Ulasan

Konsep Imamah (kepemimpinan) yang ditekankan oleh Rasulullah (s.`a.w.) di dalam khutbah Ghadir Khum adalah melalui nas Allah S.W.T. dan bukan melalui perlantikan atau pemilihan , ia memusatkan kepada dua belas imam yang didahului oleh Amir al-Mukminin `Ali bin Abi Talib dan sebelas anak cucunya di mana mereka adalah dari keturunan Rasulullah (s.`a.w.) sendiri melalui Fatimah a.s. Lantaran itu beliau (s.`a.w.) bersabda "Zuriat setiap nabi adalah dari salbinya, tetapi zuriatku dari salbi `Ali" . Lantaran itu beliau bersabda "Sesungguhnya Allah telah melantik `Ali untuk kalian sebagai wali, imam yang wajib ditaati" . Kemudian beliau bersabda "Akulah Sirat al-Mustaqim di mana Dia memerintahkan kalian mengikutinya. Kemudian `Ali selepasku. Kemudian anak cucuku dari salbinya, para imam yang menjadi petunjuk kepada kebenaran .
Sebenarnya konsep dua belas imam selepas kewafatan Rasulullah (s.`a.w.) telah diriwayatkan tidak terkira banyaknya oleh para ulama Ahl al-Sunnah di dalam buku-buku mereka di samping para ulama Syi`ah.Umpamanya al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam Sahihnya dengan perkataan "dua belas amir".
Al-Bukhari meriwayatkannya daripada Jabir b. Samurah bahawa Nabi (s.`a.w.) bersabda "selepasku dua belas amir". Muslim di dalam Sahih misalnya meriwayatkannya daripada Jabir b. Samurah sehingga dia berkata: Aku bersama bapaku berjumpa Nabi (s.`a.w.). Aku dengar Nabi (s.`a.w.) bersabda: "Urusan ini tidak akan selesai hingga berlaku kepada mereka dua belas khalifah" . Al-Turmudhi di dalam Sunannya meriwayatkannya dengan lafaz amir bukan khalifah. Ahmad b. Hanbal di dalam Musnadnya meriwayatkannya daripada Sya`bi daripada Masruq berkata: Kami berada di sisi `Abd Allah b. Mas`ud yang sedang memperdengarkan bacaan al-Qur'an kepada kami. Tiba-tiba seorang lelaki bertanya kepadanya: Wahai Abu `Abd Rahman! Adakah anda telah bertanya Rasulullah(s.`a.w.) berapakah umat ini memiliki khalifah? `Abd Allah b.Mas`ud menjawab: Tiada seorangpun bertanya kepadaku mengenainya semenjak aku datang ke Iraq sebelum anda. Kemudian dia berkata: Ya!
Sesungguhnya kami telah bertanya kepada Rasulullah (s.`a.w.) mengenainya. Maka beliau (s.`a.w.) bersabda: "Dua belas (Khalifah) seperti bilangan naqib Bani Isra'il". Al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-`Ummal meriwayatkan bahawa Nabi (s.`a.w.) bersabda: "Selepasku akan diikuti oleh dua belas khalifah". Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi` al-Mawaddah meriwayatkan bahawa Jabir b. `Abdullah berkata: Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: "Wahai Jabir! Sesungguhnya para wasiku dan para imam selepasku pertamanya `Ali kemudian Hasan kemudian Husain kemudian `Ali b.Husain. Kemudian Muhammad b. `Ali al-Baqir. Anda akan menemuinya wahai Jabir sekiranya anda mendapatinya, maka sampailah salamku kepadanya. Kemudian Ja`far b. Muhammad, kemudian Musa b. Ja`far, kemudian `Ali b. Musa, kemudian Muhammad b. `Ali, kemudian `Ali b. Muhammad, kemudian Hasan b. `Ali. Kemudian al-Qa'im namanya sama dengan namaku dan kunyahnya adalah kunyahku, anak Hasan b. `Ali. Dengan beliaulah Allah akan "membuka" seluruh pelusuk bumi di Timur dan di Barat, dialah yang ghaib dari penglihatan. Tidak akan percaya kepada imamahnya melainkan orang yang diuji hatinya oleh Allah SWT".
Jabir berkata: Wahai Rasulullah! Adakah orang ramai boleh mengambil faedah darinya ketika ghaibnya? Beliau menjawab: "Ya! Demi yang mengutuskan aku dengan kenabian sesungguhnya mereka mengambil cahaya daripada wilayahnya ketika ghaibnya, seperti orang ramai mengambil faedah dari matahari sekalipun ianya ditutupi awan". Ini adalah di antara rahsia-rahsia ilmu Allah yang tersembunyi. Justeru itu rahsiakanlah mengenainya melainkan kepada orang yang ahli.
Demikianlah dikemukakan secara ringkas konsep imam dua belas menurut riwayat para ulama Ahl al-Sunnah di dalam buku-bukumereka di mana ia adalah sejajar dengan khutbah Ghadir Khum. Memang tidak dapat dinafikan bahawa `Ali a.s sendiri telah mengemukakan khutbah atau hadis Ghadir Khum sebagai hujah kekhilafahan beliau selepas Rasulullah (s.`a.w.). Al-Khawarizmi di dalam Manaqibnya meriwayatkan bahawa Amir al-Mukminin `Ali telah menuntut jawatan khalifah dengan mengemukakan beberapa soalan munasyadah kepada Ahli Syura pada tahun 23 H.
Beliau bertanya: Aku menyeru kalian dengan nama Allah, adakah di kalangan kalian di mana Rasulullah (s.`a.w.) bersabda kepada-nya: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka `Ali adalah maulanya Wahai Tuhan, hormatilah orang yang mewalikannya, tentangilah orang yang bermusuhan dengannya. Tolonglah orang yang menolong-nya. Orang yang hadir hendaklah menyampaikannya kepada orang yang tidak hadir selain daripadaku? Mereka menjawab: Tidak ada orang lain selain daripada anda. 
Sulaim b. Qais al-Hilali seorang tabi` meriwayatkan bahawa beliau melihat Amir al-Mukminin `Ali a.s di Masjid Madinah di zaman pemerintahan Khalifah `Uthman b. `Affan dan dua ratus lebih para sahabat sedang bercakap-cakap dan bermuzakarah tentang ilmu dan kezuhudan.Mereka menyebut kelebihan Quraisy tentang orang yang pertama memeluk Islam dan berhijrah dengan sabda-sabda Rasulullah (s.`a.w.) tentang mereka. `Ali hanya berdiam diri kemudian beliau bertanya kepada mereka: Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui tentang sebab turunnya "Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah, taat kamu kepada Rasulullah dan Uli al-Amr daripada kamu" (Surah al-Nisa' 4:59).
Orang ramai menjawab: Wahai Rasulullah adakah ia diturunkan secara khusus untuk sebahagian mukminin? Atau ia umum kepada semua mukminin? Justeru itu Allah A.W memerintahkan nabi-Nya supaya memberitahu mereka tentang Uli al-Amr mereka, dan menafsirkan kepada mereka tentang al-Wilayah sebagaimana beliau menafsirkan kepada mereka solat mereka, zakat mereka dan haji mereka. Dan beliaulah yang melantik aku untuk menjadi imam atau khalifah kepada mereka selepas Ghadir Khum. Kemudian beliau memberi khutbahnya dan bersabda: "Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah mengutus aku dengan satu misi yang mencemaskan kerana aku menyangka orang ramai akan membohongiku.
Justeru itu aku berjanji pada diriku sendiri supaya aku tidak menyampaikannya atau Dia menyeksaku . Kemudian beliau memerintahku supaya solat dilakukan secara jamak dan berjamaah. Kemudian beliau berkhutbah: Wahai manusia adakah kalian mengetahui sesungguhnya Allah adalah maulaku, aku maula mukminin dan aku adalah lebih aula daripada diri mereka sendiri? Mereka menjawab: Ya! wahai Rasulullah. Dia bersabda: Berdirilah wahai `Ali, maka aku (`Ali)pun berdiri.Kemudian beliau bersabda: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka `Ali adalah maulanya. Wahai Tuhanku! Hormatilah orang yang mewalikannya. Tentang orang yang bermusuhan dengannya. Maka Salman berdiri dan bertanya: Wahai Rasulullah taat kepada Uli al-Amr seperti siapa? Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: Ketaatan kepada Uli al-Amr sepertilah mentaatiku. Kemudian turun ayat "Hari ini aku menyempurnaka agama kamu".
Maka Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: Allah akbar, dengan ini sempurnalah kenabianku dan lengkaplah agama Allah dengan wilayah `Ali selepasku. Lantas Abu Bakr dan `Umar bertanya: Adakah ayat tersebut khusus untuk `Ali `a.s? Beliau menjawab: Ya, ianya untuk `Ali dan para wasiku sehinggalah hari kiamat. Abu Bakr dan `Umar meminta penjelasan lagi. Wahai Rasulullah, terangkanlah kepada kami.`Ali adalah saudaraku, wazirku, pewarisku, wasiku, khalifahku pada umatku dan wali setiap mukmin selepasku. 
Kemudian anak lelakiku Hasan, kemudian Husain kemudian sembilan daripada anak lelakiku Husain satu selepas satu. Al-Qur'an bersama mereka dan mereka bersama al-Qur'an. Mereka tidak akan berpisah daripadanya dan ia (al-Qur'an) tidak akan memisahkan mereka sehingga mereka dikembalikan kepadaku di Haud. Lalu para sahabat menjawab: Wahai Tuhanku sesungguhnya kami telah mendengar demikian itu dan kami naik saksi di atas apa yang diucapkan oleh anda (`Ali) .
Ali a.s juga telah mengulangi khutbah atau hadis Nabi di Ghadir Khum semasa beliau mula menjadi khalifah di Rahbah di Kufah pada tahun35 H. Ahmad b. Hanbal meriwayatkan bahawa `Ali a.s berkata: Aku menyeru kerana Allah bagi setiap orang yang mendengar Rasulullah (s.`a.w.) bersabda di hari al-Ghadir supaya berdiri dan memper saksikan apa yang telah didengarinya. Dan tidak boleh berdiri melainkan orang yang melihatnya (Nabi s.`a.w.) dengan matanya dan mendengar dengan kedua-dua telinganya. Lantas tiga puluh sahabat berdiri termasuk dua belas orang yang telah mengambil bahagian di dalam peperangan Badar. Mereka telah menyaksikan bahawa beliau (s.`a.w.) telah memegang `Ali dengan tangannya dan bersabda kepada orang ramai,di antaranya: Tidakkah anda mengetahui bahawa sesungguhnya aku lebih aula dengan mukminin daripada mereka sendiri?
Mereka menjawab: Ya.Kemudian beliau (s.`a.w.) bersabda lagi: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka `Ali adalah maulanya .
Adalah diriwayatkan bahawa terdapat para sahabat seperti Anas b. Malik dan lain-lain yang enggan memberi penyaksian tersebut di mana `Ali a.s berkata kepadanya: Kenapa anda tidak berdiri bersama sahabat-sahabat Rasulullah (s.`a.w.) yang lain untuk memberi penyaksian kepada apa yang telah anda dengari daripadanya di hari itu?
Dia menjawab: Wahai Amir al-Mukminin, aku telah tua dan pelupa pula. Lantas `Ali a.s berkata: Jika anda berbohong, nescaya Allah akan mengenakan anda dengan penyakit keputihan kulit yang tidak dapat ditutupi serban. Dia tetap dengan pendiriannya sehingga mukanya dihinggapi keputihan kanser. Selepas itu dia berkata: Aku ditimpa penyakit ini disebabkan berkat doa hamba yang salih .
Di sini dikemukakan sebahagian dari para sahabat yang melihat sendiri Rasulullah (s.`a.w.) dan mendengar khutbah beliau (s.`a.w.) di Ghadir Khum. Kemudian memberi penyaksian mereka di hadapan Amir al-Mukminin `Ali b. Abi Talib di Rahbah seperti berikut:

1. Abu Zainab b. `Auf al-Ansari.
2. Abu `Umrah b. `Amru b. Muhsin al-Ansari.
3. Abu Fadalah al-Ansari. Beliau mati syahid di dalam peperanganSiffin di pihak Amir al-Mukminin `Ali a.s dan terlibat di dalam Peperangan Badr.
4. Abu Qudamah al-Ansari. Beliau mati syahid di dalam peperangan al-Siffin di pihak Amir al-Mukminin `Ali a.s.
5. Abu Laila al-Ansari. Beliau mati syahid di dalam peperangan al-Siffin di pihak Amir al-Mukminin `Ali a.s.
6. Abu Hurairah al-Dusi.
7. Abu al-Haitham Ibn al-Taihan. Beliau mati syahid di dalapeperangan al-Siffin di pihak Amir al-Mukminin `Ali a.s. dan terlibat dalam Peperangan Badr.
8. Thabit b. al-Wadi`ah al-Ansari al-Khazraji al-Madani.
9. Hubsyi b. Janadah al-Saluli.
10. Abu Ayyub Khalid al-Ansari. Beliau terlibat dalam peperangan Badr.
11. Khuzaimah b. Thabit al-Ansari, Dhu al-Syahadataini. Beliau mati syahid di dalam peperangan al-Siffin dan terlibat di dalam peperangan Badr.
12. Abu Syurah Khuwailid `Amru al-Khuza`i.Wafat ketika berusia 68 tahun.
13. Zaid atau Yazid b. Syarahil al-Ansari.
14. Sahal b. Hanif al-Ansari al-Ausi. Wafat ketika berusia 38 tahun dan terlibat di dalam peperangan Badr.
15. Abu Sa`id Sa`d b. Malik al-Khudri al-Ansari.
16. Abu `Abbas Sahl b. Sa`d al-Ansari. Wafat ketika berusia 91 tahun.
17. Amir b. Laila al-Ghaffari.
18. `Abd al-Rahman b. Rabb al-Ansari.
19. `Abdullah b. Thabit al-Ansari. Khadam Rasulullah (s.`a.w.).
20. `Ubaid b. `Azib al-Ansari.
21. Abu Tarif `Adi b. Hatim.
22. `Uqbah b. `Amir al-Jahani. Beliau wafat ketika berusia 68 tahun. Dan di kalangan orang yang mati di pihak Mu`awiah.
23. Nahiyah b. `Amr al-Khuza`i.
24. Nu`man b. `Ajalan al-Ansari .
`Ali juga mengulangi khutbah atau hadis Ghadir Khum pada hari Peperangan Jamal tahun 36 H. Beliau bertanya Talhah: Aku menyeru anda, adakah anda mendengar Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: Siapa yangmenjadikan aku maulanya, maka `Ali maulanya. Wahai Tuhanku! Hormatilah orang yang mewalikannya dan tentangilah orang yang memusuhinya? Talhah menjawab:Ya. `Ali berkata: Kenapa anda memerangiku? Talhah menjawab: Aku tidak ingat. Beliau berkata: Talhah telah pergi darinya 
Amir al-Mukminin mengulang kembali khutbah atau hadis Ghadir Khum di Kufah pada tahun 36-37 H. di mana sekumpulan lelaki mengulangi kembali hadis Ghadir al-Khum di hadapan Amir al-Mukminin `Ali ,. Begitu juga Fatimah al-Zahra, Hasan, Husain dan sembilan para imam Ahl al-Bait Rasulullah (s.`a.w.) berhujah dengan hadis al-Ghadir dan lain-lain, seperti hadis al-Thaqalain, al-Safinah, al-Manzilah, al-Tair, al-Dar, Madinah al-`Ilm dan lain-lain. Semuanya menjelaskan kekdudukan kelebihan para imam dua belas. Adalah suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa Amir al-Mukminin `Ali mempunyai keilmuan yang tinggi dan diakui oleh Rasulullah (s.`a.w.).Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: "Aku adalah bandar ilmu, `Ali adalah pintunya" .
Ketinggian ilmu dan bahasa yang diucapkan oleh Amir al-Mukminin `Ali b. Abi Talib terserlah di dalam ucapan-ucapan beliu 
di mana pada suatu hari beliau diminta oleh sebahagian para sahabatnya supaya memberitahu mereka tentang keilmuannya. Amir al-Mukminin menjawab: Sesungguhnya ucapanku sukar dan menyukarkan (Sa`bun wa Mustas`abun) di mana ia tidak akan difahami melainkan oleh orang yang alim (al-`Alimun). Tetapi mereka mendesak beliau supaya memberi suatu ucapan kata-kata hikmah kepada mereka. 
Lalu beliau menjemput mereka ke rumahnya, kemudian beliau berucap: Akulah yang telah tinggi (`Alautu), maka akulah yang memaksa, (Qahartu); akulah yang menghidupkan (Uhyi) dan mematikan (Umitu), akulah yang pertama (al-Awwal) dan terakhir (al-Akhir), Zahir (al-Zahir) dan batin (al-Batin). Lantas mereka memarahi beliau dan berkata: Beliau telahkafir (kafara) lalu mereka berdiri untuk keluar dari rumahnya. `Ali a.s berkata kepada pintu: Wahai pintu, peganglah mereka. Maka pintu itu tertutup dengan sendiri. Beliau berkata: Tidakkah aku telah berkata kepada kalian bahawa ucapanku sukar dan menyukarkan, di mana ia tidak dapat difahami melainkan oleh orang yang alim? Datang kemari, aku akan menjelaskannya kepada kalian.
Adapun ucapanku: Akulah yang telah tinggi (`Alautu), maka akulah yang telah memaksa (Qahartu), maka akulah yang telah meninggikan (Alautu) kalian dengan pedangku ini. Maka aku memaksa (Qahartu) kalian sehingga kalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Adapun ucapanku: Akulah yang menghidupkan (Uhyi) dan mematikan (Umitu), maka akulah yang menghidupkan (Uhyi) Sunnah dan mematikan (Umitu) bid`ah. Adapun ucapanku: Akulah yang pertama (al-Awwal), maka akulah orang yang pertama (al-Awwal) beriman kepada Allah dan memeluk Islam.
Adapun ucapanku: Akulah orang yang terakhir (al-Akhir), maka akulah orang yang terakhir (al-Akhir) mengenakan pakaian ke atas Nabi (s.`a.w.) dan mengkafankannya. Adapun ucapanku: Akulah zahir (al-Zahir) dan batin (al-Batin), maka di sisi akulah ilmu zahir dan batin. Kemudian para sahabatnya mengeluh seraya berkata: Anda telah menyelamatkan kami semoga Allah menyelamatkan anda .
Jikalaulah sebahagian para sahabat Amir al-Mukminin `Ali a.s sukar untuk memahami ucapan-ucapan beliau, orang-orang di zaman kita ini lebih sukar untuk memahaminya. Justeru itu mereka melontarkan kata-kata kafir kepada Syi`ah Amir al-Mukminin `Ali a.s pula dengan alasan Amir al-Mukminin `Ali tidak berkata demikian. Hanya Syi`ah `Ali sahaja yang mengaitkan ucapan tersebut Perbezaannya yang pertama (sebahagian para sahabat `Ali a.s) mengkafirkan `Ali sendiri kerana ucapannya. Sementara orang-orang Islam tertentu di zaman ini, menafikan kata-kata itu dikaitkan kepada `Ali a.s. 
Sebaliknya menyatakan bahawa ucapan tersebut hanya direka-reka oleh Syi`ah (`Ali). Lantas mereka mengkafirkan Syi`ah. Jikalaulah mereka benar-benar mengetahui bahawa ucapan tersebut datangnya daripada `Ali a.s sendiri, kemungkinan mereka akan melakukan perkara yang sama sebagaimana yang telah dilakukan oleh sebahagian para sahabat `Ali terhadap beliau sendiri kerana mereka bukanlah terdiri daripada orang yang mempunyai ilmu yang tinggi, malah mereka hanya dapat memahami sesuatu secara mendatar. Meskipun begitu mereka adalah sahabat Amir al-Mukminin `Ali dan kemungkinan di kalangan mereka adalah sahabat Rasulullah (s.`a.w.) sendiri.
Di sini dikemukakan nama-nama perawi khutbah atau hadis Ghadir Khum di kalangan para sahabat Rasulullah (s.`a.w.) tentang perlantikan `Ali sebagai khalifah secara langsung selepas Rasulullah (s.`a.w.) sebagaimana sabdanya: "Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka `Ali adalah maulanya".