Sambungan

Sa'd bin Abd al-Malik al-Amawi

Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Kufi al-Khazzaz telah memberitahu aku dengan katanya: Ahmad bin Muhammad bin Sa'id al-Kufi telah memberitahu aku daripada Ibn Fadhdhal daripada Ismail bin Mihran daripada Abu Masruq al-Nah di daripada Malik bin 'Atiyyah daripada Abu Hamzah berkata: Sa'd bin Abd al-Malik datang berjumpa dengan Abu Ja'far a.s dalam keadaan menangis sebagaimana menangisnya perempuan. Abu Ja'far a.s menamakannya Sa'd al-Khair. Beliau adalah daripada anak Abd al-Aziz bin Marwan.

Sa'd berkata: Abu Ja'far berkata kepadanya: Apakah yang membuatkan anda menangis wahai Sa'd? Dia menjawab: Bagaimana aku tidak menangis. Aku adalah daripada pokok yang dilaknat di dalam al-Qur'an. Maka beliau a.s berkata kepadanya: Anda bukanlah daripada mereka. Anda adalah amawiyyun daripada kami Ahlu l-Bait . Tidakkah anda telah mendengar firman Allah s.w.t yang menceritakan tentang Ibrahim di dalam Surah Ibrahim (14):36 "Maka sesiapa yang mengikuti ku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan ku".



Ismail bin Abd al-Rahman al-Ja'fi

Abu Ghalib Ahmad bin Muhammad al-Zarari berkata: Muhammad bin Sa'id al-Kufi telah memberitahu aku, berkata: Muhammad ibn Fadhl bin Ibrahim telah memberitahu aku daripada bapanya daripada al-Nu'man bin 'Umru al-Ja'fi berkata: Muhammad bin Ismail bin Abd al-Rahman al-Ja'fi berkata: Aku dan bapa saudaraku sebelah bapa bernama al-Hasin bin Abd al-Rahman telah datang kepada Abu Abdullah a.s. Maka beliau a.s. pun berkata: Anak lelaki siapakah bersama anda ini?

Dia menjawab: Anak lelaki saudaraku Ismail. Maka beliau a.s berkata: Semoga Allah memberi rahmat kepada Ismail kerana telah melebihi amalan jahatnya. Bagaimana kamu meninggalkannya? Beliau berkata: Dengan sebaik-baik apa yang telah dikurniakan Allah kepada kami kerana mencintai kamu. Kemudian beliau a.s berkata: Wahai Hasin! Janganlah kamu mengecil-ngecilkan kecintaan kepada kami, kerana ia adalah daripada peninggalan yang baik (al-Baqiyat al-Salihat). Beliau berkata: Wahai anak lelaki Rasulullah! Aku bukanlah mengecil-ngecilkannya, tetapi aku memuji Allah di atas dasar kecintaan kepada Ahlu l-Bait a.s .



Abu Ahmad Muhammad bin Abu 'Umair

Beliau berkata: Muhammad bin al-Muhsia al-Sajjad telah memberitahu kami dengan katanya: Ali bin Ibrahim bin Hasyim telah memberitahu kami daripada bapanya berkata: Ibn Abu 'Umair telah ditahan selama tujuh belas tahun. Maka wangnya sudah tidak ada lagi. Beliau juga telah memberi pinjaman kepada seorang lelaki sebanyak sepuluh ribu dirham.

Beliau berkata: Lelaki itu telah menjual rumahnya dan membayar hutangnya kepada Ibn Abu Umair. Sehubungan dengan itu, Ibn Umair bertanya kepada lelaki itu: Di manakah anda mendapati harta ini; adakah anda telah menemui barang simpanan atau anda telah mewarisinya daripada seseorang? Anda mesti memberitahu aku.

Lelaki itu berkata: Aku telah menjual rumah aku dan berkata: Dhuraih al-Muharibi telah memberitahu aku daripada Abu Abdullah a.s berkata: Seorang lelaki tidak boleh keluar dari tempat lahirnya sedangkan dia berhutang. Aku memerlukan wang tetapi ia bukanlah milik aku .

Nama Abu 'Umair adalah Ziad hamba kepada al-Azadi, orang yang paling dipercayai di kalangan syi'ah dan umum, paling warak, paling banyak beribadat pada zamannya. Beliau sempat bertemu Musa bin Ja'far a.s, tetapi tidak meriwayatkan sesuatu daripadanya. Namun demikian dia telah meriwayatkan hadis daripada Abu al-Hasan al-Ridha a.s .



Zakaria dan Abu Jarir Zakaria al-Qummiyyain.

Ahmad bin Muhammad telah memberitahu kami daripada bapanya dan Sa'd bin Abdullah daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Muhammad bin Hamzah bin al-Yas' daripada Zakaria bin Adam berkata: Aku datang menemui al-Ridha a.s pada awal malam di Hadathan. Pada masa itu Abu Jarir telah mati. Beliau a.s. bertanya kepada aku mengenai Abu Jarir dan bersimpati ke atasnya. Beliau a.s sentiasa bercakap dengan aku dan aku bercakap dengannya sehingga naik fajar. Kemudian beliau a.s. berdiri dan mengerjakan solat Subuh .

Daripadanya daripada bapanya dan Sa'd daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Muhammad bin Hamzah daripada Zakaria bin Adam berkata: Aku berkata kepada al-Ridha a.s: Sesungguhnya aku ingin keluar daripada keluarga aku kerana ramai mereka yang bodoh.

Beliau a.s berkata: Jangan anda melakukannya kerana penduduk Qum mempertahankan mereka kerana anda sebagaimana dipertahankan penduduk Baghdad kerana Abu al-Hasan a.s .

Daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Ahmad bin al-Walid daripada Ali bin al-Musayyab berkata: Aku berkata kepada al-Ridha a.s: Rumah aku sangat jauh. Aku tidak boleh datang kepada anda pada setiap masa. Justeru daripada siapakah aku akan mengambil ajaran agama aku? Beliau a.s berkata: Daripada Zakaria bin Adam al-Qummi bersifat amanah terhadap agama dan dunia. Ibn al-Musayyab berkata: Apabila aku pulang, aku datang kepada Zakaria dan aku telah bertanya beliau apa yang aku perlu kepadanya .

Ahmad bin Muhammad bin Isa al-Qummi berkata: Abu Ja'far a.s telah mengutus hamba lelakinya kepada aku bersamanya surat. Beliau a.s. memerintahkan aku supaya datang kepadanya. Aku datang ke Madinah untuk berjumpa dengannya. Abu Ja'far a.s tinggal di Dar Khan Bazi'. Aku masuk dan memberi salam kepadanya. Beliau a.s. telah menyebut Safwan, Muhammad bin Sinan kepada aku dan nama orang lain. Aku telah berkata kepada diri aku: Aku akan meminta kasihan belasnya ke atas Zakaria bin Adam dengan harapan beliau a.s menerima apa yang dikatakannya tentang Zakaria. Kemudian aku menarik balik niatku dan berkata kepada diri ku: Siapakah aku untuk membentangkan perkara ini atau seumpamanya kepada tuanku sedangkan beliau a.s. lebih mengetahui apa yang dilakukannya.

Beliau a.s berkata kepada aku: Wahai Abu Ali! Ia bukan seperti Abu Yahya ingin cepat. Dia pernah berkhidmat kepada bapa aku (Al-Baqir a.s.) dan mempunyai kedudukan di sisinya dan di sisiku selepasnya. Bukanlah aku perlu kepada harta (al-Mal) yang ada di sisinya. Muhammad berkata: Aku telah menjadikan diri aku sebagi tebusan anda bahawa Zakaria akan menghantar wang kepada anda. Dia berpesan dengan katanya: Jika aku sampai kepada Abu Ja'far a.s. maka beritahukan kepadanya bahawa apa yang telah menghalang aku dari menghantar harta itu ialah perselisihan Maimun dan Musafir. Beliau a.s berkata: Bawalah surat aku kepadanya dan perintahkannya menghantar harta kepada aku. Maka aku telah membawa surat itu kepada Zakaria bin Adam, lantas dia mengirim harta tersebut kepada Abu Ja 'far a.s. .

Ja'far bin Muhammad bin Quluwaih telah memberitahu kami daripada al-Hasan bin al-Bannan daripada Muhammad bin Isa daripada bapanya daripada Ali bin Mahziar daripada sebahagian mereka Qum daripada Muhammad bin Ishaq dan al-Hasan bin Muhammad, mereka berdua berkata: Kami telah keluar selepas kematian Zakaria bin Adam untuk mengerjakan haji. Maka kami terjumpa surat (Abu Ja'far) a.s di sebahagian jalan. Dan apa yang berlaku adalah daripada Qadha' Allah tentang seorang lelaki yang mati dengan rahmat Allah pada hari beliau dilahirkan, hari beliau dimatikan dan hari beliau akan dibangkitkan.

Zakaria hidup sebagai orang yang arif dengan kebenaran, bersabar, dan berkira untuk kebenaran, melaksanakan apa yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya. Beliau mati tanpa belot dan berubah. Allah akan memberi pahala di atas niatnya dan kerjanya. Aku telah menyebut lelaki yang telah diwasiatkan kepadanya tetapi aku tidak menemuinya. Kami mempunyai maklumat mengenainya lebih banyak daripada apa yang kami sebutkan. Iaitu al-Hasan bin Muhammad bin 'Imran . 



Al-Mirzaban bin Imran al-Qummi al-Asy'ari

Ahmad bin Muhammad telah memberitahu kami daripada bapanya daripada Ahmad bin Idris daripada Ahmad bin Muhammad bin Yahya daripada Ahmad bin Muhammad ibn Isa daripada al-Hasan bin Ali daripada al-Mirzaban bin Imran al-Qummi al-Asy'ari berkata: Aku berkata kepada Abu al-Hasan al-Ridha a.s: Aku sedang bertanya anda tentang perkara yang paling penting kepada aku: Adakah aku daripada syi'ah anda? Beliau a.s berkata: Ya. Al-Mirzaban berkata: Aku bertanya kepada Abu al-Hasan al-Ridha a.s: Adakah nama aku tertulis di sisi anda? Beliau berkata: Ya .



Safwan bin Yahya

Muhammad bin Ja'far al-Muaddib telah menyebutkan bahawa Safwan bin Yahya dipanggil Abu Muhammad adalah hamba kepada Bajilah, Bayya' al-Sabiri, orang yang paling dipercayai dan warak pada zamannya di sisi ulama Hadis. Safwan mengerjakan solat sebanyak seratus lima puluh rakaat sehari. Beliau berpuasa selama tiga bulan setahun, mengeluarkan zakat hartanya sebanyak tiga kali setahun. Dia dan Abdullah bin Jundub serta Ali bin Uthman telah membuat perjanjian di Baitu l-Lah al-Haram bahawa jika seorang daripada mereka mati, maka yang hidup akan mengerjakan solatnya, puasanya, hajinya dan zakatnya selama ia masih hidup. Dua sahabatnya itu telah mati dan tinggallah Safwan selepas mereka berdua. Maka Safwan melaksanakan apa yang dia janjikan kepada mereka berdua. Sebahagian jirannya daripada penduduk Kufah di Makkah berkata kepadanya: Wahai Abu Muhammad! Bawalah untuk aku ke rumah dua dinar? Dia berkata kepada mereka: Unta aku sedang mengambil upah sehingga aku menyuruh unta aku melakukannya .



Ali bin 'Ubaidillah bin Ali bin al-Husain A.S

Ahmad bin Muhammad telah memberitahu aku daripada bapanya daripada Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada Ali bin al-Hakam daripada Sulaiman bin Ja'far berkata: Ali bin 'Ubaidillah bin al-Husain bin Ali bin al-Husain bin Ali bin Abu Talib a.s telah berkata kepada aku: Aku ingin berjumpa dengan Abu al-Hasan al-Ridha a.s bagi memberi salam kepadanya.

Sulaiman berkata: Apakah yang telah menghalang anda dari melakukannya? Ali berkata: Kemuliaan dan kehibatannya. Sulaiman berkata: Abu al-Hasan a.s. telah menghidap penyakit yang ringan. Orang ramai menziarahinya termasuk diriku. Aku terserempak dengan Ali bin 'Ubaidillah lalu aku berkata: Apa yang anda kehendaki itu tepat pada masanya. Abu al-Hasan a.s. sedang sakit ringan. Orang ramai menziarahinya. Jika anda mahu berjumpa dengannya, maka inilah harinya.

Sulaiman berkata: Ali bin Abdullah telah menziarahi Abu al-Hasan a.s. Beliau a.s telah menyambutnya dengan penuh kemuliaan. Ali bin Abaidullah begitu gembira dengan sambutan tersebut. Apabila Ali bin Ubaidillah pula jatuh sakit maka Abu al-Hasan a.s menziarahinya pula. Pada ketika itu aku telah berada bersama Ali. Dia duduk bersama Abu al-Hasan a.s sehingga tetamu yang berada di dalam rumahnya keluar .

Al-Hasan bin Mahbub daripada Ali bin Hamzah berkata: Abu al-Hasan Musa bin Ja'far a.s berkata kepada aku tanpa aku memulakannya: Besok seorang lelaki bernama Ya'qub dari Maghrib akan berjumpa dengan anda. Dia akan bertanya anda tentang aku. Maka katakan kepadanya: Beliau a.s. adalah imam yang telah diberitahu kepada kami oleh Abu Abdullah a.s. apabila lelaki itu bertanya anda tentang halal dan haram, maka beritahulah kepadanya tentang aku.

Ali bin Hamzah berkata: Aku telah menjadikan diri aku sebagai tebusan anda. Apakah tanda (bentuk fizikalnya)nya? Beliau a.s berkata: Tubuhnya panjang. Jika dia datang, janganlah anda menunjukkannya kepada aku tetapi jika beliau mahu anda menunjukkannya kepada aku, maka lakukanlah.

Ali bin Hamzah berkata: Demi Allah! Ketika aku mengerjakan tawaf, tiba-tiba seorang lelaki panjang tubuhnya datang kepada aku, dan berkata kepada aku: Aku mahu bertanya anda tentang sahabat anda? Aku berkata: Sahabat yang mana? Lelaki itu berkata: Tentang polan dan polan. Ali bin Hamzah berkata: Apakah nama anda? Lelaki itu berkata: Ya'qub. Ali berkata: Dari manakah anda? Dia berkata: Daripada penduduk Maghrib. Ali berkata: Dari manakah anda telah mengenali aku? Dia berkata: Seorang lelaki datang kepada aku di dalam mimpiku, maka beliau berkata kepada aku: Berjumpalah dengan Ali bin Hamzah dan bertanyalah kepadanya apa yang anda perlu kepadanya. Maka akupun telah bertanya tentang anda dan ditunjukkan kepada aku.

Ali berkata kepadanya: Duduklah di tempat ini sehingga aku menamatkan tawaf aku dan aku akan datang kepada anda insya' Allah. Aku mengerjakan tawaf, kemudian aku datang kepadanya. Sesungguhnya aku telah bercakap dengan seorang lelaki yang cerdik. Kemudian dia telah meminta aku supaya aku membawanya kepada Abu al-Hasan a.s. Ali memegang tangan lelaki itu dan membawa masuk berjumpa dengan Abu al-Hasan a.s.

Ketika beliau a.s melihatnya, beliau a.s. berkata: Wahai Ya'qub! Dia menjawab: Labbai-ka. Beliau a.s berkata: Anda telah datang kelmarin dan telah berlaku di antara anda dan saudara lelaki anda perkara yang tidak baik (syarrun) pada suatu tempat. Setelah itu berlaku caci-mencaci antara kamu berdua; ini bukan daripada agama aku dan ini bukan daripada agama bapa-bapa aku. Tiada seorang pun yang memerintahkan supaya ia dilakukannya. Kamu berdua bertakwalah kepada Allah sahaja tiada sekutu bagi-Nya.

Kamu berdua akan berpisah dengan kematian. Adapun saudara lelaki anda akan mati di dalam perjalanannya sebelum sampai kepada keluarganya. Anda akan menyesal di atas apa yang telah berlaku. Anda telah memutuskan pertalian kerabat. Maka umur kamu berdua dipendekkan. Lelaki tersebut bertanya: Bilakah ajal aku? Beliau a.s. berkata: Ajal anda akan sampai sehingga ibu saudara sebelah bapa anda sampai ke tempatnya. Allah telah memendekkan ajal anda selama dua puluh tahun. Ali berkata: Lelaki itu (Ya'qub) telah diberitahu bahawa saudara lelakinya mati sebelum sempat sampai di rumahnya. Dia disemadikan di perjalanan .



Soalan Abu Hanifah kepada Musa bin Ja'far dan jawapannya

Beliau berkata: Pada suatu hari Abu Hanifah bertanya kepada Musa bin Ja'far a.s: Beritahu aku apakah perkara yang lebih dicintai oleh bapa anda gambus atau gitar? Beliau a.s menjawab: Gambus. Beliau a.s. ditanya lagi tentang perkara tersebut. Beliau a.s. menjawab: Beliau (Ja'far) sukakan gambus dan membenci gitar .



Siapa Yang Ada Hajat Kepada Allah dan Ingin Melihat Imam A.S

Abu al-Faraj, daripada Abu Sa'id Sahl bin Ziad daripada seorang lelaki daripada Abdullah bin Jabalah daripada Abu al-Maghra' mendengar Musa bin Ja'far a.s berkata: Sesiapa yang ada hajat kepada Allah mahu melihat kami dan mahu mengetahui tempatnya daripada Allah, maka hendaklah ia mandi tiga malam bermunajat dengan kami. Maka sesungguhnya dia akan melihat kami di dalam tidurnya. Allah akan mengampuninya melalui kami dan tempatnya akan didedahkan kepadanya.

Sayyidi! Aku berkata: Jika seorang lelaki telah melihat anda di dalam tidurnya sedangkan beliau meminum arak? Beliau a.s berkata: Nabidh (arak) bukanlah merosakkan agamanya, sesungguhnya apa yang merosakkan agamanya adalah kerana beliau telah meninggalkan kami Ahlu l-Bait a.s, dan sesungguhnya orang yang paling celaka di kalangan kamu adalah orang yang membohongi kami pada batin dan membenarkan kami pada zahir. Kami adalah anak-anak Nabi Allah, anak-anak Rasulullah s.a.w, anak-anak Amir al-Mukminin a.s dan kekasih Tuhan semesta alam.

Kami adalah anak kunci Kitab, maka dengan kamilah para ulama bercakap, jika tidak, mereka menjadi bisu. Kamilah yang telah mengangkat mercu ketinggian dan kamilah yang telah memperkenalkan kiblat, kamilah Hajr al-Bait (batu Baitu l-Lah). Dengan kamilah Adam diampunkan (bina ghufira li-Adam). Dengan kamilah Ayyub diuji. Dengan kamilah Ya'qub diuji kehilangan anak-anaknya. Dengan kamilah Yusuf ditahan. Dengan kamilah ditolak bala, dengan kamilah bersinarnya matahari. Kami tertulis di 'Arasy Tuhan kami: Muhammad adalah sebaik para nabi. Ali adalah penghulu segala wasi, Fatimah adalah penghulu puteri syurga . Aku adalah penamat para wasi. Aku adalah penjaga al-Bab (pintu). Aku adalah sahabat al-Siffin, aku adalah pendendam daripada penduduk Basrah, aku adalah sahabat Karbala', siapa yang telah mencintai kami dan melepaskan diri daripada musuh kami, maka dia adalah bersama kami, daripada mereka yang dapat berteduh di bayangan yang panjang dan meminum air yang banyak. Hadis ini sangat panjang. Pada akhir riwayatnya dinyatakan: Sesungguhnya Allah telah menyatukan di antara para nabi dan para wasi pada keilmuan dan ketaatan. Dalam hadis riwayat yang lain menyebutkan: Sesungguhnya Dia telah menjadikan kami dua ribu tahun sebelum makhluk lain. Kami telah bertasbih, maka para malaikat ikut bertasbih dengan tasbih kami.



Hadis Abu al-Hasan al-Hadi A.S Bersama Saudaranya Musa bin Muhammad bin Ali bin Musa

Ia adalah hadis yang panjang diriwayatkan oleh Muhammad bin Isa bin 'Ubaid al-Baghdadi daripada Musa bin Muhammad daripada Ali bin Musa yang telah bertanya kepada Musa bin Muhammad di Baghdad di Dar al-Fatan Musa berkata: Yahya bin Aktham telah menulis kepada aku bertanya aku tentang dua belas masalah. Maka aku pun berjumpa dengan saudara ku (Ali al-Hadi a.s.) dan berkata kepadanya: Aku jadikan diri aku tebusan anda, sesungguhnya Yahya bin Aktham telah menulis kepada ku bertanyakan kepadaku beberapa masalah supaya aku memberi fatwa mengenainya. Maka saudaraku itu ketawa.

Kemudian dia berkata: Adakah anda telah memberi fatwa kepada Yahya? Musa menjawab: Tidak. Saudaranya berkata: Kenapa? Musa menjawab: Aku tidak mengetahuinya. Dia berkata: Apakah ia? Musa berkata: Yahya telah menulis kepada ku sebagaimana berikut:

Pertama: Beritahu aku tentang firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Naml (27):40 "Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu di dalam al-Kitab: Aku akan membawa singgahsana itu sebelum matamu berkelip". Adakah seorang nabi Allah perlu kepada ilmu Asif?

Kedua: Beritahu aku tentang firman Allah s.w.t di dalam Surah Yusuf (12): 100 "Dan ia menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana dan mereka merebahkan diri seraya sujud kepadanya" Adakah Ya'qub dan anak-anaknya telah sujud kepada Yusuf sedangkan mereka adalah para nabi?

Ketiga: Beritahu aku tentang firman Allah s.w.t di dalam Surah Yunus (10) :94 "Maka jika kamu (Muhammad) berada di dalam keraguan tentang apa yang kami turunkan kepadamu, maka bertanyalah kepada mereka yang membaca kitab sebelum kamu". Siapakah orang yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut? Sekiranya orang yang dimaksudkan itu adalah Rasulullah s.a.w. tidakkah beliau telah mengesyaki apa yang telah diturunkan kepadanya? Dan sekiranya orang yang dimaksudkan itu bukan Rasulullah s.a.w, maka ke atas orang lainkah ayat itu diturunkan?

Keempat: Beritahu aku tentang firman Allah s.w.t di dalam Surah Luqman (31) : 27 "Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak habis-habisnya kalimat Allah". Apakah laut-laut ini? Dan di manakah ia?

Kelima: Beritahu aku tentang firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Zukhruf (43) :71 " Di dalam syurga itu terdapat apa yang diingini oleh hati dan sedap dipandang mata dan kamu kekal di dalamnya ". Nafsu Adam telah inginkan biji gandum, justeru itu beliau telah memakan dan merasainya, tetapi bagaimana beliau dan isterinya diberi balasan tentangnya sedangkan ia termasuk di dalam apa yang diingini oleh hati?

Keenam: Beritahu aku tentang firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Syura (42) :50 "atau Dia menganugerahkan kedua-dua jenis lelaki dan perempuan". Adakah Allah telah menganugerahkan kepada hamba-hamba-Nya dengan lelaki sedangkan Allah memberi balasan kepada kaum yang telah melakukannya?

Ketujuh: Beritahu aku tentang keharusan penyaksian seorang perempuan sedangkan Allah berfirman di dalam Surah al-Talaq (65):2 "Dan saksikanlah dengan dua lelaki yang adil daripada kamu".

Kelapan: Beritahu aku tentang papak (al-Khuntha ) dan kata-kata Ali mengenainya "Papak diwarisi dari kencingnya" Siapakah yang akan melihat kepada papak apabila dia kencing? Penyaksian jiran terhadap dirinya tidak boleh diterima. Kemungkinan seorang papak itu adalah seorang lelaki sedangkan perempuan melihat kepadanya. Ini adalah perkara yang tidak dihalalkannya. Maka bagaimana ini pula?

Kesembilan: Beritahu aku tentang seorang lelaki yang telah datang kepada sekumpulan kambing, maka dia terlihat seorang penternak melakukan hubungan seks ke atas seekor kambing betina. Apabila pemilik terlihat kepada kejadian itu, maka penternak itu melepaskan kambing itu pergi ke mana-mana bersama-sama kambing-kambing tersebut. Penternak tadi tidak dapat mengenali kambing betina tersebut dan pemiliknya juga tidak mengenali yang mana satu patut disembelihnya?

Kesepuluh: Beritahu aku tentang kata-kata Ali kepada Ibn Jurmuz: "Berilah berita gembira kepada pembunuh Ibn Safiyyah dengan api" Kenapakah beliau a.s. tidak membunuhnya sedangkan beliau a.s. adalah seorang Imam. Sesiapa yang telah meninggalkan satu daripada hudud Allah s.w.t, maka dia telah menjadi kafir melainkan dengan sebab?

Kesebelas: Beritahu aku kenapakah Ahli Siffin dibunuh sama ada yang berhadapan atau yang lari. Sebaliknya di dalam peperangan Jamal mereka yang terluka, mereka yang memasuki mana-mana rumah dan mereka yang telah mencampakkan pedang mereka tidak dibunuh. Mereka juga telah diberi keamanan malah tidak diperintah supaya dilakukan sedemikian. Kenapakah beliau a.s telah melakukan sedemikain? Jika yang pertama betul maka yang kedua adalah salah?

Kedua belas: Beritahu aku tentang solat subuh, kenapa dinyaringkan bacaannya sedang ia daripada solat siang. Sesungguhnya bacaan nyaring adalah di dalam solat malam?

Maka Ali al-Hadi a.s berkata: Tuliskan. aku berkata: Apakah aku akan tulis? Beliau berkata: Tuliskan:


Bismillahi r-Rahmani r-Rahim. Anda telah diilhamkan Allah kecerdikan dan surat anda telah sampai kepada aku. Anda telah menguji kami dengannya, ditambah kedegilan anda untuk mencari jalan bagi mengkritik kami. Walau bagaimanapun Allah akan memberi balasan di atas niat anda dan kami telah menerangkan beberapa masalah yang anda kemukakan kepada kami. Maka tumpulah pendengaran anda kepadanya dan rendahkan fahaman anda untuknya serta tumpukan hati anda sepenuhnya kepadanya. Sesungguhnya aku telah melengkapkan hujah aku wassalam.

Pertama: Anda telah bertanya tentang firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Naml (27):40 "Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu di dalam al-Kitab: Aku akan membawa singgahsana itu sebelum matamu berkelip". Jawapannya: Dia adalah Asif bin Barkhia. Dalam hal ini, Sulaiman tidak lemah untuk mengetahui apa yang diketahui oleh Asif, tetapi beliau mahu memperkenalkan kepada umatnya yang terdiri daripada Jin. Sulaiman a.s. juga mahu manusia tahu bahawa Asif adalah hujah selepasnya. Apa yang berlaku itu adalah di dalam keilmuan Sulaiman dan beliau telah memberinya kepada Asif dengan perintah Allah. Maka Allah telah memahamkannya tentang perkara tersebut supaya imamahnya tidak dipertikaikan oleh umat sebagaimana Dia telah memahamkan Sulaiman kepada umatnya pada masa hidup Daud bagi membentangkan imamahnya dan kenabiannya selepas Daud bagi menguatkan hujah ke atas makhluk.

Kedua: Mengenai sujud Ya'qub dan anak-anaknya kepada Yusuf. Jawapannya: Sujud bukanlah untuk Yusuf sebagaimana sujud malaikat kepada Adam yang bukan untuk Adam, malah sujud mereka adalah kerana taat kepada Allah dan menghormati Adam. Lantaran itu, Ya'qub dan anak-anaknya telah melakukan sujud kerana bersyukur kepada Allah kerana terkumpulnya keluarga mereka. Tidakkah beliau telah berkata di dalam kesyukurannya pada masa itu di dalam Surah Yusuf (12):101"Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian takbir mimpi"

Ketiga: Adapun firman Allah s.w.t di dalam Surah Yunus (10) :94 " Maka jika kamu (Muhammad) berada di dalam keraguan tentang apa yang kami turunkan kepada mu,maka bertanyalah kepada mereka yang membaca kitab sebelum kamu". Jawapannya: Orang yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut adalah Rasulullah s.a.w. tetapi baginda s.a.w. tidak syak apa yang diturunkan kepadanya. Namun mereka yang jahil berkata: Kenapakah Allah tidak mengutus seorang nabi daripada malaikat atau bagaimana Dia tidak membezakan di antaranya dan makhluk-Nya tanpa makan, minum dan berjalan-jalan ke pasar-pasar? Maka Allah telah mewahyukan kepada Nabi-Nya s.a.w "maka bertanyalah kepada mereka yang membaca kitab sebelum kamu" sebagai renungan secara langsung kepada mereka jahil. Allah tidak mengutus seorang rasul sebelummu melainkan mereka juga makan dan minum, serta berjalan-jalan di pasar-pasar. Anda menjadi ikutan kepada mereka.

Sesungguhnya Dia berfirman: "jika kamu berada di dalam keraguan" bukan untuk pembahagian kepada syak dan tidak syak sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Ali Imran(3): 61"Katakanlah (kepadanya)" Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu wanita-wanita kami dan wanita-wanita kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada mereka yang dusta". Jika beliau berkata: Marilah kita bermubahalah dan kami jadikan laknat Allah di atas kamu, maka ianya tidak akan berlaku mubahalah. Sesungguhnya Allah telah mengetahui bahawa Nabi-Nya adalah pelaksana risalah-Nya dan baginda s.a.w. bukanlah daripada golongan pendusta. Demikian juga Nabi s.a.w telah mengetahui bahawa beliau adalah benar apa yang beliau katakan, tetapi beliau mahu menyedarkan mereka dengan dirinya.

Keempat: Mengenai firman firman Allah s.w.t di dalam Surah Luqman (31) : 27 "Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak habis-habisnya kalimat Allah". Jawapannya: Demikianlah jika pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sehingga bumi memancarkan mata air, maka tenggelamlah Ashab Taufan, nescaya laut-laut menjadi kering sebelum keringnya kalimat Allah s.w.t.

Iaitu mata air al-Kabrit, mata air al-Yaman, mata air Barhut, mata air al-Tabariyyah, Hammatu Masbadha dipanggil al-Maniyyat, Hammatu Ifriqiyyah dipanggil Baslan, mata air Bahruan dan Bahrun Bahrun; Kamilah kalimaat yang tidak dapat dicapai dan dihitung kelebihan kami (Nahnu al-Kalimaat al-Lati la tudraku Fadha'ilu-na wa la Tustaqsa ).

Kelima: Mengenai syurga yang mengandungi makanan, minuman, tempat bermain dan pakaian yang diingini oleh hati dan dipandang sedap oleh mata, Jawapannya: Allah telah mengharuskan semuanya untuk Adam. Pohon yang dilarang oleh Allah kepada Adam dan isterinya ialah pohon hasad (Syajarat al-Hasad). Dia telah berjanji kepada mereka berdua supaya tidak melihat kepada makhluk-Nya dengan mata hasad tetapi Adam telah terlupa, lalu melihat kepada mereka dengan mata hasad tanpa azam yang mencukupi.

Keenam: Mengenai firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Syura (42) :50 "atau Dia menganugerahkan kedua-dua jenis lelaki dan perempuan ", Jawapannya: Allah s.w.t akan menganugerahkan kepada lelaki yang taat ialah perempuan bidadari. Jauh sekali Allah maksudkannya seperti yang terdapat di dalam fikiran anda bagi melakukan dosa. Firman-Nya di dalam Surah al-Furqan(25): 68-9 "Sesiapa yang melakukan sedemikian itu, nescaya dia mendapat pembalasan dosanya, akan dilipatgandakan azab untuknya pada Hari Kiamat dan dia akan kekal di dalam azab itu dalam keadaan terhina", sekiranya dia tidak bertaubat.

Ketujuh: Mengenai harusnya penyaksian seorang perempuan sahaja sedangkan Allah berfirman di dalam Surah al-Talaq(65):2 "Dan saksikanlah dengan dua lelaki yang adil daripada kamu", jawapannya: Ianya harus (jaiz) dengan persetujuan. Jika ia tidak disertai persetujuan, maka ia tidak boleh kurang daripada dua orang bagi menyamai seorang lelaki dalam keadaan darurat. Kerana lelaki juga tidak boleh mengambil tempat perempuan. Jika hanya penyaksian seorang perempuan sahaja, maka penyaksiannya diterima bersama sumpahnya (yamini-ha).

Kelapan: Tentang papak (al-Khuntha) dan kata-kata Ali mengenainya "Papak diwarisi dari kencingnya", jawapannya: Iaitu sebagaimana kata Ali a.s. Kaum yang adil akan melihat kepadanya. Setiap orang daripada mereka akan mengambil cermin dan seorang papak berdiri di belakang mereka dalam keadaan bertelanjang. Kemudian mereka melihatnya di dalam cermin. Mereka akan melihat bayang atau sesuatu yang menyerupainya. Justeru mereka boleh membuat keputusan ke atasnya.

Kesembilan: Adapun seorang lelaki yang telah melihat seorang penternak melakukan hubungan seks ke atas seekor kambing betina. Jawapannya: Jika beliau mengenali kambing itu, maka hendaklah beliau menyembelihnya serta membakarkannya. Jika tidak mengenalinya, maka hendaklah bahagikan kumpulan kambing itu kepada dua bahagian. Jika pengundian itu terjatuh ke atas salah satu bahagian. Maka yang lain itu terselamat. Kemudian hendaklah dipisahkan bahagian yang terkena undian dengan undian yang lain. Bahagian yang lain terselamat. Begitulah seterusnya sehingga tinggal dua ekor kambing betina. Kemudian dibuat undian (Yuqra') ke atas salah satu daripada dua ekor kambing betina tersebut. Kambing betina yang terkena undian perlu disembelih dan dibakar. Dengan ini kambing-kambing betina yang lain terselamat.

Kesepuluh: Tentang kata-kata Ali kepada Ibn Jurmuz: "Berilah berita gembira kepada pembunuh Ibn Safiyyah dengan api". Jawapannya: Ini adalah sabda Rasulullah s.a.w sendiri, bukan hanya kata-kata Ali a.s . Ibn Jurmuz adalah di kalangan mereka yang telah terlibat di dalam peperangan di Nahrawan tetapi Amir al-Mukminin a.s tidak membunuhnya di Basrah, kerana beliau a.s. telah mengetahui bahawa Ibn Jurmuz akan dibunuh di Nahrawan.

Kesebelas: Mengenai soalan anda: kenapakah Ahli Siffin dibunuh sama ada yang berhadapan atau yang lari, sementara di dalam peperangan Jamal mereka yang terluka, mereka yang memasuki mana-mana rumah dan mereka yang telah mencampakkan pedang mereka tidak dibunuh tetapi diberi keamanan, malah tidak diperintah supaya dilakukan sedemikian. 

Jawapannya: Kerana Ahli Jamal adalah ketua mereka telah dibunuh. Justeru mereka tidak mempunyai puak untuk dirujukkan. Semua orang telah kembali ke rumah-rumah mereka, tanpa semangat ingin berperang, meninggalkan pengintipan dan tidak menunjukkan penentangan, malah mereka telah meredai penentangan terhadap mereka dihentikan. Lantaran itu, hukumnya adalah hukum menyerah kalah.

Mengenai Ahli Siffin, mereka telah merujuk kepada puak yang sentiasa bersedia dan ketua mereka yang menyediakan kepada mereka berbagai senjata seperti baju besi, lembing dan pedang. Ketua mereka juga menyediakan pemberian dan gaji tertentu, mereka yang terluka dilarikan dan dirawat, kemudian mereka kembali memerangi Ali a.s dan tenteranya. Justeru dua puak; Ahli Jamal dan Ahli Siffin adalah tidak sama di dalam hukum. Jika tidak ada Ali a.s dan hukumannya ke atas Ahli Siffin dan Ahli Jamal nescaya hukuman ke atas penderhaka-penderhaka di kalangan Ahli Tauhid tidak diketahui, tetapi beliau a.s telah menerangkan kesemuanya kepada mereka. Lantaran itu, siapa yang menentangnya, maka pedang dibentangkan ke atasnya atau ia bertaubat daripada perbuatannya.

Kedua belas: Mengenai solat subuh dan kenyaringan bacaan di dalamnya. Jawapannya: Adalah kerana Nabi s.a.w telah mengerjakannya pada akhir kegelapan malam. Lantaran itu, bacaan padanya dikira bacaan pada solat malam. Sesungguhnya aku telah memberitahu anda ke semua soalan anda. Ketahuilah bahawa Allah akan sentiasa menjaga anda dan segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam .