Sambungan

Pembentangan Wilayah Ahlu l-Bait Ke Atas Semua Perkara

Daripada Imran bin Yasar al-Yasykariy, daripada Abu Hafs al-Madlaji daripada Syarif bin Rabi'ah, daripada Qanbar maula Amir al-Mukminin a.s berkata: Aku telah berada bersama-sama Amir al-Mukminin a.s, tiba-tiba seorang lelaki masuk dan berkata: Wahai Amir al-Mukminin, Aku suka buah tembikai. Qanbar berkata: Amir al-Mukminin a.s. memerintahkan aku supaya membeli sebiji buah tembikai. Maka aku membayar satu dirham, lalu mereka membawa kepada kami tiga biji buah tembikai. Aku memotong sebiji tembikai, maka aku mendapatinya pahit. Aku berkata: Pahit, wahai Amir al-Mukminin a.s. Beliau a.s berkata: Campakkannya kerana ia dari neraka kepada neraka.

Qanbar berkata: Aku memotong buah tembikai yang kedua, maka ia adalah masam. Aku berkata: Masam, wahai Amir al-Mukminin a.s, beliau berkata: Campakkannya kerana ia dari neraka kepada neraka. beliau berkata: Aku telah memotong buah tembikai yang ketiga. Maka aku mendapatinya berulat. Aku berkata: Berulat, wahai Amir al-Mukminin, beliau a.s. berkata: Campakkannya kerana ia dari neraka ke neraka. Kemudian aku membayarnya dengan satu dirham yang lain, lalu mereka datang kepada kami dengan tiga biji tembikai diletaknya di kaki aku. Lalu aku berkata: Maafkan aku, wahai Amir al-Mukminin a.s untuk memotongnya.

Amir al-Mukminin a.s berkata kepadaku: Silakan duduk wahai Qanbar, ini adalah perintah. Aku pun duduk dan memotong satu biji tembikai. Aku telah mendapatinya manis, aku berkata: Manis, wahai Amir al-Mukminin a.s. Beliau a.s berkata: Makanlah dan berilah makan kepada kami. Lalu aku telah makan sebahagian dan aku memberi makan kepadanya sebahagian. Kemudian aku memberi makan satu bahagian kepada lelaki yang duduk di sisi aku. Aku telah berpaling kepada Amir al-Mukminin a.s. Maka beliau a.s. berkata: Sesungguhnya Allah telah membentangkan wilayah kami ke atas penghuni langit dan penghuni bumi daripada Jin, manusia, buah-buahan dan lain-lain. Sesiapa yang telah menerima wilayah kami, maka ia adalah baik, bersih dan manis. Sesiapa yang tidak menerimanya, maka ia adalah jahat, buruk dan busuk .

Daripada Abban bin Taghlab al-Kindi berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya roh iman adalah satu, keluar di sisi Yang Satu, kemudian berpisah pada tubuh yang berlainan, maka di atas-Nya ia bertaut dan berkasih sayang, ia akan keluar dari bermacam-macam, dan kembali di dalam keadaan yang satu di sisi Yang Satu. 


Kelebihan Mengenali Wilayah Ahlu l-Bait A.S

Ibn Sinan daripada al-Mufadhdhal bin 'Umar berkata: Abu Abdullah a.s berkata kepadaku: Sesungguhnya Allah s.w.t adalah Satu, lalu Dia memperkenalkan kepada hamba-Nya akan diri-Nya, kemudian Dia telah menyerahkan kepada mereka urusan-Nya dan mengharuskan mereka syurga-Nya. Sesiapa Allah mahu membersihkan hati-nya (an yutahhira qalba-hu) di kalangan Jin dan manusia, maka Dia memperkenalkan kepadanya wilayah kami (wilayati-na). Dan sesiapa yang Dia mahu memadamkan hatinya, maka Dia menahannya dari mengenali kami.

Kemudian beliau berkata: Wahai Mufadhdhal, demi Allah, sesungguhnya Adam tidak berhak diciptakan Allah dengan tangan-Nya, (ma istaujaba Adam an yakhluqa-hu l-Lahu bi-yadi-hi) dan dihembuskan padanya roh-Nya melainkan dengan wilayah Ali a.s (illa bi-wilayati Ali). Allah tidak bercakap dengan Musa sebarang percakapan melainkan dengan wilayah Ali a.s. Dan Allah tidak memperkuatkan Isa ibn Maryam sebagai bukti (ayatan) bagi alam semesta melainkan dengan khudhu' kepada Ali a.s, kemudian beliau berkata: Makhluk Allah tidak layak "melihat" Allah melainkan dengan mentaati kami .


Balasan Mereka Yang Menegah Mukmin Dari Hajatnya

Daripada Ali bin Ja'far daripada saudaranya Musa bin Ja'far a.s berkata: Aku telah mendengarnya berkata: Sesiapa yang telah didatangi saudaranya muslim di dalam sesuatu hajat, maka sesungguhnya ia adalah suatu rahmat daripada Allah kepadanya. Jika beliau menerimanya, maka sesungguhnya beliau telah menyambungkannya dengan wilayah kami iaitu sambungan dengan wilayah Allah Jika beliau menolaknya dari menunaikan hajatnya sedangkan beliau mampu melaksanakannya, maka Allah akan menguasai ke atasnya dengan api neraka yang membakarnya di dalam kuburnya sehingga hari Kiamat sama ada beliau diampuni ataupun diseksa, kerana keuzurannya kepada yang berhajat adalah lebih buruk keadaannya .

Abu Abdullah a.s berkata: Seorang yang telah bercakap dengan satu percakapan petunjuk, lalu orang lain mengamalkannya, maka beliau akan mendapat pahala sebagaimana pelakunya. Begitu juga jika beliau bercakap dengan perkataan sesat, maka baginya dosa sebagaimana pelakunya .

Daripada al-'Alim: Sesiapa yang telah melakukan sunnah yang baik, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang melakukannya tanpa mengurangkan pahala mereka sedikit. Sesiapa yang melakukan sunnah yang jahat, maka beliau akan menanggung dosanya dan dosa pelakunya tanpa sedikit pun mengurangi dosa mereka.

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang telah mempelajari suatu ilmu bagi berhujah dengan mereka yang bodoh atau menguji para ulama dan menarik orang ramai kepadanya sambil berkata: Akulah ketua kamu, maka beliau akan menduduki tempatnya di neraka. Kemudian beliau berkata: Sesungguhnya kepimpinan tidak layak melainkan kepada ahlinya. Sesiapa yang telah menyeru orang ramai kepada dirinya sedangkan di kalangan mereka terdapat orang yang lebih alim daripadanya, maka Allah tidak akan melihat kepadanya di hari Kiamat .

Daripada al-Harith bin al-Mughirah berkata: Abu Abdullah a.s telah berjumpa dengan aku di bahagian jalan ke Madinah secara berhadapan, berkata kepada aku: Harith! Aku berkata: Ya, maka beliau berkata: Aku akan membawa dosa mereka bodoh di kalangan kamu ke atas mereka yang lemah lembut kamu (hulama'i-kum). Aku berkata: Aku jadikan diri aku tebusan anda, kenapa? Beliau berkata: Apakah yang menghalang kamu dari mendatangi lelaki yang telah menimbulkan keaiban kepada kami di sisi orang ramai, menasihatinya dengan kata-kata yang baik? Aku berkata: Jika beliau tidak menerima kami dan mematuhi kami? Beliau berkata: Jika begitu, maka kamu tinggalkan dia dan jauhilah daripadanya.


Persaudaraan Ada Dua Jenis

Daripada Yunus bin Abd al-Rahman daripada Abu Maryam daripada Abu Ja'far a.s berkata: Seorang lelaki telah berdiri kepada Amir al-Mukminin a.s di Basrah dan berkata: Wahai Amir al-Mukminin a.s, beritahu kepada aku tentang saudara-saudara (al-Ikhwan). Beliau berkata: Saudara-saudara ada dua jenis: Saudara yang dipercayai (thiqah) dan saudara ketika ketawa (mukasyarah). Adapun saudara-saudara yang dipercayai, maka mereka sepertilah tapak tangan, sayap, ahli, dan harta. Jika anda mempercayai saudara anda, maka berbelanjalah harta anda, badan anda, bersahabat dengan orang yang bersahabat dengannya, bermusuhan dengan orang yang bermusuhan dengannya. Sembunyikan rahsianya, keaibannya dan perlihatkan kebaikannya. Ketahuilah, wahai orang yang bertanya, bahawa mereka adalah lebih mulia daripada permata merah. Adapun saudara-saudara ketika ketawa, anda akan mendapat kelazatan daripada mereka, anda janganlah memutuskan perhubungan dengan mereka dan janganlah anda meminta lebih daripada itu. Berbelanjalah kepadanya sebagaimana beliau membelanjakan kepada anda dengan muka yang baik dan lidah yang manis .


Tingkatan Persahabatan

Abu Abdullah a.s berkata: Sesungguhnya mereka yang anda menganggap sebagai sahabat tetapi apabila anda menguji mereka, maka anda akan mendapati mereka terbahagi kepada beberapa peringkat: Pertama: Mereka adalah seperti singa pada membesar-besarkan makan. Kedua: Mereka seperti serigala di dalam kemudaratan. Ketiga: Mereka seperti anjing di dalam mengerak-gerakan ekornya. Keempat: Mereka seperti musang di dalam tipu muslihat dan pencurian. Bentuk mereka bermacam-macam, tetapi pekerjaan mereka adalah satu. Apakah anda akan lakukan jika anda ditinggalkan keseorangan, tanpa ahli dan anak melainkan Tuhan semesta alam? 

Al-Sadiq a.s berkata: Sahabat musuh Ali a.s adalah musuh Ali a.s. 

Al-Ridha a.s berkata: Apabila anda di dalam kesusahan, maka kamu pohonlah pertolongan melalui kami kepada Allah iaitu firman-Nya Surah al-A'raf (7): 180 "Hanya milik Allah asma' al-Husna maka pohonlah kepada-Nya dengannya" 

Beliau berkata: Amir al-Mukminin a.s berkata: Janganlah anda menampakkan gigi anda sedangkan keburukan telah dilakukan, anda tidak dapat mengelakkan azab dari amalan yang jahat .


Simpanlah Hadis Kami Di Benteng-Benteng yang kukuh

Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin al-Hasan al-Saffar daripada Salmah bin al-Khattab daripada Ahmad bin Musa daripada Abu Sa'id al-Zanjani daripada Muhammad bin Isa daripada Abu Sa'id al-Mada'ini berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Sampaikan salam aku kepada mawali kita dan beritahu kepada mereka supaya mereka menyimpan hadis kami di dalam benteng-benteng yang kukuh (husun hasinah ), di dada-dada fakih (sudur faqihah) dan di dalam mimpi-mimpi yang tenang, demi Yang telah membelah biji-bijian dan Yang telah menghidupkan jiwa, bahawa bukanlah pencaci kami (al-Syatimu la-na 'ardhan) yang menjadi halangan dan bukanlah penentang kami (al-Nasibu la-na harban) yang mengisytiharkan peperangan terhadap kami yang lebih membahayakan kami daripada penyebar (al-mudhi') hadis kami kepada orang yang tidak boleh menerimanya (man la yahtimilu-hu) .


Kelebihan Kemurahan Hati

Diriwayatkan daripada seorang yang alim sesungguhnya beliau berkata: Kemurahan hati (al-Sakha') adalah satu pohon di syurga dan dahan-dahannya adalah di dunia. Sesiapa yang telah bergantung di salah satu dahannya, maka ia akan membawanya ke syurga. Kebakhilan (al-Bakhl) adalah satu pohon di neraka dan dahan-dahannya adalah di dunia. Sesiapa yang telah bergantung di salah satu dahannya, maka ia akan membawanya ke neraka.

Rasulullah s.a.w bersabda kepada 'Adi bin Hatim: Sesungguhnya Allah telah menolak azab yang kuat daripada bapa anda kerana kemurahan hatinya.

Diriwayatkan bahawa sekumpulan tawanan telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w, lalu beliau telah memerintahkan Amir al-Mukminin a.s supaya memenggal leher mereka, kemudian beliau telah memerintahkannya supaya mengasingkan seorang daripada mereka dan tidak dibunuh, lelaki itu berkata: Kenapa anda telah mengasingkan aku daripada para sahabat aku sedangkan jenayah adalah satu, beliau s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepada aku bahawa anda adalah seorang yang pemurah di kalangan kaum anda dan aku tidak akan membunuh anda, lantas lelaki itu berkata: Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya anda adalah pesuruh Allah. Beliau berkata: Kemurahan hatinya telah membawanya ke syurga.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki yang pemurah yang melakukan dosa itu adalah lebih dicintai Allah daripada seorang tua (syeikh) yang kuat beribadat, tetapi bakhil.

Diriwayatkan bahawa tiada suatu perkara yang hampir kepada Allah dan lebih dicintai-Nya dari memberi makan dan pengaliran darah (sembelihan binatang atau syahadah).

Diriwayatkan: Kamu duduklah di hadapan hidangan di dalam waktu yang agak lama, kerana ia adalah waktu yang tidak dikira umur kamu.

Diriwayatkan bahawa jika seorang membelanjakan makanan dengan harga seratus ribu dirham, kemudian seorang mukmin sahaja memakannya, maka ia tidak dikira seorang pemboros(musrifan).

Diriwayatkan daripada seorang yang alim bahawa beliau berkata: Beri makanlah makanan, berilah salam, kerjalah solat ketika orang ramai sedang tidur, maka masuklah syurga dengan sejahtera.

Diriwayatkan: Hanya kepada kamulah pahala, wahai pemurah hati (al-Sakhiyyu), kerana Allah a.w menyambut dengan tangan-Nya.

Diriwayatkan bahawa Allah menyambut di ubun-ubun bayi apabila ia terantuk.

Beliau berkata: Allah berfirman di dalam hadis kudsi: Redailah apa yang Aku telah kurniakan kepada kamu, nescaya kamu menjadi orang yang paling kaya.

Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada al-Husain bin Sa'id, daripada al-Qasim bin Muhammad al-Jauhari daripada Ali bin Abu Hamzah daripada Abu Basir berkata: Aku telah mendengar Abu Ja'far berkata: Rahsia Allah di mana Dia telah menyimpan rahsia-Nya kepada Jibrail dan Jibrail telah menyimpan rahsianya kepada Muhammad s.a.w dan Muhammad telah menyimpan rahsianya kepada Ali a.s dan Ali a.s telah menyimpannya kepada orang yang ia kehendaki seorang selepas seorang.


Hukum-Hukum Diat

Al-Hasan bin Mahbub daripada Hisyam bin Salim daripada Ziad bin Sauqah daripada al-Hakam bin Utaibah berkata: Aku telah berkata kepada Abu Ja'far a.s: Aslaha-ka l-Lahu, sesungguhnya sebahagian orang mempunyai tiga puluh dua gigi di mulutnya dan sebahagian orang mempunyai dua puluh lapan gigi, lantaran itu, berapakah dibahagikan diat gigi? Maka beliau berkata: Asal kejadian adalah dua puluh lapan gigi; dua belas di hadapan mulut dan enam belas gigi di belakang, maka di atas asas inilah dibahagikan diat gigi. Fidyah setiap gigi hadapan apabila ia pecah dan hilang adalah lima ratus dirham. Bagi dua belas gigi, maka fidyahnya adalah enam ribu dirham. Fidyah setiap gigi gusi sehingga ia hilang adalah separuh fidyah gigi hadapan. Lantaran itu fidyah setiap gigi yang telah pecah sehingga ia hilang adalah dua ratus lima puluh dirham. Oleh itu enam belas gigi gusi, maka fidyahnya adalah empat ribu dirham. Semua diat gigi hadapan dan belakang adalah sepuluh ribu dirham dan gigi yang melebihi dua puluh lapan tiada diat baginya, begitu juga gigi yang kurang, maka tiada diat baginya. Demikianlah kami telah mendapatinya di dalam kitab Ali.

Al-Hakam berkata: Maka aku berkata kepadanya: Sesungguhnya diat diambil sebelum hari ini dari unta dan kambing, beliau berkata: Itu telah berlaku di perkampungan sebelum Islam. Apabila datang Islam dan kertas (al-waraq ) telah menjadi banyak di kalangan orang ramai, maka Amir al-Mukminin a.s telah membahagikannya di atas wang kertas. Al-Hakam berkata: Aku telah berkata kepadanya: Apakah pendapat anda jika ia berlaku kepada penduduk kampung,adakah diambil daripadanya unta atau wang kertas? Beliau berkata: Unta pada hari ini sepertilah wang kertas, tetapi ia adalah lebih baik dari wang kertas di dalam diat. Diambil daripada mereka diat kesalahan (al-Khata') adalah seratus ekor unta, setiap ekor unta dinilai sebayak seratus dirham, maka jumlah kesemuanya adalah sepuluh ribu dirham, aku berkata kepadanya: Berapakah umur seratus ekor unta? Beliau berkata: Apabila cukup setahun .

al-Hakam berkata: Aku telah bertanya kepadanya:Apakah pendapat anda tentang sengaja (al-'Amd) dan secara tidak sengaja (al-Khata' ) di dalam pembunuhan dan kecederaan? Beliau berkata: Al-Khata' (secara tidak sengaja) tidak sama dengan sengaja (al-'Amd). Sengaja di dalam pembunuhan dan kecederaan adalah dikenakan kisas, sementara pembunuhan dan kecederaan secara tersalah dikenakan diat, kemudian beliau berkata: Wahai Hakam, apabila kesalahan daripada pembunuh atau orang yang melakukan kecederaan itu seorang Badwi, maka fidyah yang dilakukan oleh Badwi secara tidak sengaja itu, adalah di atas wali-wali Badwinya. Dan jika pembunuh atau orang yang melakukan kecederaan itu terdiri daripada orang kampung, maka diat kesalahannya adalah di atas wali-wali kampungnya .

Daripadanya, daripada al-Hakam berkata: Aku telah bertanya Abu Ja'far a.s tentang anak-anak jari tangan (asabi' al-Yadain) dan anak-anak jari kaki yang melebihi sepuluh jari atau yang berkurangan daripadanya, adakah dikenakan diat? Beliau berkata: Maka beliau berkata kepada ku: Wahai Hakam, asal kejadian adalah sepuluh anak-jari bagi dua tangan dan sepuluh anak jari kaki bagi dua kaki dan apa yang terlebih dan berkurangan, maka tiada diat baginya, setiap anak jari tangan, maka diatnya adalah seribu dirham dan diat bagi setiap anak jari kaki adalah seribu dirham dan setiap anak jari yang lumpuh, maka diatnya adalah satu pertiga dari anak jari yang sihat .

Hisyam bin Salim daripada Ammar bin al-Sabiti daripada Abu Ubaidah berkata: Aku telah bertanya Abu Ja'far a.s tentang seorang yang buta yang telah mencungkil mata seorang lelaki yang sempurna dengan sengaja, maka beliau berkata: Wahai Abu Ubaidah, sesungguhnya kesengajaan seorang yang buta sepertilah seorang yang melakukannya dengan tidak sengaja, lantaran itu, beliau wajib mengeluarkan diat dari hartanya. Jika beliau tidak mempunyai harta, maka diatnya adalah di atas imam dan ia tidak membatalkan hak seorang muslim.


Alamat-Alamat Kejayaan

'Umru bin Abu al-Miqdam daripada Jabir al-Ja'fi berkata: Abu Ja'far a.s telah berkata kepada aku: Wahai Jabir, sentiasalah berada di tanah, janganlah anda menggerakkan tangan dan kaki sehingga anda melihat alamat-alamat di mana aku akan menyebutnya kepada anda jika anda mendapatinya: Perselisihan anak lelaki si polan, tetapi aku tidak fikir anda akan mendapatinya. Ia akan berlaku selepas aku. Penyeru akan menyeru dari langit dan suara akan mendatangi kamu dari arah Dimasyq, akan menelan sebuah kampung di Syam dinamakan al- Jabiyah, satu kumpulan akan terjatuh dari Masjid Dimasyq di sebelah kanan, pemberontak akan keluar di sebelah Turki dan dikuti di sebelah Rom.

Dialu-alukan saudara-saudara sehingga mereka berkumpul di al-Jazirah. Begitu juga pemberontak Rom dialu-alukan sehingga mereka berkumpul di al-Ramlah. Pada tahun itu, wahai Jabir, terdapat perbezaan yang banyak pada setiap tanah di sebelah al-Maghrib. Maka bumi al-Maghrib akan merosakkan bumi Syam, kemudian mereka bertengkar di atas tiga bendera: Bendera al-Ashab, bendera al-Abqa' dan bendera al-Sufyani. Kumpulan al-Sufyani akan bertemu dengan kumpulan al-Abqa', lalu mereka berperang. Al-Abqa' dan tenteranya terbunuh begitu juga al-Ashab dibunuh.

Kemudian matlamatnya adalah mara ke Iraq dan tenteranya akan melalui Qirqisa di mana mereka akan membunuh seratus ribu orang tentera yang kuat. Kemudian al-Sufyani akan menghantar tentera ke Kufah dan bilangan mereka adalah tujuh puluh ribu. Mereka akan membunuh penduduk Kufah, menyula dan menjadikan mereka hamba. Di dalam keadaan mereka sedemikian, tiba-tiba bendera-bendera di sebelah Khurasan memenuhi rumah-rumah dan bersama-sama mereka adalah beberapa orang sahabat al-Qaim a.s. Seorang daripada mawali penduduk Kufah keluar, lalu dibunuh oleh pemerintah tentera al-Sufyani di antara al-Hirah dan Kufah, kemudian al-Sufyani akan menghantar delegasi ke Madinah, lalu al-Mahdi melarikan diri ke Makkah. Maka berita telah sampai kepada pemerintah tentera al-Sufyani bahawa al-Mahdi telah keluar dari Madinah.

Lantas beliau mengutus tentera untuk menjejakinya, tetapi tidak mendapatinya sehingga beliau a.s memasuki Makkah di dalam keadaan takut menunggu mengikut sunnah Musa bin Imran a.s; pemerintah tentera al-Sufyani berkumpul di al-Baida', lalu penyeru menyeru dari langit: Wahai Baida', adakah di sisi al-Baida' kumpulan yang akan ditelan bumi di al-Baida' dan tidak akan terlepas daripada mereka melainkan tiga orang, Allah akan menukar muka-muka mereka ke belakang. Dan pada merekalah Surah al-Nisa, (4): 47 diturunkan " wahai mereka yang telah diberi al-Kitab, berimanlah kamu kepada apa yang telah kami turunkan (al-Qur'an) yang membenarkan kitab yang ada pada kamu sebelum kami merubah muka(mu)".

Beliau berkata: Al-Qaim a.s pada masa itu berada di Makkah, menyandar belakangnya di Ka'bah sambil berdoa: Wahai manusia: Sesungguhnya kami memohon pertolongan Allah dan siapa yang menyahuti seruan kami di kalangan manusia, kerana kami adalah Ahlu l-Bait Nabi kamu. Kami adalah orang yang paling aula dengan Allah dan Muhammad s.a.w. Sesiapa yang berhujah dengan aku tentang Adam, maka aku adalah orang yang paling aula dengan Adam. Sesiapa yang berhujah dengan aku tentang Nuh, maka aku adalah orang yang paling aula dengan Nuh. 

Sesiapa yang berhujah dengan aku tentang Ibrahim, maka aku adalah orang yang paling aula tentang Ibrahim. Sesiapa yang berhujah denganku tentang Muhammad s.a.w, maka aku adalah orang yang paling aula tentang Muhammad s.a.w. Sesiapa yang berhujah dengan aku tentang para nabi, maka aku adalah orang yang paling aula tentang para nabi, tidakkah Allah berfirman di dalam kitabnya Surah Ali Imran (3) : 34 "Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahi, dan keluarga Imran melebihi segala umat sebagai satu keturunan yang sebahagiannya dari yang lain. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ". 

Maka aku adalah baqiyyatun (peninggalan) daripada Adam, simpanan daripada Nuh, tapisan daripada Ibrahim dan pilihan daripada Muhammad s.a.w. Sesiapa yang berhujah dengan aku tentang kitab Allah, maka aku adalah orang yang aling aula tentang kitab Allah. Sesiapa yang berhujah dengan aku tentang sunnah Rasulullah s.a.w, maka aku adalah orang yang paling aula tentang sunnah Rasulullah s.a.w dan sirahnya.

Aku menyeru Allah akan orang yang telah mendengar percakapan ku hari ini manakala orang yang menyaksikan di kalangan kamu telah menyampaikannya kepada orang yang tidak hadir, aku meminta kamu dengan hak Allah, hak Rasul-Nya dan hak aku, sesungguhnya bagiku di atas kamu hak kerabat dengan Rasulullah s.a.w, kamu telah menentang kami dan menghalang kami daripada mereka yang menzalimi kami. Sesungguhnya kami telah diugut, dizalimi, diusir dari rumah-rumah kami dan anak-anak kami. Kami ditindas, dipinggirkan dari hak kami dan ahli batil menentang kami. Allah, Allah jika mereka telah mengambil kami dan telah menolong kami, Allah akan menolong kamu; maka Allah akan mengumpulkan untuknya para sahabatnya sebanyak tiga ratus tiga belas orang lelaki, Allah akan mengumpulkan untuknya tanpa menetapkan hari tertentu, iaitu sebagaimana ayat, wahai Jabir, yang telah disebutkan di dalam Surah al-Baqarah (2) : 148 "Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu"

Maka mereka akan memberi baiah kepadanya di antara Ka'bah dan Makam Ibrahim bersama-samanya janji dari Rasulullah s.a.w yang diwarisi para nabi daripada bapa-bapa mereka dan al-Qaim, wahai Jabir, adalah seorang lelaki daripada anak lelaki al-Husain bin Ali a.s. Allah akan memperbaiki urusannya untuknya di dalam satu malam. Beliau tidak akan menyusahkan orang ramai tentang perkara itu, wahai Jabir dan kelahirannya daripada Rasulullah s.a.w juga tidak akan menyusahkan keadaan dan pewarisannya akan para ulama seorang selepas seorang tidak akan menimbulkan masalah ke atas mereka. Jika kemusykilan berlaku, maka suara dari langit akan menyeru dengan namanya, nama bapanya dan nama ibunya .


Pemberitahuan Apa Yang Akan Berlaku

'Umar bin Thabit daripada Jabir berkata: Aku telah mendengar Abu Ja'far a.s berkata: Demi Allah, seorang lelaki daripada kami Ahlu l-Bait selepas kematiannya tiga ratus sembilan tahun, beliau berkata: Maka aku berkata: Bilakah ia akan berlaku? Beliau berkata: Maka beliau berkata: Selepas kematian al-Qaim. Aku telah berkata kepadanya: Berapa lama al-Qaim akan berada di dunianya sehingga beliau mati? Beliau berkata: Maka beliau berkata: Sembilan belas tahun dari hari pertamanya sehingga hari kematiannya, aku berkata: Adakah selepas kematiannya akan berlaku huru-hara? Beliau berkata: Ya, selama lima puluh tahun.

Kemudian al-Muntasir akan keluar ke dunia menuntut darahnya dan darah para sahabatnya, maka beliau membunuh dan mengambil tawanan sehingga dikatakan kepadanya: Jika inilah dari zuriat para nabi, nescaya beliau tidak membunuh orang ramai seperti pembunuhan ini, orang ramai sama ada yang putih atau yang hitam mereka akan berkumpul kepadanya sehingga mereka membuatnya berlindung kepada Ka'bah dan apabila bala berlaku kepadanya, maka al-Muntasir dibunuh, kemudian al-Saffah keluar ke dunia di dalam keadaan marah, kerana pembunuhan al-Muntasir, maka beliau akan membunuh setiap musuh kami, adakah anda mengetahui siapakah al-Muntasir dan al-Saffah wahai Jabir? Al-Muntasir adalah al-Husain bin Ali dan al-Saffah adalah Ali bin Abu Talib a.s 
.
'Ala' bin Razin daripada Muhammad bin Muslim berkata: Aku telah mendengar Abu Ja'far a.s berkata: Tiada agama bagi orang yang telah mentaati orang menderhaka kepada Allah, tiada agama bagi orang yang telah mempercayai kebatilan dan tiada agama bagi orang yang telah menentang sesuatu dari ayat-ayat Allah.