel daripada Isa bin Maryam (Lau akhbartu-kum bi-hi la-tafarraqt-um 'an-hu ka-ma tafarraqat Bani Israel). Apabila mereka berdua keluar, maka aku dan anda keluar kepadanya dan anda berdukacita ke atasnya sambil berkata: Siapakah yang anda akan melantiknya untuk mereka? Baginda s.a.w. bersabda: Tukang kasut(khasif al-Na'al). Ali bin Abu Talib membaiki kasut Rasulullah s.a.w apabila ia rosak, membasuh kainnya apabila ia kotor. Maka aku berkata: Aku tidak melihat melainkan Ali, maka baginda s.a.w bersabda: Beliaulah orangnya, adakah anda masih mengingatinya wahai 'Aisyah? Aisyah menjawab: Ya.

Pada hari Rasulullah s.a.w mengumpulkan kita di rumah Maimunah dan bersabda: Wahai isteri-isteri aku! Bertakwalah kepada Allah dan janganlah seorang pun daripada kamu musafir. Adakah anda masih mengingatinya wahai 'Aisyah? Aisyah menjawab: Ya.

Kemudian aku pun keluar dan utusannya juga keluar dan menyeru kepada orang ramai: Siapa yang ingin keluar, maka hendaklah dia keluar kerana Umm al-Mukminin akan keluar. Lantas Abdullah bin al-Zubair memasukinya dan membisikkan pada telinganya dan hatinya yang belum membuat keputusan. Utusannya keluar dan menyeru: Siapa yang ingin berjalan, maka hendaklah beliau berjalan, kerana Ummu al-Mukminin akan keluar. Apabila 'Aisyah menyesal, maka Ummu Salmah mengeluarkan bait-bait syair berikut:

Jika seorang yang berpegang masih tergelincir 
Maka 'Aisyah adalah seorang daripada mereka
Berapa tahun sahaja dia meninggalkan Rasulullah 
Membaca ayat-ayat al-Qur'an dan mengkajinya
Kadang-kadang Allah mencabut akal manusia 
Sehingga dengannya ia menghukum ke atas manusia
Allah merahmati Ummu al-Mukminin sesungguhnya 
Dia telah bertukar dari keriuhan kepada ketenangan