Ulasan

Amir al-Mukminin `Ali b. Abu Talib A.S telah mengemukakan hujah-hujahnya terhadap lima orang Ahli majlis Syura yang dilantik oleh Khalifah `Umar. Beliau telah mengajukan beberapa soalan munasyadah yang berasaskan hadis-hadis Rasulullah (s.`a.w.). Kesemua soalan-soalan tersebut diperakui oleh kelima-lima Ahli Syura tersebut. Beliau yakin bahawa jawatan Imamah atau Khilafah adalah untuk beliau dan sebelas anak cucunya daripada Fatimah bt. Muhammad A.S. Hadis-hadis tersebut telah dicatat oleh para ulama Ahl al-Sunnah di dalam buku-buku mereka.Tetapi sayangnya berlakulah apa yang berlaku sehingga hari ini.
Walau bagaimanapun, Majlis Syura yang dibentuk oleh Khalifah `Umar kelihatan aneh dan menakutkan kerana ia mesti diselesaikan dalam masa tiga hari dan dikawal oleh 50 orang tentera yang lengkap dengan senjata. Khalifah `Umar melantik enam orang; `Uthman b. `Affan, `Ali b. Abi Talib, Sa`d b. Abi Waqqas, Talhah b. `Ubaidillah dan al-Zubair b. al-`Awwam. Kemudian dia mencaci mereka dengan cacian yang tidak melayakkan mereka menjadi Khalifah. 
`Umar berkata: Demi Allah, tidak ada halangan bagiku untuk melantik anda menjadi khalifah wahai Sa`d, hanya anda adalah seorang yang kasar (ghalazah) kerana anda adalah ahli peperangan, `Abd al-Rahman hanya anda adalah Fir`aun umat ini (fir`aun hadhi-hi al-ummah), al-Zubair, hanya anda adalah seorang mukmin pada waktu redha dan kafir pada waktu marah (kafir `and al-ghadab), Talhah, hanya seorang yang angkuh dan Rasulullah memarahi anda kerana kata-kata anda ketika turun ayat hijab (Surah al-Ahzab 33: 53) (kata-kata Talhah: Muhammad tidak boleh membuat apa-apa sekalipun mengenakan hijab ke atas isteri-isterinya. Apabila beliau wafat, kami akan mengahwini isteri-isteri beliau). 
Justeru itu jika anda dilantik, anda akan menyarungkan cincin mohornya ke jari isteri anda. Begitu juga `Uthman, andalah seorang yang asabiyah kepada kaum keluarga anda. Justeru itu sekumpulan serigala Arab akan menyembelihkan anda dan jika ia berlaku ingatlah kata-kataku ini. Dan anda wahai `Ali, sekiranya anda bukan orang yang sukakan kelakar, `Ali A.S telah menafikan dirinya sebagai seorang kelakar. nescaya aku melantik anda dan anda akan membawa kaum muslimin kepada kebenaran yang jelas dan hujah yang bersih. Kemudian dia berkata kepada panglima tentera Abu Talhah al-Ansari: Jika seorang daripada mereka menentang dan lima bersetuju, maka bunuhlah dia. Jika dua menentang dan empat bersetuju, maka bunuhlah kedua-duanya. Dan jika tiga menentang dan tiga bersetuju,
maka pilihlah pihak yang ada `Abd al-Rahman b. `Auf. 
Oleh itu, tidak hairanlah jika sistem syura sedemikian rupa dilihat sebagai suatu perencanaan halus bagi menjauhkan `Ali A.S daripada menjadi khalifah dan sekaligus menolak konsep keadilan semua sahabat seperti berikut:

1. Syura ini telah melahirkan permusuhan terhadap `Ali A.S. Talhah al-Tamimi adalah dari keluarga Abu Bakr yang telah memindahkan khalifah dari `Ali A.S. `Abd al-Rahman bin `Auf adalah ipar `Uthman dan dia adalah di antara orang yang menentang `Ali A.S. Dan dia di antara orang yang cuba untuk membakar rumah `Ali A.S kerana keengganannya memberi bai`ah kepada Abu Bakr . Sa`d b. Abi Waqqas adalah di antara orang yang dendam terhadap `Ali A.S kerana ramai daripada bapa-bapa saudaranya telah dibunuh oleh `Ali kerana penyebaran Islam. Lantaran itu dia lewat memberi bai`ah kepada `Ali A.S.Dan`Uthman ketua Bani Umayyah yang dikenali dengan permusuhan dan penentangan terhadap Bani Hasyim. Justeru itu syura telah diciptakan dengan begitu rupa adalah semata-mata untuk menjauhkan `Ali daripada jawatan khalifah.
2. Syura ini juga menjauhkan `Ali dari anasir-anasir yang membantunya di dalam pemilihan, kerana tidak seorang pun orang Ansar dipilih di dalam majlis syura tersebut.
3. Syura menjadikan `Abd al-Rahman b. `Auf sebagai penentu apabila tiga bersetuju dan tiga lagi menentang. Apakah kelebihan `Abd al-Rahman b. `Auf sehingga dia menjadi penentu? Tidakkah dia (`Umar) berkata kepadanya: "Anda adalah Fir`aun umat ini?" 
4. Syura melahirkan perebutan dan penentangan di kalangan anggota-anggotanya. Sa`d bin Abi Waqqas dan `Abd al-Rahman patuh kepada `Uthman . Dan berlakulah sebagaimana ianya berlaku. 
Amir al-Mukminin `Ali b. Abi Talib nampaknya tidak berpuas hati dengan ketiga-tiga khalifah yang terdahulu. Beliau telah melahirkan dukacitanya di dalam khutbah al-Syiqsyiqiyyah. Seramai dua puluh lapan orang ulama Ahl al-Sunnah memperakui kesahihan khutbah al-Syiqsyiqiyyah, seperti berikut:
"Demi Allah, si anu (Abu Bakr Ibn Abi Quhafah) telah memakai baju (kekhalifahan) itu, padahal ia mengetahui dengan yakin bahawa kedudukanku sehubungan (kekhalifahan) itu samalah seperti kedudukan sumbu dengan roda. Air mengalir menjauhiku dan burung tidak dapat terbang kepadaku. Aku memasang tirai (terhadap kekhalifahan itu) dan melepaskan diri daripadanya.
Aku pun mulai berfikir, apakah aku akan menyerangnya atau aku harus menanggung kesengsaraan kegelapan yang membutakan itu sehingga orang dewasa menjadi daif, orang muda menjadi tua, dan mukmin yang salih hidup dalam kongkongan sampai ia menemui Allah (di saat kematiannya). Aku berpendapat adalah lebih bijaksana untuk menanggungnya dengan tabah. Lalu aku menempuh jalan kesabaran, meskipun mata rasa tertusuk-tusuk dan kerongkongan rasa tercekik. Aku menyaksikan perampasan terhadap warisanku hingga yang pertama (Abu Bakr) menemui ajalnya; namun ia memberikan kekhalifahan itu kepada Ibn Khattab. (Lalu `Ali A.S mengutip syair `A'sya):

Hari-hariku kini berlalu di punggung unta, Dan berlalu sudah hariku bersama Jabir, saudara Hayyan'. Aneh, semasa hidupnya ia ingin terbebas dari jabatan khalifah, tapi ia mengukuhkannya kepada `Umar setelah kematiannya. Tidak syak kedua orang ini hanya membahagi-bahagikan tetek susu di antara keduanya sahaja. Yang satu ini (`Umar) mengongkong kekhalifahan itu rapat-rapat, dengan ucapannya congkak dan sentuhannya kasar. Kekeliruan sangat banyak dan kerana itu maka dalihnya pun sangat banyak.Orang yang berhubung dengan kekhalifahan itu ibarat penunggang unta liar. Apabila ia menarik kekangnya maka muncungnya akan koyak; dan apabila ia membiarkannya maka ia akan jatuh terlempar. Sebagai akibatnya, demi Allah, rakyat terjerumus ke dalam kebingungan, penipuan dan penyelewengan. Sekalipun demikian, aku tetap bersabar dalam waktu yang lama dengan cubaan yang keras, sampai ketika ia (`Umar) menemui ajal-nya ia menyerah urusan (kekhalifahan) itu kepada satu kelompok dan menganggap aku sebagai salah seorang daripadanya.
Tetapi, ya Allah! Apa urusanku dengan mesyuarat ini! Di manakah keraguan tentang diriku dibandingkan dengan yang pertama mereka (Abu Bakr) sehingga sekarang aku harus dipandang sama dengan orang-orang ini? Namun aku terus merendah sementara mereka merendah, dan membumbung tinggi ketika mereka terbang tinggi. Seorang dari mereka berpaling menentangku kerana hubungan kekeluargaannya, manakala yang lainnya cenderung memihak ke jalan lain kerana hubungan iparnya, dan ini, dan itu, sampai yang ketiga dari orang-orang ini berdiri dengan dada membusung di antara kotoran dan makanannya. Bersama dia anak-anak dari Bani Umayyah bangkit menelan harta Allah, bagaikan unta melalap dedaunan musim bunga sampai talinya putus, tindak tanduknya mengakhirinya dan keserakahannya menyebabkan ia terguling.
(Pada saat itu) orang ramai datang membanjiri ke arahku dari segala penjuru seperti serbuan kumpulan rubah sehingga Hasanain (Hasan dan Husain) terhinjak dan kedua tepi bahagian bahu kemejaku koyak.Mereka berkumpul di sekelilingku seperti kumpulan domba dan kambing. Tatkala aku memegang teraju pemerintahan sebahagian memutuskan bai`ahnya (nakatha) dan sebahagian lagi mengingkari (maraqa) dan yang lainnya bertindak salah, kerana mereka tidak mendengar firman Allah S.W.T. yang berbunyi:

"(Kebahagiaan) di negeri akhirat Kami sediakan bagi mereka yang tiada suka menyombongkan diri dan melakukan kerosakan di bumi. Dan kesudahannya (adalah baik) bagi mereka yang takwa." (Surah al-Qasas 28: 83).
Tidak, demi Allah, mereka mendengarnya dan memahaminya tetapi dunia terlihat kemilau di mata mereka dan hiasan dunia menggoda mereka. Lihat, demi Dia yang mengembangkan biji-bijian dan menciptakan makhluk hidup, bila orang-orang tidak datang kepadaku dan pendukung-pendukung tidak menegakkan hujah dalam bentuk penolong, dan tidak ada perjanjian Allah dengan ulama bahawa mereka tidak boleh menyerah terhadap kerakusan seorang yang zalim dan kelaparan orang yang dizalimi maka aku akan melemparkan tali kekang (kekhalifahan) itu dan akan aku beri minum kepada yang terakhir dengan piala yang aku gunakan untuk orang yang pertama. Maka akan kamu lihat bahawa dalam pandanganku duniamu tidak lebih dari bersinnya seekor kambing". Beliau telah memilih " bersabar " daripada menentang kerana ini adalah lebih baik dan sesuai dengan keadaan pada masa itu.