Sambungan

Kitab Sifat Syurga Dan Neraka

Bismillahi r- Rahmani r- Rahim

Abu Ja'far Ahmad bin Muhammad bin Isa telah memberitahuku, berkata: Sa'id bin Jinah telah memberitahuku, daripada 'Auf bin Abdullah al-Azadi, daripada sebahagian sahabatnya, daripada Abu Abdullah a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Allah t.w.t mahu mencabut roh mukmin, maka Dia berfirman: Wahai malaikat maut! Pergilah kamu dan pembantu-pembantu kamu kepada hamba-Ku, sudah lama dia telah memenatkan dirinya kerana-Ku, maka bawalah ke sini rohnya supaya ia berehat di sisi-Ku, lantas malaikat maut mendatanginya dengan muka yang baik, pakaian yang baik, dan bauan yang wangi. Dia berdiri di pintu tanpa meminta izin penjaga pintu, tidak melintasi hijab, tidak memecahkan pintu, bersamanya lima ratus pembantu, dan bersama mereka bauan yang mewangikan seraya berkata: As Salamu alaika ya waliyya l-Lah, bergembiralah kerana Tuhan anda memberi salam kepada anda, dan sesungguhnya Dia meredai anda tanpa sebarang kemarahan, dan bergembiralah dengan roh dan raihan dan syurga Na'im.

Beliau berkata: Adapun roh, maka ia berehat dari dunia dan balanya, dan raihan adalah daripada segala bauan syurga, lalu diletaknya di dagunya, maka bauannya akan sampai kepada rohnya, lantaran itu, dia di dalam keadaan rehat sehingga Dia mengeluarkan dirinya, kemudian Ridhwan penjaga syurga akan mendatanginya, lalu dia memberi minuman dari syurga di mana dia tidak akan terasa dahaga di kuburnya, dan pada hari Kiamat, akan memasuki syurga di dalam keadaan gembira (rayyanan), dan dia akan berkata: Wahai malaikat maut, kembalikan rohku sehingga ia mengimbangi jasadku dan jasadku mengimbangi rohku. Beliau berkata: Malaikat maut berkata: Setiap satu daripada kamu akan mengimbangi di antara satu sama lain, maka roh berkata: Allah memberi ganjaran kepada anda daripada jasad sebaik-baik ganjaran. Aku telah bersegera di dalam mentaati-Nya dan melambatkan di dalam melakukan kemaksiatan kepada-Nya, maka Allah telah memberi ganjaran kepadaku daripada kebaikan jasadku sebaik-baik ganjaran, maka ke atas anda sebaik-baik salam sehingga hari Kiamat dan jasad pula akan berkata kepada roh perkara yang sama.

Beliau berkata: Malaikat maut akan melaung kepada roh yang baik, wahai roh ang baik, keluarlah anda dari dunia dalam keadaan beriman, dirahmati dan senang hati. Beliau berkata: Malaikat telah berlembut dengannya, segala kesusahannya di atasi dan dipermudahkan segala-galanya untuknya, maka jadilah dia seekor " binatang " yang kekal (sara la-hayawan al-Khuld). Beliau berkata: Kemudian Allah mengutus untuknya beberapa barisan para malaikat yang tidak mengambil nyawanya, maka mereka berdiri di dalam barisan yang teratur di antara rumahnya dan kuburnya, mengucap istighfar untuknya dan memberi syafaat untuknya. Beliau berkata: Malaikat maut menyambutnya, dan memberi khabar gembira di pihak Allah dengan penuh kehormatan, dan kebaikan sebagaimana seorang bayi bergurau dengan ibunya, kemudian dia mencucurinya dengan minyak dan bauan yang menyenangkan jiwa.

Beliau berkata: Apabila nyawanya sampai di halkum, maka dua malaikat yang menjaganya berkata: Wahai malaikat maut, berlembutlah dengan sahabat kami, maka dia adalah sebaik-baik saudara lelaki, dan sebaik-baik orang yang duduk, dia tidak melakukan apa yang dimurkai Allah. Apabila rohnya keluar, maka ia akan keluar dengan gembira dan diikuti dengan bauan di syurga, dinaikkan ke langit dunia, beliau berkata: Pintu-pintu langit dibuka untuknya dan penjaga-penjaga pintu berkata: Allah telah menghidupkannya dengan jasadnya, amalannya yang soleh melalui kami dan kami mendengar kemerduan suaranya dengan al-Qur'an.

Beliau berkata: Pintu-pintu langit dan penjaga-penjaganya menangis kerana kehilangannya, dan berkata: Wahai Tuhanku, hamba Engkau ini mempunyai amalan yang soleh, kami mendengar kemerduan suaranya membaca al-Qur'an, lalu mereka berkata: Utuslah kepada kami seorang hamba mengganti tempatnya membaca al-Qur'an supaya dia memperdengarkannya kepada kami, maka Allah akan melakukan apa yang Dia kehendaki, maka para malaikat langit akan menyambutnya, memohon syafaat, dan beristighfar untuknya, maka Allah akan berfirman: Rahmat-Ku ke atasnya melalui roh, lalu roh-roh mukminin berjumpa dengannya seperti seorang yang hilang berjumpa dengan sahabatnya. Lalu sebahagian mereka berkata: Tinggalkan roh ini sehingga ia sedar, kerana ia telah keluar daripada dukacita yang besar, sekarang ia berehat. Mereka menyambutnya, dan bertanya kepadanya, dan berkata: Apakah yang telah dilakukan oleh polan dan polan? Jika dia telah mati, mereka menangis dan meminta supaya ia dikembalikan, dan mereka berkata: Kami daripada Allah dan kepada-Nya kami kembali.

Beliau berkata: Beliau berkata: Allah berfirman: Kembalikannya kepadanya, maka daripadanyalah Aku telah menciptakan mereka, dan padanyalah Aku mengembalikan mereka, dan daripadanya Aku mengeluarkan mereka pada kali yang lain pula, beliau berkata: Apabila dibawa di atas kerandanya, maka malaikat menyegarkannya kembali, dan mempertahankannya daripada syaitan yang sedang melihat kepadanya dari jauh, tetapi syaitan tiada kuasa ke atasnya. Apabila mereka membawanya ke kubur, setiap tanah perkuburan bertukar menjadi hijau untuknya, dan berkata: Wahai Tuhanku, jadilah ia di perut aku.

Beliau berkata: Maka ia akan dibawa pada tempat di mana Allah telah menetapkannya untuknya, dan apabila ia diletakkan di lubang lahadnya, maka dijelmakan kepadanya bapanya, ibunya, isterinya, anaknya, dan saudara-saudaranya, beliau berkata: Dia akan berkata kepada isterinya: Apakah yang membuat anda menangis? Beliau berkata: Isterinya akan berkata: Kerana ketiadaan anda dan anda telah membebankan kehidupan kami.

Beliau berkata: Dia akan didatangi gambaran yang cantik, beliau berkata: Dia akan berkata: Siapakah anda? Maka dia berkata: Akulah amalan anda yang baik. Aku adalah benteng anda, dan senjata anda dengan perintah Allah, Dia berkata: Demi Allah, jika aku telah mengetahui sesungguhnya anda pada tempat ini, nescaya aku akan melantik diri aku untuk anda dan harta aku dan anak aku tidak akan memperdayakan aku, Dia berkata: Wahai wali Allah, bergembiralah dengan kebaikan, demi Allah, sesungguhnya ia mendengar bunyi kasut mereka apabila mereka pulang, dan apabila mereka membersihkan tangan mereka dari tanah, dan apabila mereka selesai kerja mereka, maka rohnya dikembalikan kepadanya, tetapi mereka tidak mengetahuinya.

Beliau berkata: Bumi akan berkata kepadanya: Selamat datang wahai wali Allah, sesungguhnya aku telah mencintai anda semasa anda berada di atasku, dan sekarang aku lebih mencintai anda apabila anda berada di dalam perut aku, tentang kemuliaan Tuhanku, maka aku akan melakukan sifat kejiranan yang baik terhadap anda, aku akan menyejukkan tempat tidur anda, aku akan memperluaskan tempat masuk anda. Sesungguhnya aku adalah satu taman daripada taman-taman syurga atau satu lubang daripada lubang-lubang neraka.

Beliau berkata: kemudian Allah akan mengutus kepadanya seorang malaikat, maka ia akan memukul dengan sayapnya di kanan, di kiri, di hadapan, dan di belakangnya, lalu ia meluaskan untuknya setiap jalan empat puluh cahaya, lalu kuburnya di kelilingi cahaya.

Beliau berkata: Kemudian Munkar dan Nakir mendatanginya iaitu dua malaikat yang hitam mencari kubur dengan taring mereka berdua, suara mereka berdua seperti petir yang memanah, mata mereka berdua seperti kilat yang terang, lalu mereka berdua menakut-nakutkannya, melaung terhadapnya sambil berkata: Siapakah Tuhan anda? Siapakah nabi anda? Apakah agama anda? Dan siapakah imam anda? Jika dia menjawab dengan betul, maka mereka berdua berkata: Anda memang benar, Allah telah memberi hidayah kepada anda, lihatlah di sisi dua kaki anda, tiba-tiba dia berada di pintu neraka, lalu dia berkata: Sesungguhnya kami daripada Allah, dan kepada-Nyalah kami kembali, ini bukanlah sangkaan aku terhadap Tuhanku, Tuhan segala alam semesta.

Beliau berkata: Mereka berdua berkata kepadanya: Wahai wali Allah, janganlah anda berdukacita, janganlah anda takut, bergembiralah, maka ini bukanlah untuk anda, dan anda bukanlah untuknya. Sesungguhnya Allah mahu memperlihatkannya kepada anda dari sudut manakah Dia telah menjayakan anda, dan dari sudut manakah Dia telah merasakan anda dengan menarik balik keampunan-Nya. Sesungguhnya Dia telah menutup pintu ini daripada anda, dan anda tidak akan memasuki neraka selama-lamanya, lihatlah di sisi kepala anda, tiba-tiba dia berada di syurga bersama isteri-isterinya daripada bidadari-bidadari syurga.

Beliau berkata: Dia melompat untuk memeluk seorang isteri bidadarinya, lalu mereka berdua berkata kepadanya: Wahai wali Allah, sesungguhnya anda mempunyai saudara-saudara lelaki dan perempuan yang belum datang, maka tidurlah dengan senang hati seperti seorang kekasih di dalam keasyikannya sehingga hari Kiamat.

Beliau berkata: Dibuka hamparan untuknya, dan dilebarkannya. Beliau berkata: Demi Allah, dia tidur lebih aman daripada seorang kanak-kanak yang tidur di hadapan ibu, dan bapanya, beliau berkata: Apabila tiba hari Kiamat, lalu dibawa kepadanya sebahagian api neraka, maka dia dapat menepiskannya jika dia sentiasa membaca Surah al-Sajdah (30), dan Surah al-Mulk (67). Surah al-Mulk (67) berdiri di sisinya sementara Surah al-Sajdah (30) datang sambil berkata: Aku datang dengan syafaat Tuhan semesta alam.

Beliau berkata: Kemudian sebahagian azab datang di sebelah kanannya, maka solat berkata: Jauhlah anda daripada wali Allah, maka anda tiada jalan sebelum aku, lalu azab datang di sebelah kirinya, maka zakat berkata: Jauhlah anda daripada wali Allah, anda tiada jalan sebelum aku, kemudian azab datang di sebelah kepalanya, maka al-Qur'an berkata: Jauhlah anda daripada wali Allah, anda tiada jalan sebelum aku, kerana dia telah menyimpan aku di hatinya, dan di lidahnya di mana dia mentauhidkan Tuhanku dengannya, lantaran itu, anda tiada jalan sebelum aku, kemudian sebahagian daripada api neraka keluar di dalam keadaan marah, maka beliau berkata: Dia bukan wali Allah, malah wali kamu berdua (dua Surah). Beliau berkata: Sabar pula berkata di satu sudut kubur: Demi Allah, tiada halangan kepada aku untuk mewalikan wali Allah pada hari ini melainkan aku melihat apa yang ada pada sisi kamu, manakala kamu dapat mengatasi azab kubur, dan rintangannya, maka aku bagi wali Allah adalah simpanan, benteng di sisi neraca, jambatan Jahanam, dan 'Aradh di sisi Allah. 
Amir al-Mukminin Ali a.s berkata: Akan dibuka untuk wali Allah dari tempat tinggalnya di syurga ke kuburnya sembilan puluh sembilan pintu. Rohnya, bauannya, kelazatannya, dan cahayanya akan memasukinya sehingga hari Kiamat, tiada suatu pun yang lebih dicintainya selain daripada berjumpa dengan Allah, beliau berkata: Dia berkata: Wahai Tuhanku, segeralah ke atas aku berlakunya Kiamat sehingga aku kembali kepada keluargaku dan hartaku. Apabila berlaku laungan Kiamat, maka dia akan keluar daripada kuburnya di dalam keadaan menuntut aurat, diberikan ketenangan dan keamanan, diberi berita gembira dengan keampunan, kesenangan, dan kebaikan yang tidak terkira banyaknya.

Lantas dua malaikat yang pernah bersamanya di dalam kehidupan di dunia, menyambutnya, kemudian mereka berdua membersihkan tanah daripada mukanya, dan kepalanya, dan tidak akan berpisah daripadanya, menggembirakannya, dan menyelamatkannya dari setiap ketakutan pada hari Kiamat, mereka berdua berkata kepadanya: Wahai wali Allah, tiada ketakutan dan dukacita ke atas anda pada hari ini, kamilah yang mengurus amalan anda di dalam kehidupan anda di dunia, kamilah para wali anda hari ini di akhirat. Lihatlah kepada syurga-syurga yang kamu mewarisinya berdasarkan apa yang kamu lakukannya.

Beliau berkata: Lalu dia berdiri di bayang 'Arasy, kemudian Tuhan mendekatinya sehingga berlaku di antaranya dan di antara Tuhannya hijab daripada cahaya, maka malaikat berkata kepadanya: Selamat datang, di antaranya diserikan mukanya, digembirakan hatinya, dan dia menjadi panjang tujuh puluh hasta daripada kegembiraannya, mukanya seperti bulan, panjangnya seperti panjangnya Adam. Betuknya seperti bentuk Yusuf, lidahnya seperti lidah Muhammad s.a.w, hatinya seperti hati Ayyub. Setiap kali dosanya diampuni, dia sujud, maka Dia berfirman: Wahai hamba-Ku, bacalah kitab anda, dan janganlah kamu takut.

Beliau berkata: Yang Maha Perkasa akan berfirman: Adakah kami telah menambahkan kejahatan anda, dan kami mengurangkan ke atas kamu kebaikan kamu? Beliau berkata: Dia berkata: Wahai Tuan-Ku, Engkaulah yang melakukan keadilan dan Engkaulah sebaik-baik orang yang membuat keputusan.

Beliau berkata: Hamba-Ku, tidakkah kamu terasa malu, tanpa melakukan muraqabah kepada-Ku, dan tidak pula takut kepada-Ku? Dia berkata: Sayyidi, sesungguhnya aku telah melakukan kejahatan, tetapi Engkau tidak mendedahkan diri aku mengenainya, sesungguhnya semua makhluk sedang melihat kepada aku, beliau berkata: Yang Maha Perkasa berfirman: Demi kemuliaan-Ku, wahai pelaku kejahatan, aku tidak akan mendedahkan keburukan kamu pada hari ini. 

Beliau berkata: Kejahatan di antaranya dan Allah adalah tersembunyi sementara kebaikan menjadi terserlah kepada orang ramai. Beliau berkata: Setiap kali Dia mengaibkannya dengan dosa, dia berkata: Sayyidi, Engkau mengutus aku ke neraka adalah lebih baik daripada Engkau memalukan aku, beliau berkata: Lantas Yang Maha Perkasa meredainya.

Beliau berkata: Dia berfirman: Adakah kamu teringat pada hari tertentu kamu telah memberi makan seorang yang lapar, dan kamu telah menyambungkan ikatan persaudaraan dengan saudara mukmin, kamu telah memberi pakaian pada suatu hari, kamu telah melakukan amalan haji menyeru-Ku di dalam ihram, kamu telah berjaga malam, kamu telah menunduk pandangan kamu kepada-Ku. Adapun kebaikan yang kamu lakukan, maka ia adalah disyukuri. Adapun kejahatan yang kamu lakukan, maka ia diampuni. Lantaran itu, palingkan muka kamu, apabila dia berpaling, tiba-tiba dia "melihat" kepada Yang Maha Perkasa, maka pada masa itu, mukanya berseri, hatinya bergembira, lalu diletakkan mahkota di atas kepalanya, dan di tangannya perhiasan yang bermacam-macam.

Kemudian Dia berfirman: Wahai Jibrail, pergilah bersama hamba-Ku, perlihatkan kepadanya kemuliaan-Ku, lalu dia keluar dari sisi Tuhan dan mengambil kitabnya dengan tangan kanannya, lalu dia membentangkannya kepada mukminin, dan mukminat sambil menyeru "Ambillah, bacalah kitabku ini. Sesungguhnya aku yakin bahawa sesungguhnya aku akan menemui hisab terhadap diriku maka orang itu berada di dalam kehidupan yang diredai " Surah al-Haqah (67 ):19 . Dan apabila sampai ke pintu syurga, dikatakan kepadanya: Ambillah pasport, dia berkata: Inilah pasport aku tertulis di dalamnya:

Bismillahi r -Rahmani r -Rahim

Ini adalah pasport laluan daripada Allah Yang Maha Mulia Lagi Bijaksana untuk polan bin polan daripada Tuhan alam semesta,maka seorang penyeru menyeru orang ramai : Sesungguhnya polan bin polan telah bahagia dengan kebahagiaan yang tidak akan membawa kecelakaan selama-lamanya.

Beliau berkata: Maka dia pun masuk, tiba-tiba dia berada di sebatang pokok yang mempunyai bayang yang panjang, air yang dicurahkan, buah yang tersedia diberi nama Ridhwan. Keluar daripada betisnya dua air mata yang sedang mengalir, lalu dia pergi kepada salah satu daripadanya dan setiap kali dia melaluinya, maka dia mandi dan keluar, dan di atasnya nikmat yang banyak, kemudian dia meminum daripada yang satu lagi, maka tidak terdapat sebarang kesakitan, dan penyakit pada perutnya sebagaimana firman-Nya Surah al-Insan (76 ): 21 "dan Tuhan memberikan kepada mereka minuman yang bersih". Kemudian malaikat menyambutnya dan berkata kepadanya: Anda telah baik, maka masuklah bersama mereka yang masuk, maka dia pun masuk, tiba-tiba dia berada di sebatang pokok di mana dahan-dahannya adalah mutiara, dan cabang-cabangnya adalah daripada perhiasan yang bermacam-macam. Dan buah seperti payudara hamba-hamba perempuan yang masih dara, malaikat menyambutnya dengan unta-unta dan segala perhiasan, mereka berkata: Wahai wali Allah, naikilah apa yang anda kehendaki, pakailah apa yang anda kehendaki.

Beliau berkata: Lantas dia menaiki apa yang dia kehendaki, dan memakai apa yang dia ingini ketika berada di atas unta daripada cahaya, pakaiannya dan perhiasannya daripada cahaya berjalan di rumah cahaya bersamanya malaikat, budak-budak daripada cahaya, semuanya daripada cahaya sehingga malaikat terasa takut dan berkata: Ketepikan kamu semua, maka sesungguhnya rombongan Yang Maha Pengampun telah datang.

Beliau berkata: Lalu dia melihat kepada istananya yang pertama daripada perak diserikan dengan permata yaqut, isteri-isterinya menjaganya. Mereka berkata: Selamat datang, selamat datang, bermalamlah dengan kami. Beliau berkata: Malaikat berkata: Bergembiralah, wahai wali Allah, kerana ini adalah untuk anda, sehingga berakhir kepada istana yang dihiasi dengan permata nilam, maka malaikat berkata: Bergembiralah wahai wali Allah, kerana ini adalah untuk anda dan orang lain juga.

Beliau berkata: Kemudian dia mendatangi istana daripada permata nilam yang berwarna merah, maka malaikat berkata kepadanya: Bergembiralah, wahai wali Allah, kerana ini adalah untuk anda dan orang lain.

Beliau berkata: Dia berjalan sehingga sampai kepada seribu istana, semuanya dapat ditembusi oleh penglihatannya, dan dia dapat berjalan pada miliknya lebih cepat daripada kelipan mata, dan apabila dia sampai ke istananya yang paling jauh, dia memalingkan kepalanya, maka malaikat berkata: Apakah terjadi dengan anda, wahai wali Allah? Beliau berkata: Dia berkata: Hampir penglihatan aku hilang, mereka berkata: Wahai wali Allah, bergembiralah, kerana di syurga tiada orang yang buta, dan pekak, kemudian dia mendatangi sebuah istana, lalu dia melihat batinnya daripada zahirnya, dan melihat zahirnya daripada batinnya di mana batu batanya daripada perak, emas, permata nilam, dan mutiara yang diharumi dengan bauan dan diserikan dengan cahaya yang bersinar-sinar. Lelaki melihat mukanya di dinding dan berkata: Akhirnya adalah minuman.

Kemudian Nabi s.a.w telah menyebut bidadari, lalu Umm Salmah berkata: Dengan nama bapa aku, anda, dan ibu aku, wahai Rasulullah, tidakkah bagi kami kelebihan ke atas mereka? Beliau berkata: Ya, dengan solat anda, puasa anda, dan ibadat anda kepada Allah seperti kedudukan yang zahir ke atas yang batin, beliau telah memberitahu bahawa bidadari telah diciptakan oleh Allah di syurga bersama pokoknya, dan Dia telah menahan mereka untuk suami-suami mereka di dunia, setiap orang daripada mereka mempunyai tujuh puluh pakaian. Keputihan betis-betis mereka dapat dilihat dicelah-celah tujuh puluh pakaian sebagaimana anda melihat minuman merah di gelas yang putih atau seperti tali yang putih di permata nilam yang merah. Dia menyetubuhinya (yujami'u-ha) kadar kekuatan seratus orang lelaki muda di dalam keadaan nafsu berahi selama empat puluh tahun, mereka adalah di dalam keadaan dara sunti. Apabila dia berkahwin, dia masih dara "Tidak disentuhi oleh manusia sebelum mereka dan tidak pula oleh Jin" Surah al-Rahman (55 ):56 dan 74 "Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik" Surah al-Rahman (55):70, iaitu akhlak yang mulia, dan muka yang cantik. Surah al-Rahman (55) :58 " Seakan-akan bidadari itu seperti yaqut dan marjan " 

Beliau berkata: Sesungguhnya di syurga sebuah sungai di kedua tepinya hamba-hamba perempuan, beliau berkata: Allah mewahyukan kepada mereka: Dengarlah hamba-hamba-Ku, pujian-Ku, tasbih-Ku, maka mereka mengangkat suara-suara mereka dengan nada yang bermacam-macam di mana orang ramai tidak pernah mendengarnya sebelumnya. Dialah yang menggembirakan ahli syurga, dan seorang wali Allah diselia oleh seorang perempuan yang bukan daripada perempuan-perempuannya di sebalik tabir, mereka memenuhi istana-istananya dengan berbagai-bagai cahaya. Seorang wali Allah menyangka bahawa dia diselia oleh Allah atau malaikat-Nya, lalu dia mengangkat kepalanya, tiba-tiba dia berada di sisi isterinya yang hampir cahaya isterinya menghilangkan cahaya dua matanya.

Beliau berkata: Lalu bidadari menyerunya bahawa sesungguhnya telah hampir waktu kami, anda menjadikan giliran untuk kami, beliau berkata: Dia berkata kepadanya: Siapakah anda? Beliau berkata: Aku adalah di kalangan mereka yang telah disebutkan Allah di dalam al-Qur'an Surah Qaf (50): 35 " Mereka di dalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki, dan pada sisi Kami ada tambahannya", maka dia menyetubuhinya kadar kekuatan seratus pemuda, dan dia memeluknya selama tujuh puluh tahun mengikut umur mereka yang terdahulu.

Dan dia tidak mengetahui sama ada dia melihat kepada mukanya atau kepada belakangnya atau kepada betisnya. Setiap kali dia melihat kepada sesuatu daripadanya, maka dia hanya melihat mukanya sendiri disebabkan cahayanya dan kebersihannya. Kemudian perempuan lain yang lebih cantik daripada yang pertama menyelianya dan berkata: Sesungguhnya telah hampir waktu bagi kami, anda menjadikan giliran bagi kami, beliau berkata: Maka dia berkata kepadanya: Siapakah anda? Dia berkata: Aku adalah di kalangan orang yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Qur'an Surah al-Sajdah (32):17 "Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu ang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan di atas apa yang mereka kerjakan" .

Beliau berkata: Tidak seorang pun yang akan memasuki syurga melainkan mempunyai lima ratus pasangan daripada bidadari, dan setiap bidadari itu tujuh puluh hamba lelaki, dan tujuh puluh hamba perempuan. Mereka sepertilah permata nilam dan mutiara yang belum disentuhi oleh tangan, dan dilihat oleh mata. Baginya tujuh puluh istana dan setiap istana tujuh puluh bilik. 

Dan setiap bilik tujuh puluh katil, dan setiap katil tujuh puluh tilam di atasnya seorang bidadari "yang berlari di bawahnya sungai-sungai" Surah al-Talaq (65 ):11, yang terdiri daripada air yang bersih. "Dan sungai-sungai pula adalah daripada susu yang tidak akan berubah rasanya" Surah Muhammad (47):15 "Dan sungai-sungai daripada madu yang ditapis" yang tidak keluar daripada binatang ternakan, dan yang tidak keluar daripada perut lebah " dan sungai-sungai daripada arak, lazat bagi peminum-peminum", tidak dipijak oleh mana-mana lelaki dengan kaki-kaki mereka. Apabila mereka inginkan makanan, maka burung-burung putih akan membawanya, mengangkat sayap-sayap mereka. Mereka makan daripada warna apa yang mereka ingini sama ada di dalam keadaan duduk atau bersandar.

Jika mereka inginkan buah-buahan, maka dahan-dahan pokok akan memanjangkan kepada mereka, lalu mereka makan apa yang mereka ingini. Dia berfirman di dalam Surah al-Ra'd (13):23-4 " malaikat-malaikat memasuki tempat-tempat mereka dari segala pintu : Salam ke atas kamu di atas kesabaran kamu, maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu". Sementara mereka berada di dalam keadaan sedemikian, mereka mendengar suara di bawah Arasy: Wahai ahli syurga, bagaimana kamu melihat masa depan kamu? Mereka berkata : Sebaik-baik masa depan adalah masa depan kami, dan sebaik-baik pahala adalah pahala kami. Sesungguhnya kami telah mendengar suara, tetapi kami ingin melihat kepada cahaya kebesaran Engkau iaitu sebesar-besar pahala kami, sesungguhnya Engkau telah berjanji, dan Engkau tidak akan mungkir janji.

Lantas Allah memerintahkan hijab-hijab, maka berdirilah tujuh puluh ribu hijab, lalu mereka menaiki unta dan keldai di atas mereka segala perhiasan, lalu mereka berjalan pada bayang pokok sehingga mereka berakhir di Dar al-Salam iaitu Dar Allah, Dar al-Baha' dan al-Nur, dan Dar al-Karamah, maka mereka mendengar suara, lalu mereka berkata: Ya sayyidi, Kami telah mendengar kelazatan percakapan Engkau, lantaran itu, perlihatkanlah kepada kami cahaya zat Engkau, lantas Allah melakukan tajalli sehingga mereka melihat kepada cahaya zat-Nya yang tersembunyi daripada setiap orang yang melihat. Mereka tidak dapat mengimbangi diri mereka, sehingga mereka sujud, mereka berkata: Maha Suci Engkau, kami tidak menyembah Engkau dengan sewajarnya, wahai Yang Maha Besar.

Beliau berkata: Dia berfirman wahai hamba-hamba-Ku, angkatlah muka kamu, kerana ini bukan tempat bekerja. Ini adalah tempat kemuliaan dan nikmat. Segala kepenatan telah hilang daripada kamu. Apabila mereka mengangkat kepala mereka, maka muka mereka berseri-seri daripada cahaya zat-Nya sebanyak tujuh puluh kali ganda, kemudian Allah berfirman: Wahai Para malaikat-Ku, berikan kepada mereka makan dan minum, lalu mereka membawa makanan yang bermacam-macam di mana mereka tidak pernah melihatnya sebelumnya dari segi kelazatan madu, keputihan salji, dan kelembutan keju, beliau berkata: Allah berfirman: Wahai para malaikat-Ku, berikan mereka minuman, beliau berkata: Mereka membawa minuman, lalu wali Allah mengambilnya dan meminumnya.

Beliau berkata: Allah berfirman: Wahai para malaikat-Ku, berikan mereka bauan, lalu angin datang kepada mereka dengan bauan yang lebih putih daripada salji yang dapat mengubah muka-muka mereka, dan dahi-dahi mereka ia dinamakan al-Muthirah, justeru ia membolehkan mereka melihat kepada cahaya zat-Nya. Mereka berkata: Ya sayyidu-na, cukuplah bagi kami menikmati kelazatan percakapan Engkau, dan melihat cahaya zat Engkau, kami tidak mahu menukarkannya lagi.

Allah Berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui bahawa kamu mencintai isteri-isteri kamu, dan isteri-isteri kamu pula mencintai kamu, maka mereka berkata: Apakah yang Engkau paling mengetahui pada jiwa hamba-hamba Engkau? Maka Dia berfirman: Bagaimana Aku tidak mengetahui sedangkan Aku telah menciptakan kamu, dan Aku telah menetapkan roh-roh kamu pada badan-badan kamu, kemudian Aku mengembalikannya ke atas kamu selepas mati, maka Aku berkata: Sediakan kepada hamba-hamba-Ku sebaik-baik tempat tinggal, kembalilah kepada isteri-isteri kamu, beliau berkata: Mereka berkata: Wahai sayyidu-na, jadikanlah syarat bagi kami, Dia berfirman: Sesungguhnya kamu pada setiap Jumaat satu lawatan (zaurah )di antara Jumaat kepada Jumaat yang lain adalah tujuh ribu tahun menurut kiraan kamu.

Beliau berkata: Maka mereka pun pulang, lalu diberi setiap seorang lelaki daripada mereka sebiji delima hijau, dan pada setiap biji delima itu tujuh puluh pakaian yang tidak pernah dilihat oleh makhluk. Mereka berjalan didahului oleh kanak-kanak sehingga mereka memberitahu berita gembira kepada isteri-isteri mereka yang sedang berdiri di pintu-pintu syurga, beliau berkata: Apabila dia menghampiri isterinya, lalu dia melihat pada muka suaminya, lalu dia mengingkarinya tanpa sebarang sangkaan jahat, dia berkata: Wahai kekasih aku (habibi), anda telah keluar dari sisi aku, anda bukanlah semacam ini, beliau berkata: Dia berkata: Wahai kekasihku (habibati), anda mencela aku kerana kau menjadi begini? 

Sesungguhnya aku telah melihat kepada cahaya zat Tuhan-Ku, lalu mukaku berseri daripada cahaya zat-Nya, kemudian dibentangkan kepadanya, lalu dia melihat kepadanya satu kali lihat, maka dia berkata: Wahai kekasihku (habibati) sesungguhnya aku telah keluar dari sisi anda dan aku bukanlah begini? Maka dia berkata: Wahai kekasihku (habibi) anda mencela aku kerana aku menjadi begini sesungguhnya aku telah melihat kepada muka orang telah melihat (wajhi al-Nazir ) cahaya zat Tuhanku, lalu muka aku berseri-seri daripada muka orang yang telah melihat kepada cahaya zat Tuhanku tujuh puluh kali ganda, lalu dia berpaut kepadanya, maka Allah "ketawa" kepada mereka, maka mereka menyeru dengan suara mereka "Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita daripada kami sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun.

Beliau berkata: Kemudian Tuhan mengizinkan kepada para nabi, lalu seorang lelaki keluar di dalam satu perarakan, lalu para malaikat berbaris, dan cahaya di hadapan mereka, kemudian ahli syurga melihat kepadanya, lantas mereka memanjangkan tengkuk mereka kepadanya, mereka berkata: Siapakah ini, sesungguhnya ia begitu mulia di sisi Allah? Beliau berkata: Malaikat berkata: Makhluk ini diciptakan dengan tangan-Nya, dan ditiupkan padanya dengan roh-Nya, dan diajari dengan nama-nama, maka ini adalah Adam yang telah diizinkan oleh Allah.

Beliau berkata: Kemudian seorang lelaki keluar di dalam satu perarakan dikelilingi oleh para malaikat yang teratur sayap-sayap mereka, dan cahaya di hadapan mereka, beliau berkata: Maka ahli syurga memanjangkan tengkuk mereka untuk melihat kepadanya, dan berkata: Siapakah ini? Malaikat berkata: Ini adalah al-Khalil Ibrahim yang telah diizinkan oleh Allah.

Beliau berkata: Kemudian seorang lelaki keluar di dalam satu perarakan dikelilingi oleh para malaikat yang teratur sayap-sayap mereka, dan cahaya di hadapan mereka, beliau berkata: Maka ahli syurga memanjangkan tengkuk mereka untuk melihat kepadanya, dan berkata: Siapakah ini? Malaikat berkata: Ini adalah Musa bin Imran di mana Allah telah bercakap dengannya dengan satu percakapan, dan ia telah diizinkan oleh Allah.

Beliau berkata: Kemudian seorang lelaki keluar di dalam satu perarakan dikelilingi oleh para malaikat yang teratur sayap-sayap mereka, dan cahaya di hadapan mereka, beliau berkata: Maka ahli syurga memanjangkan tengkuk mereka untuk melihat kepadanya, dan berkata: Siapakah ini yang telah diizinkan oleh Allah? Malaikat berkata: Ini adalah roh Allah dan kalimat-Nya, ini adalah Isa bin Maryam.

Beliau berkata: Kemudian seorang lelaki keluar di dalam satu perarakan dikelilingi oleh para malaikat yang teratur sayap-sayap mereka, dan cahaya di hadapan mereka, beliau berkata: Maka ahli syurga memanjangkan tengkuk mereka untuk melihat kepadanya, dan berkata: Siapakah ini yang telah diizinkan oleh Allah? Malaikat berkata: Ini adalah seorang yang telah dipilih dengan wahyu, yang diamanahkan ke atas risalah-Nya, penghulu anak Adam, ini adalah Nabi Muhammad s.a.w, dan ia telah diizinkan oleh Allah.

Beliau berkata: Kemudian seorang lelaki keluar di dalam satu perarakan dikelilingi oleh para malaikat yang teratur sayap-sayap mereka, dan cahaya di hadapan mereka, beliau berkata: Maka ahli syurga memanjangkan tengkuk mereka untuk melihat kepadanya, dan berkata: Siapakah ini? Malaikat berkata: Ini adalah saudara lelaki Rasulullah di dunia dan di akhirat.

Beliau berkata: Kemudian diberi keizinan kepada para nabi, para siddiqin, para syahid, lalu diletakkan ke atas para nabi mimbar-mimbar daripada cahaya, bagi para siddiqin katil-katil daripada cahaya, dan bagi para syahid kerusi daripada cahaya, kemudian Allah berfirman: Selamat datang dengan rombongan-Ku, pelawat-pelawat-Ku, dan jiran-jiran-Ku, wahai para malaikat-Ku, berikan mereka makan, lalu diberikan kepada mereka makanan yang tidak pernah dilihat oleh mereka sebelumnya perasa madu, kelembutan keju, dan keputihan salji, kemudian Dia berfirman: Wahai para malaikat-Ku berikan mereka buah-buahan yang bermacam-macam yang mereka tidak pernah melihatnya sebelumnya; yang segar manis, keputihan salji, dan kelembutan keju.

Beliau berkata: Kemudian Nabi s.a.w bersabda: Jika satu biji daripada sebiji buah delima itu terjatuh, maka ia akan menutupi semua muka lelaki. Kemudian Dia berfirman: Wahai para malaikat-Ku, Pakaikan mereka, beliau berkata: Lalu mereka pergi kepada pokok-pokok di syurga yang dikilatkan dengan cahaya Yang Maha Pemurah, lalu mereka tertarik kepadanya. Kemudian Dia berfirman: Berikan mereka bauan, lalu angin di bawah Arasy mendatangi mereka, dan angin itu dinamakan al-Muthirah. Ianya lebih putih daripada salji, akan mengubah muka-muka mereka, dahi-dahi mereka, dan lambung mereka, kemudian Allah s.w.t akan melakukan tajalli sehingga mereka dapat melihat kepada cahaya zat-Nya yang tersembunyi daripada mata yang melihat. 

Mereka berkata: Maha Suci Tuhan, Kami tidak menyembah Engkau dengan sewajarnya, wahai Yang Maha Besar. Kemudian Tuhan berfirman: Bagi kamu setiap Jumaat satu lawatan di antara Jumaat dan Jumaat tujuh ribu tahun menurut kiraan anda Daripadanya, daripada 'Auf bin Abdullah, daripada Jabir bin Yazid al-Ja'fi daripada Abu Ja'far a.s berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Syurga adalah ditegah atau diharamkan ke atas para nabi sehingga aku memasukinya (al-Jannatu muharramatun 'ala al-Anbiya' hatta adkhula-ha), dan ditegah atau diharamkan ke atas semua umat sehingga syi'ah kami Ahlu l-Bait memasukinya (wa muharramatun 'ala al-Umam hatta yadkhula-ha syi'atu-na Ahl al-Bait ) .

Daripadanya, daripada 'Auf bin Abdullah, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s berkata: Sesungguhnya Tuhan berfirman: Kamu masuklah syurga dengan rahmat-Ku, selamatkan daripada neraka dengan keampunan-Ku, bahagikan syurga dengan amalan kamu, maka dengan kemuliaan-Ku, Aku akan meletakkan kamu di tempat yang kekal, dan mulia, apabila mereka memasukinya, mereka akan menjadi sepanjang Adam enam puluh hasta, dan semuda umur Isa tiga puluh tiga tahun, di atas bahasa Arab Muhammad serta di atas bentuk Yusuf dari segi kecantikan, kemudian muka mereka disinari cahaya, dan di atas hati Ayyub dari segi keselamatan daripada kedengkian .

Daripadanya, daripada 'Auf bin Abdullah, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s berkata: Sesungguhnya syurga itu adalah empat sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Rahman (55 ):46 " Dan bagi orang yang takut saat maqam Tuhannya ada dua syurga" iaitu seorang lelaki menentang syahwat dunia iaitu maksiat, lalu dia mengingati makam Tuhannya, lantas dia meninggalkan maksiatnya itu, kerana takut kepada-Nya, maka ini adalah ayatnya mengenainya. Justeru dua syurga ini adalah bagi mukminin, dan mereka yang terdahulu. 

Adapun firman-Nya Surah al-Rahman (55): 62 " dan selain dari dua syurga itu ada dua syurga lagi", beliau berkata: Selain dari dua syurga itu dari segi kelebihan, bukan dari segi keakraban, kedua-duanya untuk Ashab al-Yamin iaitu syurga al-Na'im, dan syurga al-Ma'wa. Dan pada empat syurga ini terdapat buah-buahan yang banyak seperti daun kayu, dan bintang-bintang. Di atas empat syurga ini ada dinding yang mengelilinginya, panjangnya lima ratus tahun perjalanan, batu bata daripada perak, emas, mutiara, dan yaqut dilekatkan dengan warna kuning, dan di atasnya cahaya yang bersinar-sinar, seorang lelaki dapat melihat mukanya di dinding, dan satu dinding mempunyai lapan pintu dan setiap pintu mempunyai dua daun.

Daripadanya, daripada 'Auf bin Abdullah, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s berkata: Tanah syurga batu marmarnya adalah perak, debunya adalah kekuningan, bauannya adalah wangi, dan anak batunya daripada mutiara dan yaqut.

Daripadanya, daripada 'Auf, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s, berkata: Katil-katilnya daripada mutiara, dan yaqut sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Waqi'ah (56): 15, 34 " Mereka berada di atas katil-katil yang bersalutkan emas dan mutiara", dan " dan hamparan yang tebal lagi empok" , dan Surah al-Mutaffifin (83) :23 " di atas bangku panjang yang rendah mereka melihat" 

Daripadanya, daripada 'Auf, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s, berkata: Rasulullah s.w.a bersabda: Sesungguhnya sungai-sungai syurga berlari tanpa alur lebih putih daripada salji, lebih manis daripada madu, lebih lembut daripada keju, anak batu sungainya adalah daripada mutiara dan yaqut. Sungai-sungainya berlari di atas kehendak wali Allah, tanpa mengurangkan sesuatu jika semua penghuni dunia menikmatinya.

Daripadanya, daripada 'Auf, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s, berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kurma syurga, dan pelepahnya adalah daripada emas merah, buah kecilnya seperti permata jed hijau, pelepahnya daripada mutiara putih, buahnya yang segar adalah lebih segar daripada perak, lebih manis daripada madu, lebih lembut daripada keju, tandannya dua belas hasta, tiada sesuatu pun yang dapat menguranginya dan apabila dipetik, maka Allah mengembalikannya sebagaimana sebelumnya, Surah al-Waqi'ah (56 )33 "yang tidak berhenti buahnya dan tidak terlarang mengambilnya" 

Daripadanya, daripada 'Auf, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s, daripada Nabi s.a.w tentang firman-Nya di dalam Surah al-Ra'd (13):29 " bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik" iaitu sebaik-baik tempat kembali. Adapun Tuba adalah pokok di syurga di mana pokoknya di dalam rumah Muhammad s.a.w. Jika seekor burung terbang dari batangnya ke cabangnya, maka ia tidak akan sampai kepadanya sehingga ia mati tua, dan di atas setiap daunnya ada malaikat yang berzikir kepada Allah, tiada satu rumah pun di syurga melainkan ada dahan pokok Tuba di tepi pagar syurga, ia akan membawa untuk mereka apa yang mereka kehendaki daripada segala perhiasannyadan buah-buahnya tanpa mengurangi sesuatu sebelumnya. 

Daripadanya, daripada 'Auf, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s, berkata: Sesungguhnya ahli syurga adalah seorang yang senang, dan dihormati, seorang ahli syurga dikurniakan kekuatan seratus orang lelaki di dalam makanan, minuman, syahwat dan jimak, kekuatan makanannya adalah kekuatan seratus lelaki, dan ia akan menikmati kelazatan makanannya selama empat puluh tahun. Allah telah memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya, dan badan-badan mereka dengan sutera putih, perhiasan kuning, dan pakaian yang hijau. 

Daripadanya, daripada 'Auf, daripada Jabir, daripada Abu Ja'far a.s, berkata: Sesungguhnya ahli syurga terus hidup tanpa mati, sedar tidak pernah tidur, kaya tidak pernah miskin, bergembira tanpa dukacita, ketawa tanpa menangis, dihormati tanpa dihina, sentiasa gembira tanpa merana, makan tanpa lapar, minum tanpa dahaga, memakai pakaian tanpa bertelanjang, selalu ziarah, kanak-kanak memberi salam kepada mereka, di tangan-tangan mereka cerek-cerek daripada emas dan perak, berehat di atas katil-katil panjang sedang melihat sesuatu, kehormatan daripada Allah mendatangi mereka secara berterusan, kami memohon kepada Allah syurga dengan rahmat-Nya, sesungguhnya Dia adalah berkuasa di atas setiap sesuatu .