BAHAGIAN PERTAMA KHUTBAH RASULULLAH S.A.W. DI GHADIR KHUM

Pengenalan


Khutbah atau Hadis Nabi (s.a.w.) di Ghadir Khum yang terletak sejauh tiga batu dari Juhfah berhampiran Rabigh selepas beliau kembali mengerjakan haji terakhir pada 18hb. Dhul-Hijjah tahun 10 Hijrah, telah diriwayatkan oleh para ulama Islam di setiap peringkat, kerana ia merupakan khutbah Nabi (s.`a.w.) terakhir yang memusatkan kepada konsep imamah (kepemimpinan) selepas beliau, di hadapan lebih seratus ribu para sahabat-nya .
Di hari itu Jibrail a.s memerintahkan Nabi(s.a.w.)supaya mengisytiharkan kepada para sahabatnya bahawa `Ali adalah imam atau khalifah selepas beliau. Pada mulanya beliau keberatan untuk mengisytiharkannya kerana khuatir kebanyakan para sahabatnya akan menentangnya.
Beliau sendiri menerangkan kedudukan umatnya pada masa itu sebagaimana beliau bersabda: Aku telah memohon maaf kepada Jibrail lantaran aku tidak menyampaikannya kepada kalian, kerana aku mengetahui betapa sedikitnya orang yang bertakwa , betapa ramainya orang yang munafik , bersandarkan Islam yang disifatkan oleh Allah A.W di dalam kitab-Nya "Mereka mengucap dengan lidah mereka apa yang tidak ada dalam hati mereka" (Surah al-Fath 48: 11) . Malah mereka melontar kata-kata kesat terhadap Rasulullah (s.`a.w.) dan menyakiti hati beliau. Peristiwa tersebut masih segar di dalam ingatan Rasulullah (s.`a.w.). 
Justeru itu beliau bersabda: "Jika aku mahu, aku akan menyebutkan nama-nama mereka atau menunjukkan mereka kepada kalian" Ini menunjukkan bahawa orang-orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah (s.`a.w.) masih ada di hadapannya, tetapi beliau tidak mahu melakukannya kerana ia tidak diizinkan oleh Allah A.W. Di hari itu cuaca panas terik, sekiranya daging dicampak ke tanah nescaya ia akan masak. Nabi (s.`a.w.) memerintahkan mereka supaya menyusun batu seperti mimbar.
Kemudian diteduhi kain di atasnya. Manakala mereka berhimpun, beliau memberi khutbahnya yang paling bersejarah dengan menguatkan suaranya supaya dapat didengari oleh lebih seratus ribu kaum muslimin. Selepas memuji Allah A.W., beliau mengisytiharkan kepada umatnya ketika itu tentang kematiannya seraya bersabda: "Aku telah dipanggil dan hampir aku menyahutinya dan denyutan jantung hatiku kian memuncak di hadapan kalian". Kemudian beliau mengangkat tangan `Ali `a.s sehingga orang ramai melihat keputihan ketiak Rasulullah(s.`a.w.) sambil bersabda: "Wahai manusia! Tidakkah aku lebih aula daripada diri kalian?
Mereka menjawab: Ya! wahai Rasulullah. Beliau bersabda: Wahai Tuhanku, siapa yang aku telah menjadi maulanya, maka ini `Ali maulanya. Wahai Tuhanku, cintailah orang yang mewalikannya dan musuhilah orang yang memusuhinya" .
Justeru itu, khutbah atau hadis Rasulullah (s.`a.w.) di Ghadir Khum dan lain-lain merupakan penjelasan kepada konsep imamah di dalam al-Qur'an itu sendiri. Di dalam al-Qur'an konsep imamah terbahagi kepada dua. Pertama, konsep imamah yang membawa manusia ke syurga di mana imamahnya (kepemimpinannya) adalah sejajar dengan al-Qur'an. Di antaranya telah diterangkan di dalam surah al-Anbiya' 21: 73 "Kami telah menjadikan mereka para imam (pemimpin-pemimpin) yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, dan telah Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, mendirikan solat, menunaikan zakat dan hanya kepada Kamilah mereka selalu menyembah".
Firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah 2: 124 "Sesungguhnya Aku akan menjadikan kamu imam bagi seluruh manusia. Dan Ibrahim berkata:(Dan saya mohon jawatan imam itu) dari keturunanku.Dia berfirman: Janjiku (ini) tidak termasuk orang yang zalim".Justeru itu orang yang zalim tidak sah menjadi imam (pemimpin) menurut al-Qur'an, dan firman-Nya di dalam Surah Yunus 10: 35 "Maka apakah orang yang menunjuki kepada kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali apabila diberi petunjuk? Mengapa kamu berbuat demikian? Bagaimanakah kamu mengambil keputusan? Ini bererti para pemimpin selepas Rasulullah (s.`a.w.) mestilah terdiri dari mereka yang tidak melampaui perintah Allah dan Rasul-Nya, kerana mereka merupakan Uli l-Amr yang wajib ditaati oleh umat sebagaimana firman-Nya Surah al-Nisa' 4: 59 "Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan Uli l-Amr di kalangan kamu". Kedua: Imamah yang menyeru manusia kepada neraka. Di antaranya sebagaimana diterangkan di dalam surah al-Qasas 28: 41 "Dan Kami jadikan mereka para imam (pemimpin-pemimpin) yang menyeru(manusia) ke neraka dan pada hari kiamat mereka tidak akan dibantu".
Dan firman-Nya Surah al-Ahzab 33: 67 "Dan mereka berkata: Ya,Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar". Kedua-dua konsep imamah tersebut telah dijelaskan oleh Rasulullah(s.`a.w.) di dalam khutbahnya di Ghadir Khum dan ditempat-tempat lain. Justeru itu beliau tidak mengabaikannya kerana kepemimpinan (imamah) adalah asas bagi kesempurnaan agama Islam.