Sambungan

Ketakjuban Diri Dan Akibatnya

Abu Ja'far berkata: Muhammad bin Musa bin al-Mutawakkil telah memberitahu aku, berkata: Ali bin Ibrahim bin Hasyim telah memberitahu kami daripada bapanya daripada Ahmad bin Muhammad bin Abu Nasr al-Bazantiy daripada Abd al-Karim bin Umru daripada Abu al-Rabi' al-Syamiy berkata: Abu Abdullah a.s berkata: Sesiapa yang takjub dengan dirinya, akan binasa (man a'jaba bi-nafsi-hi halaka), dan sesiapa yang takjub dengan pendapatnya, akan binasa (man a'jaba bi-ra'yihi halaka).

Sesungguhnya Isa bin Maryam berkata: Aku telah mengubati pesakit, maka aku telah menyembuhkan mereka dengan izin Allah, aku telah menyembuhkan orang buta, dan orang yang berpenyakit sopak, dan aku menghidupkan orang mati dengan izin Allah. Aku telah mengubati orang yang mati, maka aku telah menghidupkan mereka dengan izin Allah, dan aku telah mengubati al-Ahmaq (si bodoh), tetapi aku tidak mampu memperbaikinya, ada orang bertanya: Wahai Roh Allah, apakah al-Ahmaq? Beliau berkata: Orang takjub dengan dirinya dan pendapatnya yang melihat kelebihan semuanya untuknya, dan bukan ke atasnya, mewajibkan kebenaran untuk dirinya, dan tidak mewajibkan kebenaran ke atas dirinya, maka itu adalah al-Ahmaq yang tidak ada cara untuk mengubatinya.

Muhammad bin Ali berkata: Muhammad bin Musa bin al-Mutawakkil telah memberitahuku, berkata: Abdullah bin Ja'far telah memberitahuku, berkata: Ahmad bin Muhammad telah memberitahuku daripada bapanya berkata: Abu Ahmad al-Azadi telah memberitahuku daripada Abban bin Taghlab berkata: Sa'd al-Khaffaf telah memberitahuku daripada al-Asbagh bin Nabatah berkata: Aku telah bertanya Amir al-Mukminin Ali bin Abu Talib a.s tentang Salman al-Farisi-rahmatullah-Aku berkata: Apa pendapat anda tentangnya? Aku tidak memberi pendapat tentang seorang lelaki yang telah diciptakan dari tanah kami (tinati-na), rohnya disertai dengan roh kami.

Allah telah mengkhususkan ilmu kepadanya pada awalnya dan akhirnya, zahirnya dan batinnya, rahsianya dan terangnya, aku telah hadir di hadapan Rasulullah s.a.w sedangkan Salman di hadapannya. Tiba-tiba seorang lelaki Badwi telah masuk dan mengusirnya dari tempatnya, lalu duduk di tempatnya, lantas Rasulullah s.a.w telah menjadi marah sehingga peluhnya mengalir dari dua matanya, kemudian kedua-dua matanya menjadi merah, beliau bersabda: Wahai Badwi, adakah anda mengusir seorang lelaki yang dicintai Allah di langit, dan dicintai oleh Rasul-Nya di bumi? Wahai Badwi, adakah anda mengusir seorang lelaki di mana Jibrail tidak datang kepada aku melainkan beliau memerintahkan aku daripada Tuhanku menyampaikan salam kepadanya. Wahai Badwi, sesungguhnya Salman adalah daripada aku. Sesiapa yang tidak melayaninya, maka beliau tidak melayani aku. Sesiapa yang telah menyakitinya, maka beliau telah menyakiti aku. Sesiapa yang telah menjauhkannya, maka beliau telah menjauhkan aku. Sesiapa yang telah mendekatinya, maka beliau telah mendekati aku. Wahai Badwi, janganlah anda mengasari Salman, kerana Allah telah memerintahkan aku supaya aku memperlihatkannya ilmu masa depan, ilmu tentang bala, keturunan, dan percakapan.

Beliau berkata: Badwi berkata: Wahai Rasulullah s.a.w, aku tidak menyangka perbuatan Salman sampai kepada peringkat yang anda sebutkan, tidakkah beliau seorang majusi kemudian memasuki Islam? Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Badwi, aku sedang bercakap kepada anda sekarang daripada Tuhanku, dan anda bercakap kepadaku. Sesungguhnya Salman bukanlah seorang majusi, tetapi beliau adalah seorang yang melahirkan syirik, tetapi merahsiakan imannya. Wahai Badwi, tidakkah anda mendengar Allah berfirman di dalam Surah al-Nisa' (4 ) :65 "maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan. Kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya".

Tidakkah anda mendengar firman-Nya Surah al-Hasyr (59 ) :7 "Apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka terimalah dia.Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggallah"

Wahai Badwi, ambillah apa yang aku telah berikan kepada anda, nescaya anda di kalangan mereka yang bersyukur, janganlah anda mengingkari, nescaya anda di kalangan mereka yang akan diseksa, terimalah Rasulullah s.a.w dan sabdanya, nescaya anda di kalangan mereka yang aman sejahtera.


Tentang Salman, Abu Dhar, al-Miqdad Dan Ammar

Daripadanya berkata: Muhammad bin Ali telah memberitahu kami daripada bapa saudaranya Muhammad bin Abu al-Qasim berkata: Ahmad bin Muhammad bin Khalid telah memberitahu aku, berkata: Ibn Abu Najran telah memberitahu aku daripada al-'Ala' daripada Muhammad bin Muslim daripada Abu Ja'far Muhammad bin Ali al-Baqir a.s berkata: Aku telah mendengar Jabir bin Abdullah al-Ansari berkata: Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w tentang Salman al-Farisi, beliau bersabda: Salman adalah lautan ilmu yang tidak mampu diharungi, Salman dikhususkan dengan ilmu awal dan akhir. Allah memarahi mereka yang memarahi Salman, mencintai mereka yang mencintainya. 

Aku berkata: Apakah pendapat anda tentang Abu Dhar? Beliau bersabda:Itu adalah daripada kami. Allah memarahi mereka yang memarahinya, Allah mencintai mereka yang mencintainya, aku berkata: Apakah pendapat anda tentang al-Miqdad? Beliau berkata: Itu adalah daripada kami. Allah memarahi mereka yang memarahinya, Allah mencintai mereka yang mencintainya, aku berkata: Apakah pendapat anda tentang 'Ammar? Beliau bersabda: Itu adalah daripada kami, Allah memarahi mereka yang memarahinya, Allah mencintai mereka yang mencintainya, Jabir berkata: Aku keluar bagi memberitahu berita gembira kepada mereka. Apabila aku berpaling, beliau s.a.w bersabda: Datang kepada aku wahai Jabir, anda adalah daripada kami. Allah memarahi mereka yang memarahi anda, Allah mencintai mereka yang mencintai anda.

Beliau berkata: Aku berkata: Apakah pendapat anda tentang Ali bin Abu Talib a.s? Beliau bersabda: Beliau adalah diri aku, aku berkata: Apakah pendapat anda tentang al-Hasan dan al-Husain a.s. Beliau bersabda: Mereka berdua adalah roh aku, dan Fatimah adalah ibu mereka berdua adalah anak perempuan aku, ia akan menyakiti aku apa yang telah menyakitinya, menggembirakan aku apa yang menggembirakannya, aku naik saksi, sesungguhnya aku berperang dengan mereka yang memerangi mereka, berdamai dengan mereka yang berdamai dengan mereka. Wahai Jabir, apabila anda ingin berdoa kepada Allah, dan doa anda dimakbulkan, maka serulah dengan nama-nama mereka, kerana nama-nama mereka adalah paling dicintai oleh Allah a.w .


Hadis Tentang Doa Dan Waktu-Waktunya

Daripada Muhammad bin Muslim daripada Abu Abdullah a.s berkata:Datuk aku s.a.w bersabda: Sila berdoa kerana seorang hamba apabila berdoa, kemudian turun bala, lalu dikatakan kepadanya: Suara yang lembut. Apabila beliau tidak berdoa, kemudian turun bala, lalu dikatakan kepadanya: Di manakah anda sebelum hari ini (dengan suara nyaring)? 

Al-Sadiq a.s berkata: Sesiapa yang tidak memohon kepada Allah daripada kelebihan-Nya, beliau akan menjadi fakir.

Dan beliau a.s berkata: Doa dimakbulkan pada empat tempat: Di dalam solat witir, selepas naik matahari, selepas zuhur dan selepas maghrib .


Hadis Tentang Para Imam A.S

Daripadanya, berkata: Muhammad bin Musa bin al-Mutawakkil telah memberitahu kami daripada Muhammad bin Abu Abdullah al-Kufi daripada Musa bin Imran daripada bapa saudaranya ('amm-hu) al-Husain bin Yazid daripada Ali bin Salim daripada bapanya daripada Sa'd bin Tarif daripada al-Asbagh bin Nabatah berkata: Aku telah mendengar Ibn Abbas berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Menyebut Allah s.w.t adalah ibadat, menyebut aku adalah ibadat, menyebut ke atasku adalah ibadat, menyebut para imam daripada anak-anaknya adalah ibadat.

Demi Yang telah mengutus aku dengan kenabian, dan telah menjadikan aku sebaik-baik manusia sesungguhnya wasi aku adalah sebaik-baik wasi, sesungguhnya beliau adalah hujah Allah ke atas hamba-Nya, khalifah-Nya ke atas makhluk-Nya, dan daripada anak-anaknya para imam yang memberi petunjuk selepas aku, dengan merekalah Allah menahan azab daripada penduduk bumi, dengan merekalah Allah memegang langit dari jatuh ke atas bumi dengan izin-Nya, dengan merekalah Dia memegang bukit dari condong, dengan merekalah Dia menurunkan hujan ke atas makhluk-Nya, dengan merekalah Dia mengeluarkan tumbuh-tumbuhan.

Merekalah para wali Allah yang sebenardan khalifah-khalifah aku yang sebenar. Bilangan mereka adalah seperti bilangan bulan-bulan iaitu dua belas bulan. Bilangan mereka adalah seperti bilangan para naqib Musa bin Imran, kemudian beliau s.a.w membaca Surah al-Buruj (85):1 "Demi langit yang mempunyai gugusan bintang" Kemudian beliau bersabda: Adakah anda wahai Ibn Abbas menetapkan bahawa Allah telah bersumpah dengan langit yang mempunyai gugusan bintang? Aku berkata: Wahai Rasulullah s.a.w apakah itu? Beliau s.a.w bersabda:Adapun al-Sama' (langit) adalah aku. Adapun al-Buruj (gugusan bintang) adalah para imam selepas aku, yang awal mereka adalah Ali dan yang akhir mereka adalah al-Mahdi a.s .


Hadis Tentang Ziarah Mukmin Kerana Allah

Daripada 'Umru bin Syamar daripada Jabir daripada Abu Abdullah al-Sadiq a.s berkata: Malaikat telah memohon izin Tuhannya untuk turun ke bumi di dalam bentuk seorang manusia, lalu Dia telah mengizinkannya. Kemudian beliau melalui seorang lelaki di pintu rumahnya bertanyakan tentang seorang lelaki daripada penghuni rumah, malaikat berkata: Wahai hamba Allah, apakah yang anda mahu daripada lelaki yang anda sedang mencarinya? Beliau berkata: Beliau adalah saudara aku di dalam Islam, aku telah mencintainya kerana Allah, aku datang kerana ingin mengucapkan salam kepadanya, beliau berkata: Tiada pertalian darah di antara anda dan beliau, dan bukan pula kerana sesuatu hajat? Beliau berkata: Tidak, melainkan cinta kerana Allah, aku datang kerana ingin mengucapkan salam kepadanya, beliau berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada anda dan Dia berfirman: Aku telah mengampuni kamu kerana cinta kamu kepadanya kerana-Ku."

Daripadanya beliau berkata: Muhammad bin al-Hasan telah memberitahu kami, berkata: Sa'd bin Abdullah telah memberitahu kami daripada Ahmad bin Muhammad daripada al-Hasan bin al-Mahbub daripada Salih bin Sahal al-Hamdani berkata: Al-Sadiq a.s berkata: Seseorang muslim yang telah ditanya tentang muslim, lalu beliau membenarkannya, dan akibatnya muslim itu mendapat kemudaratan, maka beliau ditulis di sisi Allah di kalangan pendusta, dan siapa yang telah bertanya tentang muslim, lalu beliau berbohong mengenainya, akibatnya muslim itu mendapat manfaat, maka beliau ditulis di sisi Allah di kalangan mereka yang benar.
Kebaikan 

Dan al-Sadiq a.s berkata: Bapa aku telah memberitahuku daripada bapanya a.s berkata: Seorang lelaki dari Kufah telah menulis surat kepada Abu al-Husain bin Ali a.s wahai sayyidi, beritahuku kebaikan dunia dan akhirat, maka beliau a.s menulis: Bismillahi r-Rahmani r-Rahim.Amma ba'du, adapun kemudian daripada itu sesiapa yang menuntut keredaan Allah dengan kemarahan manusia, Allah akan memadainya dengan urusan manusia. Sesiapa yang menuntut keredaan manusia dengan kemarahan Allah, maka Allah mewakilkannya kepada manusia, wassalam.

Amir al-Mukminin a.s berkata tentang firman-Nya di dalam Surah al-Rahman (55) : 60 "Tidak ada balasan kebaikan melainkan kebaikan" Beliau berkata: Kami telah mendengar Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t bermaksud: Tidak ada balasan bagi mereka yang Aku telah mencucuri nikmat tauhid ke atasnya melainkan syurga.


Kelebihan Akhlak Yang Baik

Rasulullah s.a.w bersabda: Jika kamu tidak dapat berkhidmat kepada orang ramai dengan harta kamu, maka berkhidmatlah kepada mereka dengan akhlak kamu.

Rasulullah s.a.w bersabda: Akhlak adalah pemberian daripada Allah a.w. Apabila Dia mencintai seorang hamba, maka Dia mengurniakannya akhlak yang baik, dan apabila Dia memarahi seorang hamba, maka Dia akan mengurniakannya akhlak yang buruk.


Celaan Kepada umpat-umpatan Dan Pendedahan Aurat Muslimin

Beliau berkata: Amir al-Mukminin a.s telah melihat kepada seorang lelaki yang sedang mencela seorang lelaki di sisi al-Hasan a.s, lalu beliau a.s berkata: Wahai anak lelaki aku, bersihkan pendengaran anda daripada perkara seumpama ini, kerana beliau telah melihat kepada seburuk-buruk perkara di dalam bekasnya, lantaran itu kosongkan ia daripada bekas anda .

Beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai orang yang memasuki Islam dengan lidahnya, tetapi imannya tidak sampai ke hatinya, janganlah kamu mencela mukminin dan mendedahkan aurat mereka, kerana orang yang mendedahkan aurat mukminin, Allah akan mendedahkan auratnya pula. 


Celaan Kepada Pembohongan, Mungkir Janji Dan Khianat

Daripada Abu Hamzah al-Thumali, daripada Abu Ja'far al-Baqir a.s berkata: Sesiapa yang telah mengetahui seorang hamba daripada hamba Allah berbohong apabila beliau bercakap, mungkir janji apabila beliau berjanji, khianat apabila beliau diamanahkannya. Kemudian beliau menyampaikan amanah kepadanya pula, maka adalah berhak ke atas Allah mengujinya dengan bala mengenainya, kemudian Dia tidak meninggalkannya di atas perbuatannya, dan tidak memberi pahala kepadanya. 


Empat perkara Di Dalam Taurat

Daripada Rifa'ah daripada Abu Abdullah a.s berkata: Beliau berkata: Empat perkara besar, dan empat perkara kecil ditulis di dalam Taurat. Pertama: Sesiapa menyambut waktu pagi di dalam keadaan dukacita (hazinan), bererti beliau menyambut Allah di dalam keadaan marah (sakhitan). Kedua: Sesiapa mengadu musibat yang telah menimpanya, maka sesungguhnya beliau mengadu kepada Tuhannya. Ketiga: Sesiapa mendatangi seorang kaya, lalu beliau memperkecilkan sesuatu perkara bagi mendapatkan ganjaran daripadanya, nescaya hilang dua pertiga agamanya. Keempat: Sesiapa memasuki neraka daripada umat ini yang membaca al-Qur'an, maka beliau adalah daripada mereka yang mengambil ayat-ayat Allah secara olok-olok. Empat perkara yang kecil: Anda akan dilakukan sebagaimana anda melakukannya. 

Sesiapa memiliki sesuatu, maka beliau tidak akan terasa cukup. Sesiapa tidak pernah bermesyuarat, akan menyesal. Kefakiran adalah kematian yang paling besar . Daripada Muhammad bin al-Hasan daripada Muhammad bin Sinan daripada sebahagian para sahabatnya daripada Abu Jarud secara marfu' berkata: Amir al-Mukminin a.s berkata: Sesiapa yang meletakkan dirinya di tempat tohmah, maka beliau tidak boleh mencela mereka yang menyangka jahat terhadapnya. Sesiapa menyembunyikan rahsianya, maka kebaikan berada di tangannya, dan setiap percakapan melebihi dua orang akan tersebar. Letakkanlah urusan saudara anda di tempat yang paling baik sehingga datang kepada anda perkara yang dapat memenangkan anda.

Janganlah anda menyangka apa yang keluar daripada saudara anda itu jahat semata-mata sedangkan anda akan mendapati kebaikan di dalamnya. Bersahabatlah dengan mereka yang benar,maka berusahalah untuk mendapatkan mereka. Bersedia ketika senang, dan menjadi cekal ketika susah. Bermesyuaratlah dengan mereka yang takutkan Allah. Cintailah saudara-saudara mengikut kadar ketakwaannya. Hati-hati dengan perempuan-perempuan jahat, walaupun yang terbaik di kalangan mereka. Jika mereka menyuruh kamu melakukan kebaikan, maka hadapi mereka sehingga mereka tidak tamak di dalam kemungkaran . 


Umpatan Adalah Lebih Berat Daripada Zina

Rasulullah s.a.w bersabda:al-Ghaibah (mengumpat) adalah lebih berat daripada zina, ada orang bertanya: Kenapakah begitu wahai Rasulullah s.a.w? Beliau bersabda: Orang yang berzina bertaubat, maka Allah akan mengampuninya. Adapun orang yang mengumpat bertaubat, Allah tidak menerima taubatnya sehingga orang yang diumpat itu memaafinya.

Al-Sadiq atau al-Baqir a.s berkata: Seorang hamba itu lebih hampir kepada kekafiran apabila beliau mempersaudarakan seorang lelaki di atas dasar keagamaan, kemudian beliau menghitung kesilapan, dan kesalahannya bagi tujuan mendedahkannya pada suatu hari kelak .


Nasihat Abu Abdullah A.S Kepada Hamraan

Daripada Hisyam bin Salim berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata kepada Hamraan bin A'yan: Wahai Hamraan, lihatlah kepada mereka yang rendah daripada anda dari segi kemampuan, dan janganlah anda melihat kepada mereka yang lebih tinggi daripada anda dari segi kemampuan, kerana itu adalah lebih memanfaatkan anda dari kurniaan Allah kepada anda, dan lebih layak untuk anda mendapat kurniaan tambahan daripada Tuhan anda, dan ketahuilah bahawa amalan sedikit yang berterusan di atas keyakinan itu adalah lebih baik di sisi Allah dari amalan yang banyak tanpa keyakinan.

Ketahuilah bahawa tiada kewarakan yang lebih baik dari menjauhi apa yang diharamkan Allah a.w, dan menahan diri dari menyakiti mukminin, dan berbicara keburukan mereka. Tiada kehidupan yang lebih senang dari akhlak yang baik. Tiada harta yang lebih baik dari memadai apa yang dimiliki. Dan tiada kejahilan yang lebih parah dari ketakjuban diri.

Daripada al-Baqir a.s berkata: Kami telah mendapati di dalam kitab Ali bahawa Rasulullah s.a.w berkata kepada Ali a.s di atas mimbar: Demi Allah, tiada tuhan melainkan Dia bahawa mukmin tidak pernah dikurniakan kebaikan dunia dan akhirat melainkan mengikut sangkaan baiknya terhadap Allah a.w, dan menahan diri dari memburukkan mukmin. Demi Allah, tiada tuhan melainkan Dia bahawa Allah tidak akan menyeksa mukmin dengan seksaan selepas taubat dan istighfar kepada-Nya melainkan dengan sangkaan jahatnya terhadap Allah a.w, dan umpatannya kepada mukminin .

Al-Sadiq a.s berkata: Sesiapa yang telah berkata tentang mukmin apa yang dilihat dua matanya, dan apa yang didengari dua telinganya, maka beliau adalah di kalangan mereka yang difirmankan Allah di dalam Surah al-Nur (24) :19 "Sesungguhnya mereka yang ingin agar perbuatan yang keji itu tersiar di kalangan mereka yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat "
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang memakan harta saudaranya mukmin atau meminumnya, atau memakainya (secara haram), maka Allah akan memberi makanan kepadanya makanan dari neraka Jahanam, minuman dari neraka Hamim, dan memakaikannya pakaian dari pakaian neraka.

Sesiapa yang telah meletakkan saudaranya mukmin di tempat yang hina, maka Allah akan meletakkannya di makam angkuh dan riak. Sesiapa yang telah memperbaharui persaudaraan di dalam Islam, maka Allah akan membina baginya mahligai di syurga dari permata .

Rasulullah s.a.w bersabda: Sejahat-jahat manusia pada hari Kiamat adalah al-Muthallath. Ada orang bertanya kepadanya: Apakah itu al-Muthallath, wahai Rasulullah s.a.w? Beliau bersabda: Lelaki berjalan dengan saudaranya kepada imamnya, lalu membunuhnya, lantaran itu beliau membinasakan dirinya, saudaranya, dan imamnya .

Beliau s.a.w bersabda: Al-Ghaibah (mengumpat) adalah lebih cepat kepada jasad mukmin daripada pemakan dagingnya .

Beliau berkata: Rasulullah s.a.w apabila memberi khutbah, beliau bersabda pada akhirnya: Beruntunglah mereka yang baik akhlaknya, dan bersih tabiatnya, baik dalamannya, dan baik luarannya, berbelanja lebihan hartanya, menahan diri berlebihan di dalam percakapannya, dan memberi kesedaran kepada orang ramai melalui amalan dirinya. 


Sebaik-Baik Ibadat Menjaga Kehormatan Perut Dan Kemaluan

Daripada Hamzah al-Thumali daripada Abu Ja'far al-Baqir, daripada Ali bin al-Husain a.s berkata: Sebaik-baik ibadat adalah menjaga kehormatan perut dan kemaluan, dan tidak ada perkara yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada doa, kerana doa dapat menolak penetapan yang telah ditetapkan (abrama). Kebaikan yang paling cepat adalah membuat baik, kejahatan yang paling cepat adalah balasan orang yang zalim. Cukuplah seorang itu menjadi malu ('aib) apabila beliau melihat keaiban orang lain tanpa melihat keaiban dirinya atau beliau menyakiti sahabatnya dengan perkara yang tiada kaitan dengannya atau beliau melarang manusia apa yang beliau sendiri tidak mampu meninggalkannya .

Rasulullah s.a.w bersabda: Umat aku yang paling ramai memasuki neraka adalah kerana perut dan kemaluan (al-Farj). Umat aku yang paling ramai memasuki syurga adalah kerana ketakwaan kepada Allah dan akhlak yang mulia.

Al-Sadiq a.s berkata: Empat alamat nifak: Keras hati, keras mata, berterusan melakukan dosa, tamak kepada dunia.

Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu melihat kepada banyaknya solat mereka, puasa mereka, banyaknya haji dan zakat mereka, banyak melakukan perkara yang baik, berjaga malam, tetapi lihatlah kepada percakapan yang benar, dan pelaksanaan amanah. 


Wasiat Amir al-Mukminin A.S Kepada Muhammad Bin al-Hanafiyyah

Daripada Abu Abdullah a.s berkata: Amir al-Mukminin a.s berkata di dalam wasiatnya kepada Muhammad bin al-Hanafiyyah: Ketahuilah bahawa lidah adalah anjing yang liar, jika anda membiarkannya, ia akan menggonggong, kadangkala satu kalimat yang diucapkan dapat menghilangkan nikmat, simpanlah lidah anda sebagaimana anda menyimpan emas dan wang anda. Sesiapa yang tidak mempunyai sifat malu akan membawanya kepada perkara yang tidak diingini. Rasulullah s.a.w bersabda: Allah mencucuri rahmat ke atas seorang hamba yang benar-benar malu kepada-Nya, beliau menjaga kepalanya dan sekelilingnya, perut dan apa yang disimpannya, menyebut kubur dan bala, serta menyebut baginya Ma'ad di akhirat

Al-Sadiq a.s berkata: Sesiapa yang meriwayatkan kepada saudaranya satu riwayat bagi tujuan menghinanya, dan merosakkan maruahnya, maka Allah akan meletakkannya di tanah Khubal (neraka) sehingga beliau meninggalkan apa yang dikatakannya. 
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang telah menyebarkan fahisyatan (kejahatan) adalah seperti pelakunya. Sesiapa yang telah menghina seorang mukmin dengan sesuatu, maka beliau tidak akan mati sehingga beliau melakukannya .

al-Sadiq a.s berkata: Apabila berlaku di antara anda dan saudara anda ketegangan, maka janganlah anda menghinanya dengan dosa.

Al-Baqir a.s berkata: Sesiapa yang menahan dirinya dari kehormatan orang lain, maka Allah akan menjaga kehormatan dirinya pada hari Kiamat. Sesiapa menahan kemarahannya daripada orang ramai, maka Allah akan menahan dirinya daripada azab pada hari Kiamat.

Daripada Abu Hamzah al-Thumali, daripada Ali bin al-Husain a.s berkata: Sesungguhnya lidah manusia mengawasi anggota-anggotanya setiap hari dan berkata: Bagaimana kamu menyambut waktu pagi? Mereka akan berkata: Dengan baik jika anda meninggalkan kami. Dan mereka akan berkata kepada kami: Allah, Allah, pada kami, dan mereka berkata lagi: Kami diberi pahala dengan anda dan kami diseksa dengan anda.

Mu'awiyah bin Wahab berkata: Al-Sadiq a.s berkata: Bertindaklah kerana kebenaran, janganlah anda bentangkan apa yang tidak perlu, dan jauhilah apa yang tiada kaitan dengan anda. Jauhilah musuh anda, hati-hatilah tentang sahabat anda di kalangan mereka melainkan beliau seorang yang boleh dipercayai yang bertakwa kepada Allah. Janganlah anda bersahabat dengan orang yang jahat (fajir), dan janganlah anda membiarkannya melihat rahsia anda.

Al-Sadiq a.s berkata: Jauhilah anda bermusuhan dengan seseorang, kerana ia akan mewarisi malu, dan pendedahan aurat. 

Al-Sadiq a.s berkata: Banyak bergurau akan menghilangkan air muka, dan banyak ketawa akan menyapu keimanan .


Enam Kalimat Bagi Salman

Daripada Abu Abdullah a.s berkata: Salman al-Farisi berkata: Aku menjadi hairan dengan enam perkara. Tiga perkara yang mentertawakan aku, dan tiga perkara yang membuatkan aku menangis. Adapun perkara yang membuatkan aku menangis adalah perpisahan dengan kekasih Muhammad s.a.w, penderitaan pada hari Kiamat, dan berdiri di hadapan Allah s.w.t. Adapun tiga perkara yang mentertawakan aku: Orang yang mengejar dunia sedangkan mati sedang mengejarnya. Orang lalai (ghafil), tetapi ia tidak dilupai, dan orang yang ketawa besar tidak mengetahui adakah Allah telah meredainya atau memarahinya.

Al-Sadiq a.s berkata kepada Ishaq bin Ammar: Wahai Ishaq, layanilah munafik dengan lidah anda, lakukanlah keikhlasan anda kepada mukmin. Jika seorang Yahudi duduk di sisi anda, maka duduklah anda dengan baik bersama-samanya .

Amir al-Mukminin a.s telah berkata kepada anak lelakinya Muhammad bin al-Hanafiyyah: Janganlah anda berkata apa yang anda tidak tahu, dan janganlah anda berkata semua yang anda tahu.

Al-Sadiq a.s berkata: Janganlah anda tertipu oleh orang ramai tentang diri anda, kerana ia akan sampai kepada anda bukan mereka. Janganlah anda menghabiskan siang hari anda dengan itu dan ini, kerana bersama anda ada orang yang menjaga anda. Janganlah anda memperkecilkan kebaikan yang sedikit, kerana anda melihatnya besok boleh menggembirakan anda,janganlah anda memperkecilkan kejahatan yang sedikit, kerana anda akan melihatnya besok boleh mendukacitakan anda. Berbuat baiklah, kerana aku tidak melihat sesuatu yang lebih dituntut, dan lebih cepat didapati dari kebaikan bagi dosa yang lalu. Sesungguhnya Allah berfirman di dalam Surah Hud (11):114 " Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu dapat menghapuskan perbuatan-perbuatan yang jahat. Itulah peringatan bagi mereka yang ingat "

al-Sadiq a.s berkata: Dengarlah kamu semua percakapan daripada aku yang lebih baik daripada dirham-dirham yang mahal. Janganlah anda bercakap melainkan apa yang ada kaitan dengan anda. Tinggalkan percakapan yang banyak tentang anda sehingga anda mendapati tempat yang sewajarnya. Kadangkala seorang itu bercakap benar tetapi tidak pada tempatnya (fa-rubba mutakallimin bi haqqin fi ghairi maudhi'i-hi). Janganlah anda berhujah dengan orang yang bodoh, dan orang yang lemah lembut, kerana yang lemah lembut akan mengalahkan anda. Sementara yang bodoh akan memburukkan anda. Sebutlah saudara anda apabila beliau tidak berada di hadapan anda dengan sebaik-baik perkataan yang anda paling sukai disebut tentang anda sendiri apabila anda tidak berada di hadapannya. Ketahuilah inilah amalannya, dan beramallah amalan orang yang mengetahui bahawa beliau akan dibalas dengan kebaikan dan akan diambil tindakan dengan jenayah (mujza bi l-Ihsan ma'khudhun bi l-Ajram). 


Mukmin Tidak Akan Menjadi Pembohong

Al-Hasan bin Mahbub berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdullah: Adakah mukmin menjadi seorang yang bakhil? Beliau berkata: Ya, beliau berkata: Aku berkata: Adakah beliau menjadi seorang pengecut (jabbanan)? Beliau berkata: Ya, aku berkata: Adakah beliau menjadi seorang pembohong (kadhiban)? Beliau berkata: Tidak, dan tidak pula bersifat dingin, kemudian beliau berkata: Seorang mukmin dari segi tabiatnya (seperti orang lain) boleh melakukan semua perkara selain dari pengkhianatan dan pembohongan .


Kelebihan Berdiam Diri

Daripada Abu Ja'far a.s berkata: Amir al-Mukminin a.s berkata: Kebaikan terkumpul pada tiga sifat: Perbincangan(al-Nazar), diam (al-Sukut), dan percakapan (al-Kalam). Semua perbincangan yang tidak mengandungi iktibar adalah suatu kelalaian (sahwun). Semua diam yang tidak mengandungi pemikiran adalah suatu kelupaan (ghaflatin). Dan semua percakapan yang tidak mengandungi peringatan adalah percakapan yang bodoh (laghwun). Maka beruntunglah orang yang perbincangannya menjadi iktibar, diamnya menjadi pemikiran, percakapannya menjadi peringatan. Beliau menangis di atas kesalahannya, dan orang ramai terselamat daripada kejahatannya.

Rasulullah s.a.w bersabda: Pembohong tidak berbohong melainkan menghina dirinya sendiri, dan asal ejekan (sukhriyyah) adalah memberi ketenangan kepada pembohong. Daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya a.s berkata: Beruntunglah orang yang diamnya menjadi pemikiran, perbincangannya menjadi iktibar, daya usahanya menjadi rumahnya, menangis di atas kesalahannya dan orang ramai terselamat daripada tangan dan lidahnya.

Al-Ridha a.s berkata: Alangkah baiknya diam (al-Samt) yang bukan kerana kurang keupayaan atau kelemahan diri. Daud al-Raqiy berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s berkata: Diam adalah harta yang berharga, perhiasan bagi orang yang lemah lembut dan penutup kejahilan.

Al-Ridha a.s berkata: Diam adalah satu pintu daripada pintu-pintu hikmat. Sesungguhnya diam akan mendapat kasih sayang dan petanda kebaikan.

Beliau a.s berkata: Alamat kefahaman itu adalah lemah lembut, keilmuan dan diam.

Furat bin Ahnaf berkata: Amir al-Mukminn a.s berkata: Berkorbanlah, tetapi janganlah untuk mendapat publisiti. Sembunyikan diri anda supaya tidak disebut. Belajarlah dan sembunyikanlah. Diamlah, nescaya anda terselamat.

Beliau berkata: Amir al-Mukminin a.s telah memberi isyarat dengan tangannya kepada dadanya sambil berkata: Mereka yang baik bergembira dan mereka yang jahat meradang.

Al-Sadiq a.s berkata: Seorang mukmin ditulis baik selama beliau berdiam (sakitan). Apabila beliau bercakap, beliau ditulis baik atau jahat.

Beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang lelaki yang baik akan membawa khabar yang baik dan seorang lelaki yang jahat akan membawa khabar yang jahat.

Daripada Daud al-Raqiy, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Beliau berkata: Wahai Daud, anda memasukkan tangan anda di mulut ikan paus sehingga ke pangkal lengan adalah lebih baik bagi anda dari memohon hajat anda kepada orang yang tidak menghargainya.

Daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada Amir al-Mukminin a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Beruntunglah orang yang telah meninggalkan syahwat semasa kepada masa yang beliau tidak melihatnya .

Daripada Abu Hamzah berkata: Aku telah mendengar Fatimah binti al-Husain a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:Tiga sifat orang yang sempurna imannya: Apabila beliau reda, maka redanya tidak akan memasukkannya dalam kebatilan. Apabila beliau marah, maka kemarahannya tidak akan mengeluarkannya daripada kebenaran dan apabila beliau berkuasa, maka beliau tidak akan memberi perkara yang bukan miliknya .