Sambungan

Hadis Jabir al-Ja'fi dan Abu Ja'far A.S Tentang Surah al-Jumu'at

Diriwayatkan daripada Jabir al-Ja'fi berkata: Pada suatu malam aku berada di sisi Abu Ja'far a.s. Aku membaca ayat dalam Surah al-Jumu'at (62) :9-10 "Wahai mereka yang beriman,apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu (fa-s'au) kepada mengingati Allah (zikri l-Lahi)". Beliau a.s. berkata: Bagaimana anda membacanya wahai Jabir? Aku berkata: "Wahai mereka yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu (fa-s'au) kepada mengingati Allah. Beliau a.s berkata: Ini adalah tahrif wahai Jabir.

Aku berkata: Bagaimana aku membacanya-Allah telah menjadikan diri aku tebusan anda-? Beliau a.s berkata: fa mdhau ila zikri l-Lahi, bukan fa-s'au ila zikri l-Lahi, begitulah ia diturunkan. Jika ia adalah Sa'yan seperti di dalam ayat, maka ia bererti 'adwan (berlari dengan cepat) sedangkan Rasulullah s.a.w tidak menyukainya. Baginda s.a.w. membenci lelaki yang berlari dengan cepat bagi menunaikan solat.

Wahai Jabir! Kenapakah hari Jumaat dinamakan Jumaat? Aku berkata: Anda beritahu aku, Allah telah menjadikan diri aku tebusan anda. Beliau a.s. berkata: Wahai Jabir, Allah menamakan hari Jumaat sebagai Jumaat kerana pada hari itu dikumpulkan mereka yang terdahulu (al-Awwalin), mereka yang terkemudian (al-Akhirin). Kesemua makhluk Allah yang terdiri daripada Jin, manusia dan segala yang telah dijadikan oleh Tuhan kita terdiri daripada langit, bumi, laut, syurga, neraka. Segala yang dijadikan Allah di dalam al-Mithaq. Dia telah mengambil al-Mithaq daripada mereka untuk-Nya dengan ketuhanan-Nya (al-Rububiyyah). Untuk Muhammad s.a.w dengan kenabiannya (al-Nubuwwah). Untuk Ali a.s dengan kewaliannya (al-Wilayah).

Pada hari itu Allah berfirman kepada langit dan bumi dalam Surah Fussilat (41 ) :11 "Datanglah kamu berdua menurut perintah-Ku dengan suka hati atau terpaksa. Mereka berdua menjawab: Kami datang dengan suka hati " Justeru itu Allah menamakannya Jumaat kerana Dia telah mengumpulkan pada hari tersebut mereka yang terdahulu dan mereka yang terkemudian. Kemudian Dia berfirman: Wahai mereka yang beriman,apabila diseru untuk menunaikan solat (al-Salat) pada hari Jumaat" iaitu hari Dia telah mengumpulkan kamu padanya. Al-Salat adalah Amir al-Mukminin a.s. Yang dimaksudkan dengan al-Salat ialah al-Wilayah iaitu al-Wilayah al-Kubra. Pada hari itu para nabi, para rasul dan para malaikat, malah setiap suatu yang dijadikan Tuhan; manusia dan Jin, langit, bumi dan mukminun mengucap talbiah kepada Allah a.w (fa mdhau ila zikri l-Lahi).

Zikri l-Lahi adalah Amir al-Mukminin a.s wa dharu l-Bai'a (tinggalkanlah jual beli). Apa yang dimaksudkan dengan al-Bai'a adalah yang pertama (Abu Bakr). Dhali-kum (yang demikian itu) iaitu baiah Amir al-Mukminin a.s dan wilayahnya. Khairun la-kum (lebih baik bagi kamu) dari baiah yang pertama (Abu Bakr) dan wilayahnya sekiranya kamu mengetahui (in kuntum ta'lamun). Fa-idha qudiati s-Salatu (apabila selesai menunaikan solat) iaitu baiah Amir al-Mukminin a.s, fa ntasyiru fi l-Ardh (bertebaranlah kamu di bumi). Apa yang dimaksudkan dengan al-Ardh (bumi) adalah para wasi (al-Ausiya'). Allah memerintahkan supaya mentaati mereka dan mewalikan mereka sebagaimana Dia telah memerintahkan supaya mentaati Rasul dan mentaati Amir al-Mukminin a.s. Allah menggantikan nama mereka dengan nama al-Ardh sebagai kinayah. Wa- btaghu fadhla l-Lahi. Maka Jabir berkata: wa- btaghu min fdhli l-Lahi. Abu Ja'far a.s berkata: Ini juga tahrif, tidak sebagaimana ia diturunkan iaitu carilah kelebihan Allah ke atas para wasi "Dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung" 

Kemudian Allah a.w berfirman: Wahai Muhammad, idha raau (apabila mereka yang syak atau menentang melihat) tijaratan (perniagaan) iaitu yang pertama (Abu Bakr) atau lahwan (permainan) iaitu yang kedua ('Umar) mereka kembali kepadanya (insarafu ilai-ha). Aku berkata: Infadhdhu ilai-ha. Beliau a.s berkata: Ini juga tahrif .Apa yang diturunkan ialah insarafu ilaiha di tempat infadhdhu ilai-ha. Wa taraku-ka (mereka telah meninggalkan kamu) bersama Ali sedang berdiri. Katakanlah wahai Muhammad ma inda-l-Lahi (apa yang ada di sisi Allah) iaitu wilayah Ali dan para wasi yang lain khairun mina l-Lahwi wa t-Tijarati (lebih baik daripada perniagaan dan permainan) iaitu lebih baik daripada baiah kepada yang pertama dan yang kedua bagi mereka yang bertakwa. Allah adalah sebaik baik pemberi rezeki.


Kelebihan Hari Jumaat dan Malamnya

Diriwayatkan daripada Jabir bin Yazid daripada Abu Ja'far a.s bahawa beliau a.s. ditanya tentang hari Jumaat dan malamnya. Beliau a.s. berkata: Malamnya bercahaya, harinya berseri, tiada satu hari di bumi di mana matahari condong lebih bebas daripada neraka selain pada hari Jumaat. Sesiapa mati pada hari Jumaat di dalam keadaan mengetahui hak Ahlu l-Bait a.s akan ditulis untuknya terlepas (bara'ah), daripada neraka dan terlepas daripada azab kubur. Sesiapa yang mati pada malam Jumaat, dia akan dibebaskan ('utiqa)daripada neraka .

Ali bin Mihziyar meriwayatkan secara marfu' kepada Abu Abdullah a.s berkata: Sesiapa mati pada malam Jumaat di dalam keadaan mengetahui hak kami, dia dibebaskan daripada neraka dan ditulis untuknya terlepas daripada azab kubur. 


Khalifah-khalifah

Israfil telah berada (qarana) bersama Rasulullah s.a.w selama tiga tahun. Baginda s.a.w mendengar suaranya, tetapi tidak melihatnya. Kemudian Jibrail a.s berada bersamanya selama dua puluh tahun menyampaikan wahyu kepadanya. Baginda s.a.w. berada di Makkah selama sepuluh tahun. Kemudian berhijrah ke Madinah dan menetap di sana selama sepuluh tahun. Baginda s.a.w mati pada usia enam puluh tiga tahun .
Abu Bakr mati ketika usia enam puluh tiga tahun dan memerintahkan selama dua tahun enam bulan .
'Umar dibunuh ketika usia enam puluh tiga tahun dan memerintahkan selama sepuluh tahun enam bulan.
'Uthman dibunuh ketika usia lapan puluh satu tahun dan memerintahkan selama dua belas tahun .
Amir al-Mukminin a.s dibunuh ketika usia enam puluh tiga tahun, tetapi orang ramai menyangka umurnya ketika itu lima puluh tujuh tahun. Beliau a.s telah memerintahkan selama lima tahun . 

Mu'awiyah bin Abu Sufyan la'ana-hu l-Lahu mati ketika usia tujuh puluh lapan tahun dan memerintahkan selama dua puluh tahun .
Anaknya Yazid la'anahu l-Lahu mati ketika usia tiga puluh tiga tahun dan memerintahkan selama empat tahun.
Mu'awiyah bin Yazid mati ketika usianya dua puluh satu tahun dan memerintahkan selama empat puluh malam .

Marwan bin al-Hakam, Abd al-Malik bin Marwan, al-Walid bin Abd al-Malik, Sulaiman bin Abd al-Malik, 'Umar bin Abd al-Aziz bin Marwan, Yazid bin Abd al-Malik, al-Walid bin Yazid bin Abd al-Malik, Yazid bin al-Walid bin Abd al-Malik, Ibrahim bin al-Walid bin Abd al-Malik, dan Marwan bin Muhammad al-Hammar.


Wasiat-Wasiat Nabi S.A.W Kepada Ali A.S

Bismillahi r-Rahmanir Rahim

Ahmad berkata: 'Umru bin Hafs dan Abu Nasr telah memberitahu kami daripada Muhammad bin al-Haitham daripada Ishaq bin Najih daripada Husaib daripada Mujahid daripada al-Khudri berkata: Rasulullah s.a.w telah berwasiat kepada Ali a.s dan bersabda: Wahai Ali, apabila pengantin perempuan memasuki rumah anda, maka cabutlah kasutnya ketika beliau duduk dan basuhlah dua kakinya. Curahkan air dari pintu rumah anda ke pintu yang paling jauh, kerana apabila anda melakukannya, Allah akan mengeluarkan dari rumah anda tujuh puluh bahagian kefakiran dan memasukkan tujuh puluh bahagian keberkatan dan menurunkan ke atas anda tujuh puluh rahmat dibentangkan ke atas pengantin perempuan sehingga dia mendapati keberkatannya di setiap penjuru rumah anda. Ia juga aman daripada penyakit gila, penyakit kusta dan balar selama berada di rumah tersebut. Tegahlah pengantin perempuan di dalam minggu pertamanya daripada empat perkara: Susu, cuka, ketumbar dan buah epal yang masam.

Ali a.s berkata: Wahai Rasulullah! Apakah sebab utama empat perkara tersebut ditegah? Baginda s.a.w bersabda: Kerana rahim menjadi mandul dan sejuk daripada anak dengan perkara-perkara tersebut. Tikar di sudut rumah itu adalah lebih baik daripada perempuan yang tidak beranak.

Ali a.s berkata: Wahai Rasulullah! kenapakah cuka ditegah? Baginda s.a.w bersabda: Apabila perempuan datang haid selepas memakan cuka, maka haidnya tidak akan bersih dengan sempurna. Ketumbar akan membinasakan haid di perutnya dan menyukarkannya bersalin. Epal yang masam pula akan memutuskan haidnya dan akan menimbulkan penyakit kepadanya.

Kemudian Baginda s.a.w bersabda: Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri (la tujami' imra'ata-ka ) pada awal bulan, pada pertengahan bulan dan pada akhir bulan kerana akan menyebabkan gila, kusta dan balar cepat menghidapinya dan anaknya

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda selepas zuhur, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, maka matanya akan menjadi juling (ahwalu). Syaitan akan bergembira dengan orang yang bermata juling.

Wahai Ali, janganlah anda bercakap-cakap ketika bersetubuh, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan menjadi bisu, dan janganlah anda melihat kepada kemaluan perempuan anda, pejamkan mata anda ketika bersetubuh, kerana ia akan mewarisi buta kepada anak anda.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda dengan syahwat perempuan, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan menjadi khunsa yang hina.

Wahai Ali, jika anda di dalam keadaan berjunub di atas tempat tidur anda, maka janganlah anda membaca al-Qur'an, kerana aku takut api akan turun dari langit dan membakar kamu berdua.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda melainkan anda mempunyai kain (khirqah) dan isteri anda mempunyai kain yang lain, janganlah kamu berdua menyapunya dengan satu kain. Apabila syahwat akan bertemu syahwat maka ia akan membawa kepada perpisahan dan perceraian.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda di dalam keadaan berdiri, kerana itu adalah perbuatan keldai, jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan kencing di atas tilam seperti keldai yang kencing di setiap tempat.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda pada malam raya puasa, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan mungkir janji dan dia kelak akan mendapat anak pada usia yang tua.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda pada malam Raya Korban, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, aku takut ia akan mempunyai enam atau empat jari.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda di tengah kepanasan matahari melainkan anda membentangkan tabir, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, maka ia akan berada di dalam kesengsaraan dan kefakiran sepanjang hidup.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda di bawah pokok yang berbuah, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan menjadi keras kepala dan pembunuh.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda di antara azan dan iqamah, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan mengalirkan darah.

Wahai Ali, jika isteri anda hamil, maka janganlah anda bersetubuh dengannya melainkan anda berwuduk, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan menjadi buta hati dan tidak mahu memberi pertolongan kepada orang lain.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda pada pertengahan bulan Sya'ban (nisf al-Sya'ban), kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan menjadi lebam di mukanya.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda pada akhir bulan (iaitu dua hari dipenghujung bulan) kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan menjadi papa kedana.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda dengan syahwat saudara perempuan isteri anda, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan menjadi perompak, penolong kepada orang yang zalim atau pembinasa manusia yang ramai.

Wahai Ali, apabila anda bersetubuh dengan isteri anda, maka bacalah: Wahai Tuhanku! Jauhilah aku daripada syaitan dan jauhilah syaitan dari apa yang Engkau kurniakan kepada aku" jika kamu berdua mendapat anak kelak, syaitan tidak dapat memudaratkannya. 

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda di bawah bumbung binaan (bukan rumah), kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan menjadi munafik, mahu menunjuk-nunjuk dan melakukan bid'ah.

Wahai Ali, jika anda keluar musafir, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda pada malam itu, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan membelanjakan hartanya tidak pada tempatnya. Rasulullah s.a.w membaca Surah al-Isra' (17):27 " Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan." 

Wahai Ali, jika anda keluar musafir tiga hari dan tiga malam, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia kan membantu kepada orang yang zalim.

Wahai Ali, bersetubuhlah dengan isteri anda pada malam Isnin, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan menjaga kitab Allah dan reda dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya.

Wahai Ali, jika anda bersetubuh dengan isteri anda pada malam Selasa dan kamu berdua mendapat anak, ia akan mati syahid selepas syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh-Nya. Dia tidak akan diseksa oleh Allah bersama-sama musyrikin. Bau mulutnya menjadi harum bersih lidahnya daripada mengumpat dan pembohongan.

Wahai Ali, jika anda bersetubuh dengan isteri anda pada malam Khamis dan jika kamu berdua mendapat anak, ia akan menjadi bijak atau alim dan jika anda bersetubuh dengan isteri anda ketika matahari condong dan mendapat anak, syaitan tidak akan mendekatinya sehingga dia beruban. Dia akan menjadi seorang fakih. Allah akan mengurniakan kepadanya keselamatan dunia dan akhirat.

Jika anda bersetubuh dengannya pada malam Jumaat dan mendapat anak, ia akan menjadi seorang khatib dan pandai berbicara. Jika anda bersetubuh dengannya pada hari Jumaat selepas asar dan kamu berdua mendapat anak, ia akan menjadi seorang yang terkenal dan alim. Jika anda bersetubuh dengannya pada malam Jumaat selepas Isya' akhir, adalah diharapkan anak anda kelak menjadi salah seorang abdal Insya' Allah.

Wahai Ali, janganlah anda bersetubuh dengan isteri anda pada awal jam malam, kerana jika kamu berdua mendapat anak kelak, ia akan menjadi tukang tenung dan tukang sihir, cinta kepada dunia daripada akhirat. Wahai Ali, hafazlah wasiat aku ini sebagaimana aku telah menghafaznya daripada Jibrail a.s.


Hadis Tentang Percakapan Sebahagian Binatang

Beliau berkata: Ibn Abbas berkata: Kami telah menyaksikan satu majlis Amir al-Mukminin Ali bin Abu Talib a.s bersama-sama kami beberapa orang asing, mereka memberi salam kepadanya dan berkata: Kami datang kepada anda kerana mahu bertanya enam perkara, jika anda dapat memberitahu kami, kami akan beriman dan kami membenarkannya. Jika tidak, kami akan membohongi dan mengingkari anda.

Ali a.s berkata: Kemukakan soalan-soalan kamu kerana ingin tahu dan bukan kerana kedegilan kamu. Mereka berkata: Beritahu kami apakah yang dikatakan oleh kuda, keldai, landak, burung jambul, ayam jantan dan katak-katak ketika mengeluarkan suara atau bunyi mereka?

Ali a.s berkata: Apabila bertembung dua kumpulan dan lelaki berjalan kepada lelaki dengan pedang, maka kuda akan mengangkat kepalanya dan berkata: Subhana l-Maliki l-Quddusi (Maha suci Raja yang Kudus) Keldai berkata: Allahumma il'an al-'asysyarin (wahai Tuhanku, laknatilah mereka yang zalim). Ayam jantan berkata di waktu sahur: Uzkuru l-Laha ya Ghafilin (Ingatlah kepada Tuhan wahai mereka yang lalai). Katak-katak berkata: Subhana l-Ma'bud fi lujaji l-Bihar (Maha Suci Yang disembah di lautan yang dalam). Landak berkata: Al-Rahmanu 'ala l-'Arsy I-stawa (Yang Maha Pemurah menduduki singgahsana). Burung jambul pula berkata: Allahumma il'an mubghidhi ali Muhammad (wahai Tuhanku, laknatilah orang yang memusuhi ali Muhammad).

Ibn Abbas menyatakan: Mereka berkata: Kami telah percaya dan kami telah membenarkannya. Tidak ada sesiapapun di atas muka bumi ini yang lebih alim daripada anda. Ali a.s berkata: Tidakkah aku memberi faedah kepada kamu? Mereka berkata: Ya. Wahai Amir al-Mukminin. Beliau a.s berkata: 

Sesungguhnya kuda setiap hari mempunyai tiga doa yang mustajab, ia berkata pada awal siangnya: Allahumma wassi' 'ala sayyidi al-Rizqa (Wahai Tuhanku, kurnialah ke atas tuanku rezekinya) Ia berkata di pertengahan harinya: Allahumma j'alni ahabba ila sayyidi min ahli-hi wa mali-hi (Wahai Tuhanku, jadikan diri aku lebih dikasihi oleh tuanku daripada keluarganya dan hartanya, ia berkata pada akhir siangnya: Allahumma r- zuq sayyidi 'ala zahri al-Syahadah (Wahai Tuhanku, kurniakanlah tuanku di atas belakang aku kesyahidan .


Penukaran Bentuk Manusia dan Sebabnya

Bismillahi r Rahmanir Rahim

Muhammad bin Abu 'Atikah al-Dimasqi berkata: Al-Walid bin Salmah al-Azadi telah memberitahu aku daripada Abd al-Rahman al-Qurasyi daripada Huzaifah bin al-Yaman berkata: Kami berada bersama-sama Rasulullah s.a.w ketika baginda s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t telah menukar (masakha) bentuk manusia kepada dua belas bahagian, Dia telah menukar sebahagian mereka kepada bentuk kera (al-Qirdat), khinzir, Suhail, Zuhrah, kala jengking (al-'Aqrab), gajah (al-Fail), belut (al-Jaryu) iaitu jenis ikan yang tidak boleh dimakan, ulat-ulat jentik dan seumpamanya (al-Du'mus), beruang(al-Dubb), labah-labah (al- 'Ankabut ) dan landak (al-Qunfudh) .

Huzaifah berkata: Dengan nama bapa aku, anda dan ibu aku wahai Rasulullah s.a.w, perjelaskan kepada kami bagaimana mereka telah ditukarkan bentuk mereka (kaifa musikhu)? Baginda s.a.w bersabda: Ya. Adapun bentuk kera, kerana mereka telah memburu ikan paus pada hari sabtu pada masa Nabi Daud a.s. Mengenai bentuk khinzir, kerana mereka telah mengingkari hidangan yang turun dari langit kepada Isa bin Maryam a.s. Mengenai Suhail, kerana dia adalah seorang yang zalim. Pada suatu ketika seorang lelaki ahli ibadat pada zamannya melalui di hadapannya, lalu dia berkata: Tunjukkan kepada aku nama Allah yang membolehkan aku berjalan di atas air dan menaiki langit. Maka ahli ibadat itu menunjukkannya. Kemudian beliau berkata: Sepatutnya orang yang mengetahui nama ini tidak tinggal di bumi, malah dia naik ke langit. Kemudian Allah telah menukarkan bentuknya (masakha) dan menaikkannya ke langit. Allah telah menjadikannya bukti kepada alam semesta. 

Adapun Zuhra asalnya seorang perempuan yang telah memfitnahkan dua malaikat bernama Harut dan Marut. Adapun bentuk kala jengking telah ditukarkan daripada bentuk manusia, kerana dia asalnya seorang lelaki pengumpat yang berjalan di kalangan orang ramai dan menggalakkan permusuhan di kalangan mereka. Mengenai gajah pada asalnya seorang lelaki yang kacak, kemudian ditukarkan (musikha)kepada gajah, kerana bersetubuh dengan binatang ternakan seperti lembu dan kambing. Dia tidak mempunyai syahwat terhadap perempuan.

Mengenai belut (al-Jaryu) asalnya seorang peniaga yang telah ditukar bentuknya (musikha ) kerana telah mengurangkan timbangan di dalam perniagaannya . Adapun ulat-ulat jentik (al-Du'mus) asalnya seorang lelaki yang telah ditukarkan bentuknya (musikha), kerana apabila melakukan persetubuhan dengan isterinya tanpa mandi junub, lalu meninggalkan solat. Justeru Allah menjadikan tempatnya di air sehingga hari Kiamat, kerana dia takutkan kesejukan.

Mengenai beruang (al-Dubb) asalnya seorang lelaki yang telah ditukarkan bentuknya (musikha), kerana melakukan rompakan di jalan. Dia tidak mengira mangsanya sama ada kaya atau miskin semuanya dirompaknya.

Mengenai biawak (al-Dabb) asalnya seorang lelaki Badwi yang telah ditukar bentuknya, kerana tidak memberi arah perjalanan yang betul. Dia mendirikan khemahnya di tengah jalan, apabila kafilah melalui di hadapannya dia telah memberi jawapan yang bertentangan dengan yang sebenar. Jika mereka mahu pergi ke timur maka dia akan menunjukkan mereka arah ke barat sehingga mereka menjadi sesat. Dia tidak menunjukkan mereka ke jalan yang baik.

Mengenai labah-labah (al-'Ankabut) asalnya seorang perempuan yang telah ditukar bentuknya (musikhat), kerana mengkhianati suaminya; menyerah kemaluannya kepada orang lain. Adapun landak (al-Qunfudh) asalnya seorang lelaki Arab yang berani, kemudian ia ditukarkan bentuknya (musikha), kerana apabila tetamu bermalam di rumahnya, dia menutup pintu di hadapannya dan berkata kepada hamba perempuannya: Keluarlah anda menemui tetamu dan katakan kepadanya: Sesungguhnya tuanku tidak ada di rumah, lantaran itu, tetamu tadi bermalam di pintu rumah di dalam keadaan lapar sedangkan isi rumah bermalam di dalam keadaan kenyang .